BIDAAH HASANAH

Abu Omar, Idris bin Sulaiman

Muat turun risalah ini (PDF) untuk sebaran: BIDAAH HASANAH – Brochure

img_0019

Kitab Al-I’tisham oleh Imam Al-Syathibi yang telah diterjemahkan, membahas permasalahan bid’ah dan sunnah

1.    DEFINASI BIDAAH

Menurut Bahasa Arab:

Suatu yang dilakukan tanpa ada contoh sebelumnya (Lisaan Al-Arab, 8/6).

Menurut Syarak:

Imam Al-Syatibi dalam kitab beliau Al-I’tisam mendefinasikan bidaah sebagai:

طَرِيقَة فِي الدِّينِ مُخْتَرَعَةٍ، تُضَاهِي الشَّرْعِيَّةَ يُقْصَدُ بِالسُّلُوكِ عَلَيْهَا الْمُبَالَغَةُ فِي التَّعَبُّدِ لِلَّهِ تعالى

(Jalan dalam Agama yang direka-reka, bentuknya menyerupai Syariat, dan dilakukan dengan tujuan untuk berlebih-lebihan dalam beribadah kepada Allah Ta’ala)

Berdasarkan kenyataan beliau ‘Jalan dalam Agama’ dalam definasi bidaah di atas, dapat difahami bahawa bidaah itu merujuk kepada urusan dalam hal-ehwal Agama atau ibadah dan bukan adat yang bersangkut-paut tentang hal-ehwal keduniaan.

Dikatakan ‘yang direka-reka’ bagi merujuk kepada perkara yang diada-adakan tanpa ada contoh daripada Syarak. Ini kerana bidaah itu di luar lingkungan ajaran Agama dan bukan sebahagian daripada Agama.

‘Bentuknya menyerupai Syarak’ dengan ertikata ia seolah-olah daripada ajaran Agama walhal ia tidak. Bahkan ia bercanggah dengan Agama.

‘Dilakukan dengan tujuan untuk berlebih-lebihan dalam beribadah kepada Allah’ – inilah realiti di sebalik perlakuan bidaah. Bahkan inilah tujuan utamanya.

2.    BAHAYA BIDAAH 

Berkata Sufyan Al-Thauri rahimahullah (wafat 161H), “Bidaah itu lebih dicintai oleh Iblis daripada maksiat. Ini kerana orang akan bertaubat daripada maksiat tetapi tidak daripada bidaah.” (Riwayat Al-Lalaka’i (1/132) dan Al-Baghawi dalam Syarah Al-Sunnah (1/216).

Ini kerana pelaku bidaah melihat bahawa perbuatannya adalah baik bahkan ia akan mendekatkan dirinya kepada Allah. Oleh itu, persoalan untuk bertaubat tidak akan terlintas dalam hatinya. Bahkan dia berharap untuk terus teguh dalam amalan bidaahnya. Sebagaimana dalam firman Allah,

“Apakah mereka yang diperelokkan kepadanya amal buruknya lalu dia melihatnya baik” (Fathir, ayat 8).

Berbeza dengan maksiat, pelakunya sentiasa merasakan bahawa dirinya bersalah dan berdosa. Oleh itu, kebarangkalian untuknya bertaubat adalah besar. Inilah titik perbezaan antara bidaah dan maksiat walaupun secara dasarnya sekiranya kedua-dua pelaku bidaah dan maksiat bertaubat kepada Allah, insyaAllah Allah akan mengampuni kedua-dua mereka.

3. DAKWAAN ADANYA BIDAAH HASANAH

Di antara sebab-sebab tersebarnya bidaah di kalangan Masyarakat Islam adalah kerana ramai daripada mereka yang menganggap bahawa terdapat bidaah baik dalam Agama yang boleh dilakukan. Ia dinamakan ‘bidaah hasanah’.

