KEUTAMAAN MAJLIS ZIKIR & LARANGAN MENINGGALKANNYA TANPA UZUR

Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman hafizahumullah

(Disalin dari rakaman kuliah Riyadhus Salihin, Bab 247, 03.05.2013)

بسم الله الرحمٰن الرحيم

باب فضل حِلَقِ الذكر والندب إِلَى ملازمتها والنهي عن مفارقتها لغير عذر – 247

BAB 247: KEUTAMAAN HALAQAH/MAJLIS ZIKIR DAN ANJURAN UNTUK MELAZIMINYA, SERTA LARANGAN MENINGGALKANNYA TANPA UZUR

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

{واصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالغَدَاةِ وَالعَشِيِّ يُريدُونَ وَجْهَهُ وَلاَ تَعْدُ عَيْناكَ عَنْهُمْ}

“Dan bersabarlah kamu bersama orang yang menyeru Tuhannya pada pagi dan petang dengan mengharap keredhaanNya, dan janganlah matamu berpaling dari mereka…” (Surah Al-Kahf, 18: 28)

Hadis ke-1447:

وعن أَبي هريرة رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم: «إنَّ للهِ تَعَالَى مَلائِكَةً يَطُوفُونَ في الطُّرُقِ يَلْتَمِسُونَ أهْلَ الذِّكْرِ، فإذا وَجَدُوا قَوْمًا يَذْكُرُونَ اللهَ – عز وجل – تَنَادَوْا: هَلُمُّوا إِلَى حَاجَتِكُمْ، فَيَحُفُّونَهُمْ بِأَجْنِحَتِهِم إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا، فَيَسْألُهُمْ رَبُّهُمْ – وَهُوَ أعْلَم: مَا يقولُ عِبَادي؟ قَالَ: يقولون: يُسَبِّحُونَكَ، ويُكبِّرُونَكَ، وَيَحْمَدُونَكَ، ويُمَجِّدُونَكَ، فيقول: هَلْ رَأَوْنِي؟ فيقولونَ: لا واللهِ مَا رَأَوْكَ. فيقولُ: كَيْفَ لَوْ رَأوْني؟! قَالَ: يقُولُونَ: لَوْ رَأوْكَ كَانُوا أَشَدَّ لَكَ عِبَادَةً، وَأَشَدَّ لَكَ تَمْجِيدًا، وأكْثَرَ لَكَ تَسْبِيحًا. فَيقُولُ: فماذا يَسْألونَ؟ قَالَ: يقُولُونَ: يَسْألُونَكَ الجَنَّةَ. قَالَ: يقولُ: وَهل رَأَوْها؟ قَالَ: يقولون: لا واللهِ يَا رَبِّ مَا رَأَوْهَا. قَالَ: يقول: فَكيفَ لَوْ رَأوْهَا؟ قَالَ: يقولون: لَوْ أنَّهُمْ رَأوْهَا كَانُوا أشَدَّ عَلَيْهَا حِرْصًا، وأشدَّ لَهَا طَلَبًا، وأعْظَمَ فِيهَا رَغْبَةً. قَالَ: فَمِمَّ يَتَعَوَّذُونَ؟ قَالَ: يقولون: يَتَعَوَّذُونَ مِنَ النَّارِ؛ قَالَ: فيقولُ: وَهَلْ رَأوْهَا؟ قَالَ: يقولون: لا واللهِ مَا رَأوْهَا. فيقولُ: كَيْفَ لَوْ رَأوْهَا؟! قَالَ: يقولون: لَوْ رَأوْهَا كانوا أشَدَّ مِنْهَا فِرَارًا، وأشَدَّ لَهَا مَخَافَةً. قَالَ: فيقولُ: فَأُشْهِدُكُمْ أنِّي قَدْ غَفَرْتُ لَهُم، قَالَ: يقولُ مَلَكٌ مِنَ المَلاَئِكَةِ: فِيهم فُلاَنٌ لَيْسَ مِنْهُمْ، إنَّمَا جَاءَ لِحَاجَةٍ، قَالَ: هُمُ الجُلَسَاءُ لا يَشْقَى بِهِمْ جَلِيسُهُمْ». (متفق عليه)

