KEBURUKAN-KEBURUKAN DEMOKRASI

Abu Omar, Idris bin Sulaiman

Muat turun artikel ini untuk sebaran (PDF) : KEBURUKAN-KEBURUKAN DEMOKRASI – Brochure

keburukan demokrasiKeburukan Pertama: Demokrasi Adalah Taghut

Demokrasi direka cipta oleh manusia manakala Syariat Islam adalah wahyu Al-Quran dan Hadis. Manusia disuruh supaya tunduk dan patuh kepada hukum Allah dan meninggalkan segala hukum-hakam manusia. Bagi mereka yang menerima demokrasi, mereka telah tunduk kepada hukum taghut (syariat selain Islam) sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

﴿أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُوا بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَنْ يَتَحَاكَمُوا إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوا أَنْ يَكْفُرُوا بِهِ﴾

“Tidakkah engkau (wahai Muhammad) melihat mereka yang mendakwa beriman dengan apa yang telah diturunkan kepada engkau dan kepada mereka yang sebelum engkau, mereka mahu berhukum dengan taghut sedangkan mereka telah diperintahkan supaya kufur terhadapnya (menolaknya)” (Al-Nisaa’, 4: 60).   

Keburukan Kedua: Mentuhankan Majoriti

Seperti mana dalam parlimen, calon yang bertanding dalam pilihanraya akan dianggap menang dan terpilih berdasarkan kepada jumlah undi majoriti yang diperolehi.

Dengan erti kata lain, jumlah undi majoriti akan menjadi penentu sama ada sesebuah rang undang-undang atau calon pilihanraya itu diterima atau ditolak.

Kaedah ini bertentangan sama sekali dengan Syarak. Dalam Islam, seseorang itu hanya dianggap layak untuk menjadi pemimpin sekiranya dia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan Syarak. Sama ada dia disokong majoriti atau tidak bukan kayu ukurnya. Begitu juga dalam menetapkan mana-mana undang-undang. Ia perlu dikembalikan kepada Syarak dan bukan undi majoriti.

Keburukan Ketiga: Menzahirkan seolah-olah Syariat Islam Tidak Sempurna

Perbuatan mereka yang mengamalkan demokrasi secara sedar atau tidak menampakkan seolah-seolah Syariat Islam belum sempurna.

Kerana apa yang pasti kaedah demokrasi dan pilihanraya yang diadakan bukan daripada Islam. Tetapi mereka yang menerima demokrasi dan mengajak orang lain untuk turut serta menerimanya, mereka ini seolah-olah beranggapan bahawa masih ada lagi perkara-perkara baik yang tidak diajar oleh Islam.

Sungguh apa yang diajar Agama sudah mencukupi. Ia juga mencakupi semua urusan dunia yang perlu diketahui oleh seseorang muslim bagi menjamin kejayaannya di Akhirat kelak.

Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

﴿الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ اْلإِسْلاَمَ دِينًاŠ﴾

“Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu Agama kamu, Aku telah cukupkan nikmatKu kepadamu, dan Aku telah meredai Islam itu menjadi Agama untuk kamu” (Al-Maa’idah, 5: 3).

Keburukan Keempat: Mengambil Mudah Prinsip Wala’ dan Bara’

Keimanan yang ada pada seorang muslim sepatutnya menjurusnya kepada menyokong dan membantu apa yang diredai Allah (Wala’) serta menolak dan berlepas diri daripada apa yang dimurkai Allah (Bara’).

Hal ini berlainan dalam demokrasi. Maslahat individu atau parti mendahului segala-galanya. Apa yang dilihat baik untuk diri atau parti akan didahulukan walaupun dengan menggadaikan Agama. Manakala apa yang tidak baik untuk diri atau parti akan ditolak dan diperangi walaupun ia sebahagian daripada Agama – wal i’yazubilah.

