SYURGA DAN CALON PENGHUNINYA

Ustaz Idris bin Sulaiman 

PomeraniaKeyakinan tentang syurga dan neraka bukanlah keyakinan yang diyakini oleh kaum muslimin sahaja. Orang-orang Yahudi dan Nasrani yang menganut agama samawi turut percaya adanya syurga dan neraka. Begitu juga orang Islam, salah satu dari rukun iman adalah percaya kepada hari akhirat dan termasuk di dalamnya adalah beriman kepada syurga dan neraka.

Dalam hadis Ubadah bin Samit, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Barangsiapa bersaksi bahawa tidak ada Ilah (yang berhak disembah) selain Allah, tidak ada sekutu baginya, dan Muhammad adalah hamba dan utusanNya, Isa adalah hamba Allah dan utusanNya serta kalimatNya yang Allah titipkan kepada Maryam dan roh yang Allah ciptakan dariNya, dan bersaksi bahawa syurga itu benar dan Neraka itu benar maka Allah SWT akan memasukkannya ke dalam syurga betapa pun amal yang dilakukannya.” (Al-Bukhari & Muslim)

Jadi keyakinan adanya Syurga dan Neraka adalah salah satu dari cabang iman. Wajib kita meyakini Allah telah menciptakan syurga dan kenikmatan di dalamnya, dan syurga adalah tempat Allah memuliakan hamba yang mentaatiNya. Juga meyakini Allah telah menciptakan Neraka, tempat Allah menunjukkan kemarahan dan siksaNya.

Para sahabat Nabi SAW sangat memberi perhatian apabila Nabi membicarakan tentang syurga dan neraka, kerana tidak ada yang lebih penting dalam hidup manusia selain untuk masuk syurga. Ini kerana  tidak ada tempat di akhirat nanti selain syurga atau neraka. Tidak seperti keyakinan orang-orang sufi yang mengatakan mereka beribadah namun tidak menginginkan syurga. Padahal di Akhirat nanti tidak ada tempat bagi manusia selain syurga atau neraka.

Mereka mengatakan sesiapa beribadah kerana menginginkan Syurga, itu akan mencacatkan keikhlasan. Sedangkan Allah SWT memerintahkan hambaNya meminta syurga, bahkan para malaikat dan Rasul serta orang-orang yang dijamin syurga semua meminta Syurga daripada Allah, dan mereka adalah seutama-utama wali Allah.

Nabi Ibrahim kekasih Allah berdoa, “Jadikanlah aku termasuk orang-orang yang mewarisi syurga yang penuh kenikmatan” (Al-Syu’ara: 85). Asiah isteri Firaun, calon ahli syurga, ketika disiksa dia berdoa seperti yang diceritakan, “Allah membuat isteri Firaun perumpamaan bagi orang-orang beriman, ketika dia berkata, “Ya Rabbku, binakanlah untukku sebuah rumah di sisiMu di Syurga” (Al-Tahrim: 11). Nabi Muhammad SAW juga banyak meminta syurga dalam doa-doa Baginda.

Para sahabat sangat termotivasi bila Rasulullah menceritakan tentang syurga dan kenikmatannya, sehingga amal soleh mereka meningkat. Mereka juga sangat takut bila Nabi menceritakan tentang neraka dan azabnya, sehingga mereka menjauhi segala yang dimurkai Allah. Begitu juga bagi setiap mukmin, hendaklah termotivasi bila membaca ayat-ayat tentang syurga, dan meminta perlindungan kepada Allah apabila mendengar ayat-ayat tentang Neraka.

Inilah tujuan diceritakan kepada kita tentang syurga dan Neraka, iaitu agar kita berlumba-lumba mengejarnya dengan meningkatkan amal soleh. Nabi bersabda, “Jika kamu meminta kepada Allah, mintalah Syurga Firdaus Al-A’la (yang Tertinggi).” (Sahih Al-Bukhari)

SYURGA SANGAT MAHAL

Syurga Allah sangat mahal dan tidak dapat dibeli dengan amal ibadah. Nabi SAW mengatakan tidak ada seorang pun masuk syurga dengan amal ibadahnya, tidak juga Nabi SAW. Sebaliknya seseorang masuk syurga kerana kurnia dan rahmat Allah SWT. Bayangkan amal ibadah Nabi pun tidak dapat membeli syurga, apa lagi amal ibadah kita.