وفي رواية لمسلمٍ عن أَبي هريرة – رضي الله عنه – عن النبيِّ – صلى الله عليه وسلم – قَالَ: ((إن للهِ مَلاَئِكَةً سَيَّارَةً فُضُلًا يَتَتَبُّعُونَ مَجَالِسَ الذِّكْرِ، فَإذَا وَجَدُوا مَجْلِسًا فِيهِ ذِكْرٌ، قَعَدُوا مَعَهُمْ، وَحَفَّ بَعْضُهُمْ بَعْضًا بِأجْنِحَتِهِمْ حَتَّى يَمْلَؤُوا مَا بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ السَّماءِ الدُّنْيَا، فإذَا تَفَرَّقُوا عَرَجُوا وَصَعدُوا إِلَى السَّمَاءِ، فَيَسْأَلُهُمْ اللهُ – عز وجل – وَهُوَ أعْلَمُ -: مِنْ أيْنَ جِئْتُمْ؟ فَيَقُولُونَ: جِئْنَا مِنْ عِنْدِ عِبادٍ لَكَ في الأرْضِ: يُسَبِّحُونَكَ، ويُكبِّرُونَكَ، وَيُهَلِّلُونَكَ، وَيَحْمَدُونَكَ، وَيَسْألُونَكَ. قَالَ: وَمَاذا يَسْألُونِي؟ قالوا: يَسْألُونَكَ جَنَّتَكَ. قَالَ: وَهَلْ رَأَوْا جَنَّتِي؟ قالوا: لا، أَيْ رَبِّ. قَالَ: فكيْفَ لَوْ رَأَوْا جَنَّتي؟! قالوا: ويستجيرونكَ. قَالَ: ومِمَّ يَسْتَجِيرُونِي؟ قالوا: مِنْ نَارِكَ يَا رَبِّ. قَالَ: وَهَلْ رَأوْا نَاري؟ قالوا: لا، قَالَ: فَكَيْفَ لَوْ رَأَوْا نَارِي؟! قالوا: وَيَسْتَغفِرُونكَ؟ فيقولُ: قَدْ غَفَرْتُ لَهُمْ، وَأَعْطَيْتُهُمْ مَا سَألُوا، وَأجَرْتُهُمْ مِمَّا اسْتَجَارُوا. قَالَ: فيقولون: ربِّ فيهمْ فُلانٌ عَبْدٌ خَطَّاءٌ إنَّمَا مَرَّ، فَجَلَسَ مَعَهُمْ. فيقُولُ: ولهُ غَفَرْتُ، هُمُ القَومُ لاَ يَشْقَى بِهِمْ جَلِيسُهُمْ))

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu dia berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Sesungguhnya Allah memiliki malaikat yang berkeliling di jalan-jalan untuk mencari ahli zikir. Apabila mereka mendapati suatu kaum sedang mengingati Allah ‘Azza wa Jalla, mereka saling memanggil: “Ke marilah, penuhilah hajat kalian!” Maka mereka mengelilingi kaum tadi dengan sayap-sayap mereka sampai ke langit dunia. Maka Tuhan mereka bertanya –dan Dia lebih Mengetahui- : “Apa yang dikatakan oleh hamba-hambaKu?” Mereka (Para Malaikat) menjawab: “Mereka bertasbih kepadaMu, membesarkanMu, memujiMu, dan mengagungkanMu.” Maka Allah bertanya: “Adakah mereka melihatKu?” Mereka (Para Malaikat) menjawab: “Tidak, demi Allah mereka tidak melihatMu.” Lalu Allah bertanya: “Bagaimana jika mereka melihatKu?!” Mereka (Para Malaikat) menjawab: “Jika mereka melihatMu nescaya mereka akan lebih giat beribadah kepadaMu, akan lebih mengagungkanMu, dan lebih banyak bertasbih kepadaMu.”