Keburukan Kelima: Tunduk Kepada Perlembagaan Sekular

Sungguh menghairankan. Sudah diketahui umum bahawa tidak ada mana-mana parti Islam yang menyertai politik demokrasi kafir Barat melainkan mereka perlu terlebih dahulu bersetuju dengan semua undang-undang dan syarat-syarat yang diletakkan termasuklah terma-terma demokrasi yang bercanggah dengan Islam.

Islam apakah yang mereka ingin bawa kalau sekiranya di awal-awal lagi mereka sudah menerima terma-terma yang bertentangan dengan Syarak?

Islam apakah yang kita dapat harapkan daripada mereka kalau mereka sendiri sudah bersetuju untuk tunduk dan patuh kepada sistem kufur ini?

Apa yang lebih menghairankan, walaupun menerima sistem demokrasi sekular ini, mereka dalam masa yang sama melaung-laungkan penolakan mereka terhadap pemerintah kerana mengamalkan sekular.

Keburukan Keenam: Mengelirukan Umat Islam

Mereka yang melaungkan Islam serta melaungkan mahu berhukum dengan Syariat Islam tetapi dalam masa yang sama menyertai demokrasi sekular Barat jelas bukan sahaja berdusta kepada diri mereka tetapi juga masyarakat awam Umat Islam.

Akibatnya ramai yang tertipu dengan laungan-laungan mereka ini. Walhal, mereka ini jelas telah mempergunakan Agama untuk kepentingan diri dan parti semata-mata. Apa yang mereka lakukan tidak memberi manfaat sedikit pun kepada Agama. Masakan mereka dapat menegakkan Agama Islam dalam keadaan mereka berdiri di atas sistem taghut yang direka cipta oleh musuh-musuh Islam yang ingin mengahancurkan Islam.

Yang menerima nasib malangnya adalah masyarakat awam yang ikhlas mahukan Islam tetapi terpedaya dengan slogan-slogan parti Islam ini yang kononnya memperjuangkan Islam.

Keburukan Ketujuh: Menampakkan Seolah-olah Demokrasi Itu Islam

Ada yang berterus-terang mengatakan bahawa demokrasi itu selari dengan Islam dan kalau bukan semuanya, paling tidak sebahagiannya.

Kenyataan sebegini sebenarnya sudah cukup untuk menunjukkan kejahilan mereka tentang Islam. Bagi mereka apa sahaja yang dilihat baik menurut akal fikiran mereka tentu ia daripada Islam.

Sama sekali tidak. Islam itu bukan apa yang dinilai baik oleh akal. Sebaliknya Islam adalah apa yang terkandung dalam Al-Quran dan Sunnah. Selain daripada itu, ia bukan Islam dan sama sekali bukan baik. Kalau benar ia baik pasti ia telah diajar oleh Agama.

Bukti demokrasi tidak diajar dalam Agama sepatutnya sudah cukup untuk menunjukkan bahawa ia tidak baik. Apatah lagi kalau keburukan-keburukannya sudah jelas.  Apakah ia masih boleh dianggap sebagai sebahagian daripada Islam?

Keburukan Kelapan: Demokrasi hanya Memberi Manfaat Kepada Orang Kafir

Masakan produk demokrasi yang datang daripada orang kafir Barat bertujuan untuk memberi kebaikan dan kekuatan kepada Umat Islam.

Kita katakan sekiranya ia memberi manfaat, pasti ia telah diajar oleh Agama. Lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan urusan yang begitu besar dan penting seperti mentadbir negara dan mengurus hal-ehwal Agama dan Umat Islam.

Apakah kita sudah lupa ketentuan serta penjelasan Allah dalam firmanNya:

﴿وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ﴾

“Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani sama sekali tidak akan reda kepada kamu melainkan setelah kamu mengikut Agama mereka” (Al-Baqarah, 2: 120).

Betapa mudahnya kita tertipu dengan slogan yang dilaungkan oleh orang kafir Barat apabila kita meninggalkan petunjuk Al-Quran dan Sunnah.

