SEJARAH SUFI DI HADRAMAUT

Oleh: Syaikh Dr. Amin Al-Sa’di, Pensyarah di Jabatan Akidah, Uni. Islam Madinah, Arab Saudi

Penterjemah (secara lisan): Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman

jalan lurus

Kita bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala di atas nikmat Islam yang telah diturunkan kepada umat Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam di mana agama yang dibawa oleh Baginda telah tersebar ke merata tempat sehinggalah sampai ke bumi yang bertuah ini. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka saling menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar, mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Al-Taubah, 9 :71)

Ayat yang mulia ini memberi gambaran kepada kita tentang tanggungjawab yang telah dipikul oleh para Nabi dan para Rasul di mana mereka mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kebaikan yang paling utama adalah mengajak kepada mengesakan Allah Subhanahu wa Ta’ala, manakala keburukan yang paling besar adalah menyekutukan Allah Jalla wa ‘Ala.

Kalau kita lihat, ini jugalah yang telah dilakukan oleh para sahabat dan generasi salaf terdahulu di mana mereka semua mengajak kepada Tauhid dengan apa juga yang mereka miliki, baik dengan nyawa, harta, usaha, tenaga dan apa sahaja yang Allah berikan kepada mereka untuk mempertahankan agama ini.

Apabila timbul pemahaman-pemahaman bid’ah yang menyimpang dari agama seperti pemahaman Khawarij, Syiah, Murji-ah dan seumpamanya, kita dapat saksikan para ulama bangkit mempertahankan agama serta menyanggah pemahaman-pemahaman menyimpang ini. Ini kerana Allah ‘Azza wa Jal berfirman,

وَأُوحِيَ إِلَيَّ هَذَا الْقُرْآَنُ لِأُنْذِرَكُمْ بِهِ وَمَنْ بَلَغَ

“Dan diwahyukan kepadaku Al-Quran ini agar aku memberi peringatan kepada kamu dengannya, dan kepada orang yang sampai (Al-Quran ini kepadanya).” (Surah Al-An’aam, 6: 19)

Maka siapa yang Al-Quran sampai kepadanya, menjadi tanggungjawab mereka untuk menyebarkan dakwah Islam yang telah sampai kepada mereka itu. Oleh itu, generasi awal umat Islam iaitu Salaf Al-Soleh adalah manusia yang paling berbahagia di dalam melaksanakan tanggungjawab ini, di mana mereka telah menyampaikan dakwah akidah yang benar, menyebarkan akhlak yang murni.

Seperti mana yang para ikhwah sedia maklum, bagi setiap amalan itu ada dua syarat, dan setiap amalan yang dilakukan hendaklah menepati dua syarat ini iaitu ikhlas kepada Allah, dan ittiba’ iaitu mengikuti contoh daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Ini berdasarkan kepada maksud kalimah Syahadah iaitu ‘Tiada Tuhan selain Allah, dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah.’

Para ulama salaf telah memikul tanggungjawab besar ini, sehinggalah datang zaman keempat-empat Imam yang faqih dan dikenali iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi’i dan juga Imam Ahmad, mereka juga memikul tanggungjawab menyebarkan risalah Islam dalam mengajak kepada mentauhidkan Allah dan mengikuti Sunnah RasulNya sallallahu ‘alaihi wasallam.

Imam Al-Syafi’i pernah bertanya kepada gurunya Imam Malik tentang ilmu tauhid dan juga ilmu kalam. Imam Malik menjawab, mustahil Rasulullah mengajar umatnya cara istinjak tetapi Baginda tidak mengajar tentang tauhid, kerana tauhid adalah ilmu yang paling utama dalam Islam, yang menentukan seseorang itu Islam ataupun tidak.

Antara nikmat yang Allah tetapkan untuk Imam Syafi’i dan untuk mazhabnya adalah Allah telah menyebar luaskan ilmu yang disampaikan oleh Imam Al-Syafi’i sehingga ia tersebar ke serata dunia. Allah telah memberi kurniaan besar kepada Imam Al-Syafi’i atas kecintaannya kepada ilmu, cinta kepada agama Allah, dan cinta kepada Bahasa Arab sehingga dia telah mendalaminya.

