BERSIHKAN TELINGA & LIDAH DARI MUZIK. TARBIAH IA DENGAN AL-QURAN & ZIKRULLAH UNTUK PENGAKHIRAN HIDUP YANG BAIK

Ustaz Abu Omar, Idris bin Sulaiman

(Disalin dari rakaman sesi soal jawab, kuliah Riyadhus Solihin, 26.04.2013. Minit ke-00:57:00 – 01:04:35)

muzikTelinga boleh beribadah? Jawapannya boleh. Orang yang mendengar bacaan Al-Quran, mendengar kuliah-kuliah yang bagus (bukan kuliah ahli bid’ah), mendengar kuliah ahli sunnah, mendengar ilmu yang bermanfaat, ini adalah ibadah telinga.

Kerana seperti mana telinga boleh digunakan untuk maksiat, telinga juga tentu sahaja boleh digunakan untuk ibadah.

Bagaimana telinga digunakan untuk maksiat? Antaranya dengan mendengar muzik-muzik, alunan-alunan Syaitan, peralatan-peralatan Syaitan. Walaupun dalam bentuk Nasyid.

Tidak ada istilah muzik Islam. Itu kontradik. Ada namanya Syaitan Islam? Seperti mana tidak ada Syaitan Islam, begitu juga tidak ada muzik Islam.

Muzik ini adalah alunan Syaitan. Lahwal Hadits. Kata-kata yang paling tidaknya lagha, melalaikan kita. Walaupun Nasyid.

(Catatan: Lahwal hadits –seperti yang disebut dalam Surah Luqman, ayat 6- menurut bahasa bererti perkataan yang tidak berguna. Sahabat Nabi sallallahu’alaihiwasallam dan para Ulama salaf mentafsirkannya sebagai nyanyian).

Orang yang mendengar Nasyid ini adakah bertambah imannya? Subhanallah. Kita boleh buat kajian; bagi siapa yang berdepan dengan musibah ini, di samping mendengar nasyid-nasyid yang anda namakan nasyid Islam, dalam masa yang sama cuba anda hafal Al-Quran.

Bolehkah anda menghafal Al-Quran dalam masa yang sama anda mendengar muzik ataupun nasyid? Lihatlah mana yang bertahan.

Apa yang pasti, ia tidak boleh bertahan bersama. Seperti mana orang yang lalai minum arak, dia tidak akan dapat menjaga solatnya. Adakah orang yang jaga solat tetapi dalam masa yang sama dia minum arak juga? Ini kontradik namanya.

Orang yang buat maksiat, adakah dalam masa yang sama dia boleh menjaga amal ibadahnya? Tidak ada. Tidak boleh. Mesti salah satu. Seperti mana akhirnya sama ada kita masuk Syurga atau masuk Neraka. Tidak ada orang yang masuk Syurga dan Neraka 50-50. Maka begitu juga ia sama ada Al-Quran dan berzikir, atau benda-benda haram termasuklah nasyid yang ditempelkan nama Islam.

Nasyid ini makin lama makin canggih. Sungguh mengkhayalkan, kadang-kadang sehingga naik bulu roma, tetapi bila lama-lama kita dengar, kita rasa sedap juga. Maka apabila kita dengar sahaja, terus tutup. Jangan dilama-lamakan, kerana takut ia masuk ke dalam hati dan lama kelamaan mulut kita pun bergerak-gerak.

Ada masyaikh kata ia masalah lidah. Kita boleh semak diri kita, tidak payah tengok orang lain. Apabila kita ada masa lapang, masa kosong, ketika bersendirian, tengah naik kereta, pergi kerja, balik kerja, kita lihat lidah kita buat apa. Adakah kita membaca Al-Quran, adakah kita berzikir, berselawat, ataupun apa yang kita buat?

Bagi mereka yang mendengar muzik-muzik, mendengar nasyid-nasyid yang mereka katakan Islam ini, kita khuwatir bahawa biasanya orang yang mendengar muzik, adakah dia sekadar mendengar sahaja? Tidak.. Muzik itu masuk melalui telinga dan kemudian pergi ke hati. Kemudian ia akan naik balik. Dia kena muntahkan juga, iaitu dengan dia menyanyikan semula apa yang dia dengar.

Dia akan menyanyi, sebab muzik itu sudah terpahat dalam hatinya. Dia hendak simpan dalam hati sahaja tidak boleh. Dia kena keluarkan juga. Dia kena zahirkan juga. Kerana itu jadi menyanyi.

Ada kah orang yang mendengar muzik kemudian dia tidak nyanyi? Simpan sahaja? Tidak ada.

Seperti mana kalau hati kita penuh dengan iman, adakah ia akan tersimpan sahaja? Tidak, ia akan dizahirkan; dengan ibadah, solat, bacaan Al-Quran. Tanda-tanda iman itu akan zahir. Tidak ada istilah iman dalam hati, di luarnya maksiat.

Begitu juga dalam perbuatan-perbuatan maksiat. Kalau seseorang itu hatinya penuh dengan maksiat, mendengar muzik dan sebagainya, ia akan keluar juga. Sama ada dia terlalak-lalak di dalam bilik air, ataupun ketika dia naik kereta dia menyanyi.

Saya masih ingat masyaikh menceritakan tentang satu peristiwa, di mana berlaku kemalangan pada seorang pemuda. Kemalangan itu sangat dahsyat, kereta hingga terbalik. Seperti yang kita tahu, pemuda-pemuda yang lalai hatinya dan jiwanya, biasanya naik kereta apa yang mereka buat? Jika kita lihat masyarakat kita sama sahaja. Apa yang dia buat adalah dia mendengar qasidah dia itu, zikir-zikir syaitan dia, iaitu muzik.

Ditakdirkan bahawa pemuda ini terkena kemalangan, keretanya terbalik-terbalik, sampai dia pun tercampak. Orang-orang di sekeliling datang hendak membantunya, tetapi ternyata dia berada dalam saat-saat terakhir hidupnya, tetapi mulutnya sedang terkumat kamit.

Tetapi ternyata dia bukan terkumat kamit zikir Allah atau menyebutkan La Ilaha illallah, sebaliknya terkumat kamit sedang menyanyi-nyanyi lagu yang dia dengar.

Jadi kita kena berhati-hati, jangan diambil mudah. Barangsiapa yang lidahnya biasa berzikir, membaca Al-Quran, insyaAllah bacaan-bacaan inilah yang akan menjadi bacaan-bacaan terakhir kita. Begitu juga sebaliknya. Barangsiapa yang biasa mendengar muzik, dikhuatiri bahawa muzik-muzik inilah yang akan dinyanyi-nyanyikan ketika nafasnya yang terakhir. (Wal’iyyadzubillah)

(Disalin dari rakaman sesi soal jawab, kuliah Riyadhus Solihin, 26.04.2013. Minit ke-00:57:00 – 01:04:35)