JAGALAH ALLAH, ALLAH AKAN MENJAGAMU

Abu Omar, Idris bin Sulaiman

jagalah allah, allah menjagamuMengenangkan apa yang telah berlaku di tempat ini (Lahad Datu) baru-baru ini, saya berbesar hati untuk mengingatkan para ikhwah tentang firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ

“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadah kepada-Ku.” (Surah Adz-Dzaariyaat, 51: 56)

Apa yang disebutkan oleh Allah di dalam ayat Al-Quran itu adalah tentang satu-satunya tujuan hidup kita di dunia ini. Sesungguhnya kita hidup di dunia ini bukan semata-mata untuk makan, minum dan tidur, tetapi satu-satunya tujuan hidup kita di dunia ini hanya untuk memenuhi satu tujuan dan satu matlamat iaitu menyembah akan Allah, Tuhan sekalian alam.

Ini kerana, Allah, Dialah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah seperti mana yang terkandung di dalam ucapan tauhid ataupun ucapan syahadah kita; La Ilaaha illa Allah (Tiada Tuhan kecuali Allah). Atau yang diertikatakan sebagai, Tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Apa yang dimaksudkan dengan Laa Ilaaha illa Allah bererti segala urusan ibadah kita seperti solat yang kita baru kerjakan sebentar tadi dan juga ibadah-ibadah lain seperti berpuasa, bersedekah, membaca Al-Quran, berdoa, berzikir, memohon, menyeru, bergantung, atau apa juga ibadah; tiada yang berhak untuk kita lakukan ibadah-ibadah ini kecuali kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Maka hanya kepada Allah kita beribadah dan dalam masa yang sama kita harus menjauhi segala bentuk-bentuk perkara yang bertentangan dengan ucapan Laa Ilaaha illa Allah. Kita harus menjauhi segala perbuatan-perbuatan yang menyalahi ucapan Laa Ilaaha illa Allah, dalam erti kata hanya kepada Allah kita beribadah.

Adapun sembahan-sembahan yang lain harus kita jauhi dan kita tinggalkan. Ini kerana perbuatan-perbuatan sedemikian adalah bertentangan dengan ucapan Laa Ilaaha illa Allah. Maka kalau sekiranya kita solat kepada selain daripada Allah, kita telah meruntuhkan dan merosakkan ucapan Laa Ilaaha illa Allah, kerana kita telah beribadah kepada selain daripada Allah.

Begitu juga dengan urusan ibadah yang lain; kalau kita ingin memohon, berdoa, meminta bantuan, menyeru, jangan kita seru kecuali kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Seperti mana di dalam Al-Quran, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

“Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu.” (Surah Ghafir/Al-Mukmin: 60)

Dengan ini kita ingin menekankan tentang betapa perlunya kita, khususnya dalam kita berdepan dengan musibah dan ujian, malah bukan sahaja dalam keadaan musibah, tetapi seperti mana dalam keadaan kita senang, apatah lagi dalam keadaan kita susah, hendaklah kita serahkan urusan dan takdir kita kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Tiada yang mampu mengangkat musibah kita, tiada yang mampu menolong kita kecuali Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana Dia adalah Tuhan sekalian alam yang telah menciptakan langit dan bumi, dan segala urusan tadbir di dalam dunia ini adalah di bawah kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Tiada Tuhan yang lain, tiada kuasa yang lain melainkan kuasa Allah mengatasi segala-galanya.

Kerana itu seperti mana sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengatakan,

اِحْفَظِ اللهَ يَحْفَظْكَ

“Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu.”

Jagalah hubungan kita dengan Allah. Dalam erti kata, dalam urusan ibadah hanya kita berikan kepada yang selayaknya iaitu Allah. Kemudian Rasulullah mengatakan kalau kita menjaga hubungan kita dengan Allah, Allah akan menjaga hubungan Dia dengan kita. Lalu Rasulullah mengatakan,

إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللهَ ، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَـعِنْ بِاللهِ

“Jika kamu memohon, maka pohonlah pada Allah. Dan jika kamu meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan daripada Allah.”

Kalau kita mahu memohon, kalau kita mahu mendapatkan bantuan dan pertolongan dalam kita berdepan dengan kesulitan dan musibah seperti mana yang sedang dialami dan dirasai oleh tuan-tuan sekalian, Rasulullah mengatakan; mohonlah daripada Allah. Dan kalau kita mahu meminta pertolongan, mintalah pertolongan daripada Allah.

Lalu Rasullah mengatakan (dalam hadis yang sama),

وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوِاجْتَمَعَتْ عَلىَ أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ ؛ لَمْ يَنْفَعُوْكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللهُ لَكَ، وَ إِنِ اجْتَمَعُوْا عَلَى أَنْ يَضُرُّوْكَ بِشَيْءٍ ؛ لَمْ يَضُرُّوْكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللهُ عَلَيْكَ

“Dan ketahuilah, kalau sekiranya semua manusia di permukaan bumi ini berkumpul untuk memberikan kamu satu manfaat, mereka tidak akan dapat memberikanmu manfaat itu melainkan dengan sesuatu yang Allah tetapkan bagimu. Dan sekiranya semua manusia berkumpul untuk memberikanmu satu mudarat, mereka tidak akan dapat memudaratkanmu kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan ke atasmu.”

Maka akhirnya apa yang dapat kita katakan, dalam keadaan kita berdepan dengan musibah, perkara yang wajib kita lakukan dalam keadaan seperti itu adalah hendaklah kita bersabar. Ini adalah kewajipan dalam kita berdepan dengan musibah.

