LARANGAN TINGGAL DI NEGARA KAFIR

Abu Omar, Idris bin Sulaiman

Muat turun brochure (PDF) untuk sebaran: LARANGAN TINGGAL DI NEGARA KAFIR – Brochure

Malaysia adalah negara Islam

Malaysia adalah negara Islam

Kewajipan Wala’ dan Bara’ atas setiap seorang Mukmin menuntutnya untuk mencintai Agama Islam dan orang-orang Islam di samping benci kepada semua agama kufur dan golongan yang dimurkai Allah. Inilah perasaan yang perlu ada pada setiap orang yang beriman. Tanpa perasaan ini akan goyahlah Iman seseorang itu kalau bukan lenyap sama sekali.

Dasar Wala’ dan Bara’ bermula di hati sebelum dizahirkan pada anggota. Oleh itu tidak ada percanggahan antara tuntutan Wala’ dan Bara’ dengan sikap dan akhlak baik yang harus ditunjukkan ketika berurusan dengan orang kafir. Ini kerana sikap dan akhlak baik yang dizahirkan itu adalah pada anggota. Adapun perasaan benci  terhadap agama kufur akan terus tetap di hati.

Harus difahami bahawa sikap dan akhlak baik yang dizahirkan ketika bermuamalah dengan orang kafir tidak lahir daripada perasaan cinta dan sayang terhadap mereka. Masakan boleh ada perasaan cinta dan sayang terhadap golongan yang dimurkai oleh Allah atas perbuatan mereka menyekutukan Allah dengan sembahan-sembahan selain daripadaNya. Sebaliknya, tidaklah sikap dan akhlak baik yang ditunjukkan itu melainkan untuk menarik mereka kepada Islam, melihat keindahan Islam dan akhirnya memeluk Agama Islam itu sendiri. Maka ia adalah satu cara dakwah, tidak lebih daripada itu.

Bertitik tolak daripada prinsip Wala’ dan Bara’, Umat Islam disyariatkan berhijrah dari negara kafir ke Negara Islam untuk tinggal bersama-sama dengan saudara seIslam yang lain, tolong-menolong dan bantu-membantu demi memartabatkan Islam dan Umatnya. Ini menjadi kewajipan setiap seorang Muslim bertepatan dengan firman Allah,

“Dan tolong-menolonglah dalam kebaikan dan ketakwaan dan jangan bersekongkol dalam perkara-perkara dosa dan permusuhan” (Al-Ma’idah, ayat 2).

Maka sebaliknya adalah haram dan berdosa iaitu untuk tinggal di negara kafir,  menetap bersama-sama dengan golongan kuffar, berdamping dengan mereka serta bekerjasama dengan mereka. Perbuatan ini jelas termasuk dalam ayat di atas yang melarang Umat Islam daripada bersekongkol dalam perkara-perkara dosa dan permusuhan. Ini kerana perbuatan sedemikian sama ada secara langsung atau tidak jelas menambahkan bilangan orang kafir serta memberi kekuatan kepada mereka ke atas Agama Islam dan orang-orang Islam. Adapun perbuatan menukar kerakyatan daripada Negara Islam kepada bukan Islam, maka itu adalah Wala’ (sokongan) dalam bentuk yang paling tinggi buat orang kafir yang bercanggah sama sekali dengan Syariat Islam.

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberi amaran terhadap mereka yang enggan berhijrah daripada negara kafir ke Negara Islam dalam firmanNya:

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلاَئِكَةُ ظَالِمِي أَنفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنتُمْ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي اْلأَرْضِ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا فَأُوْلاَئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَسَآءَتْ مَصِيرًا

“Sesungguhnya orang-orang yang dicabut nyawanya oleh malaikat sedangkan mereka telah menganiaya diri mereka sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat, “Apakah yang kamu telah lakukan untuk Agama kamu?” Mereka menjawab, “Kami dahulu adalah orang-orang yang ditindas di bumi.” Malaikat bertanya lagi, “Tidakkah bumi Allah itu luas untuk kamu berhijrah dengan bebas di atasnya?” Maka orang-orang yang sedemikian, tempat akhir mereka ialah Neraka Jahanam, dan Neraka Jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali” (Al-Nisaa’, ayat 97).