Maka kita tidak tahu dengan amal apa kita akan diberi rahmat oleh Allah untuk masuk ke syurgaNya. Apa yang pasti, tidak akan masuk syurga kecuali ‘nafsun muslimah’ iaitu jiwa yang bertauhid. Kemudian Allah memasukkan jiwa yang bertauhid ini ke syurga dengan sebab-sebab dan kita tidak tahu dengan amal apa kita bakal terpilih menjadi ahlinya.

Diceritakan dalam riwayat sahih, ada yang masuk syurga kerana memberi minum anjing kehausan. Ada yang masuk syurga kerana menyingkir pohon yang melintang di tengah jalan, amal yang mungkin dipandang remeh. Maka janganlah kita pandang kecil pada satu kebaikan, sebaliknya hendaklah kita bersungguh-sungguh mengejar syurga dengan melakukan amal kerana kita tidak tahu dengan amal apa kita akan masuk syurga. Apa yang pasti, jagalah tauhid kerana itu adalah kunci ke Syurga. Ini kerana Allah mengharamkan syurga kepada orang-orang yang berbuat syirik.

Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya bagi orang beriman dan beramal soleh, bagi mereka taman-taman Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, itu adalah kejayaan yang besar” (Al-Buruj: 11). “Sesungguhnya mereka yang berkata Tuhan kami adalah Allah, lalu mereka istiqamah, mereka tidak takut dan tidak mereka bersedih hati. Merekalah ahli syurga, kekal di dalamnya sebagai balasan amalan yang mereka kerjakan.” (Al-Ahqaf:14)

Lihat bagaimana ditekankan keimanan kepada Allah SWT. Juga dalam hadis sahih riwayat Ahmad, Rasulullah saw bersabda, “Bergembiralah, dan sampaikanlah berita gembira kepada manusia bahawa barangsiapa yang berkata La-ilaha-illallah (ucapan tauhid) secara benar dan ikhlas dari hatinya, dia akan masuk syurga.”

Dapat disimpulkan bahawa syurga itu hanya bagi mereka yang mentauhidkan Allah dengan menjauhi segala syirik. Inilah prinsip asas, seperti mana yang akan kekal dalam Neraka adalah mereka yang menyekutukan Allah dengan sembahan yang lain.

Walau apapun dosa yang dilakukan seseorang, maksiat-maksiat yang dilakukan dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya, menjadi prinsip Ahli Sunnah wal Jamaah bahawa selama mana dosa itu tidak sampai kepada syirik, orang itu layak masuk ke Syurga. Ini dijelaskan dalam firman Allah, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan orang yang menyekutukanNya, dan Dia mengampuni selain itu bagi siapa yang dikehendakiNya.” (Al-Nisa: 48)

Maka prinsip Ahli Sunnah wal Jamaah bagi pelaku dosa besar selama tidak mensyirikkan Allah, mereka di Akhirat kembali kepada kehendak Allah. Barangkali Allah mengampunkan dan memasukkan ke Syurga dengan rahmat kurniaNya, dan barangkali Allah memasukkan ke Neraka atas dosa-dosa yang mereka lakukan. Namun akhirnya dengan kelebihan tauhid, akhirnya mereka akan masuk juga ke syurga, terselamat dari kekal dalam Neraka seperti orang yang menyekutukan Allah.

Berbeza dengan prinsip kumpulan-kumpulan bid’ah iaitu Khawarij dan Muktazilah, mereka melihat pelaku dosa besar ini sama seperti golongan musyrik yang kekal di neraka. Berbeza juga dengan golongan murji-ah, yang mengatakan dosa tidak menggugat keimanan, bahkan mereka mengatakan pelaku dosa adalah beriman dan layak terus masuk ke syurga, mereka menganggap iman dan amal tidak ada kaitan. Kedua-dua pegangan ini menyalahi Al-Quran dan Sunnah.