Mereka mengakui bahawa ia adalah bidaah tetapi dalam masa yang sama mereka mengatakan bahawa ia adalah baik berdasarkan kepercayaan mereka bahawa bidaah itu terbahagi kepada dua: 1. Bidaah Hasanah (baik); 2. Bidaah Dhalalah (sesat).

4. PENJELASAN BAHAWA SEMUA BIDAAH ADALAH DHOLALAH (SESAT)

1.     Daripada Jabir bin Abdullah radhiyallahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sering kali dalam khutbahnya berkata, “Selanjutnya, sebaik-baik ucapan adalah Kitab Allah dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad; dan seburuk-buruk perkara adalah perkara-perkara yang baru dan semua bidaah adalah sesat(Muslim).

2.     Daripada Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam memberi kami peringatan sehingga membuatkan air mata kami berlinangan dan menimbulkan kegentaran di dalam hati kami. Seorang berkata: Wahai Rasulullah: Seakan-akan peringatan ini adalah yang terakhir daripadamu, apakah pesananmu buat kami? Baginda menjawab: “Aku berpesan kepada kamu agar bertakwa kepada Allah, dengar dan patuh walaupun kepada seorang hamba Habsyi, sesungguhnya sesiapa daripada kamu yang hidup lama setelah pemergianku akan menyaksikan pertelingkahan yang banyak, maka hendaklah kamu berpegang dengan Sunnahku dan Sunnah para Khalifah yang mendapat petunjuk dan bimbingan. Hendaklah kamu berpegang dengannya. Gigitlah ia dengan gigi gerahammu. Hindarilah daripada perkara-perkara yang baru kerana sesungguhnya setiap yang baru adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat(Sahih. Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).

Berkata Ibnu Rajab rahimahullah, “Kenyataan Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam bahawa ‘Semua bidaah adalah sesat’ adalah satu ucapan yang cukup jelas dan sempurna. Ia merangkumi kesemuanya bahkan ia menjadi dasar yang cukup penting dalam Agama” (Jami’ Uloom Al-Hikam, hadis 28).

Berkata Syeikh Uthaimin rahimahullah (wafat 1420H), “Kenyataan Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam ‘Semua bidaah’ mencakupi kesemuanya kerana Baginda menggunakan perkataan cakupan dan keumuman yang paling kuat dan jelas iaitu perkataan: semua” (Al-Ibda’ Fi Kamaal Al-Syara’, hlm. 13).

3.     Berkata Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu, “Ikutilah Sunnah (ittiba’) dan jangan lakukan bidaah kerana (Sunnah) sudah mencukupi; dan sesungguhnya semua bidaah adalah sesat” (Riwayat Ibnu Battah dalam Al-Ibanah, Hadis No 175; dan Al-Lalaka’i dalam Syarah I’tikaad Ahlu Sunnah, Hadis No. 104).

4.     Berkata Imam Malik bin Anas radhiyallahu ‘anhu, “Barangsiapa mereka-reka satu bidaah dalam Islam dengan menyangka bahawa ia adalah baik, sesungguhnya dia telah mendakwa bahawa Rasulullah telah khianat dalam menyampaikan risalahnya. Ini kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ اْلإِسْلاَمَ دِينًا

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu Agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi Agama untuk kamu” (Al-Maa’idah, 3).

Oleh itu, apa yang bukan sebahagian daripada Agama ketika itu (pada zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam) maka ia juga tidak akan menjadi sebahagian daripada Agama pada hari ini” (Al-I’tisaam oleh Imam Al-Syaatibi, 1/64).

5.    SYUBHAT-SYUBHAT ADANYA BIDAAH HASANAH   

Syubhat Pertama: Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:

“مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْء”

(Barangsiapa menunjukkan satu jalan yang baik dalam Islam (Sunnah Hasanah) maka dia akan mendapat pahalanya dan pahala orang yang mengerjakannya tanpa dikurangkan pahala mereka sedikit pun; dan barangsiapa menunjukkan satu jalan yang buruk dalam Islam (Sunnah Sayyi’ah) maka dia akan mendapat dosanya dan dosa mereka yang mengerjakannya tanpa dikurangkan dosa mereka sedikit pun) (Riwayat Muslim).