Lalu Allah bertanya: “Apa yang mereka minta?” Mereka (Para Malaikat) menjawab: “Mereka meminta daripadaMu Syurga.” Allah bertanya: “Adakah mereka melihatnya?” Para Malaikat menjawab: “Tidak demi Allah wahai Tuhanku, mereka belum melihatnya.” Allah bertanya: “Maka bagaimana jika mereka melihatnya?!” Para Malaikat menjawab: “Jika mereka melihatnya nescaya mereka lebih sangat mendambanya, lebih sangat memintanya, dan lebih senang kepadanya.”

Allah bertanya: “Lalu dari apa mereka meminta perlindungan?” Para Malaikat menjawab: “Mereka meminta perlindungan dari api Neraka.” Allah bertanya: “Adakah mereka melihatnya?” Para Malaikat menjawab: “Tidak demi Allah mereka belum pernah melihatnya.” Allah bertanya: “Bagaimana jika mereka melihatnya?!” Para Malaikat menjawab: “Jika mereka melihatnya tentu lebih hebat mereka lari menjauhinya dan lebih hebat ketakutan padanya.”

Lalu Allah berfirman: “Saksikanlah oleh kalian bahawa Aku telah mengampuni mereka.” Satu daripada Malaikat itu berkata: “Di tengah-tengah mereka ada si Fulan, dia bukan daripada mereka, sesungguhnya dia datang hanya kerana satu hajat (keperluan).” Allah berkata: “Mereka itu adalah kelompok yang tidak akan rugi siapa pun yang ikut duduk bersama mereka.” (Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat yang selalu berkeliling di muka bumi mencari majlis-majlis zikir. Apabila mereka menjumpai majlis yang ada zikir di dalamnya, mereka duduk bersama mereka dan membentangkan sayap-sayap mereka sehingga memenuhi antara langit dunia.

Dan apabila telah bersurai mereka (para Malaikat) pun naik ke langit. Lalu Allah ‘Azza wa Jalla bertanya mereka –dan Dia lebih Mengetahui- : “Dari mana kalian datang?” Para Malaikat menjawab: “Kami datang dari sisi hamba-hambaMu di bumi. Mereka mensucikanMu, membesarkanMu, bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illa-Allah), memujiMu dan meminta kepadaMu.” Allah bertanya: “Apa yang mereka minta daripadaKu?” Para Malaikat menjawab: “Mereka meminta daripadaMu SyurgaMu.” Allah bertanya: “Adakah mereka pernah melihat SyurgaKu?” Para Malaikat menjawab: “Tidak wahai Tuhan.” Allah bertanya: “Lalu bagaimana jika mereka melihat SyurgaKu?!” Para Malaikat menjawab: “Dan mereka juga meminta perlindunganMu.” Allah bertanya: “Dari apa mereka meminta perlindunganKu?” Para Malaikat menjawab: “Dari NerakaMu wahai Tuhan.” Allah bertanya: “Adakah mereka pernah melihat NerakaKu?” Para Malaikat menjawab: “Tidak.” Allah bertanya: “Lalu bagaimana jika mereka melihat NerakaKu?!” Para Malaikat berkata: “Dan mereka juga meminta ampun daripadaMu.”

Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku telah mengampuni mereka. Dan Aku berikan apa yang mereka minta. Dan Aku lindungi mereka dari apa yang mereka minta perlindunganKu darinya.” Para Malaikat berkata: “Wahai Tuhan, di antara mereka ada si Fulan, seorang hamba yang banyak salah dan dosanya, sesungguhnya dia hanya lalu di situ, lalu dia duduk bersama mereka.” Allah berkata: “Aku telah mengampuni dia juga. Mereka adalah kaum yang tidak akan celaka orang yang ikut duduk bersama mereka.”

majlis zikirPENJELASAN HADIS

Subhanallah, walhamdulillahi wallahu Akbar, wa Laa-Ilaaha-illa-Allah, kita meminta Syurga daripada Allah, kita meminta perlindungan dari Neraka Allah, kita meminta keampunan daripada Allah.

