GOLONGAN YANG SELAMAT TIDAK TAKSUB (FANATIK) KECUALI PADA FIRMAN ALLAH & SABDA RASULULLAH

Ustaz Abu Omar, Idris bin Sulaiman

(Teks disalin dari rakaman kuliah Jalan Golongan yang Selamat, Bahagian 2 Prinsip ke-6, 28.01.2013 – minit 00:11:16 – 00:48:08)

Berkata Syaikh Muhammad bin Jamil Zainu rahimahullah pada Bahagian 2, Prinsip ke-6;

Golongan yang selamat tidak fanatik kecuali kepada firman Allah dan sabda RasulNya yang maksum yang berbicara tidak berdasarkan hawa nafsu. Adapun manusia selainnya betapa pun tinggi darjatnya terkadang dia melakukan kesalahan sebagaimana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,

كُلُّ بَنِي آدَم خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِيْنَ التَّوَّابُوْنَ

“Setiap anak Adam melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang-orang yang bertaubat.” (Hasan. Riwayat Ahmad)

Imam Malik rahimahullah, (juga dikenali sebagai Imam Darul Hijrah, Imam di Madinah Al-Munawwarah pada zamannya) berkata, “Tidak seorang pun sesudah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam melainkan ucapannya diambil atau ditinggalkan (ditolak) kecuali Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam (yang ucapannya hendaklah sentiasa diambil dan diterima).”

(Minhaju Al-Firqati Al-Najiyah wa Al-Thaifah Al-Manshurah)

jalan_golongan_selamat (1)Penjelasan:

Syaikh Muhammad bin Jamil Zainu mengatakan bahawa di antara sifat-sifat golongan selamat adalah mereka tidak taksub (tidak fanatik) kepada sesiapa, kecuali kepada firman Allah dan sabda Rasulullah sahaja. Dalam erti kata lain, mereka berpegang teguh dengan Al-Quran dan Hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka sama sekali tidak mengenepikannya untuk mengambil selain daripada kedua-dua rujukan ini.

Mereka tidak fanatik kepada sesiapa pun tidak kira sebesar mana pun ulama itu. Mereka tidak fanatik kepada mana-mana mazhab. Mereka tidak fanatik kepada mana-mana aliran pemikiran, tarikat-tarikat, parti, Jemaah atau kumpulan. Sama sekali mereka tidak fanatik kepada mana-mana kumpulan, Jemaah, ataupun mazhab-mazhab ini. Mereka hanya berpegang teguh kepada Al-Quran dan juga Sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Kalau kita lihat realiti atau waqi’ umat Islam, akibat kejahilan mereka kepada Al-Quran dan juga Sunnah menyebabkan mereka jauh dari agama, jauh dari Al-Quran dan Sunnah sehingga akhirnya realiti hidup mereka sebagai seorang Islam ataupun hidup mereka dalam beragama tidak lebih dari sekadar bertaqlid kepada mazhab atau aliran tertentu.

Majoriti umat Islam di Nusantara misalnya bertaqlid kepada mazhab Syafi’i. Kalau ada yang bertanya mengapa mazhab Syafi’i, apa sebab musababnya? Kemungkinan besarnya adalah kerana tempat ustaz-ustaz mereka belajar dulu juga bermazhab Syafi’i. Rata-rata ustaz-ustaz kita dulu pada sekitar tahun 60-an, 70-an, kebanyakan mereka datang dari Universiti Al-Azhar. Maka di antara mazhab di Mesir adalah mazhab Syafi’i, di samping ada sedikit sebanyak dari mazhab Hanafi.

Itu di Nusantara. Kalau di India atau Pakistan, rata-rata masyarakat Islam di sana bermazhab Hanafi. Maka janganlah pelik kalau di antara pengikut-pengikut Jemaah Tabligh secara automatik mereka terikut-ikut dengan mazhab Hanafi. Walaupun mereka orang Malaysia, tetapi apabila mereka mengikut Tabligh, mereka akan beramal dengan mazhab Hanafi kerana guru-guru mereka dari India bermazhab Hanafi.

