SYARIAT ZIARAH KUBUR & KESALAHAN YANG DILAKUKAN DI KUBUR

Ibadah dan perayaan di perkuburan oleh pengikut sufi Malaysia dan Indonesia, setiap tahun di Tarim, Hadramaut

Ibadah dan perayaan di perkuburan oleh pengikut sufi Malaysia dan Indonesia, setiap tahun di Tarim, Hadramaut

UMAT Islam disyariatkan menziarahi kubur untuk mengingati Akhirat. Syariat ini umum kepada mana-mana kubur orang Islam tanpa mengkhususkan kubur siapa pun hatta kubur keluarga sendiri. Perbuatan mengkhaskan kubur tertentu dikhuatiri membawa kepada niat lain seperti mengkeramatkan kubur, menganggap kubur itu ada kelebihan, mengambil berkat, dan sebagainya.

Itulah yang berlaku dalam realiti masyarakat. Mereka mendatangi kubur tertentu dan akhirnya meminta hajat di situ. Ada yang memanggil-manggil penghuni kubur yang barangkali orang tuanya, meminta tolong atas musibah yang menimpa. Mereka menamakannya tawassul, tetapi tawassul dengan orang mati bukan tawassul yang syar’i, sebaliknya ia adalah Syirik dengan ertikata sebenar.

Sabda Nabi SAW, “Ziarahlah kubur kerana ia mengingatkan kamu akan kematian” (Riwayat Muslim).

Tidak ada tujuan lain kita disuruh ke kubur kecuali untuk mengingati mati. Maka tidak ada ibadah yang dilakukan di kubur selain mendoakan kebaikan bagi ahli kubur dan kebaikan secara umum; supaya jangan kita ditimpa musibah sesudah pemergiannya seperti yang diajar dalam doa Nabi.

Di samping kubur bukan tempat meminta hajat, kubur juga bukan tempat untuk solat, iktikaf, baca Al-Quran, zikir yang sepatutnya dilakukan di masjid. Aisyah RA, isteri yang paling Nabi cintai berkata, Rasulullah SAW ketika sakit di pembaringan sebelum wafat bersabda,

“Allah melaknat Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan kubur Nabi-Nabi mereka sebagai masjid (tempat ibadah).” Aisyah berkata, “Kalau bukan kerana takutkan itu, nescaya kubur Baginda SAW ditempatkan di tempat terbuka, hanya kerana Baginda takut kuburnya dijadikan masjid.” (Al-Bukhari, Muslim)

Al-Hafiz Ibn Hajar ketika mengulas hadis ini berkata, “Seolah-olah Nabi SAW telah tahu bahawa Baginda akan pergi selamanya melalui sakit yang Baginda derita, sehingga Baginda bimbang kubur baginda diagungkan seperti yang dilakukan oleh orang terdahulu. Oleh itu baginda melaknat Yahudi dan Nasrani sebagai isyarat celaan bagi orang yang melakukan seperti mereka.”

MENANAM POKOK DI ATAS KUBUR

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa Nabi SAW pernah melewati dua kubur. Baginda bersabda,

“Sungguh keduanya sedang disiksa, dan tidaklah keduanya disiksa kerana perkara besar. Seorang darinya tidak bertabir dari kencing, dan yang satu lagi berjalan sambil mengadu domba.” Baginda mengambil pelepah kurma yang basah dan membelah menjadi dua lalu menacapkan di kedua-dua kubur itu. Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, mengapa anda melakukan ini?” Baginda menjawab, “Semoga ia dapat meringankan siksanya selama keduanya belum kering.” (Bukhari & Muslim)

Telah timbul salah faham di kalangan masyarakat dalam memahami hadis ini sehingga ramai yang menyimpang dari sunnah. Mereka berpendapat dalam hadis ini ada anjuran menacapkan pelepah kurma atas kubur orang Islam. Alasannya adalah pelepah kurma yang basah itu bertasbih, dan tasbih itu akan mengurangkan azab di dalam kubur.

Pendapat ini disanggah oleh pendapat lain yang melihat tidak ada dalil Al-Quran atau Sunnah yang menunjukkan pensyariatan menacap pelepah kurma di atas kubur. Adapun perbuatan Rasulullah adalah perbuatan khas, dalam peristiwa khas, dan tidak boleh diambil darinya hukum umum. Ini kerana Rasulullah SAW tidak melakukan pada kubur-kubur sahabat yang lain. Dikurangkan azab dua penghuni kubur itu bukan kerana pelepah kurma, tapi kerana syafaat dan doa yang Baginda ucapkan, “Semoga ini meringankan siksanya selama keduanya belum kering.”