Hadis yang kita telah baca menceritakan tentang kelebihan majlis-majlis zikir. Perlu diambil perhatian supaya jangan kita salah faham, jangan kita keliru, jangan fikir lain. Apabila disebut keutamaan majlis zikir, jangan sekali-kali kita faham dengan majlis zikir yang bid’ah.

Ini kerana dukacitanya, apabila disebut majlis zikir, kefahaman umat Islam tentang majlis zikir itu telah menyimpang, telah menyeleweng, mengenangkan maksudnya yang bid’ah itu lebih popular, lebih tersebar daripada maksudnya yang sebenar, yang bertepatan dengan Sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Jadi apabila disebutkan majlis zikir, apa yang dimaksudkan dengannya adalah majlis ilmu secara umumnya, atau majlis zikir secara khasnya tetapi bukan yang dilakukan dengan cara menyelisihi Sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Majlis ilmu tentu sahaja yang menjurus kepada ilmu Al-Quran dan juga Sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Majlis ilmu di mana orang yang hadir ke majlis itu mempelajari ilmu, ada orang yang mengajar dan ada orang yang belajar, atau mereka sama-sama mengulangkaji, saling bertadarus, sama ada tararus Al-Quran ataupun hadis-hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Apabila kita kata tadarus Al-Quran, bagaimana cara sunnahnya adalah dengan seorang sahaja membaca pada satu-satu masa. Sama ada yang mengajar, atau si murid itu yang membaca. Maka apabila si guru membaca, murid mendengar untuk mempelajari cara bacaan yang betul (dan merenungi maksudnya). Atau si murid membaca, yang lain menyemak dan guru membetulkan sekiranya ada kesalahan. Majlis tadarus bukan dengan membaca beramai-ramai, kerana bacaan yang sedemikian tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah bersama para sahabat.

Bahkan kita dapati bahawa bacaan sedemikian tidak akan memberi faedah, kerana akhirnya bacaan yang salah akan tenggelam dalam suara orang yang lain. Akhirnya tidak ada manfaat, tidak ada yang membetulkan bacaan yang salah, kerana semua membaca serentak dengan satu suara dengan meninggikan suara.

Itu adalah tadarus Al-Quran. Adapun tadarus hadis-hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, ia adalah seperti yang sedang kita lakukan. Dibacakan hadis-hadis Nabi dengan bertafaqquh, mendalami, cuba memahami maksud-maksud hadis yang dibacakan.

Ini yang dinamakan majlis zikir. Terpulang sama ada kita menyebutnya sebagai majlis zikir atau majlis ilmu, maksudnya sama di sisi Syarak. Tidak ada maksud majlis zikir dengan maksud-maksud tertentu khususnya seperti yang dilakukan oleh orang-orang bid’ah di mana mereka berzikir beramai-ramai dengan satu suara, atau dengan ada satu tekong yang menyuruh mereka bertasbih sekian-sekian, bertahmid sekian sekian, bertahlil sekian-sekian. Itu bukan cara zikir mengikut sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Adapun majlis zikir dengan maksud yang khas adalah majlis yang mana disebutkan zikir-zikir Allah, nama-nama Allah dalam majlis itu, kalau bukan pada mula sampai akhir, paling tidak para hadirin yang hadir menyebut nama Allah, mereka mengingatkan antara satu sama lain tentang Allah.

Misalnya mereka menyebut Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, La Ilaaha illa Allah secara umumnya, bukan dengan gaya yang tertentu, atau cara yang tertentu.

LARANGAN DUDUK DI MAJLIS BIDAAH ATAU MAKSIAT

Tentu sahaja apabila kita mengatakan majlis ilmu, istilah itu maksudnya spesifik. Seperti mana apabila kita mengatakan solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya, itu semua istilah Syarak yang bukan sesiapa saja boleh menentukan maksudnya. Tetapi ini semua adalah istilah dalam agama.

Apabila kita kata solat, jangan terlintas dalam hati kita solat seperti solatnya kumpulan-kumpulan yang sesat, misalnya solat dalam hati. Bukan. Apabila kita sebut solat, maksudnya adalah solat seperti mana Rasulullah solat, dimulakan dengan takbir dan disudahi dengan taslim.

