SIKAP IMAM AL-SYAFI’I TERHADAP AHLI BID’AH

Oleh: Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab Al-‘Aqil, Pensyarah Jabatan Akidah, Uni. Islam Madinah, Arab Saudi

Susunan Teks: Ustaz Idris bin Sulaiman, Pegawai Penyelidik, Kedutaan Arab Saudi

ahli bidaahDari mukjizat Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda mengatakan bahawa umat Islam akan berpecah. Ini adalah realiti pada hari ini di mana Umat Islam berpecah seperti mana yang disebutkan dalam hadis perpecahan Umat, di mana Baginda mengatakan bahawa umat Islam akan berpecah kepada 73 kumpulan, kesemuanya di dalam api neraka kecuali satu sahaja.

Hal ini juga disebutkan di dalam hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam daripada riwayat sahabat Irbadh bin Sariyah di mana Baginda mengatakan bahawa barangsiapa yang umurnya panjang dan hidup selepas kewafatan Baginda akan melihat perselisihan yang banyak, maka hendaklah dia berpegang dengan sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dan sunnah para Khulafa’. Inilah jalan yang selamat, iaitu kembali kepada sunnah Nabi dan juga sunnah para sahabat.

SYIAH PADA ZAMAN IMAM AL-SYAFI’I

Perkembangan mazhab Syiah pada zaman Imam Al-Syafi’i sangat lemah. Walaubagaimanapun ia tidak menghalang Imam Al-Syafi’i daripada menyanggah pengikut-pengikut Syiah ini. Yunus bin ‘Abdul A’la berkata: “Aku mendengar Imam Al-Syafi’i apabila disebut nama (Syiah) Rafidhah, dia pun mencela mereka sekeras-kerasnya dan mengatakan bahawa mereka adalah seburuk-buruk golongan.” (Manaqib Al-Baihaqi)

Imam Al-Syafi’i juga berkata: “Aku tidak pernah melihat seorang pun yang aku bersaksi akan kebohongannya selain dari golongan (Syiah) Rafidhah.’” (Ibid)

Imam Al-Syafi’i juga tidak membolehkan harta rampasan perang dibahagi sedikit pun kepada penganut Syiah Rafidhah yang ikut berperang. Beliau rh. berkata: “Tidak diberi bahagian dari harta rampasan sedikit pun kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman ketika menyebut ayat tentang rampasan, maksudnya: “Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: ‘Wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami.” (Al-Hasyr: 10), maka siapa yang tidak mengatakan ini tentu dia tidak berhak.” (Al-Thabaqat)

Ayat ini menunjukkan tentang wajibnya mencintai para sahabat Nabi kerana syarat untuk ditetapkan bahagian dari harta rampasan untuk orang-orang yang datang sesudah Sahabat Nabi adalah konsisten dalam cinta, kesetiaan, dan beristighfar untuk mereka (sahabat Nabi). Sebaliknya, orang yang mencela seorang sahaja dari mereka atau mempunyai keyakinan buruk terhadapnya, dia sama sekali tidak mempunyai hak di dalam harta rampasan.”

Hal yang sama diriwayatkan oleh Imam Malik dan yang lain. Imam Malik berkata, “Siapa yang membenci salah seorang sahaja dari sahabat Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam atau di hatinya tersimpan dengki kepada mereka, maka tidak ada hak baginya dalam harta rampasan kaum Muslimin.” Kemudian dia membacakan firman Allah dalam Surah Al-Hasyr ayat 10. (Tafsir Al-Qurthubi)

Walaupun begitu jelas penolakan Imam Al-Syafi’i terhadap Syiah, serta penolakannya terhadap kesaksian Syiah, serta larangannya untuk solat di belakang Syiah, namun ada sahaja kelompok yang menuduh Imam kaum Muslimin ini sebagai Syiah. Tuduhan ini telah dibantah antaranya oleh muridnya sendiri iaitu Imam Ahmad rh.

Ibnu Katsir pula menegaskan: “Imam Al-Syafi’i terlalu mulia kedudukannya dan terlalu tinggi kehormatannya untuk sependapat dengan Syiah, suatu kelompok pinggiran, sebab beliau memiliki pemahaman yang sempurna, hafalan yang luar biasa, pemikiran yang cemerlang, dan daya logik yang cermat.” Kemudian Ibnu Katsir menyebutkan bukti-bukti tentang sikap konsistennya Imam dalam mengikuti mazhab Salaf dalam menyikapi para Sahabat.

PANDANGAN IMAM AL-SYAFI’I TERHADAP SUFI

Tasawuf adalah satu metod yang permulaannya adalah zuhud total dan kemudian berkembang dan setelah itu para penganutnya mula memperkenalkan nyanyian, muzik, dan tarian. Menurut mereka, tasawuf adalah pelatihan jiwa dan mujahadah ke arah akhlak yang baik seperti zuhud, sabar, ikhlas, jujur dan sifat terpuji yang lain. Akhirnya mereka dihalangi dari ilmu kerana mereka melihat bahawa yang menjadi tujuan adalah amal perbuatan. Apabila cahaya ilmu telah terpadam, akibatnya mereka teraba-raba dalam kegelapan.

Tidak dinafikan bahawa niat dan tujuan mereka baik, namun mereka tidak berada di atas kebenaran akibat tidak menitik beratkan ilmu sehingga ada di antara mereka yang mengamalkan hadis-hadis maudhu’ (palsu) sedangkan dia sendiri tidak menyedarinya. Tatacara ibadah beberapa kelompok di antara mereka menjadi bercabang-cabang kepada tarikat-tarikat sehingga akidah mereka pun menjadi rosak.

