MEMBACA AYAT AL-QURAN: DI MANA TEMPAT A’UZUBILLAH & BISMILLAH DIBACA

Ustaz Idris bin Sulaiman

-Petikan rakaman forum Bertaubatlah Mengikut Al-Quran dan Sunnah, 26.05.2013:

mushafApabila kita di dalam majlis-majlis ilmu, sudah tentu kita tidak akan lari daripada membawakan dalil-dalil daripada ayat Al-Quran ataupun hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Berkenaan dengan ayat Al-Quran secara khasnya, seperti mana ayat Al-Quran yang saya bacakan tadi, saya tidak membacakan A’uzu billahi min al-syaithaani al-rajim dan saya tidak membacakan Bismillahi Al-Rahmani Al-Rahim. Saya tidak terlupa, sebaliknya saya memang sengaja, kerana itu juga termasuk dalam sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Perlu dibezakan apabila kita membaca ayat Al-Quran sama ada tujuannya untuk tilawah ataupun tujuannya untuk istidlal (sebagai pendalilan) yakni untuk tujuan mengajar dan membawa bukti dan hujjah.

Hanya untuk bacaan tilawah sahaja kita membaca A’uzu billahi min al-syaithaani al-rajim ataupun Bismillahirrahmanirrahim di mana Bismillah dibaca khas ketika di awal surah. Kesemua surah-surah Al-Quran sebanyak 114 dimulakan dengan Bismillah kecuali satu surah iaitu Surah Al-Taubah. Tetapi semua ayat-ayat Al-Quran tidak kira pada mulanya atau pertengahannya termasuk surah Al-Taubah itu mesti dimulakan dengan A’uzubillahi min al-syaitan al-rajim.

Sekiranya ayat itu di awal surah, maka ditambah dengan membaca Bismillahirrahmanirrahim.

Kalau ayat itu di pertengahan atau di hujung surah, cukup dengan kita membaca A’uzubillahi min al-syaitan al-rajim, jangan dibaca Bismillahirrahmanirrahim.

Itu sekiranya ayat itu dibaca untuk tujuan tilawah iaitu untuk tujuan beribadah. Adapun sekiranya kita membacanya bertujuan untuk pendalilan atau untuk membawakan hujjah, jangan dibaca A’uzubillah, jauh sekali dari membaca Bismillah.

Ini adalah sunnahnya, di mana saya melihat ramai yang tidak mengetahui tentang sunnah ini. Bahkan kadang-kadang di atas mimbar Jumaat ada juga yang masih membaca A’uzubillahi min al-syaitan al-rajim ditambah lagi dengan Bismillahirrahmanirrahim walaupun bukan di awal surah. Dan kadangkala ditambah lagi iaitu dibacanya dengan berlagu seolah-olah dia sedang membacanya untuk tilawah. Sedangkan dia bukan sedang tilawah, dia sedang membawa dalil dari Al-Quran secara khasnya. Jadi tidak perlu kepada semua itu.

-Dipetik dari rakaman forum Bertaubatlah Mengikut Al-Quran dan Sunnah, 26.05.2013