PERINTAH BERSELAWAT KE ATAS NABI

Ustaz Idris bin Sulaiman

selawatAllah SWT berfirman, “Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam kepadanya.” (Al-Ahzab: 56)

Selawat berasal dari perkataan Arab ‘solat’. Solat dari segi bahasa bererti doa, iaitu menyeru atau meminta. Apabila kita berdoa kepada Allah, bererti kita menyeru dan meminta kepada Allah. Itu juga yang dimaksudkan dengan selawat.

Apakah makna Allah berselawat ke atas Nabi? Selawat Allah ke atas Nabi bermakna pujian Allah serta Allah menyebut-nyebut nama Rasulullah di sisi malaikat-malaikat di langit tujuh. Disebut-sebut nama Rasulullah SAW di sisi para Malaikat yang paling hampir kedudukannya dengan Arasy Allah SWT.

Adapun selawat para Malaikat dan selainnya termasuk kita, adalah doa kita kepada Allah agar Allah berselawat ke atas Nabi. Apabila kita berselawat, kita sebenarnya sedang meminta kepada Allah supaya Allah memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Selawat Allah ke atas Nabi asalnya sudah berlaku seperti yang disebut dalam ayat Al-Quran tadi. Tapi kita diperintahkan untuk berselawat iaitu berdoa kepada Allah agar Allah memperbanyakkan puji-pujian ke atas Nabi Muhammad SAW dan menyebut nama Baginda di sisi para malaikatNya.

SELAWAT ADALAH DOA

Selawat adalah satu doa. Kita berdoa kepada Allah agar Allah berselawat ke atas Nabi. Ini seperti mana lafaz yang kita ucapkan “Allahumma Salli ‘ala Muhammad (Ya Allah, selawatlah ke atas Muhammad)” atau “Sallallahu ‘ala Muhammad (Allah berselawat ke atas Muhammad)”. Kedua-duanya adalah ayat permohonan supaya Allah berselawat ke atas Nabi Muhammad.

Imam Ibnu Katsir rahimahullah mentafsirkan ayat “Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas Nabi” berkata bahawa dalam ayat ini Allah mengkhabarkan tentang kedudukan Nabi Muhammad SAW yang tinggi, Allah memuji-mujinya serta disebut-sebut namanya di sisi para malaikat muqarrabin, lalu para malaikat pun berselawat kepadanya.

Seterusnya Allah memerintahkan penduduk bumi agar mengucapkan selawat dan salam kepada Nabi, agar menghimpunkan selawat penduduk langit dan selawat penduduk bumi agar selawat itu lengkap dan sempurna, dan dimuliakan Nabi Muhammad dengan semulia-mulianya.

Imam Al-Qurthubi rahimahullah ketika mentafsirkan ayat ini berkata bahawa di dalam ayat ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa Allah telah memuliakan Rasulullah semasa hidupnya (ayat ini turun ketika Rasulullah hidup) dan juga setelah kewafatannya.

Allah SWT hanya memerintahkan hambaNya berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, tidak ada perintah (kewajipan) selawat ke atas Nabi lain. Di situ jelas bahawa Nabi Muhammad SAW telah dikhaskan dengan satu doa, dan itu menunjukkan kedudukan Baginda SAW yang tinggi dan lebih tinggi berbanding para Nabi dan Rasul yang lain.

Di antara faedah yang dapat kita ambil dari ayat ini adalah kemuliaan Rasulullah SAW serta kedudukan Baginda yang tinggi di sisi Allah, dan perintah wajib mengamalkan satu ibadah khusus iaitu berselawat ke atas Nabi di samping ibadah-ibadah lain yang disyariatkan.

Para Ulama menjelaskan bahawa interaksi antara kita dengan Nabi Muhammad setelah kewafatan Baginda adalah sekadar kita berdoa kepada Allah untuk berselawat ke atas Baginda. Maka tidak dibolehkan sama sekali kita menyeru, meminta, atau berdoa kepada Nabi SAW.

Walaupun ayat ini menjelaskan kedudukan Baginda yang tinggi, tetapi tidaklah sampai kita melebihkan kedudukan Baginda dari kedudukan yang sepatutnya. Tidak sehingga kita menujukan doa dan seruan kepada Baginda. Itu adalah perbuatan yang melampau dan melebihi apa yang dituntut ke atas kita.

Kita menghormati dan memuliakan Baginda serta meletakkan Baginda pada kedudukan yang tinggi. Kita berdoa supaya Allah berselawat ke atas Baginda, tetapi tidak sampai kita meminta hajat kepada Baginda. Dalam urusan meminta hajat, kita hanya meminta dari Allah semata-mata.

Ayat ini secara tidak langsung menjelaskan penyimpangan golongan yang berinteraksi dengan Rasulullah, antaranya dengan menyeru Baginda, dan mensedekahkan Al-Fatihah kepada Baginda. Ini adalah amalan baru yang diada-adakan. Kita tidak diperintahkan untuk melakukannya bahkan para sahabat yang paling tinggi cintanya kepada Nabi pun tidak pernah melakukannya.

UCAPAN SALAM KE ATAS NABI

Dalam ayat yang sama, ALLAH turut memerintahkan supaya mengucapkan salam kepada Nabi SAW. Ini menunjukkan ada dua ibadah wajib dalam interaksi dengan Nabi; 1. Berselawat, 2. Mengucapkan salam.

