HARAMNYA GHIBAH & PERINTAH MENJAGA LISAN

(Disalin dari rakaman kuliah Riyadhus Salihin, Kitab 17, Bab 254 Haramnya Ghibah & Perintah Menjaga Lisan, 01.11.2013)

بسم الله الرحمٰن الرحيم

باب تحريم الغيبة والأمر بحفظ اللسان

BAB 254: HARAMNYA GHIBAH DAN PERINTAH MENJAGA LISAN

PicsArt_1391032411063

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

وَلاَ يَغْتَبْ بَعضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللهَ إنَّ اللهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ

“Dan janganlah sebahagian kamu ghibah (mengumpat) sebahagian yang lain. Adakah di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu membencinya. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang.” (Al-Hujurat: 12)

Imam Al-Nawawi rahimahullah dalam kitab Perkara-Perkara Larangan ini, larangan pertama yang beliau sebutkan adalah larangan ghibah. Apa yang diertikan dengan ghibah?

Seperti mana yang disebutkan dalam Surah Al-Hujurat itu, ghibah yang dijelaskan dalam hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam adalah menyebutkan sesuatu yang tidak disukai oleh saudara seIslam kita. Itu makna mengumpat.

Kalau menyebutkan tentang sesuatu yang tidak ada pada saudara kita, itu ertinya berdusta, berbohong terhadap dia. Kita membuat tuduhan palsu, itu lebih dahsyat. Jadi mengumpat adalah menyebut sesuatu yang ada pada saudara kita, tetapi dia tidak suka.

Contoh, saudara kita badannya sihat. Jadi kita kata, ‘Si Mamat gemuk’. Tidak ada orang yang suka diejek gemuk. Jadi perbuatan kita menggelar dia gemuk, itu adalah ghibah iaitu mengumpat. Sedangkan dia memang gemuk, itu tidak dinafikan. Tetapi jika dia tidak suka, itulah dia ghibah.

Dalam ayat Al-Quran yang kita bacakan tadi, kita lihat bagaimana Allah Subhanahu wa Ta’ala mengumpamakan perbuatan mengumpat dengan satu perumpamaan yang cukup besar ertinya, satu perumpamaan yang cukup jelas supaya kita memahami keburukan mengumpat itu. Iaitu Allah mengumpamakan mengumpat itu dengan memakan daging saudara kita yang sudah mati.

Kalau kita lihat, perbuatan makan daging manusia yang hidup pun kita jijik nak makan, jadi bagaimana kalau daging manusia yang kita nak makan itu adalah daging bangkai orang yang sudah mati? Itu jelas lebih buruk dan akan ditolak oleh mana-mana manusia yang berdiri di atas fitrah yang sihat.

PicsArt_1391033016461

Dari ayat ini, dapat kita ambil faedah seperti mana yang disebut oleh Syeikh Salim bin ‘Eid Al-Hilali, dia menyebutkan satu faedah yang cukup menjelaskan lagi maksud ayat ini. Dia mengatakan kenapa Allah Subhanahu wa Ta’ala mengumpamakan ghibah dengan memakan daging saudara kita yang sudah mati? Apa kaitan antara ghibah dengan makan daging orang yang sudah mati?

Syeikh Salim berkata, ini kerana apabila kita mengumpat, kita menyebutkan tentang aib seseorang yang tidak ada di depan kita, maka begitulah juga kalau kita makan daging saudara kita yang sudah mati. Apabila kita mengumpat saudara kita yang tidak ada, orang itu tidak mampu mempertahankan dirinya. Maka diumpamakan dengan memakan daging saudara kita yang sudah mati adalah kerana orang mati tidak mampu hendak menolak kita dari kita memakan dagingnya.

Begitulah buruknya perbuatan mengumpat. Kita mengambil peluang dalam keadaan orang itu tidak mampu mempertahankan dirinya ketika kita menyebutkan aibnya.

HUKUM SEBAR GAMBAR MAYAT

Seperti yang berlaku baru-baru ini, ada peristiwa rompakan di mana seorang pegawai bank perempuan dibunuh oleh pengawal keselamatan bank tempat dia bekerja. Pengawal keselamatan itu dibekalkan dengan senjata pump gun, dia sendiri pergi tembak pegawai bank itu apabila pintu besi itu dibuka oleh pegawai bank tersebut. Itu apa yang berlaku, semua itu dirakam dalam CCTV.

Tetapi rentetan dari peristiwa itu, apabila perempuan itu sudah ditembak, dibunuh, orang sebarkan gambar dia. Ini bermulanya perbuatan-perbuatan ghibah. Gambar perempuan itu dalam keadaan tertiarap. Bayangkanlah, senjata pump gun. Pengawal keselamatan itu pula tembak di tempat paling sensitif iaitu muka. Memang dahsyat. Itu kerja penjenayah. Tetapi datang penjenayah lain dalam bentuk kolar putih, datang ambil gambar pegawai bank itu mati tertiarap, seorang perempuan, orang Islam, dalam keadaan terbunuh, ditembak pada bahagian yang cukup sensitif dengan senjata yang cukup berat.

Kesalahan demi kesalahan. Keburukan demi keburukan. Gambar yang dirakam itu disebarkan. Saya antara orang yang terima gambar itu pagi-pagi buta. Pagi kita bertukar jadi celaru apabila melihat gambar mangsa dalam keadaan sedemikian rupa. Tetapi orang yang hantar itu cover juga, dia hantar gambar penjenayah juga. Baguslah hantar gambar penjenayah, supaya ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan. Tetapi yang kita tak setuju adalah kenapa disertakan gambar mangsa?