Begitu juga apabila kita katakan majlis ilmu, apa ertinya ilmu? Ini juga merupakan istilah. Seperti mana yang Ibnu Al-Qayyim jelaskan,

العلم قال الله قال رسوله قال الصحابة

“Ilmu itu adalah firman Allah, sabda RasulNya, dan perkataan para sahabat.”

Maka selain daripada tiga ini bukan ilmu. Apa juga kata-kata yang menyelisihi firman Allah, sabda Rasulullah, dan kata para Sahabat, ia adalah sama ada ucapan-ucapan lagha (tidak berfaedah), atau ilmu bid’ah atau ilmu kekufuran –wal’iyyazubillah-, ia adalah ilmu sesat dan bukan ilmu kebenaran.

Maka tentu sahaja apabila kita katakan tuntutan untuk kita duduk di dalam majlis ilmu, yang dimaksudkan adalah ilmu dengan erti kata yang sebenar. Adapun ilmu yang menyimpang, tentu sahaja jangan kita duduk.

فَلاَ تَقْعُدْ بَعْدَ الذِكْرِ مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِيْنَ

“Maka jangan kamu duduk bersama kaum yang zalim setelah datang peringatan.” (Surah Al-An’aam: 68)

Maka jangan kita duduk dengan orang-orang jahil lagi menyimpang sesudah datang peringatan kepada kita.

وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا

“Dan apabila mereka melewati perkara lagha (tidak bermanfaat) mereka berlalu dengan menjaga kehormatan.” (Surah Al-Furqan, 25: 72)

Ini sifat orang yang beriman, apabila mereka melewati benda-benda lagha, apatah lagi benda-benda yang haram seperti majlis-majlis bid’ah, mereka terus berlalu dengan menjaga kehormatan mereka. Apa maknanya menjaga kehormatan mereka? Iaitu mereka berlalu terus secepat yang mungkin, tanpa menoleh, apatah lagi berhenti dan bertanya-tanya.

Seperti mana kalau kita lalu di tempat orang-orang maksiat, tempat orang sedang minum arak, kita jangan sekali-kali menoleh, bertanya-tanya apa yang dia minum. Kita berlalu terus, kerana mereka ini adalah kaum yang dikhuatiri bala Allah akan turun ke atas mereka.

Dikhuatiri kita bersama dengan mereka tatkala bala Allah turun. Jangan diambil ringan, ini adalah majlis yang dimurkai oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Sebaliknya, hendaklah kita sentiasa bersama-sama dengan orang-orang yang soleh, dan orang yang soleh sahaja.

Ini yang dimaksudkan seperti mana dalam hadis ke-1447, tentang siapakah orang-orang soleh?

هُمُ القَومُ لاَ يَشْقَى بِهِمْ جَلِيسُهُمْ

“Mereka adalah kaum yang tidak akan rugi orang yang duduk bersama mereka.” (Bukhari & Muslim)

Ini sifat orang-orang soleh, atau sifat orang yang duduk di dalam majlis ilmu secara khususnya. Seperti mana perbandingan yang Rasulullah buat antara teman yang baik dan teman yang jahat. Teman yang baik Rasulullah umpamakan seperti minyak wangi, sama ada kita membeli minyak wangi daripadanya, atau dia menghadiahkan minyak wangi kepada kita, atau paling tidak kita mendapat bau yang harum. Inilah majlis orang-orang soleh, majlis ilmu dengan ertikata sebenarnya.

Kalau dia mendengar dan belajar dari majlis ilmu itu dia akan mendapat ilmu yang baru, atau dia mendengar sahaja untuk mengulangkaji, atau paling tidak sekadar duduk sahaja. Walaupun dia tidak mendengar apa-apa sekalipun, percayalah setidak-tidaknya dia sedang berada di sebaik-baik tempat.

Seperti mana disebutkan dalam hadis tadi, Malaikat berkata: “Wahai Tuhan, di antara mereka ada si Fulan seorang hamba yang banyak salah dan dosanya, sesungguhnya dia hanya lalu di situ lalu dia duduk bersama mereka.” Allah berkata: “Aku telah mengampuni dia juga. Mereka adalah kaum yang tidak akan celaka orang yang ikut duduk bersama mereka.”

