UMDATUL AHKAM (6) : LARANGAN KENCING & MANDI DALAM AIR TIDAK MENGALIR

Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman hafizahumullah

(Disalin dari rakaman kuliah Umdatul Ahkam Siri 4, Kitab Taharah, hadis ke-5, 18.12.2012)

بسم الله الرحمٰن الرحيم

عَنْ أبى هريرة رَضي الله عَنْهُ أنَّ رَسُولَ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسلَّمَ قَالَ: لا يَبولَنَّ أحَدُكُمْ في الْمَاءِ الدَّائِمِ الذي لا يَجْرِى، ثُمَّ يَغْتَسِلُ فِيه

ولمسلم : لا يَغْتَسِلْ أحَدُكُمْ في الْمَاءِ الدَّائِمِ وَهُوَ جُنُب

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Janganlah salah seorang kamu kencing dalam air yang tidak mengalir (bertakung), kemudian dia mandi di dalamnya.” Dalam riwayat Muslim, “Janganlah salah seorang kamu mandi dalam air yang tidak mengalir (bertakung) dan dia dalam keadaan junub.”[1]

PERAWI HADIS

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah iaitu Abdurrahman bin Sakhr yang telah disebutkan biodatanya dalam penjelasan hadis yang pertama. Dia adalah sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis secara mutlak.

airPENJELASAN HADIS

Dalam hadis ini ada dua larangan; Pertama, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam melarang dari kencing dalam air yang tidak mengalir. Kedua, larangan mandi dalam air yang bertakung (tidak bergerak).

Rasulullah mengatakan ‘janganlah’; ia adalah kata larangan, dan larangan secara prinsipnya membawa maksud HARAM.

Dari maksud hadis ini, para ulama buat beberapa kesimpulan:

  1. Larangan kencing di dalam air yang tidak mengalir kerana ia akan mengotorkannya, dan akan membuat orang lain jijik. Hikmahnya (secara mafhum/ istinbat/ ijtihad) jelas iaitu ia akan membuatkan tersebarnya penyakit dan mencemarkan air.
  2. Begitu juga dilarang mandi sama ada seluruh badan dimasukkan dalam air yang bertakung itu ataupun sebahagian. Kedua-duanya dilarang. Lebih sulit lagi kalau mandi dalam keadaan junub. Walaupun hanya untuk sejukkan badan. Walaupun hanya menenggelamkan sebahagian anggota badan sahaja.
  3. Adapun sekiranya air itu mengalir, seperti air sungai, atau air terjun, air laut, maka di situ tidak ada masalah untuk kencing di dalamnya atau untuk mandi di dalamnya. Walau bagaimanapun, para ulama mengatakan sebaiknya dielakkan, kerana dikhuatiri natijah yang tidak baik, iaitu membuat tercemarnya air atau membuat orang lain jijik.

Dalam hadis ini, ada perselisihan para ulama. Sama ada hadis ini membawa maksud larangan secara haram, atau larangan secara makruh.

Zahir lafaz hadis ini menunjukkan bahawa larangan itu adalah Haram. Maknanya siapa yang kencing berdosa. Saya teringat zaman asrama di sekolah dulu, ada kolah dan budak-budak masuk (mandi di dalamnya), sekarang baru kita tahu bahawa perbuatan itu adalah haram.

Haram untuk kencing dalam air yang bertakung ataupun mandi di dalam air yang bertakung, tidak kira sama ada air itu banyak atau sedikit.

Timbul perselisihan di kalangan para Ulama, sekiranya seseorang itu kencing atau mandi; Kalau seseorang itu kencing dalam air yang bertakung, adakah air itu akan kekal suci atau adakah ia akan menyebabkannya najis?

  1. Sekiranya air itu bertukar salah satu dari tiga sifatnya iaitu warna, bau, rasa, ulama sepakat (ijma’) bahawa ia telah menjadi najis. Maka ia tidak lagi suci dan tidak menyucikan. Tidak kira sama ada air itu sikit ataupun banyak.
  2. Sekiranya air itu tidak bertukar, dan dalam masa yang sama air itu banyak, misalnya seorang itu kencing di dalam tasik, di sini juga ulama sepakat bahawa air tasik itu tidak najis. Kerana air itu banyak dan ia tidak memberi kesan kepada sifat air itu.
  3. Adapun sekiranya seseorang itu kencing ke dalam air yang sedikit, atau apa yang mereka istilahkan kurang dua kolah (kira-kira 200 kg), majoriti (jumhur) ulama termasuk mazhab Syafi’i mengatakan ia akan jadi najis, tidak suci dan tidak menyucikan. Tidak boleh lagi digunakan untuk berwudhu dan mandi wajib.

