UMDATUL AHKAM (5) : HUKUM ISTINSYAQ, ISTINTSAR, MEMBASUH TANGAN KETIKA WUDHU

Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman hafizahumullah

(Disalin dari rakaman kuliah Umdatul Ahkam Siri 4, Kitab Taharah, hadis ke-4, 18.12.2012)

بسم الله الرحمٰن الرحيم

Hadis ke-4:

عَنْ أبى هريرة رَضىَ اللَه عَنْهُ: أنَّ رَسُولَ الله صلى الله عَلَيْهِ وَسَلمَ قَالَ: إذَا تَوَضَّأ أحَدُكُمْ فَلْيَجْعَلْ فِي أنْفِهِ مَاءً ثم لِيَسْتَنْثِرْ وَمَنِ اسْتَجْمَرَ فَلْيُوتِرْ. وَإذَا اسْتَيْقَظَ أحدكم مِنْ نَوْمِهِ فَلْيَغْسِل يَدَيْهِ قبْلَ أنْ يُدْخِلَهُمَا فَي الإنَاءِ ثَلاثاً ، فَإنَّ أحَدَكُمْ لا يَدْرِي أيْنَ بَاتَتْ يَدُهُ

وفي لفظٍ لمسلم: “فَلْيَسْتَنْشقْ بِمِنْخَرَيْهِ مِنَ المَاءِ

وفي لفظٍ: “مَنْ تَوَضَّأ فَلْيَسْتَنْشِقْ

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Jika salah seorang kalian berwudhu maka hendaklah dia memasukkan air ke dalam hidungnya kemudian mengeluarkannya. Barang siapa melakukan istijmar (iaitu beristinjak dengan batu) maka hendaklah dia lakukan dengan bilangan ganjil. Dan jika salah seorang kalian bangun dari tidur maka hendaklah dia membasuh kedua tangannya tiga kali sebelum memasukkan keduanya ke dalam bekas air, kerana sesungguhnya dia tidak tahu di mana tangannya bermalam.”

Di dalam lafaz Muslim: “Hendaklah dia memasukkan air ke dalam dua rongga hidungnya.”

Di dalam lafaz yang lain: “Barang siapa yang berwudhu hendaklah dia istinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung dengan nafasnya).”[1]

wudhuPERAWI HADIS

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah iaitu Abdurrahman bin Sakhr yang telah disebutkan biodatanya dalam penjelasan hadis yang kedua.

Dia merupakan sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis daripada Nabi secara mutlak.

KOSA KATA

  • Istijmar : iaitu beristinjak dengan menggunakan batu secara khususnya.
  • Istinjak: membersihkan kawasan tempat keluar najis.
  • فَلْيَغْسِل يَدَيْهِ (hendaklah dia membasuh kedua tangannya): yang dimaksudkan adalah kedua telapak tangan.

PENJELASAN HADIS

1. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengatakan jika seseorang itu berwudhu hendaklah dia memasukkan air ke dalam hidungnya (istinsyaq), dengan cara menyedut air, dan kemudian hendaklah dia menghembusnya semula (istinstar).

Ini kerana seperti dalam surah Al-Maidah ayat ke-6, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاَةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلِكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

“Wahai orang-orang yang beriman, tatkala kamu bangkit untuk solat maka hendaklah kamu membasuh wajah kamu, dan kedua tangan kamu hingga siku, dan sapulah kepala kamu, dan (basuhlah) kedua kaki kamu hingga dua buku lali.” (Surah Al-Maidah, 5: 6)

Nas-nas Al-Quran dan hadis hendaklah dihimpunkan, dan sama sekali tidak ada percanggahan di antara nas selama mana ianya sahih. Maka adakah ada percanggahan di dalam ayat Al-Quran yang mengatakan ‘Hendaklah kamu membasuh muka kamu’ tanpa disebutkan istinsyaq dan istintsar?

Apakah hadis ini menyebut satu perkara baru yang bercanggah dengan ayat Al-Quran? Hakikatnya tidak ada percanggahan kerana istinsyaq dan istintsar itu termasuk di dalam membasuh muka.

2. Barangsiapa melakukan istijmar, hendaklah dia melakukannya dengan bilangan ganjil iaitu sekurang-kurangnya tiga kali. Iaitu hendaklah dia menghabiskan batu yang terakhir dengan bilangan yang ganjil.

Asal istijmar adalah dengan batu. Tetapi termasuk juga yang sepertinya; misalnya kayu, kertas tisu, dan sebagainya. Hakikatnya tidak ada masalah sama sekali, cuma mungkin kita biasa atau tidak biasa sahaja, khususnya di Malaysia.

Pada zaman Rasulullah kenapa ada istijmar? Jelas kerana tidak ada sistem perpaipan. Tetapi jangan lupa bahawa di antara hikmah istijmar di samping kekurangan air, hakikatnya kalau kita pergi ke negara-negara sejuk, kita akan hargai istijmar. Kerana air itu beku, sejuk hingga menusuk tulang. Seperti mana kalau air panas kita akan tarik tangan kerana air itu panas, begitu juga kalau sejuk.

