TIDAK CUKUP HANYA AL-QURAN

Ustaz Idris bin Sulaiman

sahih muslimPerkara pertama yang disebut oleh Imam Al-Barbahari rahimahullah (w. 329H) dalam Syarh Al-Sunnah, “Islam adalah sunnah, dan sunnah adalah Islam.” Ini adalah prinsip yang cukup penting dan perlu kita hayati dan amalkan dalam beragama. Agama Islam kembali kepada dua sumber utama; yakni Al-Quran dan Al-Sunnah.

Perkataan sunnah adakalanya membawa maksud hadis secara khasnya, dan adakala membawa maksud Hadis dan Al-Quran kedua-duanya, atau Islam secara keseluruhannya.

Apabila dikatakan ‘Islam itu Sunnah, dan Sunnah itu Islam’, ini bermaksud bahawa Sunnah Nabi SAW itu tidak boleh dipisahkan dari agama Islam. Islam terdiri dari Al-Quran dan Sunnah Nabi. Bukan Al-Quran semata-mata. Sunnah Nabi ada dalam tiga bentuk; ucapan, perbuatan, perakuan Nabi SAW.

Mengapa ditekankan hal ini adalah kerana umat Islam sejak zaman berzaman, akibat tidak faham kedudukan Sunnah Nabi dalam agama Islam, wujud kumpulan dari kalangan umat Islam sendiri yang mengambil Al-Quran sahaja sebagai rujukan, dan menolak atau tidak percaya kepada hadis Nabi SAW. Kumpulan ini dikenali sebagai Al-Quraniyyun atau Anti-Hadis. Kumpulan ini bukan kumpulan baru, ia telah wujud sejak zaman berzaman.

Umat Islam perlu mengambil tahu syubhat-syubhat yang mereka bawa supaya tidak terjebak dalam fahaman ini. Mereka mengatakan Al-Quran itu terpelihara sejajar firman ALLAH, “Sesungguhnya Kami telah menurunkan peringatan (Al- Qur’an) dan Kami-lah yang akan memeliharanya.” (Al-Hijr: 9)

Berbeza dengan hadis; ada yang sahih, ada dhaif, ada palsu. Maka mereka mengatakan keberadaan Al-Quran pada hari ini tanpa sebarang tokok tambah dan terpelihara oleh janji ALLAH, tetapi ALLAH tidak janji akan pelihara hadis. Jadi kita hanya berpegang dengan sumber yang ALLAH telah janji akan pelihara. Manakala hadis Nabi tidak boleh dijadikan sumber kerana dibimbangi ianya palsu atau ada kesilapan.

Itu dakwaan orang anti-hadis akibat kejahilan mereka. Mereka tidak faham bidang ilmu hadis. Disebabkan mereka tidak ada kemampuan dan kefahaman tentang bagaimana hendak bezakan yang sahih dan dhaif, akhirnya mereka menolak hadis semuanya. Mereka melihat itu jalan selamat, tetapi hakikatnya itu adalah jalan kemusnahan, jalan kesesatan, dengan menolak hadis sekaligus menolak sunnah Nabi SAW.

Adakah alasan mereka boleh diterima? Tentu sekali tidak. Walaupun mereka mendakwa berpegang dengan Al-Quran, hakikatnya mereka tidak berpegang dengan Al-Quran kerana Al-Quran menyuruh supaya berpegang dengan kedua-dua Al-Quran dan Hadis.

Al-Quran bersifat sebagai asas, manakala hadis bersifat sebagai penjelas kepada isi kandungan Al-Quran itu. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan dan saling memerlukan. Firman ALLAH SWT, “Dan Kami turunkan kepadamu al-Quran, agar kamu (Nabi) menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan.” (Al-Nahl: 44)

Seseorang tidak mungkin akan dapat solat kecuali dengan merujuk hadis-hadis Nabi SAW. Ini kerana di dalam Al-Quran tidak memperincikan tatacara solat. Hal ini sahaja sudah jelas menunjukkan bahawa Al-Quran dan Hadis itu tidak mungkin dipisahkan.