Kalau di negara Arab, misalnya Arab Saudi, rata-rata mereka bermazhab Hanbali. Adapun negara-negara Arab lain, contohnya di Syria, Jordan, mereka kebanyakannya bermazhab Syafi’i atau Hanafi. Adapun di negara-negara Afrika, rata-rata orang Islam di sana bermazhab dengan mazhab Maliki.

Ini realiti keadaan umat Islam. Mereka tidak lebih dari sekadar taqlid kepada mazhab. Maka jangan kita hairan, banyak dari amalan mereka dalam beragama, contohnya orang-orang Afrika seperti yang kita lihat ketika Haji atau pelajar mereka di sini, apabila mereka berdiri di dalam solat, mereka turunkan tangan (tidak bersedekap). Kenapa begitu? Kerana mereka mengamalkan mazhab Maliki, yang disandarkan kepada Imam Malik bin Anas.

Jika ditanya apa hujah dan sandaran untuk tidak meletakkan tangan di atas, mengapa tidak meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri seperti mazhab-mazhab yang lain, mengapa melepaskan tangan ke bawah, jawapannya tidak lebih daripada “Ini pendapat mazhab”. Kenapa? Kerana tidak ada dalil dan tidak ada hadis yang mengatakan bahawa Rasulullah pernah melepaskan tangan ke bawah. Bukan sahaja hadis dhaif, bahkan hadis palsu pun tidak ada satu pun, seperti mana yang dijelaskan oleh ulama pakar dalam bidang hadis, Syaikh Al-Albani rahimahullah.

Satu contoh lain yang berlaku dalam masyarakat kita adalah apabila mereka berwuduk, apabila sampai ke bahagian kepala kita melihat mereka sekadar menyapu atau mencuit sedikit sahaja di hujung kepala. Jika ditanya kenapa buat begitu? Kita akan dapati jawapan yang sama juga. “Ini adalah pendapat mazhab”.

Sedangkan kalau kita kembali kepada hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, pernah atau tidak sejak perintah salat diturunkan sejak Rasulullah di Makkah lagi, kemudian Baginda berhijrah ke Madinah, sepanjang 10 tahun Rasulullah di Madinah, shalat yang berlaku berulang-ulang kali, pernah atau tidak apabila berwuduk Rasulullah sekadar mencuit di hujung rambut atau hujung kepala sahaja? Tidak ada satu riwayat pun yang mengatakan bahawa Rasulullah mencuit atau menyapu kepala bahagian depan sahaja. Hendak disimpulkan bahawa ia adalah sekadar pendapat mazhab semata-mata. Ini antara contoh taqlid kepada mazhab iaitu mengikut tanpa ada dalil.

Juga baru-baru ini anak perempuan saya hendak salat, katanya, ustazah dia kata, perempuan kalau hendak takbir, tangan kena dirapatkan pada badan, jangan direnggangkan. Ketika sujud juga sama, tangan dirapatkan dan dimasukkan ke dalam. Ketika berdoa juga sama, tangan mesti dirapatkan, kalau renggang untuk lelaki. Apabila kita tanya kenapa seperti itu? Katanya “Ustazah kata”. Jadi semua ini dari mana datangnya?

Adakah benar wujudnya perbezaan solat lelaki dan solat perempuan dalam pergerakan dan perbuatan ketika solat? Jawapannya, sama sekali tidak. Bahkan ini semua jelas dan terang-terang menyalahi sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Bahkan ketika dalam sujud, kita ditegah meletakkan atau merapatkan tangan ke badan. Kita disuruh supaya menjarakkan, membuka dan mengangkat siku, jangan dirapatkan apatah lagi meletakkan di atas lantai kerana ia menyerupai duduknya anjing. Tetapi hal ini semua diabaikan atas alasan perempuan tidak sama seperti lelaki. Ini semua akibat dari pendapat-pendapat mazhab yang akhirnya menjadi ikutan dan menjadi sebahagian dari agama.