Mereka berdalilkan hadis yang diriwayatkan oleh Ashabu Al-Sunan (Abu Daud, Al-Tirmizi, Ibn Majah, Al-Nasa-i),

إِذَا كَانَ المْاَءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يَحْمِلِ الخَبَثَ وَفِيْ لَفْظٍ:لمَ يَنْجُسْ

 “Sekiranya air itu dua kolah, ia tidak akan menanggung kekotoran”, dalam lafaz lain: “Ia tidak menjadi najis.” (Disahihkan oleh Syaikh Al-Albani)

Itu pendapat pertama, iaitu air menjadi najis sekiranya kurang dua kolah. Pendapat pertama juga menggunakan hadis bab ini iaitu larangan kencing dalam air yang tidak mengalir.

Adapun pendapat kedua iaitu pendapat mazhab Maliki, mereka mengatakan bahawa ia tidak najis selama mana air itu tidak bertukar sifatnya. Mereka bersandarkan kepada hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ulama-ulama hadis yang lain, di mana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,

الْمَاءُ طَهُورٌ لاَ يُنَجِّسُهُ شَىْءٌ

“Air itu suci, ia tidak akan dinajiskan oleh apa-apa”. (Sahih, riwayat Ahmad, Abu Daud, Al-Nasa-i, Al-Tirmizi)

Di antara dua pendapat ini, mana yang rajih? Ia bersentuh dengan amalan masyarakat. Kalau kita pergi banyak masjid-masjid, ada kolah besar, itu 2 kolah, sebab itu tidak ada masalah untuk kita celupkan tangan dan sebagainya. Kalau mandi pun tidak ada masalah kerana 2 kolah.

Satu senario: kita ada baldi berisi air, kemudian jatuh najis di dalamnya. Najis atau tidak air itu? Pendapat pertama kata najis, pendapat kedua kata tidak najis. Mana yang rajih?

Perhatikan, di dalam kita membicarakan masalah-masalah hukum. Pertama, kena ada dalil. Tetapi jangan lupa, apabila kita hendak memilih satu pendapat, tidak cukup dengan kita bawa dalil kita sahaja. Itu half of the way (separuh jalan). Setengah lagi, kita kena jawab dalil yang dibawa oleh pendapat yang satu lagi.

Jawab dalil mereka; ‘sekiranya air dua kolah, ia tidak akan menanggung najis’. Dalam hadis dua kolah, Rasulullah mengatakan, kalau air itu dua kolah, ia tidak akan menanggung najis.

Persoalan: adakah hadis ini secara mutlak? Sekiranya ia dua kolah ia tidak akan menanggung najis? Maknanya ia tidak akan najis, walau apa pun yang dibuat dengan air itu. Contohnya swimming pool 4 kolah, tetapi management nak jimat dia isi air dua kolah sahaja, air yang suci lagi menyucikan. Kemudian ada orang tambah dalam swimming pool itu dua kolah najis pada air tersebut, cukup empat kolah. Bayangkan, dua kolah air, tambah dengan dua kolah najis. Apa jadi?

Airnya bukan lagi air, tapi telah berubah sifatnya (warna/bau/rasa). Adakah kita masih mengatakan air itu tidak menanggung najis (yakni masih suci) berdasarkan keumuman hadis tadi?

Tidak ada siapa pun yang akan kata begitu. Bahkan pendapat pertama pun tidak kata begitu. Kerana ijma’ telah menyebut bahawa kalau air itu banyak, tetapi ia telah bertukar, maka ia adalah najis.

Maka ternyata bahawa hadis dua kolah tadi bukan secara umum. Kerana lafaz hadis mengatakan ia tidak akan menanggung najis, tetapi ternyata ia telah menjadi najis (apabila berubah sifatnya).

air mustakmal

Tetapi bagaimana kalau kurang dua kolah? Kalau kurang dua kolah dan bertukar sifatnya, sudah pasti ia najis. Persoalannya adalah kalau ia kurang dua kolah dan tidak bertukar sifatnya. Ini permasalahannya.

Kita dapati hadis dua kolah bercanggah dengan hadis ‘sungguh air itu suci, ia tidak akan dinajiskan oleh apa-apa’.

Ini dua hadis yang zahirnya bercanggah. Hadis dua kolah mengatakan, kalau setitik najis jatuh ke dalam air yang kurang dua kolah, walaupun tak bertukar, ia jadi najis. Sedangkan lafaz hadis lagi satu mengatakan air itu suci, ia tidak akan dinajiskan oleh apa-apa. Bagaimana kamu kata ia najis.

Maka ulama menghimpunkan kedua-dua hadis ini dengan membuat kesimpulan bahawa hakikatnya kedua-dua hadis ini tidak secara umumnya yakni tidak secara mutlaknya.

