HUDUD; REALITI ATAU RETORIK

Ustaz Idris Sulaiman

beautiful-pink-flower-hd-wallpaperHari ini masyarakat hangat membincangkan tentang implimentasi hudud. Sepatutnya dalam hukum yang besar seperti ini kita bertanya sejauh mana kefahaman kita tentang hudud yang ingin kita laksanakan.

Adakah kita maksudkan sekadar pelaksanaan hukuman ke atas beberapa jenayah yang digariskan dalam hukum syariat, seperti jenayah zina, mencuri, qazaf, murtad. Adakah ini yang dimaksudkan dengan hukum hudud? Atau hukum hudud itu sebenarnya lebih luas pengertiannya.

Hakikatnya fokus hukuman hudud tidak hanya kepada beberapa kesalahan jenayah semata-mata. Itu cuma sebahagian kecil dari pelaksanaan syariat Islam. Ini yang kita risaukan. Kita risau mereka yang hangat membincangkan tentang pelaksanaan hudud hakikatnya tidak faham maksud yang lebih luas di sebaliknya.

Dari aspek Islam, pelaksanaan hudud sebenarnya memiliki motif dan objektif yang lebih luas, iaitu fokusnya adalah menegakkan dan mempraktikkan syariat Islam secara keseluruhan dalam Negara.

Itu yang perlu kita amati. Adakah masyarakat di Malaysia sudah bersedia, adakah mereka mempunyai kemampuan untuk melaksanakan hukuman hudud itu dengan ertikata yang sebenarnya.

PERSEDIAAN

Persoalan penting yang perlu dijawab; di manakah rujukan kita untuk melaksanakan syariat Islam di Negara ini. Adakah kita mempunyai persediaan dari sudut pakar-pakar dalam bidang Islam yang pelbagai. Pakar dalam bidang ilmu tafsir, hadis, fekah. Yang dimaksudkan di sini adalah ulama. Adakah kita mempunyai ulama yang semestinya akan menjadi rujukan dalam kita hendak melaksanakan syariat islam di Negara ini.

Ini persoalan yang perlu kita jawab secara jujur. Saya melihat Negara ini secara khasnya amat kekurangan pakar-pakar ilmu islam. Kita tidak mempunyai ulama yang diiktiraf di persada antarabangsa, yang kata-kata mereka menjadi rujukan di seluruh dunia. Ini menunjukkan ketidaksediaan kita untuk melaksanakan hukuman hudud secara khasnya.

Antara permasalahan berkaitan hudud di mana wujud kesamaran di dalamnya, adalah sejauh mana hukuman itu akan dilaksanakan.

Hukum hudud apabila dilaksanakan di sesebuah Negara, ia hendaklah dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan seluruh masyarakat. Hukum hudud itu tidak lain tidak bukan hanya sebahagian dari pelaksanaan hukuman syariat di sesebuah Negara Islam.

Maka Negara yang melaksanakan hukuman hudud dengan benar adalah Negara yang melaksanakan syariat Islam dengan ertikata yang sebenar; negara yang menjadikan syariat Islam sebagai undang-undangnya yang tertinggi, yang menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah semata-mata sebagai sumber hukum. Tidak selain dari itu.

Di beberapa Negara yang melaksanakan hudud, apabila mereka melaksanakan hukuman sebat misalnya, kita dapati tukang sebat itu menutup mukanya supaya khalayak yang menyaksikan hukum sebat itu tidak mengenalinya. Di sini timbul persoalan. Adakah ini cara melaksanakan hukum sebat?

Kita katakan secara tegas bahawa ini sama sekali bukan caranya, tetapi ia berlaku akibat ketidaksediaan. Negara dan kerajaan itu tidak mempunyai kekuatan untuk melaksanakan hukuman itu secara benar. Tukang sebat itu jelas takut akan keselamatannya, sedangkan hal ini tidak patut berlaku sekiranya Negara itu sudah bersedia dan masyarakat sudah faham keperluan melaksanakan hukum itu.

Dari aspek lain, apabila dilaksanakan hukum hudud, sama sekali kita tidak boleh fokus kepada beberapa kesalahan jenayah yang melibatkan hukuman hudud itu, sebaliknya semestinya syariat islam itu dilaksanakan secara keseluruhan kerana itu maksud dan tujuan pelaksanaan hukum hudud.

Maka bersediakah kita untuk menutup institusi-institusi perbankan riba, kilang-kilang arak, menghalang penjualan arak di tempat awam, menutup tempat ibadah yang melakukan ritual syirik secara terang-terangan di tempat awam? Bersediakah kita menutup tempat judi dan yang bercanggah dengan syariat Islam?

Bersediakah kita menutup kedai-kedai apabila tiba waktu solat dan solat Jumaat secara khasnya, adakah kita mempunyai kekuatan dari pihak kerajaan dan sokongan dari rakyat? Adakah rakyat sudah mempunyai kefahaman tentang syariat islam, dan bukan tentang hal-hal hudud sahaja.