Dakwaan Umat Islam bahawa mereka berpegang dengan Al-Quran dan Sunnah tidak lebih dari dakwaan semata-mata. Buktinya adalah apabila kita kedepankan kepada mereka dalil dan penjelasan tentang kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan, lihat apa tindak balas mereka. Apa reaksi mereka.

Golongan yang selamat apabila dijelaskan kepada mereka kebenaran, dalil, bukti, dijelaskan kepada mereka tentang kebenaran sesuatu perkara, reaksi golongan yang selamat adalah mereka akan pantas dan cepat-cepat mengambil kebenaran yang diberikan kepada mereka. Ini yang dimaksudkan oleh Syeikh Muhammad bin Jamil. Kalau itu adalah kata-kata Allah, kalau itu adalah sabda Rasulullah, maka tidak ada pilihan bagi mereka selain dari mengambil hujah-hujah yang diberikan kepada mereka.

Kalau dibawakan kepada mereka firman Allah dan kata-kata Rasulullah, sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, mereka tidak akan berpaling, mereka tidak akan melihat-lihat sekeliling mereka lagi. Sebaliknya mereka terus mengambilnya. Bertepatan dengan firman Allah,

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ

“Dan tidak patut bagi lelaki yang beriman dan tidak (pula) bagi perempuan yang beriman, apabila telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya sesuatu, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka.” (Surah Al-Ahzab, 33: 36)

Tidak ada pilihan bagi mereka selain daripada menurut perintah Allah dan RasulNya. Ini adalah sifat orang yang beriman. Maka tidak ada istilah ta’assub kepada selain daripada Allah dan juga Rasulullah. Ini adalah sifat golongan yang selamat. Ini adalah sifat orang yang berpegang dengan Al-Quran dan Al-Sunnah dengan erti kata yang sebenar. Ini adalah sifat golongan Salaf Al-Soleh.

Berbeza dengan golongan yang taqlid buta kepada mazhab, atau lebih parah lagi golongan yang taksub kepada mazhab, taksub kepada parti, tarikat, Jemaah sekian, atau Jemaah si fulan. Ini kerana apabila dipersembahkan kepada mereka kebenaran, nasihat-nasihat yang baik, antara jawapan mereka yang biasa kita dengar;

Pertama, mereka akan pertahankan mazhab mereka. Sedaya upaya mereka akan pertahankan Syeikh-Syeikh mereka, ulama-ulama mereka, Ustaz-ustaz mereka, tokoh-tokoh mereka. Maka untuk itu mereka akan kata, “Mereka ini ulama, siapa kita? Mereka lebih arif daripada kita. Takkan mereka tidak tahu tentang dalil yang engkau sebutkan ini? Takkan mereka menyelisihi dalil yang engkau sebutkan ini? Mereka dah jumpa dalil yang engkau bawa, tetapi mereka lebih faham daripada engkau.”

Maka kerana itu mereka berpendapat dengan pendapat mereka yang menyelisihi dalil dan hujah yang kita persembahkan, di mana ia tidak lari daripada kata-kata Allah dan kata-kata Rasulullah. Ini adalah hujjah. Tidak ada hujjah selain daripada itu. Selain daripada kata-kata Allah dan kata-kata Rasulullah bukan hujjah. Tetapi begitulah jawapan mereka. Sedaya upaya mereka akan pertahankan mazhab mereka, ulama dan Syeikh-syeikh mereka.

Kedua, mereka melihat pada dalil yang kita bawa tetapi teragak-agak untuk beramal dengannya. Kita telah bawakan kepada mereka dalil, hadis, sabda Rasulullah, sunnah Nabi. Kita berikan kepada mereka. Apa reaksi mereka dengan hadis yang diberikan kepada mereka? Mereka teragak-agak untuk mengambil hadis yang diberikan.