Ayat di atas merujuk kepada orang-orang kafir yang memeluk Islam di mana mereka dituntut supaya meninggalkan negara kafir dan berhijrah ke Negara Islam sebagai bukti keImanan mereka dan petanda bahawa mereka benar-benar telah meninggalkan agama kufur mereka dan memeluk Islam secara total rohani dan jasmani. Ini bagi mereka yang memeluk Islam di negara kafir di mana mereka dilarang daripada terus menetap di negara kafir.

Adapun orang Islam yang ingin berhijrah ke negara kafir jelas itu lebih dilarang. Kerana perbuatan sedemikian bertentangan sama sekali dengan pengertian Hijrah itu sendiri. Daripada mereka terus tetap di Negara Islam, mereka bukan sahaja keluar daripadanya bahkan mereka keluar dan masuk ke negara kafir. Dikhuatiri perbuatan zahir mereka akan turut memberi kesan dalam jiwa mereka di mana ia keluar daripada Islam dan masuk ke dalam kufur. Nau’zubillah.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah memberi amaran kepada Umatnya supaya tidak tinggal bersama-sama dengan orang kafir yang menjadi musuh Allah dalam sabdanya:

﴿أَنَا بَرِيءٌ مِنْ كُلِّ مُسْلِمٍ مُقِيمٍ بَيْنَ أَظْهُرِ الْمُشْرِكِينَ ﴾

“Aku berlepas diri daripada semua orang Islam yang tinggal bersama-sama dengan orang-orang musyrikin.” (Hadis Sahih. Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Dalam hadis lain Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

﴿مَنْ جَامَعَ المُشْرِكَ وَسَكَنَ مَعَهُ، فَإنَّهُ مِثْلَهُ ﴾

“Barangsiapa yang berdamping dengan orang musyrik dan tinggal bersamanya maka dia adalah sepertinya.” (Hadis Hasan. Riwayat Abu Daud).

Hikmah di sebalik larangan tinggal di negara kafir cukup jelas. Ia kembali kepada Kaedah Syarak ‘Apa yang Membawa kepada yang Haram Maka ia Adalah Haram’. Maka bukan sahaja ia bercanggah dengan dasar dan prinsip Wala’ dan Bara’, ia juga boleh merosakkan Akidah, Ibadah, Akhlak dan tingkah laku.

Hal ini kembali kepada hakikat bahawa manusia mudah terpengaruh dengan persekitarannya. Sekiranya persekitarannya baik maka baiklah dia, dan sekiranya buruk maka buruklah dia.

Sains perubatan telah membuktikan bahawa kuman boleh berjangkit daripada orang sakit kepada orang sihat. Oleh itu, lazimnya orang-orang sakit akan dikuarantinkan bagi mengelak jangkitan. Maka mereka yang mengalami penyakit berjangkit akan dilarang keluar daripada kawasan kuarantin manakala mereka yang sihat pula dilarang daripada memasuki kawasan kuarantin itu. Ini kerana telah terbukti bahawa seseorang yang memasuki kawasan yang ditimpa wabak penyakit, berkemungkinan besar dia akan turut terkena jangkitan penyakit itu.

Sebenarnya sebelum dibuktikan dengan sains, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telahpun menyebutkan tentang hal ini dalam sabda Baginda, “Sekiranya ia (penyakit taun) melanda sesebuah tempat maka janganlah kamu pergi ke tempat itu dan sekiranya ia melanda di tempat kamu maka janganlah kamu keluar (daripada tempat kamu kerana ingin) menyelamatkan diri daripadanya” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ini adalah realiti penyakit yang berjangkit. Peliknya, manusia lebih takut daripada jangkitan penyakit badan daripada penyakit hati yang merosakkan Akidah, Ibadah dan Akhlak. Sedangkan Akidahlah yang akan menentukan kebahagian seseorang itu di dunia sebelum di Akhirat.

Oleh itu, Syarak sangat menuntut supaya seseorang itu menjaga persekitaran Agama dan Akhlaknya sebagaimana sabdanya sallallahu ‘alaihi wasallam:

“Perumpamaan seorang teman yang baik dan yang jahat adalah seperti penjual minyak wangi dan tukang besi; adapun penjual minyak wangi, sama ada dia akan menghadiahkan kepada kamu (minyak wangi itu), kamu membeli daripadanya atau (setidak-tidaknya) kamu mendapati bau harum daripadanya; adapun tukang besi, sama ada pakaian kamu akan terbakar atau (setidak-tidaknya) kamu akan dapati bau busuk daripadanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Perkara ini ditegaskan lagi dalam Hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:

“Jangan kamu berdamping kecuali dengan orang yang beriman dan jangan pula ada yang menjamah makananmu kecuali mereka yang bertakwa” (Hadis Hasan. Riwayat Tirmizi).