Jawapan:

1. Kedua-dua ucapan ‘Barangsiapa menunjukkan satu jalan yang baik’ dan ‘Semua bidaah adalah sesat’ datang daripada orang yang sama iaitu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Tidak mungkin ada percanggahan antara kedua-dua ucapan tersebut.

2. Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam tidak mengatakan ‘Barangsiapa menunjukkan satu bidaah yang baik’ (بِدْعَةً حَسَنَةً) sebaliknya Baginda mengatakan ‘Barangsiapa menunjukkan satu jalan yang baik’ (سُنَّةً حَسَنَةً). Terdapat perbezaan ketara antara kedua-dua lafaz. Sunnah menurut bahasa membawa maksud jalan yang diikuti. Adapun Bidaah, ia membawa maksud satu perkara yang baru.

Sunnah Hasanah’ yang dimaksudkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tentu sahaja ‘Sunnah’ daripada sudut bahasa dan bukan Syarak. Sunnah dalam istilah bahasa membawa maksud ‘jalan yang diikuti’. Tafsiran sebegini perlu kerana tidak ada dalam Syarak ‘Sunnah yang Buruk’ (Sunnah Sayyi’ah). Sebaliknya, kesemua ‘Sunnah’ Baginda adalah baik-baik belaka di sisi Syarak.

3. Peristiwa disebalik mengapa Hadis ini disebutkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam (Sabab Wurud) tidak menunjukkan adanya bidaah yang dilakukan.

Ia diriwayatkan oleh Jarir bin Abdullah Al-Bajali radhiyallahu ‘anhu yang berkata: Ketika waktu tengah hari kami bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam lalu datang sekumpulan manusia yang (seakan-akan) telanjang. Mereka hanya memakai selembar kain yang telah dilubangkan ditengahnya (untuk menyarung kepala) dan membawa pedang. Kebanyakan mereka daripada Suku Mudhar bahkan mereka semua daripada Suku Mudhar. Wajah Baginda berubah apabila melihat keadaan mereka yang cukup susah. Baginda lalu masuk ke rumah dan keluar semula seraya memerintahkan Bilal supaya melaungkan azan dan iqamat. Setelah itu Baginda berkhutbah dan membaca firman Allah, “Wahai manusia, bertakwalah kepada Allah yang telah mencipta kamu daripada diri yang satu” sehingga ke akhir ayat (Al-Nisaa’, ayat 1). Baginda juga membaca ayat, “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan lihatlah apa yang telah dipersiapkan untuk hari esok” (Al-Hasyr, ayat 18). Lalu Baginda bersabda, “Bersedekahlah kalian daripada wang dinar, wang dirham, pakaian, segantang barli dan segantang kurma.” Baginda sehingga berkata, “walaupun dengan setengah kurma.” Maka seorang lelaki Ansar datang dengan membawa seikat kurma yang tangannya hampir-hampir tidak mampu membawanya. Lalu orang-orang lain pun turut serta sehingga aku melihat dua longgokan makanan dan pakaian. Wajah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berubah menjadi bersinar-sinar bak berlapikkan emas. Baginda pun bersabda, “Barangsiapa menunjukkan satu jalan yang baik dalam Islam (Sunnah Hasanah) maka dia akan mendapat pahalanya dan pahala orang yang mengerjakannya tanpa dikurangkan pahala mereka sedikit pun; dan barangsiapa menunjukkan satu jalan yang buruk dalam Islam (Sunnah Sayyi’ah) maka dia akan mendapat dosanya dan dosa mereka yang mengerjakannya tanpa dikurangkan dosa mereka sedikit pun” (Muslim).

Berdasarkan peristiwa di atas, dapat disimpulkan bahawa mereka yang mentafsirkan lafaz hadis ‘barangsiapa menunjukkan satu jalan yang baik’ dengan tafsiran ‘barangsiapa menunjukkan satu bidaah yang baik’ mereka bukan sahaja telah menyalahi Syarak bahkan mereka juga telah menyalahi sabab wurud hadis ini.