GOLONGAN SELAMAT

Pada masa sama, ada golongan yang akan selamat dari Neraka dan terus masuk ke Syurga. Ini sebagaimana hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi saw bersabda, “Diperlihatkan kepadaku umat-umat terdahulu, dan aku melihat seorang Nabi bersama dengan pengikutnya, dan aku melihat seorang nabi itu bersama seorang pengikut dan dua orang pengikut, dan aku melihat seorang nabi itu tidak ada seorang pun pengikut, lalu diperlihatkan kepadaku di sebelah ufuk sebilangan manusia yang ramai, maka aku menyangka inilah umatku, diperkatakan kepadaku bahawa ini adalah Nabi musa bersama kaumnya. Lalu diperlihatkan kepadaku sejumlah manusia yang lebih ramai di sebelah ufuk, dan diperkatakan kepadaku bahawa ini adalah umatmu.

Di kalangan mereka ada 70ribu orang yang akan terus masuk ke syurga tanpa dihisab. Mereka itu orang yang tidak meminta supaya diruqyah, tidak berubat dengan besi panas, dan tidak tathayyur (percaya kepada sial dan khurafat). Mereka ini bertawakkal kepada tuhan mereka.” Inilah ciri 70ribu umat nabi Muhammad yang akan terus masuk syurga tanpa dihisab atau diazab.

Pada masa sama, ada umat Islam yang secara umumnya akan selamat juga dari Neraka, mereka tidak akan singgah ke Neraka kerana dosa-dosa mereka sebaliknya akan terus ke syurga. Mereka adalah Al-Firqah Al-Najiyah (golongan yang selamat).

Ini seperti sabda Rasulullah, “Sesungguhnya umat Bani Israil yang terdahulu terpecah kepada 72, dan umatku ini akan berpecah kepada 73 kumpulan, 72 darinya masuk Neraka, hanya satu yang selamat. Ditanya kepada Baginda siapa mereka, Baginda menjawab “Al-Jamaah”. Dalam riwayat Al-Tirmizi, Nabi menjelaskan Al-Jamaah adalah “apa yang aku dan sahabatku berada di atasnya.”

Jadi untuk selamat dari neraka, secara umumnya hendaklah kita pastikan kedudukan kita bertepatan dengan apa yang menjadi kedudukan Rasulullah. Tidak cukup sekadar itu, hendaklah juga bertepatan dengan apa yang menjadi pegangan para sahabat, atau disimpulkan sebagai Salaf Al-Soleh.

Ini bertepatan sabda Baginda, “Sebaik-baik manusia adalah generasiku, kemudian generasi berikutnya, kemudian generasi berikutnya” (Bukhari & Muslim). Rasulullah berhenti di situ. Maka di dalam berpegang dengan Al-Quran dan Sunnah, jangan jadi seperti rata-rata umat Islam yang berbeza-beza aliran dalam kefahaman akidah, praktik ibadah dan akhlak. Apabila ditanya apa pegangan mereka, mereka mengatakan Al-Quran dan Sunnah.

Orang-orang syiah yang melaknat para sahabat pun mendakwa mereka berpegang dengan Al-Quran dan Sunnah. Lalu apa yang membezakan Ahli Sunnah dengan kumpulan islam yang saling berbeza ini? Jawapannya adalah haruslah kita pastikan kefahaman kita terhadap Al-Quran dan Sunnah menepati apa yang menjadi pegangan, kefahaman, dan amalan para sahabat radhiyallahu’anhum dan kefahaman salaf al-soleh secara umumnya. Moga-moga kita termasuk dalam Al-Firqatun Najiyah, golongan yang selamat dari masuk Neraka dan akan terus masuk ke Syurga.

Artikel ini disiarkan di akhbar pada Jumaat, 10 Januari 2014

2014113230502-1