Mazhab Al-Syafi’i tersebar pada awalnya di bumi Iraq dan kemudian meluas ke Mesir, semuanya menjurus kepada memahami akidah tauhid dan menyebarkan Sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dan mengajarkan manusia hukum hakam Syariat.

Imam Al-Syafi’i cukup prihatin menjaga Sunnah dan mengagungkan Al-Quran. Sehingga apabila beliau keluar dari Baghdad, Iraq, dia mengatakan “Sungguh aku telah meninggalkan satu tempat yang masyarakat di situ mengamalkan satu amalan yang dinamakan ‘taghbir’, ia menghalang manusia dari Kitabullah (Al-Quran).”

Taghbir adalah sejenis nasyid di mana mereka mengajak kepada zuhud dan Akhirat dengan cara menyanyi-nyanyi. Lihat bagaimana mereka menarik manusia kepada amalan-amalan sedemikian sehingga akhirnya menghalang umat Islam dari memahami Al-Quran dan agama Islam yang sebenar.

Mazhab Al-Syafi’i telah tersebar luas ke serata negara dan daripadanya lahir ulama yang ramai. Antara murid-murid Imam Syafi’i yang terkenal seperti Al-Muzani, Al-Rabee’, Al-Buyuthi dan selain mereka, mereka di antara yang begitu prihatin dalam menyebarkan Tauhid dan Sunnah yang sebenar di tempat-tempat yang mereka lawati.

SEJARAH ISLAM DI HADRAMAUT

Termasuk bumi yang telah sampai mazhab Syafi’i adalah bumi Yaman. Di antara tempat-tempat di Yaman yang tersebar mazhab Al-Syafi’i adalah Zabid, Tahamah, Hadramaut, ‘Adan. Dan ada juga sebahagian mazhab lain seperti Maliki dan Hanafi tetapi ia pupus.

Bumi Yaman menyaksikan ulama Syafi’i terus menyebarkan akidah yang benar. Namun bumi Yaman adalah seperti bumi Islam yang lain, ia diuji dengan kemasukan firqah-firqah dan pemahaman yang menyimpang dari dasar ajaran Islam yang sebenar. Telah masuk mazhab Syiah pada awalnya, begitu juga dengan ajaran tasawuf (sufi) di awal kurun ke-4.

Sebuah tempat di Yaman yang cukup penting dalam sejarah Islam iaitu Hadramaut, kerana penduduk Hadramaut adalah di antara yang awal memeluk Islam sebelum mereka datang ke Madinah menemui dan membai’at Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Di antara mereka adalah Wail bin Hujr radhiyallahu ‘anh, salah seorang di antara anak Raja Kindah. Begitu juga sahabat bernama Qais bin Al-Asy’ats Al-Kindi. Begitu juga dengan kabilah Ju’fi dan beberapa kabilah di Hadramaut. Di sini dapat kita lihat bahawa penduduk Hadramaut telah menerima Islam secara aman dan bukan dengan pedang. Sebaliknya kerana cinta kepada agama, dan mereka mengagungkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Akhirnya mereka kembali ke Hadramaut menyebarkan Islam kepada yang lain. Mereka mengajarkan manusia Tauhid dan Sunnah, dan mereka terus gigih dalam tempoh yang panjang, sehinggalah berlaku peristiwa pemurtadan di Hadramaut. Peristiwa ini menyaksikan penduduk Hadramaut yang mulia memerangi gerakan pemurtadan ini dan mereka terus mengukuhkan sistem kekhalifahan pada masa itu.

Kebaikan ini berterusan selama beberapa tahun. Bumi Hadramaut tidak kenal kecuali kepada Sunnah, dan memberi kepentingan kepada ilmu fekah. Mereka tidak kenal kepada upacara mengagungkan kubur. Bahkan penulis sejarah seperti Abu Bakar Al-Syilli dari kabilah Ba’lawiy di dalam kitabnya Masyra’ Al-Rawi fi Manaqib Fadhail Bani Alawiy mengatakan bahawa apabila para ulama pada satu zaman di Hadramaut meninggal, perkuburannya tidak dikenali dan tidak diketahui di mana kuburnya, kerana mereka melarang sebarang binaan atas kubur atau menulis apa juga tulisan di atasnya.