Sesiapa yang mendakwa cukup baginya Al-Quran dan tidak perlu kepada hadis, sungguh dia telah tersesat bahkan dia tidak beriman dengan Al-Quran sendiri yang menyuruh supaya berpegang dengan hadis dan mengikuti sunnah. Firman ALLAH, “Maka demi tuhanmu, mereka tidak beriman hingga menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka terima dengan sepenuhnya.” (Surah Al-Nisa: 65)

Allah SWT juga berfirman, “Jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasulnya (Al-Quran dan Al-Sunnah)” (Surah An-Nisaa: 59)

Ulama tafsir sepakat bahawa yang dimaksudkan dengan kembalikan kepada ALLAH dan Rasul dalam hal yang diperselisihkan adalah kembali kepada Al-Quran dan Al-Sunnah. Ini juga menunjukkan bahawa Al-Sunnah memiliki kedudukan sebagai penentu hukum dalam Islam bersama-sama dengan Al-Quran, dan kedua-duanya tidak boleh dipisahkan.

MENOLAK HADIS AHAD

Ada kumpulan pula yang menerima Al-Quran dan Hadis, yang hakikatnya hampir semua umat Islam mendakwa berpegang dengan Al-Quran dan Hadis. Namun kita dapati ada penyimpangan yang berlaku, di mana mereka menolak hadis-hadis ahad. Hadis ahad adalah hadis yang diriwayatkan oleh jumlah perawi yang sedikit, sekitar 10 orang atau kurang.

Menurut mereka, Al-Quran tidak boleh ditolak kerana ia bersifat mutawatir, iaitu ia diriwayatkan oleh perawi yang ramai sehingga mustahil mereka semua berdusta atau melakukan kesilapan. Al-Quran bukan diriwayatkan oleh puluhan, bukan ratusan, tetapi ia diriwayatkan oleh ribuan perawi yang menghafal Al-Quran pada setiap generasi lalu menyampaikan kepada generasi berikutnya sehingga sampai ke hari ini.

Asas periwayatan Al-Quran pada generasi awal islam adalah dengan mulut, di samping ada yang menulis. Guru Al-Quran mengajar kepada murid-muridnya dan muridnya menghafal dari gurunya. Disebabkan Al-Quran diriwayatkan oleh ramai perawi maka kebarangkalian untuk mereka semua menipu adalah mustahil. Mustahil beribu-ribu sahabat ini membawa tokok tambah dalam Al-Quran yang mereka hafal dan mereka baca kepada orang. Maka tidak ada keraguan pada Al-Quran.

Berbeza dengan hadis; ada hadis mutawatir, dan ada hadis ahad. Hakikatnya hadis pertama dalam Sahih Al-Bukhari: “Sesungguhnya amalan itu bergantung pada niat”, hadis ini diriwayatkan oleh seorang sahaja perawi dari kalangan sahabat iaitu Saidina Omar bin Al-Khatthab radhiyallahu ‘anhu. Ini adalah hadis ahad yang paling minimum di mana perawinya cuma seorang.

Implikasi dari jumlah perawi adalah; kalau suatu hadis itu mutawatir, mustahil orang berdusta atau ada kesalahan. Tetapi kalau suatu hadis itu ahad, ada kebarangkalian orang berdusta atau berlaku kesilapan. Maka hasilnya, hadis ahad ada yang sahih (diriwayatkan oleh perawi yang terpercaya), dan ada pula yang daif atau palsu. Hadis yang palsu diriwayatkan oleh perawi penipu.

Dari itu, datang golongan yang mengatakan hadis ahad tidak boleh menafsirkan Al-Quran. Ini biasanya boleh dilihat dalam mazhab hanafi. Akhirnya mereka menolak hadis bukan kerana ia daif, bahkan ia sahih, tetapi menolaknya kerana ia bersifat ahad. Maka dalam mazhab Hanafi, mereka mengatakan tidak perlu baca Al-Fatihah dalam solat. Mereka berpegang dengan ayat Al-Quran, “Kerana itu bacalah apa yang mudah (bagimu) dari Al-Quran.” (Surah Al-Muzammil: 20)

Sedangkan telah sabit dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim di mana Rasulullah SAW bersabda, “Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca Al-Fatihah.” Nabi mengatakan tidak sah solat orang yang tidak membaca Al-Fatihah. Tetapi kerana hadis ini adalah hadis Ahad, mereka menolaknya dan tidak beramal dengannya.