Hadis ke-1448:

وعنه وعن أَبي سعيدٍ رضي الله عنهما، قالا: قَالَ رسولُ الله – صلى الله عليه وسلم: «لا يَقْعُدُ قَومٌ يَذكُرُونَ اللهَ – عز وجل – إِلاَّ حَفَّتْهُمُ المَلائِكَةُ وغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَنَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ؛ وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ». رواه مسلم

Daripada Abu Hurairah dan Abu Sa’id (Al-Khudri) radhiyallahu ‘anhuma keduanya berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Tidaklah duduk suatu kaum berzikir kepada Allah ‘Azza wa Jalla melainkan para Malaikat memayungi mereka, dan rahmat meliputi mereka, dan turun ke atas mereka ketenangan, dan Allah menyebut-nyebut tentang mereka di hadapan siapa pun di sisiNya.” (Riwayat Muslim)

majlis zikirFAEDAH HADIS

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menyebutkan kelebihan kaum yang duduk berzikir kepada Allah, para Malaikat akan memayungi mereka, rahmat Allah akan meliputi mereka, dan ketenangan turun kepada mereka.

Lepas ini kita semaklah diri kita, sama ada kita dapat kemanisan itu ataupun tidak. Apabila kita menghadiri halaqah zikir (majlis ilmu syar’i), antara yang akan kita dapatkan adalah sakinah (ketenangan).

Apakah yang dimaksudkan dengan ketenangan itu? Iaitu hati kita akan dapat bebas daripada belenggu-belenggu syahwat. Jangan fahami syahwat dengan satu maksud. Syahwat adalah segala jenis tarikan-tarikan dunia.

Apabila menghadiri majlis ilmu, hati kita akan bebas daripada teringat kepada tarikan-tarikan dunia. Sebaliknya ia akan berpaling kepada mengingati Akhirat, mengingati Allah, dan mengingati mati.

Hadis ini juga memberi faedah bahawa barang siapa mengingati Allah dan menyebut nama-nama Allah, maka Allah juga menyebutnya.

ANJURAN MEMENUHI RUANG KOSONG & TIDAK MENINGGALKAN MAJLIS ILMU

Hadis ke-1449:

وعن أَبي واقدٍ الحارث بن عوف رضي الله عنه: أنَّ رسولَ الله صلى الله عليه وسلم بَيْنَمَا هُوَ جَالِسٌ في المَسْجِدِ، والنَّاسُ مَعَهُ، إذْ أَقْبَلَ ثَلاثَةُ نَفَرٍ، فَأَقْبَلَ اثْنَانِ إِلَى رسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم وَذَهَبَ واحِدٌ؛ فَوَقَفَا عَلَى رسولِ الله صلى الله عليه وسلم. فأمَّا أحَدُهُما فَرَأَى فُرْجةً في الحَلْقَةِ فَجَلَسَ فِيهَا، وَأمَّا الآخرُ فَجَلَسَ خَلْفَهُمْ، وأمَّا الثَّالثُ فأدْبَرَ ذاهِبًا. فَلَمَّا فَرَغَ رَسُولُ الله – صلى الله عليه وسلم – قَالَ: «ألاَ أُخْبِرُكُمْ عَنِ النَّفَرِ الثَّلاَثَةِ: أَمَّا أَحَدُهُمْ فَأوَى إِلَى اللهِ فآوَاهُ اللهُ إِلَيْهِ. وَأمَّا الآخَرُ فاسْتَحْيَى فَاسْتَحْيَى اللهُ مِنْهُ، وأمّا الآخَرُ، فَأعْرَضَ، فَأَعْرَضَ اللهُ عَنْهُ». متفقٌ عَلَيْهِ

Daripada Abu Waqid Al-Harits bin ‘Auf radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ketika sedang duduk di masjid, dan para sahabat bersama Baginda, tiba-tiba datang tiga orang. Dua daripada mereka menghadap Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam manakala seorang lagi pergi berlalu. Dua orang itu berhenti di hadapan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Seorang daripada keduanya melihat ruang kosong di halaqah itu lalu dia duduk mengisinya, adapun seorang lagi duduk di belakang mereka. Adapun orang yang ketiga pergi berlalu meninggalkan majlis itu.