Mungkin siapa yang tidak pernah alami dia tidak dapat rasa. Tetapi bagi orang yang tinggal di negara sejuk, memang menjadi satu keperluan untuk mereka menggunakan tisu atau istijmar.

Jadi kita harus jelas dalam masalah istijmar, iaitu istinjak tanpa menggunakan air, bahawa ia suatu yang dibolehkan dalam Syarak. Tidak timbul soal bersih atau tidak bersih, boleh atau tidak boleh. Adapun soal geli, tidak selesa, itu persoalan peribadi yang tidak ada nilainya dari sudut Syarak. Dari sudut Syarak, ia dibolehkan bahkan ia suci lagi menyucikan.

3. Jika salah seorang kalian bangun dari tidur, hendaklah dia membasuh kedua tangannya tiga kali sebelum memasukkan tangannya ke dalam bekas air, kerana dia tidak tahu di mana tangannya bermalam. ‘kerana’ itu adalah ‘illahnya, iaitu dia tidak tahu di mana tangannya bermalam.

Syarak menetapkan supaya jangan memasukkan tangan ke dalam bekas air/ bejana/ baldi sebelum dia membasuh kedua tangan sebanyak tiga kali. Ini harus kita ambil perhatian, khususnya apabila kita bangun dari tidur.

Di sini ada perselisihan Ulama. Adakah apabila bangun tidur secara umum/ mutlak dengan ertikata tidur siang atau malam kedua-duanya perlu basuh tangan, atau adakah ia khas buat bangun tidur waktu malam?

Dalam perselisihan ini ada dua pendapat;

  1. Pendapat jumhur termasuk Imam Syafi’i sendiri mengatakan bahawa ia umum. Kalau bangun tidur, termasuk qailulah (tidur sekejap pada waktu tengah hari sebelum Zuhur), tidak kira pada waktu apa pun, kalau bangun sahaja dari tidur hendaklah membasuh tangan.
  2. Pendapat kedua mengatakan ia khas buat bangun dari tidur malam.

Pendapat yang rajih/kuat adalah pendapat kedua; iaitu membasuh tangan itu wajibnya adalah apabila bangun tidur malam secara khasnya. Adapun bangun dari tidur siang tidak wajib.

Ini berdasarkan beberapa petunjuk;

Pertama, adalah pada lafaz Rasulullah “kerana dia tidak tahu di mana tangannya bermalam”. بَاتَتْ maknanya bermalam.

Kedua, ada riwayat lain iaitu hadis sahih riwayat Imam Al-Tirmizi berbunyi, إذا استيقظَ أحدُكُم منَ اللَّيلِ فلا يُدخِلْ يدَهُ في الإناءِ “Jika salah seorang kalian bangun tidur malam, maka janganlah dia memasukkan tangannya ke dalam bekas air”. Jelas di situ Rasulullah menyebutkan perkataan malam secara spesifik.

Maka inilah pendapat yang rajih, iaitu pendapat Imam Ahmad dan juga Imam Daud Al-Zhahiri yang mengatakan bahawa (perintah membasuh tangan) pada bangun dari tidur malam secara khusus.

Sebelum itu ada baiknya kita memperkenalkan para Imam-Imam mazhab kerana mungkin ada yang pertama kali dengar, di mana pendapat-pendapat mereka akan sering kita sebut di dalam masalah-masalah fekah;

  1. Imam Abu Hanifah (wafat 150H)  – disandarkan kepadanya mazhab Hanafi
  2. Imam Malik bin Anas (wafat 179H) – dinisbahkan kepadanya mazhab Maliki
  3. Imam Muhammad bin Idris (wafat 204H) – disandarkan kepadanya mazhab Al-Syafi’i
  4. Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241H) – dinisbahkan kepadanya mazhab Hanbali
  5. Imam Daud Al-Zhahiri (wafat 270H) – kepadanya dinisbahkan mazhab Al-Zhahiri. Secara umumnya mereka cenderung berpegang pada lafaz zahir nas. Seorang di kalangan ulama Al-Zhahiri yang banyak kita dengar namanya iaitu Ibnu Hazm Al-Andalusi (wafat 456H), dia antara ulama besar mazhab Al-Zahiri.

Maka dalam masalah wajib basuh tangan apabila bangun tidur malam secara khasnya, itu adalah pendapat Imam Ahmad dan Imam Daud Al-Zhahiri, berbeza dengan pendapat jumhur yang melihat bahawa siang dan malam wajib membasuh tangan.

Hukum membasuh tangan sebanyak tiga kali

Merujuk kepada lafaz Rasulullah فَلْيَغْسِل يَدَيْهِ “hendaklah dia membasuh kedua tangannya”, itu adalah fi’l amar (kata suruhan) dan secara prinsipnya di dalam kaedah Usul Fiqh, kata suruh bermakna wajib, adapun kata larangan bermakna haram.