Mufti di Hadramaut, Abdurrahman bin Ubaidillah Al-Saqqaf rahimahullah (wafat 1375H) di dalam kitabnya Mu’jam Buldan Hadramaut (atau ada yang menamakannya I’dam Al-Quut) mengatakan bahawa ini adalah bukti jelas tentang berpegangnya penduduk Hadramaut kepada Sunnah. Bahkan dikatakan bahawa pada satu ketika di bumi Hadramaut terdapat sehingga 300 mufti.

PENGHIJRAHAN ORANG-ORANG ALAWIYYIN DARI IRAQ

Pada awal kurun ke-4, telah tiba dari Iraq sebahagian dari orang-orang Alawiyyin. Mereka datang dengan dipimpin oleh seorang yang bernama Ahmad bin Isa Al-Muhajir. Beliau adalah pengasas kepada kabilah Alawiyyah, dan bersamanya beberapa anak daripada pakciknya, mereka tiba di Yaman dan singgah di Tahamah dan Zabid. Adapun beliau sendiri terus pergi ke Hadramaut.

Dia tiba di Dau’an di sebuah tempat bernama Jubail, di mana tempat ini terkenal dengan Sunnah. Ahmad bin Isa Al-Muhajir ini membawa fikrah Syiah Imamiyah dan hal ini diakui oleh tokoh-tokoh kibar Alawiyin seperti Syaikh Abdurrahman bin Ubaidillah Al-Saqqaf, Syaikh Soleh bin Ali Al-Hamid Al-Alawiy di dalam kitabnya Tarikh Hadramaut. Mereka mengatakan bahawa datuk mereka bukan seorang Syafi’i, sebaliknya dia pendokong mazhab (Syiah) Imamiyah.

Dinyatakan bahawa mereka melihat tempat asal mereka di Basrah, Iraq tidak sesuai untuk menyebarkan fahaman Syiah mereka, berbanding Hadramaut. Tetapi apabila mereka sampai di Jubail, ternyata sangkaannya meleset. Beliau terus mencari tempat yang lebih sesuai, akhirnya sampai di daerah lain bernama Hajrain, sebelum berpindah ke Husaisah berhampiran Sai’un.

Beliau terus menetap di situ dalam tempoh yang panjang (sehingga wafat), dan pada ketika itu bumi Hadramaut berlaku kepincangan di dalamnya. Di samping mazhab Sunni Syafi’i, terdapat juga di sana mazhab Ibadhiyah yang ditegakkan dengan cara peperangan dan pembunuhan.

Anaknya Ubaidillah bin Ahmad bin Isa Al-Muhajir ingin belajar tasawuf maka dia menghantar anaknya ke Makkah. Di Makkah dia berjumpa dengan Abu Thalib Al-Makki, di mana dia membaca kitab Quut Al-Qulub.

UTUSAN ABU MADYAN AL-TILMISANI DARI MAGHRIBI

SUFIInilah permulaan sejarah Hadramaut, dan kemasukan mazhab baru, pemahaman sufi dan Ibadhiyah. Hal ini berterusan dan pada mulanya Hadramaut tidak terkenal dengan pemahaman baru ini. Sehinggalah datang kurun ke-7H, Hadramaut mula menyaksikan perkembangan yang baru lebih-lebih lagi apabila seorang tokoh sufi di Maghribi bernama Abu Madyan Al-Tilmisani ingin menyebarkan mazhab sufi ke Hadramaut, maka dia mengutuskan orang-orangnya ke sana.

Abu Madyan Al-Tilmisani mengutus dua orang muridnya; Abdurrahman Al-Muq’ad Al-Hadrami, dan Abdullah Al-Soleh Al-Maghribi. Abdurrahman Al-Muq’ad meninggal dalam perjalanan ke Hadramaut, maka Abdullah Al-Soleh Al-Maghribi meneruskan perjalanan ke Hadramaut untuk dia mengadakan satu upacara/majlis sufi di Hadramaut, di mana dia akan memakaikan khirqah (yakni pakaian tasawuf yang dipakaikan oleh guru kepada murid sebagai pengijazahan) kepada orang-orang besar di sana. Dengan upacara ini, orang yang dipakaikan khirqah itu akan diangkat darjatnya di dalam sufi.