Kebiasaannya, apabila diberikan hadis yang menyalahi pegangan dan amalan mereka, mereka akan bertanya. Kita bukan menceritakan tentang hadis yang dhaif atau palsu. Kita sedang cerita tentang hujah yang jelas, hadis yang jelas, hadis yang sahih. Bukan hadis dhaif atau maudhu’ kerana itu bukan hujah dan memang harus ditolak. Tetapi ini adalah hadis yang sahih, apatah lagi kalau hadis itu ada di dalam Bukhari dan Muslim. Tetapi mereka tetap teragak-agak. Dan dalam mereka teragak-agak, mereka akan bertanya, “Siapa yang sependapat dengan hadis ini?” “Siapa yang beramal dengan hadis ini?”

Mereka bertanya siapakah yang telah beramal dengan hadis ini. Apa ertinya? Ini bahaya. Seolah-olah bagi mereka, hadis-hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam perlu ada persetujuan daripada ulama-ulama ataupun mazhab-mazhab. Perlu ada ulama dan mazhab yang beramal dengannya sebelum ia boleh diterima. Hadis itu sahih sahaja tidak cukup. Ia perlu diamalkan oleh mazhabnya. Contoh, Imam Hanafi beramal atau tidak dengan hadis itu? Imam Syafi’i beramal atau tidak dengan hadis itu? Kalau Imam mazhabnya beramal baru dia ambil. Kalau ulama-ulamanya tidak beramal dengan hadis itu, mereka akan teragak-agak kalau bukan menolaknya sama sekali.

Hakikatnya mereka mendahulukan kejahilan mereka. Mereka menolak hadis itu dengan kejahilan mereka semata-mata, atas alasan kononnya masyarakat tidak beramal dengan hadis itu, ataupun ulama-ulama mereka tidak beramal dengan hadis itu. Maka untuk itu mereka tidak boleh terima hadis itu, sebab pada sangkaan mereka, ulama-ulama tidak beramal dengan hadis itu.

Pada hakikatnya, sikap ini adalah satu perbuatan yang cukup buruk. Bukan sahaja dari sudut menolak hadis, tetapi juga dari sudut cara berfikir; 1) Dia jahil apabila dia menganggap tidak ada ulama yang beramal dengan hadis itu. 2) Seolah-olah hadis Nabi perlu mendapat persetujuan daripada ulama-ulama tertentu untuk ia diamalkan. 3) Dia menganggap bahawa Ulama telah sepakat untuk tidak beramal dengan hadis itu. Dia merasakan bahawa Ulama-ulama sama seperti dia, jahil seperti dia, sepakat seperti dia untuk tidak beramal dengan hadis itu. Lebih buruk lagi kalau dia menganggap bahawa ulama telah ijma’ untuk tidak beramal dengan hadis itu.

Ini adalah perbuatan yang hodoh kerana tanpa dia sedar, dia telah menganggap bahawa Ulama Islam telah ijma’ di atas kesesatan. Ini kerana menyalahi hadis adalah kesesatan yang jelas. Maka dia telah mendakwa dan mentohmah para Ulama tanpa sedar, apabila dia mengatakan para ulama ijma’ untuk menolak hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dan mendahulukan pendapat peribadi mereka. Sedangkan adakah ini boleh berlaku? Jawapannya mustahil. Tidak akan berlaku. Ia tidak lebih daripada sangkaannya semata-mata akibat kejahilannya sendiri.

Ini kerana seperti mana yang disebutkan di dalam hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,

لاَ تَجْتِمَعَ أُمَّتِي عَلى ضَلاَلَةٍ

“Umatku tidak akan bersatu di atas kesesatan.” (Sahih. Riwayat Ibnu Majah, Al-Hakim dan Al-Tirmidzi)

Maka andai anda menyangka bahawa ulama telah sepakat menolak hadis, itu adalah sedusta-dusta tanggapan. Kerana percayalah, kalau anda tidak tahu tidak bererti tidak ada. Dalam masa yang sama, kita mengatakan bahawa tidak semestinya kita kena tahu dan kena ada ulama yang mengamalkan, baru kita beramal. Sebaliknya kita kena yakin pasti ada ulama yang telah beramal dengan hadis itu kerana hadis itu adalah sahih. Mustahil para ulama sepanjang zaman atau pada satu-satu zaman itu sendiri tidak ada yang beramal dengan kebenaran. Kerana jika tidak ada yang beramal, itu bermakna bahawa mereka telah sepakat di atas kesesatan, dan hal ini adalah mustahil seperti mana hadis yang disebutkan tadi.