Lihat bagaimana Islam menekankan peri pentingnya menjaga persekitaran. Ini semua kerana fitrah manusia yang mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat, didengar dan dibaca. Sekiranya persekitarannya dipenuhi dengan Iman dan Amalan Soleh, dengan izin Allah dia juga akan turut begitu. Adapun sekiranya persekitarannya dipenuhi dengan kekufuran dan kemaksiatan, besar kemungkinan dia juga akan turut begitu.

Harus diingat, tabiat manusia suka mencari persekitaran yang digemarinya. Sekiranya dia tergolong dalam golongan orang Islam yang berIman dan berTakwa, dia pasti akan mencari persekitaran yang serupa. Dan tentunya persekitaran yang seperti itu hanya akan didapati di Negara Islam kerana tidaklah ia dinamakan Islam melainkan kerana keIslaman, keImanan dan Ketakwaan yang ada di tempat itu.

Sebaliknya, sekiranya dia tergolong daripada kalangan mereka yang rosak akidahnya, ibadah dan akhlaknya, pasti dia akan tertarik kepada golongan yang seperti itu juga. Dan seburuk-buruk mereka adalah orang-orang kafir yang melakukan sebesar-besar dosa dan kemaksiatan dengan menyekutukan Allah dengan sembahan-sembahan yang lain.

Di mana lagi boleh di dapati persekitaran yang penuh dengan kekufuran, kemaksiatan serta akhlak dan tingkah-laku yang buruk dan jelek kalau bukan di negara-negara kafir. Di situlah adanya segala bentuk kekufuran dan segala bentuk kemaksiatan daripada sekecil-kecilnya sehinggalah sebesar-besarnya. Begitu juga dengan akhlak dan tingkah-laku masyarakatnya yang hampir-hampir menjadi seperti haiwan yang hanya mencari kepuasan nafsu syahwat semata-mata dengan zina, judi, minum arak dan sebagainya.

Atas sebab inilah Syarak mengharamkan orang Islam daripada menetap di negara kafir. Begitu juga dengan pergi ke sana walaupun untuk tempoh yang singkat, kecuali sekiranya ada keperluan yang mendesak. Maka ia dibenarkan dengan dua syarat:

  1. Individu itu perlu mempunyai benteng Ilmu Agama dan Ketakwaan yang mampu menjaga Agama dan tingkah-lakunya;
  2. Terdapat keperluan untuknya pergi ke sana seperti untuk berdakwah, menjalani rawatan, berniaga atau belajar dalam jurusan yang bermanfaat yang hanya terdapat di negara kafir. Adapun sekiranya sekadar untuk bersiar-siar, ia jelas dilarang.

Terdapat golongan yang menafikan kewajipan berhijrah bagi membolehkan perbuatan sebahagian Umat Islam yang bermusafir ke negara kafir sama ada untuk sementara ataupun untuk terus tetap di sana. Mereka berhujjah dengan hadis “Tidak ada Hijrah sesudah Al-Fath (Pembukaan Kota Mekah)” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Harus difahami bahawa hijrah yang dinafikan dalam hadis di atas adalah hijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Ini kerana sesudah pembukaan Kota Mekah pada tahun 8 Hijrah ia telah bertukar daripada kota kafir menjadi Kota Islam. Maka sesudah ia ditawan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, sudah tidak ada keperluan lagi untuk mereka yang memeluk Islam daripada kalangan penduduk Mekah untuk berhijrah ke Madinah yang menjadi satu-satunya Negara Islam sebelum itu.

Oleh itu, larangan Umat Islam tinggal di negara kafir masih kekal dan Umat Islam berkewajipan untuk berhijrah dan menetap di Negara Islam sebagaimana sabdanya sallallahu ‘alaihi wasallam, “Tidak akan terhenti hijrah kecuali apabila pintu taubat tertutup; dan tidaklah pintu taubat akan tertutup kecuali apabila matahari naik dari sebelah barat.” (Hadis Sahih. Riwayat Abu Daud).

وَصلَّى الله عَلى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّم

Kajang, 14 Rajab 1433H (04 Jun 2012)

Idrissulaiman@yahoo.com

Muat turun brochure (PDF) untuk sebaran: LARANGAN TINGGAL DI NEGARA KAFIR – Brochure