MENGIKHLASKAN AGAMA KEPADA ALLAH

Ustaz Idris Sulaiman

Sittu Durar min Usul Ahli Al-Atsar yang telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu

Syaikh Abdul Malik Al-Jazairi dalam kitabnya yang cukup istimewa Sittu Durar min Usul Ahli Al-Atsar menyebut bahawa prinsip pertama dalam dakwah Salaf adalah mengikhlaskan agama kepada Allah. Ikhlas adalah asas dalam agama bahkan menjadi intipatinya.

Ikhlas itulah yang dimaksudkan dengan tauhid, di mana para rasul diutus untuk mengajak kepadanya, yakni menghambakan diri kepada ALLAH semata-mata. Atas dasar ini juga kitab-kitab termasuk Al-Quran diturunkan. Hal ini banyak disebut dalam ayat-ayat Al-Quran, “Maka sembahlah ALLAH secara ikhlas kepadaNya.” (Al-Zumar: 2)

Menyembah ALLAH secara ikhlas bererti menyucikan ibadah semata-mata kepada ALLAH. Ikhlas berasal dari perkataan khalasa bererti bersih, suci, tidak bercampur dengan yang lain. Ini seperti mana ayat Al-Quran yang biasa kita baca, “Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku semata-mata kerana Allah Tuhan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya. (Al-An’am: 162)

Al-Imam Ibn Al-Qayyim apabila menyebut tentang Tauhid iaitu mengikhlaskan ibadah, mengumpamakannya sebagai sebuah bangunan: “Sesiapa yang ingin meninggikan sebuah bangunan, dia wajib mengukuhkannya dengan bersungguh-sungguh memberi perhatian pada asas (foundation) binaan, kerana ketinggian bangunan bergantung pada kekuatan asasnya. Amal kebaikan dan tingkatannya ibarat badan sebuah bangunan, manakala tauhid adalah asasnya.” (Al-Fawaid, hlm 204)

Orang yang mempunyai kefahaman yang benar pasti memfokuskan usaha mereka ke arah memantapkan asas binaan iaitu Tauhid serta ikhlas kepada Allah. Berbeza dengan golongan jahil, mereka cuba meninggikan binaan tanpa asas, atau atas asas yang rapuh. Maka betapa cepatnya binaan itu retak kalau bukan runtuh sama sekali.

Penekanan Al-Quran terhadap asas ini cukup banyak. Di antara ayat-ayat pertama yang diturunkan, “Wahai manusia, sembahlah Tuhanmu yang menciptakanmu dan orang-orang sebelummu, agar kamu bertakwa. Maka jangan kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi ALLAH” (Al-Baqarah: 21-22). Firman Allah, “Dan Kami mengutus Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyeru) ‘Sembahlah ALLAH sahaja dan jauhilah taghut.” (Al-Nahl: 36).

Taghut adalah apa yang bercanggah dengan tauhid. Allah tidak sekadar memerintahkan supaya menyembahNya, tetapi ALLAH memerintahkan supaya menjauhi sembahan selainNya. Ada perintah menyembah Allah, dan ada larangan menyembah selain Allah. Tauhid dan ikhlas lawannya syirik. Maka tidak hairanlah dosa syirik adalah dosa paling besar.

NABI FOKUS TAUHID

Sepanjang peringkat-peringkat dakwah Rasulullah yang bermula di Makkah dan berakhir di Madinah, dan selepas berjaya membuka kota Makkah, Rasulullah tidak pernah sedikit pun mengenepikan fokus kepada dakwah Tauhid. Dakwah Baginda tidak pernah lari dari menyampaikan tauhid.

Dalam keadaan lemah di Makkah Baginda fokus pada Tauhid, malah setelah berhijrah dan mendapat kekuatan bilangan dan ketenteraan, Baginda tetap fokus kepada Tauhid. Bahkan di saat-saat akhir hidupnya, Baginda masih fokus kepada Tauhid.

Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim, ketika Rasulullah SAW telah berhijrah ke Madinah, setelah umat Islam memiliki kekuatan, di tahun-tahun terakhir Rasulullah di Madinah, Baginda mendapat berita adanya patung yang disembah bernama ZulKhalasah di Yaman, jauh beribu kilometer dari Madinah.

Apabila mengetahui adanya berhala ini, Baginda merasa tidak tenang. Baginda berkata kepada Jarir bin Abdullah radhiyallahu ‘anh, “Tidakkah engkau mahu menenangkan hatiku dari berhala ZulKhalasah?”

Rasulullah meminta Jarir memikul satu misi ke Yaman untuk menghancurkan berhala ini. Jarir bersama pasukannya diutus oleh Rasulullah sebanyak 150 orang terdiri dari penunggang kuda. Namun Jarir selaku panglima pasukan pada ketika itu tidak mahir menunggang kuda. Dia menyampaikan kepada Rasulullah bahawa dia tidak tetap di atas kuda, maknanya dia akan jatuh. Lalu Rasulullah menepuk dadanya dan berdoa, “Ya Allah, tetapkanlah dia dan jadikanlah dia mendapat petunjuk dan memberi petunjuk.” Berkat doa Rasulullah, Jarir tidak pernah jatuh dari kuda setelah itu.