Maka dapat kita simpulkan bahawa orang-orang yang ta’assub ini mendahulukan kejahilan mereka dalam menolak hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Dia menolak ilmu, menolak sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam semata-mata kerana kejahilan.

Imam Al-Subki (wafat 756H) mengatakan, “Bagiku, seseorang itu kalau telah diberikan kepadanya hadis, hendaklah dia terus mengambil hadis itu. Hendaklah engkau membayangkan bahawa Rasulullah berada di hadapan engkau (apabila hadis itu dibacakan) menyebutkan hadis itu. Maka apakah engkau masih teragak-agak apatah lagi menolak apa yang disebutkan oleh Rasulullah itu? Bagiku, seseorang itu wajib beramal dengan ilmu yang ada pada masing-masing.”

Orang yang mengetahui berkewajipan untuk beramal dengan ilmu yang dia ada. Jangan dipedulikan tentang orang lain. Orang lain masing-masing dengan ilmu dan kefahaman masing-masing. Tetapi kalau sudah diberikan kepada kita hadis, maka kita wajib beramal dengan hadis yang telah sampai kepada kita.

AHLI SUNNAH TIDAK MENOLAK MAZHAB DAN TIDAK TAKSUB KEPADA MAZHAB TERTENTU

Apakah maksud berpegang dengan Al-Quran dan Al-Sunnah? Apakah saranan untuk ittiba’ (berpegang dengan Al-Quran dan Al-Sunnah sejajar dengan pemahaman Salaf) bererti kita menolak mazhab-mazhab? Ini adalah satu syubhat. Seringkali kita dengar orang mengatakan bahawa pengikut-pengikut sunnah ini tidak ada mazhab, menolak mazhab. Ini antara syubhat yang biasa kita dengar.

Di dalam persoalan ini, Syaikh Al-Albani rahimahullah mengatakan bahawa sekiranya yang dimaksudkan dengan soalan ini (menolak mazhab) adalah menolak kesemua mazhab feqah yang empat; Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali, maka itu adalah tidak benar. Kerana ulama-ulama Islam atau ulama-ulama fikah secara khasnya tidak lari daripada keempat-empat mazhab ini. Kalau kita mengatakan kita telah menolak semua mazhab itu bererti kita telah menolak semua ulama-ulama. Maka akhirnya kita mengikut siapa? Itu jelas menunjukkan bahawa kita mengadakan satu mazhab yang baru. Ini juga satu kesesatan.

Syaikh Albani mengatakan bahawa kebenaran itu tidak akan lari daripada empat mazhab ini. Ulama-ulama Islam tidak lari daripada empat mazhab ini. Kalau kita hendak tambah satu lagi mazhab pun tidak ada masalah iaitu mazhab Al-Dzahiri, yang juga dianggap sebagai satu mazhab yang muktabar. Ini kerana ada juga pandangan-pandangan dari mazhab Al-Dzahiri ini yang menepati kebenaran. Di antara Ulama mazhab ini adalah Imam Ibnu Hazm rahimahullah.

Maka formulanya adalah; Agama Islam terhimpun dalam keempat-empat mazhab. Namun tidaklah sesebuah mazhab itu menghimpunkan agama Islam.