Apa yang dimaksudkan dengan salam? Salam bererti keselamatan. Bagaimanakah Allah memberi keselamatan ke atas Nabi? Semasa hidup Baginda, Rasulullah telah dipelihara dan diberi keselamatan oleh Allah SWT seperti yang dinyatakan dalam firman Allah,

“Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Jika tidak kamu lakukan maka kamu tidak menyampaikan risalahNya. Allah akan memelihara (menjaga) kamu dari manusia.” (Al-Ma-idah: 67)

Ayat ini menunjukkan jaminan ALLAH kepada Rasulullah. Allah memerintahkan Baginda supaya menyampaikan apa yang telah diturunkan. Ini adalah amanah dan tanggungjawab Baginda. Lalu Allah menjamin akan menjaga keselamatan Rasulullah daripada manusia. Ini adalah keselamatan ketika Baginda masih hidup.

Adapun selepas kewafatan Baginda, keselamatan dan jagaan Allah berterusan ke atas Baginda SAW, seperti yang pernah berlaku dalam sejarah di mana ada usaha dilakukan untuk mencuri jasad Baginda di kuburnya, namun usaha itu dapat digagalkan. Sebab itu pada hari ini kita lihat di sekeliling kubur Baginda dipagar dengan dinding logam yang tebal, supaya tidak berulang kejadian seperti ini.

Ternyata Allah terus memelihara Rasulullah ketika hidup dan selepas wafatnya. Namun dalam masa yang sama kita disuruh berdoa untuk keselamatan Baginda SAW agar Baginda terus dipelihara di kubur Baginda.

LAFAZ SELAWAT DAN SALAM

Lafaz selawat ke atas Nabi disebutkan dalam hadis di mana seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan duduk di depan Baginda dan berkata, “Wahai Rasulullah, adapun tentang memberi salam ke atasmu telah kami ketahui, lalu bagaimana cara berselawat ke atasmu? Rasulullah bersabda:

“Ucapkanlah: Allaahumma salli ‘ala Muhammad wa ‘ala Aali Muhammad, kama sallaita ‘ala Ibrahim wa ‘ala Aali Ibrahim, innaka Hamidun Majid. Wabaarik ‘ala Muhammad wa ‘ala Aali Muhammad kama baarakta ‘ala Ibrahim wa ‘ala Aali Ibrahim innaka Hamiidun Majiid.” (Al-Bukhari & Muslim) Dalam riwayat lain, lafaz “wabaarik” diganti dengan “Allahumma baarik”.

Ini adalah lafaz selawat yang paling sempurna dan tidak ada yang lebih sempurna dari itu. Kalau kita inginkan pahala selawat yang paling sempurna, inilah yang perlu kita baca, iaitu seperti yang kita baca dalam tahiyat ketika solat.

Adapun lafaz salam, juga seperti yang kita baca dalam tasyahhud, “At-Tahiyatu lillahi wassalawatu watthayyibaat. Assalaamu ‘alaika ayyuha An-Nabiyyu warahmatullaahi wabarakaatuh” (Al-Bukhari & Muslim). Ini adalah lafaz yang diajar oleh Rasulullah. Walaubagaimana pun, Ibnu ‘Umar RA yang merupakan sahabat yang faqih, sesudah kewafatan Rasulullah dia membaca, “Assalaamu‘alan-Nabiyyi warahmatullaahi wabarakaatuh”.

Syaikh Al-Albani rh. dalam kitab Sifat Shalat Nabi menjelaskan bahawa inilah yang sepatutnya dibaca, kerana lafaz Assalaamu‘alaika (Salam ke atasmu) diucap jika Nabi bersama kita (masih hidup). Berbeza dengan Assalamu‘alan-Nabiy (Salam ke atas Nabi) diucap kerana kita tidak lagi berinteraksi secara langsung dengan Nabi setelah Baginda wafat.

Syaikh Albani mengatakan bahawa mustahil Ibnu Umar ra. mencipta sesuatu yang baru dari dirinya, kerana Ibnu Umar terkenal sebagai orang yang sangat mengikuti dan berpegang teguh sunnah Nabi SAW. Perbuatan Ibnu Umar membaca dengan lafaz ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana perintah dari Nabi SAW atau apa yang dia pelajari dari Baginda.

Maka selawat dan salam ini kita ucapkan kedua-duanya di dalam solat. Di samping itu kita disunnahkan untuk berselawat pada tempat yang disyariatkan seperti dalam solat jenazah, selepas azan, di dalam doa, di dalam majlis, apabila disebut nama Rasulullah, juga pada hari Jumaat di mana kita disuruh memperbanyakkan selawat.

Dengan itu terjelas kepada kita bahawa tidak ada istilah kirim salam kepada Nabi, dan ini termasuk bid’ah yang munkar, kerana tidak ada beza selawat dan salam dari tempat yang dekat atau jauh. Kita tidak disuruh pergi ke kubur Baginda untuk melakukan ibadah ini.

Sabda Nabi SAW, “Sesungguhnya antara hari kamu yang paling utama adalah hari Jumaat, maka banyakkanlah selawat ke atasku pada hari itu. Sesungguhnya selawat kamu dihadapkan kepadaku.” Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana selawat kami dihadapkan ke atasmu sedang engkau telah hancur menjadi tanah?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya Allah mengharamkan atas bumi jasad-jasad para Nabi.” (Sahih, Abu Daud)

Sabda Baginda lagi, “Janganlah kamu jadikan kuburku tempat perayaan (pusat kunjungan). Selawatlah kepadaku, sesungguhnya selawatmu sampai kepadaku di mana pun kamu berada.” (Sahih, Abu Daud)

Artikel ini disiar di akhbar pada Jumaat, 3 Januari 2014

???????????????????????????????