Pendapat ini dikuatkan oleh sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya aku melewati dua kubur yang sedang disiksa. Maka aku suka agar dengan syafaatku, azab keduanya diringankan selama kedua dahan itu masih basah” (Riwayat Muslim).

Jelas menunjukkan bahawa azab diringankan berkat syafaat Baginda. Adapun perbuatan Baginda membelah lalu menancapkan pelepah kurma itu hanya sebagai petunjuk tempoh masa dikurangkan azab, yang bererti apabila pelepah itu kering, azab mereka kembali seperti sebelumnya.

Pendapat yang mengatakan azab kubur diringankan kerana bertasbihnya pelepah basah juga bercanggah dengan firman Allah, “Dan tidaklah suatupun melainkan ia bertasbih dengan memujiNya, tetapi kamu tidak faham tasbih mereka.” (Al-Isra: 44). Ayat ini menunjukkan semua makhluk, basah atau kering, tumbuhan atau bukan, bertasbih kepada Allah.

Akibat salah faham terhadap hadis ini, akhirnya bukan pelepah kurma saja yang digunakan, bahkan bermacam-macam pokok, tumbuhan, dan binaan ditanam atas kubur. Perbuatan ini melebihi apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW jika hendak dikiaskan dengan hadis tadi, bahkan umat Islam juga sudah menyamai adat orang kafir bila berlaku kematian iaitu meletakkan bunga-bungaan di atas kubur.

PENGAGUNGAN KUBUR

Antara bentuk pengagungan kubur yang dilarang dalam Syariat Islam dan boleh membawa kepada kesyirikan

Tidak berhenti di situ, mereka juga mengqiaskan bahawa bacaan Al-Quran di kubur tentu lebih meringankan azab jika dibandingkan dengan tasbih pelepah kurma. Bermula dengan pelepah yang bersifat sementara, mereka menanam tumbuhan kekal. Dari pelepah kecil kepada pokok besar, yang berbunga, berbuah, dan akhirnya membaca Al-Quran dan ibadah di atas kubur.

Qias ini adalah batil. Perlu dibuktikan pelepah itu adalah penyebab dikurangkan azab, dan telah dijelaskan bahawa itu bukan sebabnya. Maka apa yang disandarkan padanya adalah tertolak. Di samping itu, siksa kubur adalah perkara ghaib. Apabila Rasulullah mengatakan penghuni kubur itu disiksa, ia adalah wahyu dari Allah SWT. “Allah sahaja yang mengetahui yang ghaib dan Dia tidak memberitahu tentang hal ghaib itu kepada sesiapapun kecuali kepada mana-mana Rasul yang diredhaiNya.” (Al-Jin: 26-27)

Perbuatan menanam pokok untuk mengurangkan azab seolah-olah menggambarkan pelakunya tahu orang di dalam kubur itu sedang disiksa. Ini adalah sangkaan semata-mata, dan amalan yang dikaitkan dengan agama tidak boleh dilakukan secara sangkaan.

“Dan tidaklah kebanyakan mereka mengikuti kecuali sangkaan saja. Sesungguhnya sangkaan itu tidak sedikitpun berguna untuk mencapai kebenaran.” (Yunus: 36)

Nabi SAW turut melarang membuat apa-apa binaan di atas kubur sepertimana riwayat Jabir RA beliau berkata, “Rasulullah SAW melarang menyimen kubur, duduk di atasnya atau membina sesuatu di atasnya” (Muslim).

Baginda juga memerintahkan Ali bin Abi Talib meratakan binaan di atas kubur seperti yang dikatakan oleh Ali kepada Abul Hayyaj bin Asadi, “Mahukah kamu aku utuskan sebagaimana Rasulullah SAW pernah mengutusku? Janganlah kamu tinggalkan gambar (makhluk bernyawa) sampai kamu hapuskan, dan jangan kamu biarkan kubur yang tinggi sampai kamu ratakan.” (Muslim)

Rasulullah SAW melarang gambar-gambar dan kubur yang ditinggikan antaranya kerana ia membuka pintu kesyirikan iaitu penyembahan selain ALLAH SWT. Sesungguhnya hak untuk diibadahi adalah hak mutlak Allah semata-mata, dan setiap muslim diperintahkan meninggalkan hal-hal yang membawa kepada kesyirikan.

