SAMPAIKAN DARIKU WALAU SATU AYAT

Ustaz Idris bin Sulaiman

yellow_flowers_wallpaper_6ce8bDaripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ash ra., Rasulullah SAW bersabda: “Sampaikanlah dariku walau satu ayat, dan ceritakanlah tentang Bani Israil tanpa perlu takut. Dan barangsiapa berbohong ke atasku dengan sengaja maka bersiaplah dia mengambil tempatnya di Neraka.” (Al-Bukhari)

Hadis ini menunjukkan saranan supaya kita menyampaikan ilmu tidak kira banyak atau sedikit, asalkan ia ilmu dari Al-Quran dan Sunnah maka hendaklah ia disampaikan. Dalam ertikata lain, jangan kita tahan ilmu itu sehingga kita mencapai maqam tertentu, atau maqam ulama mujtahidin baru kita boleh berdakwah. Itu bukan syarat.

Sebaliknya, apa ilmu yang kita ada, asalkan kita telah pastikan dan yakin akan kesahihannya bersama dalil dari Al-Quran dan Sunnah, maka menjadi kewajipan atas kita untuk menyampaikan kepada orang lain.

Bagaimanapun, ada juga syaratnya; iaitu ayat yang disampaikan itu baik Al-Quran mahupun hadis hendaklah dipastikan benar bukan saja lafaznya tetapi juga tafsirannya. Tafsiran kepada ayat tersebut hendaklah dipastikan benar, bukan tafsiran mengikut hawa nafsu dan sebagainya.

Adapun hadis perlu lebih diambil berat kerana ia perlu dipastikan kesahihannya di samping pemahamannya. Kerana itu Nabi SAW turut menyebut selepas saranan “Sampaikan dariku walau satu ayat”, datang pula amaran; “Dan barangsiapa berbohong atasku dengan sengaja maka siaplah dia mengambil tempatnya di Neraka”. Maka sebelum menyampaikan sesuatu hadis, hendaklah kita pastikan ia adalah hadis yang telah disahihkan oleh ulama hadis kerana mereka adalah pakar di dalam bidangnya.

Jika kita tidak mengambil berat sama ada hadis itu sahih atau tidak, besar kemungkinan kita menyebarkan hadis yang salah. Dan berapa banyak hadis palsu yang terkumpul di dalam buku-buku, akhbar dan majalah sekarang ini. Berapa banyak hadis-hadis lemah, tidak kurang juga hadis palsu yang terus disebarkan, maka jangan kita tergolong di kalangan mereka yang menyebarkan hadis lemah dan palsu.

BOHONG ATAS NAMA NABI TIDAK SAMA BOHONG ATAS ORANG LAIN

Rasulullah jelas memberi amaran “barang siapa yang berbohong ke atasku”. Maksud berbohong atas Rasulullah adalah suatu hadis itu tidak disebut oleh Rasulullah, tetapi kita mengatakan “Sabda Nabi … sekian sekian…” sedangkan belum dibuktikan kesahihan bahawa ia disebut oleh Rasulullah, belum dibuktikan Rasulullah melakukannya. Tetapi kita mengatakan Rasulullah mengatakan begitu begini, Rasulullah melakukan begitu begini. Ia perbuatan berbohong atas Nabi, menyandarkan sesuatu ke atas Nabi sedangkan tidak sabit Baginda melakukannya.

Berbohong ke atas Nabi SAW tidak sama dengan berbohong ke atas orang lain. Berbohong atas Nabi SAW implikasinya adalah perkara-perkara akidah, ibadah, halal haram, perkara agama secara keseluruhannya yang menjadi penentu sama ada kita masuk Syurga atau tidak. Begitu juga kalau kita berbohong atas para Ulama. Itu juga tidak sama kalau kita berbohong ke atas manusia lain, kerana para ulama adalah pewaris Nabi.

Bagaimana kalau seseorang itu telah menyampaikan satu hadis palsu kerana dia tidak tahu. Apa yang menjadi tanggungjawabnya? Dia bertanggungjawab menarik balik dan membetulkan kesalahan yang dilakukan sebelumnya. Hendaklah dia bertaubat, beristighfar, tidak cukup dengan itu kerana dia bertanggungjawab menarik balik hadis yang telah dia sampaikan.

Ini kerana jika tidak, orang lain tidak tahu bahawa hadis itu lemah/palsu, orang tidak tahu dia telah bertaubat, yang orang tahu hanya kata-katanya yang lama. Maka dia perlu menarik balik serta mengkhabarkan kepada orang yang telah dia sampaikan itu bahawa hadis yang dia sampaikan dulu adalah tidak sahih dan dia menarik balik. Itu menjadi kewajipannya.

KEPENTINGAN MENYAHUT SERUAN SAMPAIKAN WALAU 1 AYAT

Signifikan saranan Rasulullah “Sampaikan walau sepotong ayat”, adalah kalau semua orang menyahut seruan itu, akhirnya akan terlengkaplah segala yang kita warisi daripada Nabi SAW. Ini kerana manusia masing-masing ada kemampuan yang terbatas, ada kelemahan dan kekurangan. Maka umat Islam saling melengkapi antara satu sama lain. Kalau kita berharap pada seorang sahaja, hal itu akan memberi mudarat. Hasilnya umat Islam seluruhnya akan ditimpa mudarat, kerana pasti seorang itu tidak akan dapat memikul tanggungjawab itu kesemuanya.