HIZBUT TAHRIR TOLAK HADIS AHAD DALAM AKIDAH

Golongan kedua pula mendakwa hadis ahad tidak boleh digunakan dalam akidah. Golongan ini ada ramai di kalangan masyarakat kita. Pemahaman ini diasaskan oleh golongan Mu’tazilah yang didokong oleh golongan asyairah dan maturidi serta didokong oleh satu kumpulan haraki yang ada cawangannya di Malaysia ini, yang dinamakan Hizbut Tahrir.

Mereka adalah kumpulan yang mendokong falsafah ini; iaitu hadis ahad tidak boleh digunakan dalam akidah. Akibatnya sangat dahsyat, iaitu mana-mana hadis yang menceritakan tentang perkara ghaib akan tertolak secara automatik. Perkara ghaib yang palig besar adalah ALLAH SWT. Mana-mana hadis yang menceritakan tentang ALLAH akan tertolak.

Begitu juga mana-mana hadis yang menceritakan tentang siksa kubur, Hari Akhirat, syurga, neraka, timbangan amal, berdiri di Padang Mahsyar, akan tertolak kerana ia datang dari hadis ahad. Ini semua perkara ghaib yang termasuk dalam akidah. Kita tidak pernah nampak hal-hal ghaib tetapi kita percaya. Kita percaya Allah, kita percaya malaikat, kitab, para rasul, hari Akhirat. Ada juga yang mengingkari kedatangan Dajjal, dan mengingkari kedatangan imam Mahdi. Semua ini berpunca akibat semua dalil-dalilnya datang dari hadis ahad.

Kenapa mereka tolak hadis ahad? Umat Islam perlu tahu agar tidak terperangkap dalam syubhat mereka. Mereka mengatakan akidah adalah perkara yang kita perlu benar-benar yakin dan pasti, sedangkan hadis ahad tidak begitu meyakinkan kerana perawinya sedikit dan ada kebarangkalian perawi yang berdusta atau silap. Oleh itu ia tidak diterima dalam urusan akidah.

MENDAHULUKAN LOGIK/ KAEDAH MAZHAB

Tidak kurang penting juga adalah golongan ketiga, iaitu mereka yang tidak beramal dengan hadis ahad dalam perkara-perkara fekah dan ibadah. Ini kerana mereka mendahulukan kaedah-kaedah mazhab. Ia juga bermula dari fahaman muktazilah iaitu kelompok yang mentuhankan akal. Bagi mereka, wahyu yang bersesuaian dengan logik akal boleh diambil, manakala wahyu yang tidak menepati logik akal perlu ditolak.

Dalam ibadah mereka mendahulukan kaedah-kaedah mazhab, di mana kaedah-kaedah ini tetapkan oleh akal (logik). Menurut mereka logik tidak akan salah, manakala hadis ahad boleh jadi salah.

Sebagai contoh, dalam solat, kaedah mazhab mengatakan tidak boleh bergerak lebih tiga kali. Jika  pergerakan melebihi tiga kali maka solat itu terbatal. Hukum ini diambil dari kaedah mazhab.

Walaupun mereka tidak terus terang mengatakan mereka menolak hadis, tetapi telah sabit dalam hadis Nabi di mana Nabi ketika solat menjawab salam dengan memberi isyarat yang difahami oleh orang yang di luar solat, malah Baginda ketika solat berjalan membuka pintu. Jika mengikut kaedah mazhab, perbuatan ini semua membatalkan solat.

Kesan dari menolak satu hadis Nabi yang sahih adalah cukup berat. Ini kerana sesiapa saja yang mengingkari Sunnah Nabi untuk mengikuti pendapat manusia yang lain, bererti dia telah mengingkari persaksiannya dalam kalimah Syahadah “Muhammad adalah utusan Allah”.

Kalimat ini mengandungi makna kesanggupan untuk seseorang itu beribadah kepada Allah dengan cara yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW tidak lain tidak bukan melalui hadis-hadis dan Sunnah Baginda SAW.

Imam-imam mazhab sendiri kesemuanya menyuruh supaya sentiasa mendahulukan hadis Nabi yang sahih. Antaranya Imam Syafi’i rahimahullah, di mana beliau berkata: “Ulama Sunnah sepakat, barangsiapa yang sudah jelas baginya sunnah Rasulullah SAW maka tidak halal baginya meninggalkannya untuk berpegang pada pendapat seseorang.” (I’lamu Al-Muwaqqi’in)

Artikel ini disiarkan di akhbar pada Jumaat, 21.02.2014

DSC_0604