AGAR CINTA KEPADA NABI TIDAK BERTEPUK SEBELAH TANGAN

Ustaz Idris bin Sulaiman

554784_443086005735383_1139853485_n

Apakah yang dimaksudkan dengan cinta? Imam Ibnul Qayyim rahimahullah dalam kitabnya yang agung berjudul Madariku Al-Salikin ketika hendak menjelaskan maksud cinta mengatakan bahawa cinta adalah istilah yang tidak dapat ditetapkan maksudnya secara tepat.

Ini kerana apa juga usaha untuk menetapkan maksudnya dengan batas tertentu, ia akan lebih menjauhkan maksudnya untuk kita fahami hakikat cinta. Maka cinta tidak dapat didefinisikan melainkan dengan perkataan cinta itu sendiri.

Adapun pendapat-pendapat manusia tentang cinta, ia tidak lebih dari hal-hal yang berkisar tentangnya; iaitu sebab-sebabnya, tuntutan dan syarat kepada cinta, tanda-tanda, hasil dan hukum hakam yang berkait dengannya.

Dalam agama, cinta adalah sebahagian ibadah. Ini kerana ibadah tidak lari dari tiga perkara; 1. Ibadah anggota (perbuatan), 2. Ibadah ucapan, 3. Ibadah jiwa/hati. Cinta termasuk dalam kategori ketiga.

PEMBAHAGIAN CINTA DARI PANDANGAN AGAMA

  1. Cinta kepada Allah SWT.

Iaitu dengan menghambakan diri, mengagung serta membesarkan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Jenis cinta ini menjadi asas iman kepada Allah. Ia menjadi dasar dalam mentauhidkan Allah dalam ibadah serta menjauhi perkara syirik.

Tidaklah orang-orang musyrikin menyembah selain Allah, melainkan kerana bermula dengan cinta kepada selain Allah. Cinta dengan ertikata mereka condong kepada selain Allah, memperbesarkannya, serta memuliakan selain Allah. Ia bermula dengan cinta.

Cinta yang teragung dan tertinggi serta menjadi asas iman adalah cinta kepada ALLAH, yang hasilnya seseorang akan mengesakan ALLAH dalam seluruh amal ibadahnya.

  1. Cinta kerana Allah.

Iaitu cinta kepada selain Allah, dengan sebab dan tujuan kerana Allah. Misalnya mencintai tempat, masa, amalan atau individu kerana Allah SWT. Sekiranya cinta itu kerana Allah, serta benar caranya, maka itu juga termasuk ibadah.

Cinta kepada Nabi sallallahu’alaihiwasallam termasuk dalam kategori ini. Namun ia mesti dikaitkan dengan cinta yang pertama, iaitu cinta secara ikhlas (kerana Allah) kerana hal itu adalah tuntutan daripada Allah SWT.

Ini sebagaimana disebutkan dalam perintah Allah SWT, “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Sekiranya kamu mencintai Allah, hendaklah kamu mengikut aku, nescaya Allah akan mencintai kamu.” (Ali Imran: 31)

Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang cintakan Allah dituntut supaya ittiba’ (mengikuti sunnah) Nabi sallallahu’alaihiwasallam.

  1. Cinta yang fitrah.

Iaitu sepertimana cinta ibu kepada anak, cinta kepada makanan atau minuman tertentu, cinta kepada tempat. Ini termasuk dalam kategori cinta yang mubah (dibolehkan).

TUNTUTAN KEPADA CINTA NABI

Apabila kita mencintai Nabi, apakah ia cukup sekadar melafazkannya dengan lidah? Atau adakah kita perlu melakukan sesuatu seperti menganjurkan perayaan maulid, konsert untuk memuji Nabi? Apakah ini caranya?

Kecintaan kepada Nabi sallallahu’alaihiwasallam hakikatnya menuntut kita supaya kita ‘ikut’ sunnah Nabi sallallahu’alaihiwasallam. Ini seperti mana yang disebut dalam firman ALLAH tadi. Maka kalau seseorang itu mendakwa cinta kepada Nabi tetapi amalannya bercanggah dengan apa yang Nabi cintai, maka sebanyak mana dia mengingkari sunnah Nabi maka sebanyak itulah cintanya kepada Nabi akan berkurang atau tidak sempurna.

Masakan seseorang itu mencintai sedangkan dia tidak mengikuti orang yang dia cintai? Bagaimana kita cinta seseorang tetapi kita melakukan suatu yang bercanggah dengan kesukaannya? Sungguh kecintaan seperti ini adalah sia-sia.