Keburukan Kesembilan: Menyelisihi Cara Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam Berdakwah

Kalau ada yang mendakwa bahawa demokrasi adalah sebahagian daripada tuntutan politik zaman sekarang, kita katakan: ya, benar. Demokrasi sememangnya menjadi sebahagian daripada politik sekular Barat. Tetapi apa yang pasti ia bukan sebahagian daripada politik Islam yang diajar oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.

Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam sepanjang 13 tahun berada di Mekah, walaupun dalam keadaan yang lemah dan tertekan Baginda tidak sedikit pun menggadaikan prinsip Agama dan tunduk kepada sistem kafir masyarakat Jahiliah Arab. Sebaliknya Baginda terus teguh menjaga kemuliaan Agama serta bersabar berdepan dengan cabaran dan rintangan yang datang.

Bagaimana kita mahu mengharapkan kemenangan sekiranya prinsip-prinsip Agama kita gadaikan? Walhal Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ﴾

“Wahai orang yang beriman, sekiranya kamu membela Agama Allah nescaya Allah akan membela kamu” (Muhammad, 47: 7).

Tidak hairanlah mengapa Umat Islam terus dihina dan ditindas oleh orang kafir. Masakan tidak, kerana Umat Islam telah menggadaikan Agama mereka dan menerima sistem taghut orang kafir.

Keburukan Kesepuluh: Pilihanraya Demokrasi Adalah Batil

Pilihanraya demokrasi sama sekali tidak sama dengan sistem pemilihan Syura Islam. Berbeza dengan pilihanraya demokrasi, anggota Syura yang bertanggungjawab melantik pemerintah hanya boleh dianggotai oleh orang-orang soleh yang mempunyai ilmu dan ketokohan dalam bidang masing-masing.

Sama sekali ia tidak  akan disertai oleh masyarakat awam yang jahil apatah lagi yang kafir mahupun pelaku-pelaku maksiat dan bidaah. Hal ini hanya berlaku dalam pilihanraya atau parlimen yang berdiri di atas sistem taghut demokrasi.

Keburukan ke-11: Memecah-belahkan Kesatuan Umat Islam

Tidak ada demokrasi tanpa kepartian dan tidak ada demokrasi tanpa kerajaan dan pembangkang. Hal ini jelas bercanggah dengan tuntutan Syarak supaya Umat Islam mengekalkan kesatuan mereka.

﴿وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا ﴾

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam), dan jangan kamu berpecah” ( Al-Imraan, 3: 103).

Bagaimana perkara yang sebegini jelas boleh dipandang mudah oleh parti-parti yang mengajak kepada Islam. Ini menunjukkan bahawa mereka tidak ikhlas memperjuangkan Islam. Kalau bukan kerana kejahilan ia adalah kerana sifat taksub yang telah menguasai mereka.

Keburukan ke-12: Meruntuhkan Semangat Persaudaraan Islam

Apabila sifat taksub kepada parti sudah menguasai diri, tentu sahaja semangat persaudara Islam sudah tidak lagi diambil kira. Sebaliknya apa yang penting adalah parti. Saudara seIslam yang tidak bersetuju dengan parti akan dimusuhi dan dianggap sebagai lawan. Akhirnya hanya kerana politik kepartian, hak-hak persaudaraan Islam seperti memberi/menjawab salam, melawat orang yang sakit, mengikuti jenazah dan menghadiri undangan dinafikan. Bahkan sehingga tidak mahu solat bersama, bercerai suami isteri dan tidak mengaku anak semata-mata kerana kepartian.

Jelas bahawa musuh Islam telah berjaya dalam matlamat mereka melemahkan Umat Islam serta mengucar-kacirkan mereka.

Keburukan ke-13: Melawan Pemerintah

Akibat kejahilan dan terpedaya dengan dakyah demokrasi, ramai Umat Islam tidak mengetahui bahawa Syarak mewajibkan supaya rakyat  taat kepada pemerintah Islam mereka walaupun pemerintah itu zalim dan melakukan maksiat.