Ini kerana jelas dalam peristiwa ini tidak ada perbuatan bidaah yang dilakukan  sebaliknya apa yang berlaku adalah Sunnah Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam dihidupkan iaitu menyahut tuntutan untuk memperbanyakkan sedekah.

Syubhat Kedua: Kenyataan Omar Al-Khattab radhiyallahu ‘anhu:

“نِعْمَةِ البِدْعَةُ هَذِهِ”

(Ini adalah sebaik-baik bidaah) (Al-Muwatta’ oleh Imam Malik)

Jawapan:

1. Andainya kenyataan ini benar-benar membawa maksud adanya Bidaah Hasanah, ia sama sekali tidak boleh digunakan untuk menyanggah kenyataan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bahawasanya “Semua bidaah adalah sesat” (Muslim).

Imam Syafie rahimahullah berkata, “Ulama Islam sepakat bahawa barangsiapa sudah terjelas kepadanya Sunnah Rasulullah tidak boleh baginya untuk meninggalkannya kerana kata-kata orang lain” (I’laam Al-Muwaqqi’in oleh Ibnu Al-Qayyim, 2/282).

2. Sayyidina Omar radhiyallahu ‘anhu menuturkan kata-kata ini apabila melihat masyarakat Islam mengerjakan Solat Tarawih secara berjemaah. Solat Tarawih secara berjemaah sama sekali bukan bidaah. Ini berdasarkan kepada riwayat Aisyah radhiyallahu ‘anha, “Bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam solat pada suatu malam dalam masjid dan orang-orang pun solat dibelakang Baginda. Pada hari berikutnya Baginda solat dan mereka yang hadir terus bertambah. Mereka berkumpul pada hari ketiga tetapi Rasulullah tidak keluar dari rumah Baginda. Pada hari berikutnya Baginda berkata, “Aku telah melihat apa yang kalian lakukan; dan tidaklah yang menghalangku keluar untuk solat bersama kalian melainkan kerana aku khuatir ia akan difardukan (diwajibkan) ke atas kalian.” Berkata Aishah: Peristiwa ini berlaku pada Bulan Ramadhan” (Sahih. Riwayat Abu Daud).

Maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah pun menjelaskan mengapa Baginda tidak meneruskan Solat Tarawih secara berjemaah kerana kekhuatiran Baginda ia akan bertukar menjadi wajib.

Maka apabila Sayyidina Omar radhiyallahu ‘anhu melihat bahawa kekhuatiran itu sudah tiada (dengan terhentinya wahyu setelah kewafatan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam) beliau menghidupkan semula Solat Tarawih secara berjemaah. Maka apa yang dilakukan oleh beliau adalah berasal daripada Sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sendiri. Ia sama sekali bukan bidaah.

3. Jelas bahawa Sayyidina Omar radhiyallahu ‘anhu memaksudkan perkataan ‘bidaah’ daripada sudut bahasa dan bukan Syarak. Bidaah daripada sudut bahasa bermaksud ‘Suatu yang dilakukan tanpa ada contoh sebelumnya’. Ini mengenangkan Solat Tarawih untuk sekian lamanya tidak dikerjakan secara berjemaah iaitu sepanjang zaman Khalifah Abu Bakar radhiyallahu ‘anhu dan di awal zaman Khalifah Omar radhiyallahu ‘anhu. Daripada sudut ini ia dilihat sebagai ‘suatu yang baru yang tidak ada contoh sebelumnya’. Adapun daripada Syarak ia bukan bidaah kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telahpun mengerjakannya secara berjemaah seperti mana dalam riwayat Aisyah radhiyallahu ‘anha di atas.