Orang kaya dan orang senang, ada ujian yang Allah timpakan, seperti mana orang yang susah, ada ujian yang Allah timpakan. Orang senang Allah uji dengan kesenangan, banyak wang ringgit dan seumpamanya. Ujian mereka adalah untuk bersyukur kepada Allah atas kenikmatan yang Allah berikan. Adapun orang yang susah dan yang ditimpakan musibah, Allah uji dalam bentuk yang lain iaitu dengan musibah yang ditimpakan itu dan menjadi kewajipan atas mereka untuk bersabar. Orang senang wajib bersyukur, orang susah wajib bersabar.

Cuma apa yang hendak kita katakan, dalam kita bersabar, ada yang lebih mulia dan lebih tinggi daripada itu; iaitu untuk kita redha dengan apa yang Allah timpakan ke atas kita.

Jangan sekali-kali kita persoalkan kenapa Allah timpakan ujian yang seperti ini. Apa yang pasti, ada hikmah di sebaliknya. Barangkali cuma sama ada kita boleh nampak hikmah itu ataupun tidak. Apa yang pasti, Allah ingin menguji kita, sama ada kita tergolong di kalangan orang yang sabar ataupun tidak.

Maka sekiranya kita sabar, apatah lagi kalau kita redha dengan ujian yang ditimpakan ke atas kita, kita akan tergolong di kalangan orang yang berjaya bukan sahaja di Dunia bahkan lebih penting lagi di Akhirat kelak. Di Akhirat kelak, Allah akan membalas kesabaran dan keredhaan kita dengan balasan yang setinggi-tinggi Syurga Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Dalam masa yang sama kita mengatakan bahawa dalam kita bersabar dan redha, ada peringkat yang lebih tinggi dan paling mulia iaitu kita bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kita bersyukur dengan apa yang Allah telah berikan kepada kita. Allah uji, paling tidak kita mengatakan ada orang yang Allah uji lebih dahsyat daripada kita. Kerana itu kita bersyukur.

Paling tidak kita bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan untuk kita terus dapat hidup. Kerana apa yang pasti ada orang lain yang jauh lebih susah daripada kita. Apa yang Allah uji adalah sebahagian sahaja daripada apa yang Allah timpakan ke atas kita. Maka kita bersabar, kita redha dan yang paling tinggi adalah kita bersyukur di samping mengharapkan keredhaan Allah, pahala daripada Allah, moga-moga kita tergolong di kalangan orang Islam yang berjaya bukan sahaja di Dunia dan juga lebih penting lagi di Akhirat.

Moga-moga kita semua tergolong di dalam golongan yang bersyukur apabila diberikan kesenangan dan bersabar apabila ditimpa kesusahan. Moga-moga kita berjaya di dunia dan Akhirat dan apa yang lebih penting, kita tergolong di dalam golongan ahli Syurga Allah di Akhirat kelak.

Satu perkara yang ingin saya tekankan adalah tentang kewajipan apabila berdepan dengan kesusahan dan musibah, iaitu perlunya kita serahkan diri kita kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ini kerana hanya Dia yang mampu membantu kita meringankan kesusahan kita, dan memudahkan musibah yang telah menimpa kita.

Maka jangan sekali-kali kita serahkan kepada mana-mana makhluk yang kita percaya bahawa dia ada kuasa-kuasa tertentu. Itu sama sekali tidak benar, itu adalah dusta. Bahkan itu menyalahi ucapan kita Laa Ilaaha illa Allah.

Sekiranya kita percaya kepada kuasa-kuasa yang lain di alam ini, kita percaya bahawa mereka ini mampu membantu kita, kita percaya kepada ahli kubur yang tertentu, kita percaya si fulan yang telah mati mempunyai kuasa-kuasa tertentu, itu jelas tidak benar. Itu jelas bercanggah dengan ucapan Laa Ilaaha illa Allah.

Maka jangan sekali-kali kita pergi ke perkuburan untuk meminta bantuan. Jangan sekali-kali kita menyeru roh-roh nenek moyang kita ataupun seumpamanya. Jangan sekali-kali kita percaya dengan kuasa-kuasa di mana-mana; di lautan, di langit ataupun di hutan dan sebagainya. Itu sama sekali tidak benar bahkan bercanggah dengan kepercayaan kita kepada kuasa Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kerana apa yang pasti, tiada kuasa yang akan dapat mengatasi kuasa Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Maka mengapa perlu untuk kita menyeru kepada selain daripada Allah, kalau Allah menyuruh supaya kita berdoa, memohon, meminta daripadaNya. Bahkan Allah menjanjikan, kalau kita memohon daripada Allah, Allah akan memperkenankan doa kita.

Tetapi kalau kita memohon daripada selain Allah, adakah Allah akan membantu kita? Tidak. Sama sekali tidak. Bahkan Allah akan serahkan urusan kita kepada siapa yang kita mohon. Kalau orang itu orang yang telah mati dan kita mohon daripadanya, Allah akan serahkan urusan kita kepada orang yang telah mati. Dan apa yang pasti, orang yang mati sudah pergi ke Alam Barzakh, dan dia tidak akan mampu untuk membantu kita.

Mudah-mudahan apa yang disampaikan dapat diambil pemahaman dan pengajaran daripadanya. Moga-moga kita tergolong di dalam golongan yang berjaya di Dunia dan Akhirat dan tergolong di kalangan ahli Syurga.

Wassalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

وَصلَّى الله عَلى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّم

Lahad Datu, 22 April 2013

(Teks disalin dari rakaman tazkirah berikut: http://www.youtube.com/watch?v=qZ5OgfEnByk )