Ketika menafsirkan firman Allah surah Nuh, ayat 23: “Dan mereka berkata, “Jangan kamu tinggalkan sembahan Tuhanmu dan jangan kamu tinggalkan sembahan Wadd, jangan pula Suwa’, Yaghuts, Ya’uq dan Nasr”, para salaf menafsirkan bahawa kelima-lima nama tersebut adalah nama orang soleh dari kaum Nuh.

Ketika mereka meninggal, kaumnya berkumpul di kubur dan merasa sedih, lalu syaitan membisikkan supaya dibuat gambar orang soleh itu agar diingati. Kemudian syaitan membisikkan supaya dibuat patung dan menamakan dengan nama-nama orang soleh itu. Mereka melakukannya tetapi tidak menyembahnya, sehinggalah zaman beredar dan hilangnya ilmu, anak keturunan mereka menjadikan patung-patung itu sebagai sembahan selain Allah.

KUBUR DALAM TAMAN

Pernah ada cadangan supaya konsep kubur yang suram ditukar kepada konsep dalam taman. Jika dilihat kawasan perkuburan orang kafir memang seperti taman, dihiasi pokok-pokok, binaan, bilik-bilik, dan kadangkala satu keluarga disusun bersama dalam satu bilik. Kita perlu faham kenapa orang kafir menjadikan kubur sebagai taman-taman.

Ini adalah dilema orang kafir yang tidak beriman kepada Allah dan Hari Kebangkitan. Bagi mereka, kehidupan adalah di dunia semata-mata. Mereka berdepan dengan dilema bila berpisah dengan orang kesayangan. Mereka tidak redha menerima kematian orang yang disayangi kerana bagi mereka, keluarga mereka sudah tiada. Jauh sekali mereka hendak percaya bahawa keluarga yang mati itu akan bangkit di Padang Mahsyar dan mereka akan bertemu kembali.

Maka antara usaha untuk menjaga hubungan dengan orang yang telah mati adalah dengan terus mendatangi kubur. Mereka ziarah kubur seperti orang Islam ziarah kubur, tetapi tujuannya berbeza. Orang Islam datang ke kubur untuk ingat kepada mati, sebaliknya orang kafir datang ke kubur kerana hendak menjaga hubungan dengan orang yang telah mati dan mengubat kesedihan.

Namun mereka berdepan dengan musibah lain; setiap kali datang ke kubur, terbayang kepada mereka kematian. Kematian adalah suatu yang sangat tidak menyenangkan mereka kerana kematian bererti terputusnya nikmat dunia. Untuk berdepan dengan perasaan tidak senang itu, mereka meletakkan tanaman, hiasan, taman-taman supaya fikiran tidak tertumpu pada kematian. Sebaliknya mereka terus melihat kenikmatan dunia.

Sebaliknya bagi umat Islam, tujuan ziarah kubur memang untuk mengingat mati. Jadi perbuatan menghias kubur bercanggah dengan syariat itu sendiri, bahkan menyerupai perbuatan orang kafir. Kita khuatir niat ziarah kubur bertukar; tidak timbul perasaan ingat Akhirat, tidak timbul rasa takut.

Maka perlu muhasabah dalam kita hendak berbuat baik kepada si mati. Hendaklah ia dilakukan dengan cara yang syar’i seperti berdoa kepadanya. Bukan dengan menanam pokok, membuat binaan, membaca Al-Quran, bertahlil di kubur. Jika benar hal itu dapat meringankan azab dan memberi manfaat kepada si mati, pasti ia difahami oleh para sahabat dan Salafussoleh, dan pasti mereka mengamalkannya dan kita akan dapati mereka berlumba-lumba melakukannya di kubur-kubur sahabat yang lain. Tetapi ternyata hal ini tidak pernah berlaku.

Artikel ini disiarkan di akhbar pada Jumaat, 07.02.2014

Lihat baju/ jaket yang mereka pakai adalah sama dengan gambar sebelumnya, tertulis "Majelis Rasulullah" sedangkan meninggikan dan mengagungkan kubur adalah dilarang oleh Rasulullah sendiri.

Lihat baju/ jaket yang mereka pakai adalah sama dengan gambar sebelumnya, tertulis “Majelis Rasulullah” sedangkan meninggikan dan mengagungkan kubur adalah dilarang oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sendiri.

KUBUR DIAGUNGKAN