Syubhat Ketiga: Athar Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu:

“مَا رَآهُ الْمُسْلِمُونَ حَسَنًا فَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ حَسَنٌ”

(Apa yang dilihat baik oleh orang Islam maka ia adalah baik di sisi Allah) (Riwayat Imam Ahmad)

Jawapan:

1. Kenyataan ini tidak sabit daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Sebaliknya ia adalah athar daripada Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anh. (Silsilah Al-Dha’ifah oleh Syeikh Al-Albani, Hadis no. 533, 2/17).

2. ‘Orang Islam’ yang dimaksudkan bukan secara umumnya sebaliknya ia adalah ‘para Sahabat’ secara khasnya. Merekalah yang dimaksudkan berdasarkan kenyataan lengkap Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anh sebelum itu iaitu, “Sesungguhnya Allah melihat kepada hati manusia dan mendapati bahawa hati Muhammad adalah sebaik-baik hati. Maka Allah memilih Baginda dan melantik Baginda sebagai utusanNya. Lalu Allah melihat hati-hati manusia sesudah hati Muhammad dan mendapati bahawa hati-hati Sahabat Baginda adalah sebaik-baik hati. Maka Allah melantik mereka sebagai pembantu Baginda yang berperang untuk menegakkan AgamaNya. Maka apa yang dilihat baik oleh orang Islam maka ia adalah baik di sisi Allah, dan apa yang dilihat buruk oleh mereka maka ia adalah buruk di sisi Allah” (Riwayat Imam Ahmad).

Terdapat dalam riwayat lain tambahan, “Dan para Sahabat telah memilih untuk melantik Abu Bakar sebagai Khalifah” (Al-Mustadrak, 3/78). Tambahan ini jelas menunjukkan bahawa ‘orang Islam yang dimaksudkan adalah ‘para Sahabat’.

Sekiranya begitu, para Sahabat telah pun sepakat dalam mencela semua bidaah. Tidak ada satu riwayat pun daripada mereka yang membaikkan mana-mana bidaah.

3. Andaikata ‘orang Islam’ yang dimaksudkan adalah orang Islam secara umumnya, maka ia bererti ijmak dan ijmak adalah hujjah di sisi Syarak. Dalam hal ini, bagi mereka yang berhujjah dengan athar ini untuk mengatakan adanya Bidaah Hasanah: Apakah mereka boleh membawa satu contoh bidaah yang mana Umat Islam telah ijmak dalam mengatakan ia adalah baik? Tentu sahaja mustahil.

Ini kerana tidak ada mana-mana bidaah yang Umat Islam telah ijmak dalam mengatakan ia adalah baik. Bahkan generasi-generasi awal Umat Islam telah sepakat dalam mengatakan bahawa semua bidaah adalah sesat. Inilah realitinya sehinggalah ke hari ini.

4. Bagaimana mungkin kenyataan Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu ini digunakan bagi membolehkan adanya Bidaah Hasanah sedangkan beliau adalah di kalangan Sahabat yang paling lantang dalam melarang bidaah sebagai mana yang telah dinukilkan daripada beliau  “Ikutilah Sunnah (ittiba’) dan jangan lakukan bidaah kerana (Sunnah) sudah mencukupi; dan sesungguhnya semua bidaah adalah sesat”.

Syubhat Keempat: Kenyataan Imam Syafie rahimahullah:

“الْبِدْعَةُ بِدْعَتَانِ بِدْعَةٌ مَحْمُودَةٌ، وَبِدْعَةٌ مَذْمُومَةٌ. فَمَا وَافَقَ السُّنَّةَ فَهُوَ مَحْمُودٌ، وَمَا خَالَفَ السُّنَّةَ فَهُوَ مَذْمُومٌ”

(Bidaah itu dua: Bidaah yang Dipuji dan Bidaah yang Dikeji. Apa yang menepati Sunnah adalah dipuji. Manakala apa yang bercanggah dengan Sunnah adalah dikeji) (Hilyatul Awliyaa’, 9/113).

Jawapan:

1. Hakikatnya, kata-kata Imam Syafie ini jika diamati, beliau jelas  memaksudkan ‘Bidaah yang Dipuji’ dengan bidaah menurut bahasa dan bukan menurut Syarak.