Dan seolah-olah Abu Madyan Al-Tilmisani Al-Maghribi mengetahui tentang keadaan di Hadramaut kerana dia menyebutkan dua orang tokoh di Hadramaut; salah seorangnya dari Alawiyyin iaitu Muhammad bin Ali Al-Faqih Al-Muqaddam. Al-Faqih Al-Muqaddam adalah laqabnya (gelarannya). Seorang lagi adalah di antara masyaikh di Hadramaut iaitu Said bin Isa Al-‘Amudi di Dau’an.

Abu Madyan Al-Tilmisani ingin melantik dua orang ini sebagai tokoh sufi (dengan memakaikan khirqah melalui perantaraan utusannya). Disebutkan dalam majlis yang dihadiri oleh Al-Faqih Al-Muqaddam, ketika dia di dalam majlis syaikhnya Abu Marwan yang merupakan seorang ulama faqih Al-Syafi’i, apabila Muhammad bin Ali Al-Faqih Al-Muqaddam meninggalkan majlis-majlis ilmu, dan mula memakai pakaian sufi, dan mematahkan pedangnya (meletak senjata), dan mengatakan bahawa aku adalah faqir, memuji-muji sufi, gurunya Abu Marwan menjadi marah. Dia mengatakan “Aku ingin engkau menjadi ulama Syafi’i, tetapi sebaliknya engkau pergi menjadi sufi”, maka dia telah memulaunya sehingga dia mati.

(Catatan: Sebelum itu Al-Faqih Al-Muqaddam belajar beberapa cabang ilmu dari Syaikh Abu Marwan, Ulama Syafi’i dengan seringkali mengangkat senjata, dan kadangkala meletakkan pedang di atas pahanya ketika belajar. Penulis kitab I’daam Al-Quut, Abdurrahman bin Ubaidillah Al-Saqqaf yang juga seorang ‘habib’ mengatakan bahawa orang-orang Alawiyyin di Hadramaut terbahagi dalam tiga masa: Masa pertama: sejak  pengasas mereka Ahmad bin Isa Al-Muhajir hingga Al-Faqih Al-Muqaddam. Al-Muhajir ertinya yang berhijrah dari Iraq ke Hadramaut. Pada masa ini mereka masih berpenampilan seperti para Sahabat dan memikul senjata. Masa kedua: sejak Al-Faqih Al-Muqaddam hingga Al-Aydrus. Al-Faqih Al-Muqaddam adalah tokoh mereka yang pertama kali meletak senjata dan menganut tasawuf. Masa ketiga: setelah Al-Aydrus hingga abad ke-13H, yang telah diwarnai tasawuf tulen. Mereka sampai ke Asia Tenggara setelah diresapi ajaran sufi, bukan membawa fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah yang tulen.)

Adapun Sa’id bin Isa Al-‘Amudi adalah seorang yang buta huruf, tidak membaca dan tidak menulis. Tetapi di antara kisah-kisah khurafat yang dikatakan tentang beliau adalah beliau mempunyai kelebihan-kelebihan karamah, maka mula timbul kekacauan dan kekeliruan di kalangan masyarakat tentang hal ini, di masa sedikitnya Ulama Sunnah di situ, dan jauhnya tempat itu dari bandar-bandar besar Islam yang lain.

Bermulalah tasawuf tersebar, dan ilmu-ilmu syariat mula berkurang. Keadaan ini berterusan dan keadaan agama pun berubah sedikit demi sedikit. Hal ini tentulah daripada ketentuan Allah.

Pengikut sufi terus bertambah dan mereka berhubung dengan orang-orang sufi di tempat lain, dan mereka saling menziarahi antara satu sama lain, dan mereka banyak menziarahi tokoh mereka di Zabid yang bernama Ismail Al-Jabarti. Hal ini pada zaman Daulah Al-Rasuliyyah. Orang ini mendokong fahaman Wahdatul Wujud, dan dia mengagungkan tokoh Wahdatul Wujud Ibnu Arabi.

Imam Al-Hafidz Ibnu Hajar Al-Atsqalani rahimahullah berkata apabila dia menziarahi Zabid, dia bertemu orang ini. Dia berkata, “Aku melihat orang ini tidak faham tentang ittihad (akidah Wahdatul wujud) iaitu akidah Ibnu Arabi yang mempercayai penyatuan antara Pencipta dengan makhluk –na’uzubillah-, sehingga dibahaskan dan dijelaskan kepadanya dan dia pun memahami akidah wahdatul wujud itu dengan baik. Sehingga dia berkata, orang yang tidak memiliki kitab Wahdatul Wujud Al-Fusus, dia tidak memiliki apa-apa.