Rasulullah menggunakan kata suruh, bererti hukumnya wajib. Walaupun ada pendapat yang mengatakan sunat, tetapi zahir lafaz hadis menunjukkan ia adalah wajib dan tidak ada dalil lain yang menunjuk sebaliknya.

FAEDAH HADIS

1. Wajib istinsyaq dan istintsar.

Mungkin selepas ini kita boleh nilai sejauh mana kesempurnaan wudhu kita. Istinsyaq dan istintsar adalah dua perkara yang berbeza. Istinsyaq – sedut masuk air ke dalam hidung. Istintsar – hembus semula air keluar. Jangan masuk kemudian tidak ada apa-apa yang keluar. Kalau tidak ada yang keluar, boleh jadi tidak ada apa-apa yang masuk. Kalau tidak ada istinsyaq maka tidak ada juga istintsar.

Kena pastikan kedua-duanya betul dan sempurna kerana kedua-duanya adalah perkara yang berbeza dan kedua-duanya adalah wajib, seperti mana yang dijelaskan oleh Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini.

2. Istinsyaq dan istintsar termasuk di dalam membasuh muka.

Persoalan mana yang hendak didahulukan, ini terpulang. Tidak disebutkan secara spesifik. Boleh basuh muka kemudian kumur-kumur dan istinsyaq dan istintsar, atau memulakan dengan kumur-kumur dan istinsyaq dan istintsar kemudian membasuh muka. Di situ ada kelonggaran.

3. Wajib membasuh tangan sebanyak tiga kali apabila bangun tidur malam.

Perhatikan perkataan wajib, iaitu kalau kita buat dapat pahala, kalau kita tidak buat bererti berdosa.

Soalan: Adakah kewajipan membasuh tangan khas kalau kita hendak masukkan tangan ke dalam bekas air sahaja? Mungkin banyak di kalangan kita tidak menggunakan bekas air/ bejana.

Jawapan:

Kenapa kita disuruh membasuh tangan sebelum memasukkan tangan ke dalam bejana? Adakah masalah pada bejana atau masalah pada tangan?

Rasulullah telah menyebut ‘illah / sebabnya; kerana seorang kamu tidak tahu di mana tangannya bermalam. Maka kalau kita menggunakan air paip sekalipun, kita akan membasuh anggota wudhu kita dengan tangan. Maka tangan itu tetap wajib dibasuh sebanyak tiga kali sebelum hendak mengambil wudhu.

Soalan: Adakah tangan anggota wudhu pertama yang perlu dibasuh?

Jawapan:

Perhatikan surah Al-Maidah ayat ke-6. يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاَةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bangkit untuk mengerjakan solat maka basuhlah muka kamu, dan kedua tangan kamu hingga siku, dan sapulah kepala kamu, dan kedua kaki kamu sampai buku lali.”

Maka dari ayat ini, anggota wudhu kita ada 4: bermula dengan muka, tangan, kepala, kaki. Anggota pertama yang wajib dibasuh dalam wudhu adalah muka, bukan tangan.

Masalah membasuh tangan ini adalah khas apabila bangun dari tidur malam sahaja.

4. Secara zahir hadis, kewajipan membasuh kedua tangan sebelum mengambil wudhu adalah kerana kita tidak tahu di mana kedua tangan itu bermalam. Dengan ertikata, dikhuatiri tangan itu kotor. Tetapi perhatikan, itu adalah istinbat/ijtihad, bukan secara nas. Rasulullah tidak mengatakan “kerana dikhuatiri tangan kamu kotor”, itu adalah mafhum.

Mafhum ini boleh jadi betul dan boleh jadi salah. Boleh jadi ada maksud lain yang kita tidak tahu. Bahkan ramai di kalangan kita apabila bangun tidur merasa tangannya bersih. Maka adakah dia tidak perlu basuh tangan kerana tangannya bersih? Apatah lagi sebelum tidur dia memakai sarung tangan, contohnya di negara sejuk. Apakah dia tidak perlu membasuh tangan?

Kita katakan, dia tetap kena basuh tangan kerana Rasulullah tidak kata kecuali jika tangan kamu bersih. Rasulullah tidak kata, basuh jika tangan kamu kotor. Itu hanya mafhum yang boleh kita ambil daripada hadis dan mafhum ini tidak boleh dijadikan sebagai hukum. Mafhum itu boleh jadi ia betul dan boleh jadi salah.

Wallahu a’lam.

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

(Disalin dari rakaman kuliah Umdatul Ahkam Siri 4, Kitab Taharah, hadis ke-4, 18.12.2012)


[1] Riwayat Al-Bukhari di dalam Al-Wudhu (154), Muslim dalam Al-Taharah (21), Al-Nasai dalam Al-Taharah (85).