Perkara ini jelas dinyatakan dalam sebuah hadis di mana Salamah bin Yazid Al-Ju’fi radhiyallahu ‘anhu bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan berkata: Wahai Nabi Allah, bagaimana sekiranya kami diperintah oleh pemerintah yang meminta hak mereka tetapi tidak memberi hak kami. Apa yang patut kami lakukan? Baginda berpaling daripadanya. Dia bertanya lagi, lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Hendaklah kamu dengar dan patuh, mereka akan memikul tanggungjawab mereka dan kamu akan memikul tanggungjawab kamu(Riwayat Muslim).

Dalam hadis lain Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Setelah pemergianku akan ada pemerintah yang tidak beramal dengan petunjukku mahupun dengan Sunnahku, dan akan ada di kalangan mereka lelaki yang hati mereka (seperti) hati syaitan dalam badan manusia.” Berkata Huzaifah radhiyallahu ‘anhu (perawi hadis): Saya bertanya: Apa yang perlu aku lakukan sekiranya aku berdepan dengannya? Sabda Baginda: “Engkau dengar dan patuh terhadap pemerintah walaupun dia memukul belakangmu dan mengambil hartamu. Kamu dengar dan patuh” (Riwayat Muslim).

Keburukan ke-14: Menurunkan Pemerintah Setelah Tamat Tempoh yang ditetapkan

Ini semua hasil daripada doktrinasi demokrasi yang menyatakan bahawa pemerintah sesebuah negara hanya layak untuk memerintah untuk tempoh 4-5 tahun sahaja. Setelah tamat tempoh itu, pemerintah tidak lagi dianggap sah dan pilihanraya perlu diadakan. Alasan mereka, tempoh pemerintahan perlu dihadkan bagi menghalang pemerintah menyeleweng kuasa dan menjadi kuku besi.

Dukacitanya, segelintir agamawan turut menjaja doktrin ini tanpa melihat sama ada ia selari dengan Syarak atau tidak.

Apa yang pasti, Syarak apabila menyatakan tentang kewajipan taat dan patuh kepada pemerintah ia tidak pula menetapkan tempoh yang tertentu buat ketaatan itu. Sebaliknya, selagi pemerintah memegang tampuk kuasa mereka perlu ditaati dalam perkara makruf. Adapun dalam perkara mungkar tidak kerana “Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam hal kemaksiatan terhadap Allah” (Sahih, Imam Ahmad).

Amalan para Khulafaa’ Al-Rasyidin radhiyallahu ‘anhum dan para khalifah Islam yang datang selepas mereka bertentangan dengan penetapan ini. Ini kerana sejarah Islam telah menunjukkan bahawa para khalifah Islam telah memerintah tanpa sebarang tempoh masa bahkan majoriti mereka telah memerintah sampai ke akhir hayat mereka. Ini jelas menunjukkan ijmak persepakatan Umat Islam dalam hal ini.

Keburukan ke-15: Wang dibazirkan untuk Perkara-Perkara yang Tidak Syarie

Perkara ini dapat dilihat ketika pilihanraya dijalankan di mana wang jutaan ringgit dikeluarkan untuknya di samping untuk tujuan berkempen, tampal poster, mengedar risalah-risalah politik dan seumpamanya.

Sangat menghairankan, ketika pembangkang menuduh kerajaan melakukan pembaziran serta penyelewengan dana, tidak ada pula kedengaran suara-suara ini ketika pilihanraya. Walhal, wang jutaan ringgit ini tentu sahaja lebih bermanfaat digunakan bagi membantu orang-orang susah, membina kemudahan-kemudahan awam dan seumpamanya daripada bertelagah berebut kuasa dan jawatan.

Keburukan ke-16: Pemerintah / Calon Pilihanraya Berusaha untuk Mendapat Restu Pengundi

Keredaan Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak lagi menjadi keutamaan sebaliknya restu pengundi itulah yang dicari. Akhirnya apa jua yang dilihat dapat menarik undi akan dilakukan walaupun ia bertentangan dengan Agama.