Maka bermulalah buku-buku Ibnu ‘Arabi, Al-Hallaj, dan selainnya tersebar ke Hadramaut. Bahkan terdapat di kalangan penduduk Hadramaut yang telah mensyarahkan kitab-kitab ini dan mempertahankannya, dan keadaan ini berterusan hingga kurun ke-9, dan pengagungan perkuburan di bumi Hadramaut terus tersebar, bahkan dibina binaan di atas kubur para pemimpin, begitu juga pemimpin-pemimpin sufi.

Amalan ziarah yang Syar’i berubah menjadi ziarah yang Syirik (ziarah perkuburan) disebabkan Abdullah Al-Aydrus seperti mana yang disebutkan oleh para Ulama sejarah dan juga golongan Alawiyin sendiri.

Mereka juga menziarahi kubur yang dikatakan kubur Nabi Hud, sedangkan kita sedia maklum bahawa pada hakikatnya tidak diketahui perkuburan para Nabi secara tepat kecuali kubur Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam.

Amalan ini turut memberi kesan kepada negara-negara Islam yang lain, di mana ramai di kalangan orang-orang Islam mula mendatangi Hadramaut, dan mereka mendirikan khemah-khemah mereka di kubur seolah-olah mereka berada di Mina. Mereka melakukan ibadah wuquf seolah-olah mereka di Arafah, dan mereka membaling-baling batu seolah-olah mereka melontar di Jamarat.

Mereka melakukan upacara mandi di sebuah sungai di sana yang mereka dakwa bahawa sungai ini daripada sungai Syurga menurut mereka. Juga banyak amalan istighatsah dan meminta-minta di kubur, dan mereka juga menyebarkan buku-buku mereka di tempat itu. Kita mohon daripada Allah petunjuk dan keselamatan.

USAHA PARA ULAMA MEMBANTERAS PENYEBARAN AJARAN SUFI

Hakikatnya para Ulama pada masa itu tidak berputus asa dalam usaha mereka, lebih-lebih lagi di kalangan ulama Syafi’i. Mereka telah memberi amaran dan peringatan. Di antaranya Abdullah bin Abu Bakar Al-Hindawar rahimahullah (wafat 1228H), dia telah memerangi amalan-amalan khurafat ini.

Bahkan sebahagian pemerintah di Tarim telah menyebarkan buku-buku tauhid di kalangan pengikut-pengikut sufi, tetapi mereka tidak menyukainya, kerana buku-buku Tauhid ini menyalahi akidah yang mereka amalkan.

Walau bagaimanapun hubungan di antara penduduk di Hadramaut dan pendakwah-pendakwah Tauhid masih berterusan sehingga apabila datangnya tentera-tentera dari Najd ke Hadramaut pada tahun 1209H, mereka mendapati terdapat di kalangan penduduk Hadramaut yang menyokong mereka, di mana mereka meruntuhkan binaan-binaan di atas kubur di samping membakar buku-buku yang mengajak kepada mensyirikkan Allah ‘Azza wa Jal. Ini menunjukkan bahawa penduduk Hadramaut masih memberi kepentingan kepada Tauhid.

Walaupun dalam masa yang sama terdapat buku-buku Tauhid di Hadramaut yang telah dihapuskan tanpa diketahui apa sebabnya. Hal ini telah diakui oleh seorang mufti di Johor bernama Alawi bin Tahir Al-Haddad, dia menyebut bahawa Syaikhnya bernama Ahmad bin Hasan Al-‘Attas apabila mendapati di dalam kitab-kitab akidah Salaf yang menyalahi amalan mereka, mereka telah menghapuskannya.

Maka kegelapan telah menimpa bumi Hadramaut yang berkat ini selama beberapa ketika. Sehingga seorang orientalis Inggeris, Sarjan mengatakan bahawa penduduk Hadramaut suka kepada kesamaran dan tidak suka kepada yang jelas. Dia mengeluhkan keadaan mereka di sana, dia tidak mendapatkan buku-buku yang dia inginkan di perpustakaan di Hadramaut. Seperti perumpamaan mengatakan ‘kebenaran itu apa yang diakui oleh musuh-musuhnya’.