Pada zaman Imam Al-Syafi’i belum ada pendokong sufi kecuali sangat sedikit. Ungkapan sufi tidak popular pada tiga abad pertama, tetapi setelah kurun itu apabila ia mulai muncul, perbincangan tentang sufi banyak dibicarakan. Imam Syafi’i tidak ketinggalan menyanggah setiap bid’ah yang dilihat pada golongan ini. Telah masyhur perkataan Imam Al-Syafi’i tentang sufi, antaranya beliau berkata: “Pangkal tasawuf itu adalah kemalasan.” (Manaqib Al-Baihaqi)

Akibat jauhnya ahli sufi dari ilmu, Iblis sentiasa mengelabui mata mereka dengan pelbagai bentuk bid’ah hingga mereka mewujudkan untuk diri mereka sunnah-sunnah (tatacara ibadah) ciptaan mereka sendiri. Contohnya seperti bid’ah taghbir iaitu mereka menyebut “Allah, Allah” dengan menepuk-nepuk di atas tanah (untuk menghasilkan irama).

Berkenaan hal ini, Imam Al-Syafi’i berkata, “Aku tinggalkan di Iraq suatu yang diciptakan oleh kaum Zindiq, iaitu taghbir yang mereka sangka dapat melunakkan hati. Padahal ia menjauhkan manusia dari Al-Quran.” (Manaqib Al-Baihaqi)

Dari Ibnul Jauzi, Abu Mansur Al-Azhari menyebut bahawa mughabbirah adalah sekelompok orang yang bersungguh-sungguh di dalam zikir kepada Allah dengan doa dan merendah diri kepadaNya. Mereka menamakan apa yang mereka senangi dari syair taghbir. Apabila mereka melihat ia dilantunkan dengan suara yang merdu, mereka merasa senang dan menari-nari. Dari itu mereka dinamakan mughabbirah.

Imam Al-Syafi’i berkata: “Sama’ (mendengar nyanyian) adalah hiburan yang dibenci dan menyerupai kebatilan. Siapa yang banyak melantunkannya, dia termasuk orang yang dungu dan tidak diterima kesaksiannya.” Al-Zajjaj berkata: “Imam Al-Syafi’i membenci taghbir. Kalangan pemuka dari teman-teman Imam Al-Syafi’i  mengingkari sama’ sebagaimana tidak ada perbezaan di kalangan pengikut awalnya tentang hal itu. Di kalangan pengikutnya yang akhir yang turut mengingkari ialah Abu Al-Thayyib Al-Thabari, bahkan dia menulis kitab tentang larangan dan celaan terhadap nyanyian.

Selain Abu Al-Thayyib, juga Al-Qadhi Abu Bakar Muhammad bin Muzaffar Al-Syami. Dia berkata, “Tidak dibolehkan nyanyian, mendengarnya, dan memukul-mukul tongkat (untuk menghasilkan irama).  Barangsiapa menyandarkan hal itu kepada Imam Al-Syafi’i bererti dia telah berbuat dusta terhadapnya.” Bahkan Imam Al-Syafi’i menerangkan di dalam kitab Adab Al-Qadha’: “Apabila seseorang terus-menerus mendengar nyanyian, nescaya ditolak kesaksiannya dan batal kelurusan agamanya.”

Ibnul Jauzi berkata: “Ini adalah pendapat kalangan ulama Syafi’iyah dan para ahli agama di antara mereka. Hanya kalangan mutaakkhir (orang yang datang kemudian) yang memberi kemudahan tentang hal itu, yakni orang yang minima ilmu dan dikuasai hawa nafsu.” (Talbis Iblis)

Dalam hal ini, perlu kita ketahui bahawa setiap jalan dan setiap syariat yang tidak menepati cara dan ajaran Rasulullah adalah sesat dan terpesong. Ini kerana ilmu itu adalah apa yang difirmankan oleh Allah dan apa yang disabdakan oleh Rasulullah dan apa yang disebut oleh para sahabat. Selain daripada itu bukanlah ilmu sebaliknya adalah bisikan daripada Syaitan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam melakukan setiap yang makruf dan melarang setiap yang munkar, menghalalkan setiap yang baik dan mengharamkan setiap yang buruk. Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidaklah Allah mengutus seorang Nabi, kecuali sudah menjadi kewajipan baginya untuk mengarahkan umatnya kepada kebaikan sesuai apa yang diketahuinya untuk mereka, dan melarang dari keburukan apa yang diketahui untuk mereka.” (Riwayat Muslim)

CARA MENYIKAPI AHLI BID’AH PADA ZAMAN INI

Kita berdepan dengan ahli bid’ah pada zaman ini seperti mana ulama-ulama Islam telah berdepan dengan mereka pada zaman dahulu. Kita menasihati mereka serta memberi peringatan yang baik kepada mereka. Di samping itu kita juga memulau majlis-majlis mereka dan tidak menghadiri majlis-majlis mereka. Hal ini adalah kerana majlis bid’ah tidak diredai oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan mengundang murka Allah.

Imam Ahmad ketika ditanya tentang taghbir, beliau menjawab: “Sesuatu yang bid’ah.” Beliau ditanya lagi: “Bolehkah kami duduk-duduk bersama mereka?” Beliau menjawab: “Tidak boleh duduk bersama mereka.” (Majmu’ Al-Fatawa)

Sesungguhnya kebaikan itu semuanya terletak pada perbuatan mengikuti Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, sedangkan keburukan semuanya terletak pada perbuatan yang menyalahinya iaitu bid’ah dalam masalah yang Allah tidak izinkan padanya (masalah agama). Wallahu a’lam.

Artikel ini disiarkan di akhbar pada Sabtu, 22 Jun 2013

sinar 22.06.2013