Ini kerana Allah mensyaratkan: “Jika kamu cinta kepada Allah, hendaklah kamu mengikuti aku (sunnah Nabi Muhammad sallallahu’alaihiwasallam), nescaya ALLAH akan mencintai kamu.” (Ali Imran: 31)

Cinta kepada Allah menuntut supaya kita mengikut sunnah Nabi sallallahu’alaihiwasallam dan hasilnya “nescaya Allah akan mencintai kamu.”

CINTA YANG BERBALAS

Cinta yang berfaedah adalah cinta yang berbalas, bukan cinta yang bertepuk sebelah tangan. Kalau kita sahaja yang cinta, tetapi yang dicintai tidak mencintai kita, itu tidak ada faedahnya. Begitulah cinta yang benar kepada Allah; kita perlu mengikuti sunnah Nabi sallallahu’alaihiwasallam agar ALLAH mencintai kita.

Hakikatnya, yang perlu kita fokus adalah untuk meraih cinta ALLAH kepada kita, dengan memenuhi syarat yang ALLAH tetapkan. Sekadar dakwaan bahawa kita cinta kepada ALLAH tetapi Allah tidak cinta kita, itu perbuatan yang serugi-ruginya.

Pepatah inggeris mengatakan ‘Talk is cheap’. Semua orang boleh mengaku cinta. Tetapi yang lebih susah adalah hendak membuktikan. Jadi bagaimana supaya Allah cinta kita? Kembali kepada ayat tadi; hendaklah kamu mengikuti sunnah Nabi sallallahu’alaihiwasallam Maka foKus kita yang sepatutnya adalah ittiba’ (mengikuti sunnah) Nabi sallallahu’alaihiwasallam.

APA ITU SUNNAH?

Imam Ahmad rhm. Dalam kitabnya Usul Al-Sunnah berkata, “Sunnah di sisi kami adalah apa yang telah ditinggalkan (diwariskan) oleh Rasulullah sallallahu’alaihiwasallam.”

Sunnah Nabi ada tiga bentuk; 1. Perkataan Nabi, 2. Perbuatan Nabi, 3. Iqrar (perakuan) Nabi. Kita sudah maklum sunnah perkataan dan perbuatan. Namun yang sangat penting untuk dihayati adalah sunnah perakuan Nabi sallallahu’alaihiwasallam kerana ramai yang tidak memahaminya.

Perakuan Nabi bererti Nabi tidak melakukan, dan tidak berkata apa-apa tentangnya. Sebaliknya Nabi membiarkan apa yang dilakukan pada zaman Baginda atau diam terhadap perbuatan yang dilakukan oleh sahabah.

PERBUATAN SAHABAT YANG DIAKUI NABI TERMASUK SUNNAH

Ramai orang salah faham dengan menganggap perbuatan para sahabat tidak perlu diikut. Tetapi sebenarnya perbuatan para sahabat secara kolektif pada zaman Nabi juga termasuk sunnah (sunnah iqrar) iaitu Nabi mengetahui para sahabat melakukannya dan Nabi memperakuinya.

Ini kerana di antara sifat Nabi adalah Baginda tidak akan diam bila melihat kesalahan dan tidak akan melambatkan teguran. Apabila melihat kesalahan, Baginda akan untuk terus menegur dan memperbetulkannya pada ketika itu juga kerana itu adalah tanggungjawab baginda.

Jadi apabila Baginda mengetahui para sahabat melakukan sesuatu dan Baginda diam tidak membantah, ini menjadi perakuan Nabi terhadap hal tersebut. Maka perbuatan para sahabat termasuk dalam sunnah walaupun ia tidak pernah dilakukan oleh Nabi sallallahu’alaihiwasallam.

Sebagai contoh, sepanjang hidup Nabi sallallahu’alaihiwasallam bersama para sahabat, mereka tidak pernah menyambut hari lahir Nabi sallallahu’alaihiwasallam, dan hal ini diketahui oleh Nabi. Perbuatan tidak menyambut itu diperakui oleh Baginda. Nabi tidak pernah mengingkarinya kepada Abu Bakar kenapa dia tidak menyambut hari lahir Baginda sedangkan Abu Bakar adalah sahabat yang paling rapat dengan Baginda.

Apabila perbuatan para sahabat itu diperakui oleh Nabi, maka sunnahnya adalah supaya kita jangan juga melakukannya. Ini termasuk dalam Sunnah Tarkiyyah (sunnah yang menuntut supaya kita meninggalkan sesuatu) kerana Nabi dan para sahabat tidak melakukannya.

Maka apabila kita meninggalkan perbuatan yang ditinggalkan oleh Nabi dan sahabah, di situ kita telah mengikuti sunnah (beramal dengan sunnah al-tarkiyyah), dan hasilnya kita mendapat keredhaan dan cinta dari Allah SWT.