Berkata Abdullah bin Omar radhiyallahu ‘anhu, “Semua bidaah adalah sesat walaupun manusia menganggapnya baik” (Riwayat Ibnu Battah dalam Al-Ibanah, Hadis no. 205; dan    Al-Lalaka’i dalam Syarah I’tikaad Ahlu Sunnah, Hadis No. 126).

Buktinya, semua bidaah dalam Syarak bercanggah dengan Al-Quran dan Sunnah. Ia bertentangan dengan firman Allah, “Pada hari ini Aku telah sempurnakan Agama kamu” (Al-Maa’idah, 3) dan sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, “Barangsiapa melakukan suatu yang baru dalam urusan kami ini (Agama) yang bukan daripadanya maka ia adalah tertolak” (Bukhari dan Muslim). Walhal Imam Syafie rahimahullah telah pun mensyaratkan bagi ‘Bidaah yang Dipuji’ supaya ia tidak menyalahi Al-Quran dan Sunnah.

Berkata Ibnu Rajab rahimahullah, “Apa yang dimaksudkan oleh Imam Syafie rahimahullah dengan ‘Bidaah yang Dikeji’ adalah apa yang tidak ada asal-usulnya dalam Syarak. Ia adalah bidaah menurut istilah Syarak. Adapun ‘Bidaah yang Dipuji’ maka ia adalah apa yang menepati Sunnah. Dengan erti kata lain ia mempunyai asal-usulnya dalam Sunnah. Tidaklah ia bidaah melainkan menurut bahasa sahaja sedangkan dalam Syarak ia bukan bidaah kerana ia bertepatan dengan Sunnah” (Jami’ Al-Ulum Wa Al-Hikam, hadis no. 28).

Contoh ‘Bidaah yang Dipuji’ adalah seperti pembukuan Al-Quran, penulisan hadis dan Solat Tarawih secara berjemaah. Daripada satu sudut, ia boleh dinamakan sebagai bidaah tetapi menurut istilah bahasa sahaja. Adapun dalam istilah Syarak ia bukan bidaah. Ini kerana ia mempunya asal-usulnya dalam Sunnah.

Ringkasnya, suatu yang dikatakan bidaah itu tidak akan lari daripada dua keadaan:

  1. Ia bidaah daripada sudut bahasa sahaja dan bukan daripada sudut Syarak; atau
  2. Ia sememang bidaah maka ia adalah tercela kerana ia menyalahi Syarak.

2.

  • Imam Syafie rahimahullah terkenal dengan keteguhan beliau berpegang dengan Sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam serta menyanggah perkara-perkara bidaah.

Kata beliau, “Sekiranya engkau dapati dalam buku aku apa yang menyalahi Sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, hendaklah kamu berpegang dengan Sunnah Baginda dan tinggalkan apa yang aku katakan” (Siyar A’laam Al-Nubalaa’ 10/34).

Kata beliau lagi, “Semua hadis Nabi adalah kata-kataku jua walaupun engkau tidak mendengarnya daripadaku” (Siyar A’laam Al-Nubalaa’ 10/34).

Syubhat Kelima: Kenyataan Al-Izz bin Abdul Salam rahimahullah:

 “الْبِدْعَةُ فِعْلُ مَا لَمْ يُعْهَدْ فِي عَصْرِ رَسُولِ اللَّهِ r وَهِيَ مُنْقَسِمَةٌ إلَى: بِدْعَةٌ وَاجِبَةٌ، وَبِدْعَةٌ مُحَرَّمَةٌ، وَبِدْعَةٌ مَنْدُوبَةٌ، وَبِدْعَةٌ مَكْرُوهَةٌ، وَبِدْعَةٌ مُبَاحَةٌ، وَالطَّرِيقُ فِي مَعْرِفَةِ ذَلِكَ أَنْ تُعْرَضَ الْبِدْعَةُ عَلَى قَوَاعِدِ الشَّرِيعَةِ: فَإِنْ دَخَلَتْ فِي قَوَاعِدِ الْإِيجَابِ فَهِيَ وَاجِبَةٌ، وَإِنْ دَخَلَتْ فِي قَوَاعِدِ التَّحْرِيمِ فَهِيَ مُحَرَّمَةٌ، وَإِنْ دَخَلَتْ فِي قَوَاعِدِ الْمَنْدُوبِ فَهِيَ مَنْدُوبَةٌ، وَإِنْ دَخَلَتْ فِي قَوَاعِدِ الْمَكْرُوهِ فَهِيَ مَكْرُوهَةٌ، وَإِنْ دَخَلَتْ فِي قَوَاعِدِ الْمُبَاحِ فَهِيَ مُبَاحَةٌ”

(Bidaah adalah suatu yang tidak berlaku pada zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan ia terbahagi kepada; Bidaah Wajib, Bidaah Haram, Bidaah Sunat, Bidaah Makruh dan Bidaah Harus. Untuk mengenal pastinya, hendaklah ia dilihat daripada sudut kaedah-kaedah Syarak. Sekiranya ia menepati kaedah-kaedah wajib maka ia wajib. Sekiranya ia menepati kaedah-kaedah haram maka ia haram. Sekiranya ia menepati kaedah-kaedah sunat maka ia sunat. Dan sekiranya ia menepati kaedah-kaedah harus maka ia harus) (Qawaa’id Al-Ahkaam oleh Imam Al-Iz bin Abdul Salam, 2/204).

Jawapan: 

1.     Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tidak wajar disanggah dengan kata-kata sesiapa pun daripada kalangan manusia. Tidak kira sesiapa pun jua.

2.     Berkata Imam Syatibi rahimahullah, “Ini adalah suatu pembahagian yang direka-reka. Ia tidak bersandarkan kepada dalil Syarak. Bahkan ia mengandungi percanggahan. Ini kerana hakikat bidaah itu tidak didokong oleh dalil Syarak sama ada daripada sudut nas mahupun kaedah. Kalau sekiranya  dalil menunjukkan suatu itu wajib, sunat atau harus, ia tidak akan dianggap bidaah. Sebaliknya ia akan dianggap sebagai sebahagian daripada amalan yang dituntut atau diberi pilihan. Maka untuk menyatakan bahawa sesuatu itu adalah bidaah tetapi dalam masa yang sama dalil Syarak menunjukkan bahawa ia adalah wajib, sunat atau harus, jelas kenyataan sebegini akan membawa kepada percanggahan” (Al-I’tisaam, 1/246).

3.

  • Bidaah yang dimaksudkan oleh Al-Izz bin Abdul Salam rahimahullah adalah bidaah daripada sudut bahasa dan bukan Syarak. Ini berdasarkan kepada contoh yang beliau berikan.

Bagi Bidaah Wajib; beliau memberi contoh kewajipan mempelajari Ilmu Nahu demi memahami kata-kata Allah dan RasulNya. Walhal Ilmu Nahu hanya boleh dianggap sebagai bidaah daripada sudut bahasa sahaja dan bukan Syarak.

Bidaah Sunat; beliau memberi contoh membina bangunan sekolah. Jelas hal ini bukan bidaah daripada sudut Syarak.

Bidaah Harus; beliau memberi contoh berlebih-lebihan dalam perkara yang harus sedangkan hal ini bukan bidaah dalam Syarak. Sebaliknya, sekiranya ia sudah sampai ke tahap membazir ia akan menjadi haram dan termasuk dalam kategori maksiat dan bukan bidaah. Perlu dibezakan antara bidaah dan maksiat agar tidak berlaku kekeliruan.

وَصلَّى الله عَلى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّم

Kajang, 24.12.1433H / 09.11.2012

Idrissulaiman@yahoo.com

Muat turun risalah ini (PDF) untuk sebaran: BIDAAH HASANAH – Brochure