Gambar close up mangsa yang cukup dahsyat, seolah-olah anda berada di depan mangsa itu. Jadi apa hukum perbuatan ini?

Kita kata inilah mengumpat dengan erti kata yang sebenar. Seperti mana dalam surah Al-Hujurat tadi. Cuma bezanya orang itu tidak makan daging orang yang telah mati itu, tapi dia ambil gambar orang yang telah mati dalam keadaan sedemikian rupa.

Itu yang kita kena ambil perhatian, supaya jangan kita mengambil mudah dalam kita menjaga maruah serta kehormatan sesama saudara seIslam. Bukan saja kita dilarang ghibah, bahkan kita disuruh supaya melakukan sebaliknya iaitu menjaga maruah sesama saudara seIslam kita.

Kembali kepada gambar tadi, betapa bertentangannya perbuatan orang yang mengambil dan menyebarkan gambar itu dengan tuntutan Syariat. Betapa besarnya dosa mereka yang menyebarkan gambar itu.

Pelik bin ajaib, saya di rumah dah tengok gambar itu. Bila saya sampai di pejabat, pak arab diplomat yang kerja di kedutaan Arab Saudi, dia pun dapat gambar itu juga. Betapa fitnah itu tersebar dengan cukup laju kepada ramai orang, serentak. Percayalah, siapa yang mula-mula ambil gambar itu dan kemudian sebarkan, dia menanggung dosa semua orang yang menyebarkan. Dan siapa yang menyebarkan, dia juga akan turut dapat saham dosa membuka aib sesama saudara seIslam.

GHIBAH DI MEDIA MASSA/SOSIAL

Satu lagi contoh yang lumrah, yang seakan-akan sudah diterima sebagai suatu yang tidak ada apa-apa, adalah surat khabar. Surat khabar pun adalah satu alat, di samping ia menyebarkan berita, ia juga dalam masa yang sama adalah alat untuk mengumpat, menyebutkan aib umat Islam. ‘Ahmad bin Labu ditangkap khalwat’, ‘Ahmad bin Labu ditangkap berjudi’, ‘Ahmad bin Labu ditangkap kerana melakukan jenayah’. Boleh atau tidak kita sebarkan?

Ya, dia penjenayah. Sekiranya ada keperluan, ia perlu disebarkan. Tetapi apa keperluan untuk kita sebarkan tentang dia melakukan jenayah kalau dia sudah ditangkap polis? Ini yang perlu kita perhatikan, kerana betapa mudahnya pada zaman sekarang orang mengambil sikap sambil lewa dalam mengumpat, atas alasan-alasan yang tidak boleh diterima.

Kita lihat ayat Al-Quran yang dibawakan oleh Imam Al-Nawawi berikutnya, firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

لاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إنَّ السَّمْعَ وَالبَصَرَ وَالفُؤادَ كُلُّ أُولئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

“Dan janganlah kamu mengikuti (atau menerima) apa yang kamu tidak mengetahui pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan dipertanggungjawabkan.” (Al-Israa: 36)

Berikutnya, firman Allah ‘Azza wa Jal,

مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلاَّ لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتيدٌ

“Tiada satu pun perkataan yang diucapkan melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang sentiasa bersedia (mencatat).” (Qaaf: 18)

‘Tiada satu pun perkataan yang diucapkan’: Ayat ini adalah umum yang memberi gambaran kepada kita bahawa semua ucapan, tidak kira apa juga (adalah dicatat). Kerana ada pendapat yang mengatakan bahawa yang dicatat adalah ucapan baik ataupun buruk. Walaupun begitu, pendapat yang lebih rajih adalah umum, iaitu semua yang diucapkan akan direkod.

‘Kecuali ada di dekatnya Raqibun ‘Atid’: Ini pun bolehlah kita betulkan kefahaman kita yang barangkali selama ini ada yang memahami bahawa yang dimaksudkan Raqib dan Atid adalah dua malaikat bernama Raqib dan ‘Atid. Tetapi pendapat yang rajih, yang dimaksudkan dengan Raqib ‘Atid adalah sifat bagi malaikat itu, iaitu Raqib (pemerhati/pengawas), ‘Atid (sentiasa ada dan bersedia).

Lalu Imam Al-Nawawi rahimahullah memberikan komentar;

“Ketahuilah bahawa sesungguhnya setiap mukallaf (orang yang telah terbebani hukum syariat) diperintahkan untuk selalu menjaga lidahnya untuk tidak berbicara, kecuali ucapan yang ada manfaatnya. Sekiranya manfaat antara berbicara dan diam itu sama, maka sunnahnya adalah diam, kerana ucapan yang asalnya mubah (dibolehkan) kadangkala membawa kepada yang haram atau makruh, dan hal itu sering terjadi, sedangkan keselamatan adalah suatu keberuntungan yang tiada taranya.”

Maka jalan yang selamat (iaitu diam) adalah sentiasa perlu didahulukan, seperti mana dalam kaedah usul fiqh,

دَرْءُ المَفَاسِدِ مُقَدَّم على جَلبِ المَصَالِح

“Mengelak mafsadah (keburukan) didahulukan atas mendapatkan maslahah (kebaikan).”

(BERSAMBUNG… insyaAllah)

(Disalin dari rakaman kuliah Riyadhus Salihin, Kitab 17, Bab 254 Haramnya Ghibah & Perintah Menjaga Lisan, 01.11.2013)

Advertisements