Inilah perkembangan di Hadramaut di mana sufi terus berkembang. Walaupun secara adilnya kita mengatakan bahawa Hadramaut terkenal dengan sifat amanah dan kejujuran dalam perniagaan, dan pergaulan yang baik. Penduduk Hadramaut telah berhijrah ke serata negara terutamanya di Selatan Asia, India, Afrika, dan penduduk di tempat-tempat ini telah terkesan dengan cara muamalah yang baik dari penduduk Hadramaut ini.

Mereka juga telah menyebarkan Islam ke serata negara. Tetapi disebabkan kejahilan atau apa yang mereka warisi dari nenek moyang mereka, mereka juga telah membawa pemahaman sufi, dan manusia secara umumnya ada yang bersungguh-sungguh (menjaga kemurnian agama) dan ada yang mengambil sikap sambil lewa.

Maka menjadi kewajipan ke atas para Ulama untuk terus menasihati masyarakat. Ini kerana mereka bercakap atas nama Islam dan mendakwa mengutamakan mazhab Syafi’i. Maka kita mengingatkan mereka dengan apa yang disebutkan oleh Abu Al-Muzhaffar Al-Sam’ani Al-Syafi’i rahimahullah, “Bagaimana mereka bertaqlid dengan Imam Syafi’i dalam perkara-perkara furu’ (cabang) tetapi meninggalkannya dalam  perkara Usul (manhaj dan akidah)?”

Kitab Al-Umm karangan Imam Al-Syafi’i berada di hadapan kita. Begitu juga nukilan-nukilan yang cukup banyak dari Imam Syafi’i di dalam mengagungkan tauhid, dan menetapkan nama-nama dan sifat-sifat Allah Tabaraka wa Ta’ala, di antaranya Allah Tinggi di atas makhlukNya, dan beristiwa di atas ArasyNya, dan bahawasanya kewajipan pertama atas setiap insan adalah persaksian Tiada Tuhan Selain Allah dan Muhammad adalah Utusan Allah.

Bahkan Imam Syafi’i menukilkan banyak ilmu-ilmu akidah dari ulama-ulama Salaf, bahkan Imam Syafii telah hidup di Makkah, dan beliau telah menyebutkan kebencian ulama-ulama di Makkah tentang binaan di atas kubur.

Maka para ikhwah yang dikasihi, perlu kita kembali kepada kebenaran, bahawa kita sayang kepada Imam Syafi’i adalah kerana keteguhannya berpegang dengan Al-Quran dan Sunnah Nabi ‘alaihissolatu wassalam.

Alhamdulillah, pintu taubat sentiasa terbuka, bahkan masih terdapat ramai di kalangan orang-orang Alawiyin yang mempertahankan Tauhid sama ada di Hadramaut, Indonesia, India, Afrika, ‘Adan, atau di tempat-tempat lain di bumi Islam. Ada di kalangan mereka yang menjadi penuntut ilmu pada hari ini, pendakwah, penulis, di Arab Saudi atau selainnya.

TAQLID DALAM KEBENCIAN TERHADAP SYEIKH MUHAMMAD BIN ABDUL WAHHAB

Barangkali boleh kita sebutkan contoh, bahawa sekiranya Allah menghendaki sesuatu, Allah akan membuka sebab-sebabnya. Maka di Jeddah terdapat seorang ulama Hadramaut, dan beliau adalah seorang tokoh mazhab Syafi’i yang besar (kibar fuqaha Syafi’i) yang telah menuntut ilmu dari ulama fuqaha Hadramaut, dan masyarakat setempat telah pergi menuntut ilmu daripada beliau.

Syaikh Abdullah bin Abdurrahman Al-Bassam rahimahullah menyebut di dalam kitabnya Ulama Najd Khilal Tsamaniyah Qurun (Ulama Najd Selama Lapan Kurun) menyebut bahawa Syaikh Ali bin Ahmad Basabri, seorang ulama faqih mazhab Syafi’i di Jeddah, beliau di dalam majlisnya setiap kali menyebut nama Syaikh Al-Islam Muhammad bin Abdul Wahhab, beliau akan mencemuhnya. Lihat, ini adalah kesan dari taqlid, walaupun beliau seorang tokoh besar dalam mazhab Syafi’i.