Begitu juga para Ulama. Kita melihat para Ulama telah mengambil peranan mereka masing-masing. Syaikh Bin Baaz rhm. mengambil peranan sebagai mufti. Segala masalah umat datang kepadanya dari sekecil-kecil sampai sebesar-besar masalah, orang merujuk kepadanya. Maka dia mencurahkan masa dan tenaganya berbakti kepada umat, menyelesaikan masalah-masalah kemasyarakatan (umum).

Syaikh Ibn Soleh Al-Utsaimin rhm. pula terkenal seorang faqih, dia membuat kelas-kelas pengajian. Dia tidak banyak menulis, namun hasil dari kuliah-kuliahnya di masjid akhirnya dibukukan oleh murid-muridnya. Dia menulis sendiri tidak ada kerana masanya dihabiskan di masjid untuk mengajar. Orang bertanya dan beliau menjelaskan, akhirnya banyak permasalahan-permasalahan fekah dan ilmu secara khasnya kalau kita tidak tahu, kita boleh kembali kepadanya.

Syaikh Al-Albani rhm. pula telah mencurahkan masa dan tenaganya dalam bidang hadis. Kita lihat masing-masing ada fokus. Mereka melengkapi satu sama lain. Inilah sebenarnya hubungan antara umat Islam sesama mereka, “Seorang yang beriman dengan orang beriman yang lain adalah ibarat binaan yang saling mengukuhkan antara satu sama lain.” (Al-Bukhari dan Muslim)

PENYIMPANGAN GOLONGAN YANG MEMBOLEHKAN SEBAR HADIS LEMAH DAN PALSU

Syaikh Ibn Salih Al-Utsaimin menyebut tentang adanya kumpulan yang menyimpang dari kebenaran, iaitu golongan Sufi aliran Al-Karamiyyah; satu kumpulan lama yang warisnya masih ada hingga hari ini. Mereka mendakwa boleh menyampaikan hadis dhaif, bahkan hadis palsu dalam bab yang berkaitan Al-Targhib dan Al-Tarhib (galakan kepada ibadah dan ancaman melakukan keburukan), kerana bagi mereka tujuannya baik iaitu menggalakkan orang beribadah dan melarang orang melakukan kemaksiatan.

Mereka beralasan bahawa hadis Nabi SAW “Barangsiapa berbohong ke atasku” adalah larangan berbohong untuk melawan Nabi, sedangkan berbohong untuk membela apa yang dibawa oleh Nabi maka ia dibolehkan.

Para Ulama telah menyanggah hujah mereka yang batil, yang menunjukkan kedangkalan pemikiran dan pemahaman mereka, kerana mereka seolah-olah lupa larangan berbicara tanpa ilmu. “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak punya ilmu tentangnya.” (Al-Israa’ : 36)

Jelas mereka telah berbicara tanpa ilmu. Mereka berbicara tentang galakan serta suruhan yang bukan dari Syarak. Segala yang bukan dari Syarak itu bukan ilmu, bahkan itu adalah kebatilan. Imam Ibnu Qayyim rhm berkata, “Ilmu (agama) itu adalah firman Allah, sabda Rasulullah SAW dan perkataan para Sahabat. (I’lam Al-Muwaqqi’in II/149)

Mereka juga seolah-olah lupa akan ancaman berbohong secara umumnya, dan mereka telah berbohong. Mereka menyandarkan apa yang bukan daripada Nabi kepada Nabi, mereka mengatakan ini Sabda Nabi sedangkan Nabi tidak bersabda begitu, dan mereka tahu hal ini. Syarak secara umumnya mengancam kita daripada berbohong kepada sesama manusia, apatah lagi berbohong ke atas Nabi SAW.

Al-Hafiz Ibn Katsir berkata, “Orang-orang yang memalsukan hadis bermacam-macam, antaranya; 1. Orang-orang kafir zindiq. 2. Ahli ibadah; mereka menyangka telah berbuat kebaikan yang sebaik-baiknya. Mereka membuat hadis palsu yang mengandungi galakan dan ancaman dan hadis-hadis fadilat amal supaya orang beramal. Mereka adalah golongan Al-Karamiyyah dan lainnya. Merekalah manusia paling jahat dalam melakukan cara ini.” (Ikhtisaar Ulum Al-Hadis, hlm. 79)

Al-Hafidz Ibn Hajar rahimahullah berkata, “Sangat bodohlah orang Al-Karamiyyah dan sebahagian kelompok yang mengaku ahli zuhud yang berkata, ‘Berbohong dan mengada-adakan terhadap Nabi untuk meneguhkan agama, manhaj Ahli Sunnah, serta targhib dan tarhib hukumnya boleh.’ Mereka beralasan bahawa datangnya ancaman itu hanya bagi orang yang berbohong untuk untuk mendustakan Nabi sahaja, bukan berbohong untuk membela Nabi. Alasan ini batil, sebab ancaman yang terkandung dalam hadis Baginda adalah sama, baik berbohong atas nama Baginda mahupun berbohong membela Baginda. Alhamdulillah, agama Islam telah sempurna sehingga tidak memerlukan penguat berupa kebohongan.” (Fathul Bari, VI/499)

Artikel ini disiarkan di akhbar pada Jumaat, 18.04.2014