Tentang air dua kolah, kita sepakat bahawa walaupun ia lebih dua kolah tetapi kalau berubah sifatnya, warna, bau, rasa, ia najis, dan hal ini telah disepakati. Tetapi keumuman hadis yang digunakan oleh pendapat kedua ini tidak secara umumnya.

Adapun dalil ‘Air itu suci, ia tidak akan dinajiskan oleh apa-apa’, ia juga tidak secara umum. Kalau sudah bertukar warna, dari jernih tiba-tiba bertukar kepada kuning, baunya hancing, adakah ia tidak dinajiskan oleh apa-apa? Tidak ada siapa kata begitu.

Kesimpulannya, kalau air itu sedikit, lalu terkena najis, ia tetap suci selama mana tidak berubah sifatnya. Adapun kalau berubah salah satu dari sifatnya, ia menjadi najis.

Hakikatnya terjelas kepada kita masalah dua kolah itu, bahawa ia bukan secara umum. Kerana mereka berpegang secara umum bahawa kalau dua kolah, air itu suci. Kalau kurang dua kolah, ia jadi najis. Kedua-duanya tidak tepat. Ia tidak suci secara mutlak, dan ia tidak najis secara mutlak.

Maka yang rajih adalah bergantung sama ada sifatnya berubah atau tidak. Itu persoalan pokoknya.

Ada satu lagi persoalan yang belum terjawab. Mereka berdalilkan hadis ini ‘jangan seorang kamu kencing dalam air yang bertakung lalu dia mandi di dalamnya’. Mereka mengatakan, Syarak melarang mandi di dalamnya, menunjukkan kerana air itu najis.

Tetapi itu adalah mafhum/ijtihad semata-mata. Hadis ‘air itu suci, ia tidak akan dinajiskan oleh apa-apa’ bercanggah dengan mafhum itu, bahawa ia tidak najis. Dan Rasulullah tidak kata kerana ia akan jadi najis. Maka ‘illahnya (sebabnya) tidak solid. Boleh jadi kerana najis, boleh jadi kerana sebab lain; penyakit, membuat orang geli atau jijik, dsbnya.

AIR YANG TELAH DIGUNAKAN UNTUK MANDI TIDAK NAJIS, BAHKAN SUCI DAN MENYUCIKAN

Tentang lafaz Imam Muslim, ‘Jangan salah seorang kamu mandi dalam air yang tidak mengalir (bertakung) dalam keadaan dia junub.’ Soalan: Apa hukum air yang digunakan untuk mandi? Adakah orang yang mandi dalam air yang bertakung (baca: air yang sedikit), air itu akan jadi najis?

Di sini timbul persoalan tentang air musta’mal. Air itu takkan jadi air najis. Tidak ada siapa yang kata najis. Kerana badan manusia, apatah lagi badan orang Islam bukan najis. Najis adalah benda yang keluar; air kencing atau air besar, tetapi badannya tidak najis. Apatah lagi disebut dalam hadis,

إِنَّ الْمُؤْمِنَ لَا يَنْجُسُ

“Sesungguhnya orang mukmin itu tidak najis.” (Riwayat Muslim)

Sebagaimana kisah Abu Hurairah dalam keadaan junub, dia nampak Rasulullah, dia menyelinap dan mengelak dari bertemu dengan Rasulullah. Rasulullah nampak dan bertanya kepadanya. Maka Abu Hurairah mengatakan bahawa dia segan hendak bertemu Rasulullah dalam keadaan junub. Lalu Rasulullah mengatakan, “Sesungguhnya orang mukmin itu tidak najis.”

Jadi kembali kepada persoalan kalau orang mandi dalam air bertakung, apa jadi pada air itu? Air itu tidak najis, tetapi musta’mal. Adakah air musta’mal boleh digunakan untuk bersuci, atau adakah ia suci tapi tidak menyucikan?

Di sini kita perlu jelas. Ia suci lagi menyucikan. Larangan tadi bukan kerana ia jadi najis. Sama seperti air kencing tadi. Bukan kerana orang kencing di dalamnya, ia terus jadi najis. Tidak. Kalau tidak bertukar sifat air itu, ia tidak najis. Apatah lagi kalau mandi. Biasanya tidak bertukar sifat air tersebut. Tetapi ia dikategorikan sebagai air musta’mal. Air musta’mal hukumnya suci lagi menyucikan. Itulah pendapat yang rajih.

Wallahu a’lam.

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

(Disalin dari rakaman kuliah Umdatul Ahkam Siri 4, Kitab Taharah, hadis ke-5, 18.12.2012)


[1] Al-Bukhari dalam Al-Wudhu (239), Muslim dalam Al-Taharah (426).