Jika kita tidak bersedia, tetapi kita sekadar melaungkan hukuman hudud, ini menunjukkan ketidakfahaman dan kedangkalan pemikiran kita tentang hukum hudud secara khasnya dan agama Islam secara amnya.

Kita tidak wajar terburu-buru, kerana terburu-buru akan buruk padahnya. Pepatah arab mengatakan, “Barang siapa terburu-buru mencapai sesuatu sebelum tiba masanya, akhirnya dia akan terhalang dari mendapatkannya.”

Kita perlu menginsafi dan mengambil pelajaran dari metod yang diambil oleh Rasulullah SAW. Apabila Baginda berdakwah kepada Islam, tentu sahaja Baginda berdakwah secara menyeluruh dan tidak hanya pada aspek agama yang tertentu sahaja. Bagaimanapun, kita melihat Rasulullah berdakwah secara berperingkat.

Baginda tidak terus fokus kepada melaksanakan hudud. Sebaliknya sepanjang Baginda di Mekah selama 13 tahun, baginda fokus pada aspek penting yang menjadi dasar kepada hukuman hudud itu. Tidak lain tidak bukan adalah akidah, aspek  tauhid yakni mengesakan Allah SWT di dalam ibadah dan membasmi segala bentuk syirik dan penyembahan  selain Allah SWT.

Ini metod Rasulullah SAW yang perlu kita contohi. Kita perlu fokus pada memperbetulkan akidah tauhid masyarakat. Kita perlu jelaskan kepada masyarakat tentang asas agama ini, yang mana saya dapati terdapat banyak kekurangan yang perlu dibetulkan dalam asas akidah itu. Kita melihat masyarakat masih terpalit dengan kepercayaan khurafat, meminta kepada kuasa-kuasa ghaib selain Allah SWT. Masyarakat masih mendatangi bomoh yang ini semua menyalahi ajaran Islam bahkan meruntuhkan akidah.

Maka seperti mana yang disebutkan oleh seorang ulama hadis yang bernama syaikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani, beliau rahimahullah melihat bahawa masyarakat Islam pada hari ini sewajarnya terus maju ke arah memperkasakan agama Islam yang merangkumi hudud juga tetapi dengan bermula dengan asas, iaitu bermula dengan akidah; memperbetulkan akidah masyarakat, memperbetulkan ibadah masyarakat dan membasmi segala amalan bid’ah.

Masyarakat Islam secara amnya dan para ilmuan harus fokus memperbetulkan pemahaman masyarakat terhadap agama Islam di samping menerapkan aspek-aspek ajaran Islam yang sebenar, yang jauh dari kepercayaan dan amalan syirik, khurafat, bid’ah, maksiat dan seumpamanya. Beliau rahimahullah meringkaskan hal ini dengan rangkap ‘tasfiyah dan tarbiyah’.

Perlu tasfiyah dan tarbiyah

Tasfiyah bermaksud membersihkan agama Islam dari segala yang terpalit dalam ajaran Islam yang bukan daripada ajaran Islam. Di samping tasfiyah perlu ada tarbiyah; mendidik masyarakat Islam akan ajaran Islam yang sebenarnya.

Apabila asas ini kita ambil dan apabila masyarakat mempunyai kefahaman, insyaAllah pada ketika itu masyarakat dan kerajaan akan bersedia untuk melaksanakan hukuman hudud. Tetapi kalau masyarakat atau kerajaan tidak mempunyai kefahaman yang benar dan menyeluruh tentang ajaran Islam, masakan mereka dapat melaksanakan hukuman hudud dengan ertikata yang benar.

Masyarakat Islam pada hari ini di Negara kita secara khasnya masih lagi tidak faham ajaran Islam itu dengan erti sebenar. Kita dapati masih banyak ajaran sesat, masih ada yang menganut ajaran Syiah, masih ramai yang berpegang dengan ajaran sufi yang berzikir secara menari-nari, menyanyi-nyanyi, terlompat-lompat. Adakah ini dari ajaran Islam? Kita katakan secara tegas, sama sekali tidak.

Ini yang perlu dibasmi dan dibetulkan terlebih dahulu. InsyaAllah apabila usaha gigih ke arah memperbetulkan keadaan masyarakat di Negara ini diambil, pada ketika itulah mereka akan bersedia secara automatik, bahkan masyarakat akan menuntut dan kerajaan juga akan berusaha ke arah melaksanakan hukuman hudud itu.

Jika tidak, laungan melaksanakan hudud itu sebenarnya hanyalah retorik, omong-omong kosong semata-mata untuk mengalih tumpuan, mendapatkan sokongan dari masyarakat awam yang tidak memahami Islam dalam ertikata sebenar. Akhirnya masyarakat awam itu dipermainkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan, dan akhirnya seluruh Negara akan rugi kerana membuang masa di dalam hal yang tidak memberi faedah yang diinginkan. Wallahu a’lam.

Artikel ini disiarkan di akhbar pada Jumaat, 16 Mei 2014