Jarir bersama pasukannya bertolak ke Yaman dan setibanya di sana, dia melaksanakan misi yang dipikulkan ke atasnya. Dia bertemu seorang tukang tilik dan dia memberi kata dua kepadanya sama bertaubat dari perbuatannya dan mengucap syahadah, atau dia akan dibunuh. Ternyata tukang tilik itu mengucap dua kalimah syahadah dan masuk Islam. Setelah itu dia pergi kepada berhala ZulKhalasah dan menghancurkannya. Setelah berita ini sampai kepada Rasulullah di Madinah, Baginda mendoakan keberkatan buat Jarir dan pasukannya sebanyak lima kali.

Dari hadis ini, dapat dilihat bagaimana keadaan Rasulullah bila mengetahui adanya sembahan yang disembah selain Allah, adanya Syirik yang diamalkan masyarakat. Rasulullah tidak merasa tenang. Betapa Rasulullah memberi kepentingan atas perkara ini, Baginda mendoakan mereka sebanyak lima kali.

Ini menyalahi kebiasaan Rasulullah, kerana kebiasaannya apabila Baginda memberi penekanan kepada sesuatu, Baginda akan berdoa sebanyak tiga kali, atau mengulang ucapannya tiga kali. Di sini Rasulullah mengulangnya sampai lima kali menunjukkan betapa pentingnya misi yang dilaksanakan oleh Jarir.

Maka kita ingin menarik perhatian pendakwah-pendakwah yang mengambil mudah kepentingan Tauhid. Bagaimana mereka merasa tidak ada apa-apa bila perbuatan Syirik diamalkan oleh masyarakat, menganggapnya seolah-olah perkara biasa, tidak begitu penting dan tidak perlu fokus pada hal itu.

Mereka boleh fokus pada hal lain tetapi mengetepikan fokus pada Tauhid. Bahkan ada yang menganggap golongan yang fokus pada Tauhid kerana mencontohi apa yang dilakukan Para Rasul adalah golongan yang memecah belah masyarakat. Mengajak masyarakat kepada akidah Salaf Al-Soleh, itulah dakwah Tauhid. Tetapi mereka menganggap golongan ini memecah belah masyarakat bahkan dikatakan membawa ajaran sesat atau yang diistilahkan sebagai Wahabi.

KUBUR DIJADIKAN MASJID

Ada juga yang menganggap orang yang mengajak kepada akidah Salaf sebagai terburu-buru dan tidak ada hikmah dalam dakwah. Apakah mengajak kepada selain akidah salaf itu ada hikmah? Itu bukan hikmah, itu jelas kesesatan dan kebatilan.

Mereka tergamak mendakwa golongan yang mengajak kepada tauhid tidak memberi perhatian kepada selain tauhid. Mereka mencela bahkan menentang golongan yang melihat dakwah perlu dimulakan dengan tauhid dan akidah masyarakat perlu dibersihkan dari segala khurafat, syirik, kufur, dan bid’ah. Mereka mengatakan, apakah orang-orang kafir terselamat dari kamu manakala orang Islam menjadi fokus kamu? Kamu sibuk mencari salah di kalangan masyarakat Islam dan kamu lupa orang kafir.

Kata-kata yang dari satu sudut nampak macam betul, tapi itulah kebatilan. Kita katakan kepada mereka, di manakah keikhlasan mereka di dalam tauhid? Di mana kepentingan mereka kepada tauhid?

Sedangkan Rasulullah di hari-hari terakhir hidup Baginda berpesan supaya jangan jadikan kubur Baginda sebagai masjid (yakni tempat sembahan dan tempat beribadah), dan Allah sangat murka terhadap kaum yang menjadikan kubur Nabi mereka sebagai masjid.

Ini adalah pesan-pesan terakhir Baginda yang jelas menunjukkan Baginda sangat memberi kepentingan kepada tauhid, padahal keadaan umat Islam pada ketika itu telah mencapai tahap puncak kekuatan dalam bertauhid kepada ALLAH.

Inilah dakwah Rasulullah SAW dan ini jugalah yang menjadi fokus dan penekanan oleh ulama-ulama Salaf Al-Soleh. Mereka terus memusatkan perhatian kepada dakwah mentauhidkan Allah SWT dengan ertikata sebenar, dan menyuruh umat bersatu padu di atas dasar pijakan para Salaf Al-Soleh ini.

Termasuklah di dalamnya beriman kepada para malaikat, kitab-kitab yang diturunkan, para Rasul, Hari Akhirat, dan beriman dengan takdir Allah yang baik dan yang buruk. Inilah yang dinamakan Usuluddin (asas-asas agama) atau apa yang diistilahkan sebagai rukun Iman yang enam.

Artikel ini disiarkan di akhbar pada Jumaat, 27.12.2013

DSC_0551