Allah mentakdirkan ada di kalangan anak-anak muridnya yang pergi kepadanya, salah seorang dari kabilah Bassam dan seorang lagi dari Al-Mubarak. Dua orang murid ini adalah dua orang yang dihormati. Lihat bagaimana adab mereka dalam menasihati guru mereka. Mereka membawa Syaikh mereka ke tepi dan mereka berkata kepadanya, ‘Wahai Syaikh, kami mendengar engkau mencemuh Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab, adakah engkau telah membaca kitab-kitab beliau?’ Dia menjawab tidak. Mereka berkata, ‘kalau begitu kenapa engkau mencemuhnya?’ Dia menjawab, ‘Inilah yang kami dengar dari syaikh-syaikh kami.’

Maka kedua murid itu memberi kepada Syaikh mereka beberapa kitab Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab rahimahullah dan guru mereka pun mula membacanya. Setelah seminggu, apabila dia menyebut nama Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab, dia tidak mencemuhnya dan tidak juga memujinya. Dan setelah seminggu lagi, dia pergi kepada murid-muridnya dan berkata, “Wahai murid-muridku, sebelum ini aku telah banyak mencemuh Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab, dan sekarang aku bertaubat kepada Allah dan aku beristighfar kepadaNya.”

Dia juga mula memuji-mujinya, dan menulis sebuah kitab semisal Kitab Tauhid (yang dikarang oleh Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab) berjudul I’lam Salih Al-‘Abid bima Yata’allaq bi Al-Tauhid. Beliau juga menulis sebuah kitab tentang kewajipan-kewajipan beragama.

Kita boleh menyebut satu lagi kisah tentang beberapa orang peniaga di Riyadh, yang pergi ke India untuk berniaga. Di sana terdapat seorang ahli hadis di mana kalau dia berkhutbah Jumaat, dia akan mencemuh Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab. Ini juga adalah kesan dari taqlid sebagaimana yang kita ketahui.

Maka peniaga ini bertemu dengan ahli hadis ini, dan memberikannya kitab Tauhid setelah dia mengoyakkan muka hadapannya. Dia berkata kepada syaikh ini, ‘aku ada kitab ini dan aku mahu engkau membaca dan memberi pandangan engkau tentangnya’. Maka syaikh ini membaca kitab ini keseluruhannya. Setelah dia membaca dia mengatakan siapa yang menulis kitab ini, kerana kata-katanya mirip kepada kata-kata Imam Al-Bukhari.

Maka peniaga itu membawakan muka depan kitab itu dan meletakkannya di hadapannya, yang tertera Muhammad bin Abdul Wahhab Al-Tamimi. Ini membuatkan syaikh itu menyesal dan bertaubat kepada Allah. Setelah itu setiap kali dia berkhutbah dia akan memuji Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab.

PENUTUP

Oleh itu wahai ikhwah, kita mohon daripada Allah ‘Azza wa Jal agar kita tergolong di kalangan hamba-hamba Allah yang mengajak kepada petunjuk dan kebenaran, moga Allah memberi sebaik-baik balasan kepada ulama-ulama Syafi’i dan ulama-ulama Islam keseluruhannya, semoga Allah memberi hidayah kepada mereka yang tersesat. Dan kita mengatakan kepada semua bahawa Al-Quran berada di hadapan kita dan Sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tertera di hadapan kita di dalam kitab-kitab hadis pada hari ini. Maka hendaklah kita merendahkan diri di hadapan kebenaran, dan barang siapa yang tunduk kepada kebenaran, Allah akan mengangkatnya.

Usah kita sibuk tentang mereka yang telah lalu meninggalkan kita. Apa yang penting mereka yang hidup hendaklah memanfaatkan hidup dan baki hari-hari mereka. Sekiranya melakukan kesilapan, cepat-cepatlah kembali ke pangkal jalan. Ini kerana Allah Jalla wa ‘Ala berfirman,

وَإِنِّي لَغَفَّارٌ لِمَنْ تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا ثُمَّ اهْتَدَى

“Sungguh Aku mengampuni mereka yang bertaubat dan beriman dan beramal soleh dan kembali kepada petunjuk.” (Surah Taha: 82)

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

(Disalin dari rakaman Seminar Hakikat Sufi Hadramaut, 07.06.2013, Shah Alam)