Setelah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam selesai Baginda bersabda: “Mahukah kalian aku beritahu tentang tiga orang tadi? Adapun salah seorang daripada mereka dia mencari tempat (perlindungan) di sisi Allah maka Allah pun memberinya tempat (melindunginya). Adapun seorang lagi dia malu, maka Allah pun malu terhadapnya. Adapun seorang lagi, dia berpaling maka Allah pun berpaling daripadanya.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

PENJELASAN HADIS

Disebutkan tentang satu peristiwa pada zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Ketika Rasulullah sedang di majlis Baginda bersama para sahabat, datang tiga orang. Salah seorang nampak satu ruang kosong dalam majlis maka dia duduk mengisi ruang kosong itu.

Seorang lagi sekadar duduk di belakang. Adapun orang yang ketiga, dia melihat majlis itu, kemudian dia berpaling meninggalkan majlis itu, iaitu dia balik.

Selesai majlis, Rasulullah mentafsirkan apa yang berlaku itu dan Baginda berkata kepada para sahabat: “Mahukah kalian aku beritahu tentang tiga orang tadi? Salah seorang itu mencari tempat di sisi Allah maka Allah memberi tempat kepadanya.” Maksud yang sungguh mendalam. Dia mencari tempat di sisi Allah dalam majlis zikir, maka Allah pun memberikannya, sebab dia mencarinya.

Orang yang kedua pula apabila mendatangi majlis, dia melihat hadirin telah mengambil tempat, jadi dia tidak mahu susah-susah, Rasulullah mentafsirkan dia sebagai orang yang malu, lalu akibatnya Allah pun malu kepadanya. Maknanya dia malu untuk mendekati Allah (mencari tempat di sisi Allah), dia duduk di belakang, maka Allah pun malu kepadanya, dia tidak dapat tempat yang lebih hampir dengan Allah.

Adapun orang yang ketiga, dia berpaling maka Allah pun berpaling daripadanya. Ini orang yang paling rugi. Ini yang dimaksudkan oleh Imam Al-Nawawi apabila dia menyebut di awal bab, larangan meninggalkan majlis zikir tanpa uzur/ sebab.

Bukan majlis zikir melompat-lompat atau berjoget-joget. Tidak, yang dimaksudkan majlis zikir adalah majlis ilmu (syar’i).

Jadi kena ambil perhatian, supaya apabila kita mendapati ada majlis ilmu, jangan kita sewenang-wenangnya berpaling daripadanya, kerana dikhuatiri Allah berpaling daripada kita. Kerana kita tidak suka mendekati majlis Allah, yang mengingatkan kita kepada Allah, kita tidak gemar, kita malas, dikhuatiri Allah pun berpaling daripada kita.

FAEDAH HADIS

Antara faedah yang boleh kita ambil dari hadis ini, adalah perlunya kita mengisi dan memenuhi kekosongan dalam majlis ilmu.

Jangan kita jadi seperti orang yang kedua, duduk di belakang, jauh-jauh, malu-malu. Subhanallah, kalau kita lihat, ini yang masyarakat kita lakukan. Kadang-kadang saya sedih juga, Ustaz yang mengajar nun jauh di depan, tetapi yang dengar semua pakat mencari tiang. Mereka jahil tentang hadis ini, semua pakat malu, Allah pun malu dengan mereka.

Malu perlu kena pada tempatnya. Jangan malu buat kebaikan, jangan malu duduk di saff depan, jangan malu baca Al-Quran sebab takut salah, jangan malu pergi belajar sebab takut orang kata kamu tidak pandai, jika begitu selama-lamanya kamu akan tidak pandai.

