Belum selesai baca Al-Fatihah / Doa di dalam Solat

Abu Omar, Idris bin Sulaiman

imam-shalat-jamaah-460x250Soalan: Bolehkah makmum memanjangkan sujudnya untuk berdoa sedangkan Imam pada ketika itu sedang membaca tahiyat. Kedua, bolehkah makmum meneruskan tasyahud kerana membaca doa yang panjang di antara tahiyat dan salam, sedangkan Imam sudah memberi salam?

Jawapan:

Barakallahu fikum. Saya perhatikan ini memang berlaku di dalam masyarakat kita bahkan ia turut berlaku di dalam Jemaah kita ini. Jadi hal ini perlu diperhatikan.

Boleh atau tidak makmum melewatkan pergerakannya daripada Imam atas alasan dia sedang membaca doa di dalam sujud, atau atas alasan dia sedang membaca doa selepas tahiyat sebelum salam. Maka dia melewatkan bangun daripada sujud tadi atau dia melewatkan salamnya. Bahkan saya menambah, Imam sudah ruku’ tetapi makmum belum habis membaca Al-Fatihah. Bagaimana?

Adakah dia kena habiskan Al-Fatihah? Kalau kita lihat, bacaan Al-Fatihah lebih penting kerana bacaan Al-Fatihah adalah wajib daripada satu sudut. Kalau bacaan doa, ianya tidak wajib. Adakah dia perlu habiskan Al-Fatihah, atau dia kena rukuk sebab Imam sudah rukuk?

Kalau kita perhatikan, keumuman perintah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam,

إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا وَإِنْ صَلَّى قَائِمًا فَصَلُّوا قِيَامًا وَنَزَلَ لِتِسْعٍ وَعِشْرِينَ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّكَ آلَيْتَ شَهْرًا فَقَالَ إِنَّ الشَّهْرَ تِسْعٌ وَعِشْرُونَ

“Sesungguhnya Imam itu dijadikan untuk diikuti. Maka jika dia bertakbir, maka bertakbirlah kamu. Dan jika dia ruku’, maka ruku’lah kamu. Dan jika dia sujud, maka sujudlah kamu. Dan jika dia salat dengan berdiri, maka shalatlah dengan berdiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Di dalam riwayat Bukhari, Nabi bersabda di penghujungnya,

وإذا صلى قَائِمًا فَصَلُّوا قِيَامًا وإذا صلى جَالِسًا فَصَلُّوا جُلُوسًا أَجْمَعُونَ

“Jika Imam salat berdiri maka salatlah berdiri, dan jika Imam salat secara duduk maka salatlah kamu secara duduk kesemua kamu.” (Riwayat Al-Bukhari).

Imam salat duduk jelas kerana keuzurannya, kerana di dalam salat fardhu kita diwajibkan berdiri. Tetapi Imam ada keuzuran maka dia salat secara duduk. Apa perintah Rasulullah? “Maka salatlah kamu secara duduk kesemua kamu.”

Adakah makmum di belakang ada keuzuran untuk salat duduk? Semua sihat-sihat. Tetapi Rasulullah mengatakan makmum tetap kena salat secara duduk (mengikut imam).

Mereka tidak ada keuzuran dari segi fizikal, tetapi mereka ada keuzuran iaitu perintah Rasulullah untuk mengikut Imam. Maka Imam salat duduk, makmum belakang wajib duduk walaupun mereka sihat. Asalnya mereka wajib berdiri, tetapi kerana Imam duduk, mereka wajib duduk.

Maka dalam pergerakan makmum dengan Imam, berdasarkan hadis yang dibacakan tadi, kita sudah jelas bahawa Rasulullah memerintahkan supaya makmum sentiasa ikut, bukan bersaing, dan bukan lambat. Ikut maknanya apa? Bila dia buat, kita ikut. Apabila Imam Allahu Akbar, kita pun terus Allahu Akbar. Apabila Imam rukuk, kita rukuk. Apabila Imam sujud, kita sujud. Kita ikut, jangan dilewatkan.

Dan hadis itu adalah umum, walau dengan apa alasan sekalipun. Walaupun kita belum membaca Al-Fatihah. Walaupun kita tahu ada hadis Rasulullah secara jelas mengatakan bahawa barangsiapa yang tidak membaca Al-Fatihah maka salatnya rosak. Kita faham, tetapi kita perlu menggabungkan antara kedua-dua dalil;

Satu dalil Rasulullah menyuruh ikut Imam, satu dalil lagi Rasulullah kata kena baca Al-Fatihah. Dan kita perhatikan bahawa kedua-dua hadis ini umum. Tetapi kaedahnya, adakah perintah supaya ikut Imam itu lebih kuat ataupun tuntutan supaya membaca Al-Fatihah lebih kuat?

Perhatikan kedua-duanya, kita akan dapati bahawa suruhan supaya membaca Al-Fatihah adalah lemah berbanding kewajipan makmum mengikut Imam.

Buktinya adalah seperti mana yang kita lihat, kalau kita masuk salat dan Imam sedang rukuk. Apa tindakan kita? Tidak ada siapa yang akan berdiri dan membaca Al-Fatihah. Sunnahnya adalah dia terus rukuk. Di mana Al-Fatihahnya? Dan dia mendapat rakaat itu kalau dia dapat kejar Imam di dalam rukuk. Tetapi di mana Al-Fatihah di dalam rakaat itu? Tergugur, kerana Imam sudah rukuk.

Maka kalau Imam sudah rukuk dan kita belum membaca Al-Fatihah, lebih parah lagi kalau kita jenis merangkak, jangan ditangguhkan rukuk.

Kesimpulannya begitu jugalah kalau Imam sudah bangun dari sujud, jangan ditangguhkan, walaupun kita ada doa yang penting dan belum habis membacanya. Doa itu boleh ditunda kepada salat sunat. Buat salat sunat dan bacalah doa apa yang hendak dibaca. Hendak baca panjang-panjang, no problem. Qiyamullail, lagi bagus.

Begitu juga kalau Imam sudah salam, (makmum) terus salam. InsyaAllah, ini satu peringatan mesra kepada para ikhwah semua, kalau Imam sudah rukuk, jangan dilewatkan, rukuk terus. Kalau Imam bangun, bangun. Kalau Imam bangun daripada sujud, bangun daripada sujud. Kalau Imam sudah salam, walaupun kita tidak habis lagi doa, walaupun doa ma’tsur atau tidak ma’tsur dan kita tidak selesai baca lagi, beri salam terus.

Adapun tentang bersaing, jangan juga bersaing. Lebih parah lagi kalau mendahului Imam. Jangan bersaing, dan jangan mendahului, sebaliknya kena ikut.

Begitu juga jika Imam mengangkat tangan untuk Qunut, makmum juga kena angkat tangan, berdasarkan keumuman hadis Imam dijadikan untuk diikuti. Bahkan jika Imam menambah rakaat, salat Isyak 4 rakaat dibuat 5 rakaat, makmum tetap kena ikut, menurut satu pendapat. Syaikh Albani rahimahullah melihat bahawa itu pendapat yang rajih (kuat).

Walaupun Imam membuat tambahan yang jelas salah, makmum wajib ikut. Malah perkara ini telah dilakukan oleh para Sahabat pun di belakang Rasulullah, di mana Rasulullah menambah sehingga 5 rakaat. Mereka ikut walaupun akhirnya mereka menegur Rasulullah dan Rasulullah menjelaskan bahawa Baginda terlupa.

Wallahu a’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman sesi soal jawab, kuliah Riyadhus Salihin:

http://www.mediafire.com/?max34gtljugg462