Kecenderungan ini turut dapat dilihat pada parti-parti Islam yang turut serta dalam demokrasi. Banyaklah aspek-aspek Agama digadaikan atau paling tidak disenyapkan kononnya atas alasan maslahat. Maslahat apakah yang dimaksudkan kalau Agama sudah digadaikan? Kejayaan bagaimana yang diharapkan kalau kemurkaan Allah telah diundang? Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ﴾

“Wahai orang yang beriman, sekiranya kamu membela Agama Allah nescaya Allah akan membela kamu” (Muhammad, 47: 7).

Keburukan ke-17: Masa disia-siakan untuk Politik, Berkempen dan seumpamanya

Seolah-olah ia menjadi matlamat hidup. Bermusuhan sesama saudara seIslam, mencari keaiban dan kelemahan lawan, memburuk-burukkan serta membuka aib, mengangkat dan memuji diri, menunjuk-nunjuk kebaikan-kebaikan yang dilakukan bahkan sehingga solat pun dilakukan di khalayak ramai agar dilihat alim dan soleh. Sungguh keji perilaku seperti ini.

Keburukan ke-18: Akidah Islam Tidak Dititik Beratkan

Dalam demokrasi, kekuatan sesebuah parti dilihat pada jumlah anggota yang ada atau jumlah undi yang dapat diperolehi. Oleh itu, kuantiti sentiasa menjadi keutamaan dan bukan kualiti. Apa jua latarbelakang ahli yang menyertai parti tidak penting. Apa yang penting adalah untuk mereka menyokong parti. Selain daripada itu tidak penting walaupun ia membabitkan aspek yang paling utama dalam Agama iaitu Akidah.

Maka tidak hairanlah kalau sesebuah parti itu walaupun ia mendakwa Islam tetapi ramai ahlinya mengamalkan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan Islam.

Bahkan seorang pemimpin parti Islam tanahair pernah berterus-terang mengatakan bahawa partinya tidak ada masalah untuk menerima orang-orang seperti Syiah dan Khawarij. Islam apakah yang mereka bawa? Syariat Islam bagaimana yang ingin ditegakkan kalau sekiranya perkara penting seperti Akidah pun mereka sanggup kompromi.

Apakah dengan cara ini kita akan dapat menegakkan sebuah negara Islam yang benar? Apakah dengan kita menggadaikan Akidah kita akan dapat memartabatkan hukum-hakam Syarak dalam negara? Jelas bahawa golongan seperti ini menggunakan Agama untuk sampai ke tampuk kuasa semata-mata.

Jangan terkejut kalau mereka berjaya memerintah, tidak akan ada apa-apa perubahan yang ketara ke arah Islam yang akan dapat dilihat. Ketika itu macam-macam alasan akan diberikan. Kononnya atas alasan maslahat dakwah, perkara lain yang lebih penting perlu didahulukan, masa tidak sesuai atau disalahkan sahaja pihak lain kerana menghalang dan sebagainya. Walhal hakikatnya, mereka tidak lebih daripada mahu menjaga peti undi agar sokongan kepada parti tidak berkurang.

Keburukan ke-19: Menabur Janji-Janji Palsu

Mana-mana parti yang menyertai demokrasi perlu sentiasa mencari sokongan daripada rakyat tidak kira dengan apa jua cara. Oleh kerana demokrasi berdiri di atas kebatilan tanpa mengira soal halal haram, akhirnya kebanyakan parti-parti politik cenderung untuk menggunakan kaedah orang kafir Yahudi yang menyatakan bahawa ‘Matlamat Menghalalkan Cara’.

Maka matlamatnya adalah untuk meraih sokongan pengundi. Apa jua cara yang dapat digunakan untuk merealisasikan matlamat ini akan dilakukan termasuklah dengan menaburkan janji-janji palsu yang mereka tahu adalah mustahil untuk dikotakan.

Dukacitanya parti-parti Islam turut terpalit dengan sifat ini. Bagi meraih sokongan masyarakat Islam mereka menjanjikan kononnya akan menegakkan Syariat Islam serta hukum-hakam Islam seperti hudud dan seumpamanya.