Hadis ke-1450:

وعن أَبي سعيد الخدري رضي الله عنه قَالَ: خرج معاوية رضي الله عنه عَلَى حَلْقَةٍ في المَسْجِدِ، فَقَالَ: مَا أجْلَسَكُمْ؟ قالوا: جَلَسْنَا نَذْكُرُ اللهَ. قَالَ: آللهِ مَا أجْلَسَكُمْ إِلاَّ ذاك؟ قالوا: مَا أجْلَسَنَا إِلاَّ ذَاكَ، قَالَ: أما إنِّي لَمْ اسْتَحْلِفْكُمْ تُهْمَةً لَكُمْ، وَمَا كَانَ أحَدٌ بِمَنْزِلَتِي مِنْ رَسولِ الله صلى الله عليه وسلم أَقَلَّ عَنْهُ حَديثًا مِنِّي: إنَّ رسُولَ الله صلى الله عليه وسلم خَرَجَ عَلَى حَلْقَةٍ مِنْ أصْحَابِهِ فَقَالَ: «مَا أجْلَسَكُمْ؟» قالوا: جَلَسْنَا نَذْكُرُ الله وَنَحْمَدُهُ عَلَى مَا هَدَانَا للإسْلاَمِ؛ وَمَنَّ بِهِ عَلَيْنَا. قَالَ: «آللهِ مَا أجْلَسَكُمْ إِلاَّ ذَاكَ؟» قالوا: واللهِ مَا أجْلَسَنَا إِلاَّ ذَاكَ. قَالَ: «أمَا إنِّي لَمْ أسْتَحْلِفْكُمْ تُهْمَةً لَكُمْ، ولكِنَّهُ أتَانِي جِبرِيلُ فَأخْبَرَنِي أنَّ الله يُبَاهِي بِكُمُ المَلاَئِكَةَ». رواه مسلم

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu dia berkata, “Muawiyah (bin Abu Sufyan) radhiyallahu ‘anhuma keluar ke sebuah halaqah di masjid, maka dia berkata: “Apa yang membuat kalian duduk?” Mereka menjawab: “Kami duduk mengingati Allah.” Muawiyah berkata: “Demi Allah, tidaklah kalian duduk kecuali untuk itu sahaja?” Mereka menjawab: “Tidaklah kami duduk kecuali untuk itu.” Muawiyah berkata: “Ketahuilah, sesungguhnya aku tidak meminta kalian bersumpah kerana curiga, dan tidak ada seorang pun dengan kedudukanku di sisi Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam (sebagai ipar Rasulullah) yang lebih sedikit meriwayat hadis Baginda daripada aku (kerana berhati-hati dalam periwayatan): Sesungguhnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pernah keluar ke halaqah sahabatnya, maka Baginda bertanya: “Apa yang membuat kalian duduk?” Mereka menjawab: “Kami duduk mengingati Allah, dan kami memujiNya atas petunjukNya yang membawa kami kepada Islam dan mengurniakan Islam ke atas kami.” Rasulullah bersabda: “Demi Allah, tidaklah kalian duduk kecuali untuk itu?” Mereka menjawab: “Demi Allah, tidaklah kami duduk kecuali untuk itu.” Rasulullah bersabda: “Ketahuilah, sesungguhnya aku tidak meminta kalian bersumpah kerana curiga, tetapi Jibril telah mendatangiku dan memberitahu aku bahawa Allah berbangga dengan kalian di hadapan para Malaikat.” (Riwayat Muslim)

KANDUNGAN HADIS

  1. Keutamaan Muawiyah bin Abi Sufyan radhiyallahu ‘anhuma, dan sikap berhati-hatinya dalam menyampaikan/ meriwayatkan hadis.
  2. Boleh menuntut sumpah tanpa melakukan tuduhan, bertujuan menarik perhatian terhadap pentingnya perkara yang ingin disampaikan.
  3. Keutamaan melazimi majlis zikir/ halaqah ilmu secara rutin dan berterusan kerana Allah mencintainya dan membanggakannya di depan para Malaikat.

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

(Disalin dari rakaman kuliah Riyadhus Salihin, Bab 247, 03.05.2013)