Maknanya kebenaran agama Islam itu ada di dalam empat mazhab itu, tetapi kebenaran agama Islam tidak terhimpun dalam satu mazhab sahaja. Kalau kita mengatakan bahawa satu mazhab itu menghimpunkan kebenaran kesemuanya, bererti kita telah menolak ketiga-tiga atau empat mazhab (termasuk Al-Dzahiri) yang lain, dan ini adalah sifat orang ta’assub (fanatik) yang merasakan mazhabnya sahaja yang benar manakala mazhab-mazhab lain adalah salah tanpa dia melihat dalil dan hujah. Baginya mazhab dia benar dan dia tidak peduli apa pun.

Maka Syaikh Albani mengatakan bahawa menolak keempat-empat mazhab itu tidak betul, kerana kebenaran itu pasti ada pada salah satu daripadanya.

Adapun kalau kita mengatakan bahawa ittiba’ itu bererti berpegang dengan dalil Al-Quran dan Sunnah serta menolak pendapat mazhab yang tidak benar dan bercanggah dengan dalil, maka itu benar. Kalau yang dikatakan menolak pendapat mazhab yang tidak menepati dalil dan mengambil pendapat mazhab lain yang menepati dalil, maka itu benar.

Maka kita menolak pendapat mazhab yang tidak menepati dalil, dan hasilnya adalah kita mengambil dalil yang ada pada salah satu daripada mazhab yang lain. Kerana percayalah, dalil itu ada pada salah satu mazhab yang lain. Mustahil kebenaran itu tidak ada pada mana-mana mazhab.

KEDUDUKAN AL-QURAN & SUNNAH DAN KEDUDUKAN ULAMA ISLAM

Maka bagaimana kedudukan kita dalam beragama, bagaimana kedudukan Al-Quran dan Sunnah dengan kedudukan para Ulama? Kita mengatakan bahawa para Ulama memiliki kedudukan yang tinggi. Untuk itu kita menghormati dan memuliakan mereka. Hakikatnya para ulama telah melakukan apa yang wajib atas mereka, iaitu ijtihad untuk mendapatkan kebenaran dan untukmemahami Al-Quran dan Sunnah.

Tetapi seperti mana yang disebutkan oleh Syaikh Muhammad bin Jamil di dalam perkara yang ke-6 ini berdasarkan hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, “Setiap anak Adam itu melakukan kesalahan, dan sebaik-baik mereka yang melakukan kesalahan adalah mereka yang bertaubat.”

Termasuk anak Adam ini adalah para Ulama. Mereka juga manusia, mereka tidak maksum dan tidak lari dari melakukan kesalahan. Ini sewajarnya menjadi sebahagian dari kepercayaan kita. Kita menghormati dan memuliakan mereka, tetapi jangan sampai kita meletakkan mereka pada kedudukan maksum, sehingga segala yang datang dari mereka adalah benar. Ini adalah kesesatan.

Oleh kerana itu kita mengatakan bahawa Ulama telah ijtihad seperti mana yang wajib atas mereka kerana mereka ada ilmu dan mereka telah sampai ke peringkat mampu untuk ijtihad. Walaubagaimana pun, tidaklah semua ijtihad itu benar. Seperti mana yang disebutkan di dalam hadis,

إذا اجتهد الحاكم فأصاب فله أجران، وإن اجتهد فأخطأ فله أجر

“Apabila berijtihad seorang hakim dan dia menepati kebenaran maka baginya dua pahala, dan jika dia berijtihad dan tersalah maka baginya satu pahala.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka ini adalah kepercayaan kita kepada para ulama. Mereka ijtihad kerana mereka layak untuk ijtihad, tetapi bukan bererti semua ijtihad adalah benar. Ijtihad yang benar adalah ijtihad yang menepati dalil Al-Quran dan Al-Sunnah. Manakala ijtihad yang bercanggah atau menyelisihi Al-Quran dan Al-Sunnah adalah ijtihad yang salah dan perlu kita tolak.

(Teks disalin dari rakaman kuliah Jalan Golongan yang Selamat, Bahagian 2 Prinsip ke-6, 28.01.2013 – minit 00:11:16 – 00:48:08)

Advertisements