Apa yang pasti, bak kata pepatah Arab, ‘Orang yang tidak memiliki tidak akan mampu memberi’. Orang Islam sewajarnya tidak mudah tertipu dan terpedaya dengan janji-janji manis seperti ini. Mereka sepatutnya melihat lebih jauh daripada itu dan mengkaji  sejauh manakah parti-parti ini mampu untuk menunaikan apa yang mereka janjikan.

Sebagai contohnya, mereka berjanji untuk menegakkan Syariat Islam dan hukum-hakam Islam. Hal ini tentu menggembirakan setiap seorang muslim. Tetapi bagaimana mungkin mereka akan dapat menunaikan janji ini kalau sekiranya majoriti barisan kepimpinan parti mereka tidak terdiri daripada golongan ulama.

Bahkan agamawan yang bersama mereka tidak lebih daripada orang-orang politik yang berjubah dan berserban atau golongan agama populis yang kuliah-kuliah mereka lebih kepada gelak-ketawa kalau bukan mencaci maki lawan politik mereka. Adapun ilmu Agama yang sebenar yang berteraskan Al-Quran dan Hadis hampir tidak diajar di kalangan mereka. Sehingga bilakah kita mahu terus tertipu? Wallahul musta’an.

Keburukan ke-20: Memberi Pujian kepada Demokrasi

Sungguh malang apabila bukan sahaja golongan liberal dan sekular memuji demokrasi  bahkan terdapat segelintir agamawan turut menjaja kelebihan dan kebaikan yang kononnya ada pada sistem taghut ini.

Apabila hukum Syarak ditegakkan kepada mereka, mereka dengan mudah mengetepikannya dengan syubhat-syubhat yang ada pada demokrasi. Maka dikatakan kepada mereka:

﴿أَتَسْتَبْدِلُونَ الَّذِي هُوَ أَدْنَى بِالَّذِي هُوَ خَيْرٌ﴾

“Apakah kamu mahu memilih yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik?” (Al-Baqarah, 2: 61).

Bukankah kita diperintahkan supaya meninggalkan hukum-hakam jahiliah dan sentiasa berhukum dengan hukum Syarak dalam sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besarnya? Kita juga mengatakan kepada mereka:

﴿أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ﴾

“Apakah hukum Jahiliah yang mereka inginkan? Dan siapakah yang lebih baik hukumnya daripada Allah bagi mereka yang berkeyakinan?” (Al-Maa’idah, 5: 50).

Kesimpulan

Apa yang disenaraikan di sini hanya sebahagian sahaja daripada keburukan-keburukan demokrasi. Ia sebagai peringatan kepada Umat Islam, khususnya buat mereka yang cintakan Agama dan mahu melihat Syariat Islam dimartabatkan bahawasanya kebatilan demokrasi tidak mungkin akan dapat dijadikan sebagai alat atau cara untuk  memperkasakan Syariat Allah.

Dalam kita berusaha ke arah kejayaan Islam, seperti mana niat kita perlu diperbetulkan dengan kita ikhlas dan mengharapkan keredaan Allah, cara yang digunakan juga perlu betul. Hendaklah dipastikan bahawa cara kita juga benar dan selari dengan cara Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Ini kerana Baginda menjadi contoh teladan buat kita. Seperti mana yang Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam lakukan sepanjang berada di Mekah, dakwah kita perlu fokus ke arah memantapkan akidah serta tauhid khususnya dalam mengesakan Allah dalam ibadah di samping menjauhi segala bentuk syirik dan kufur. Hanya apabila asas Akidah kita benar dan utuh barulah aspek-aspek Agama yang lain akan dapat diterapkan. Akhirnya, dengan izin Allah barulah kita akan dapat merealisasikan kejayaan buat Syariat Islam.

وَصلَّى الله عَلى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّم

Kajang, 30 April 2013

Idrissulaiman@yahoo.com, 012-3860471