UMDATUL AHKAM (4) : TUMIT-TUMIT DARI API NERAKA

Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman hafizahumullah

(Disalin dari rakaman kuliah Umdatul Ahkam Siri 3, Kitab Taharah, hadis ke-3, 11.12.2012)

بسم الله الرحمٰن الرحيم

Hadis ke-3:

عَنْ عَبْد الله بْن عَمْرو بْنِ الْعَاص، وَأبي هُرَيرةَ، وَعَائِشَةَ رَضِى الله تَعَالَى عَنْهم قالوا: قالَ رَسُولُ الله صَلَّى اللَه عَلَيْهِ وسَلَّمَ: وَيْلٌ لِلأَعْقابِ مِنَ النَّار

Daripada Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘Ash, dan Abu Hurairah, dan Aisyah radhiyallahu Ta’ala ‘anhum mereka berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Kecelakaan buat tumit-tumit dari api Neraka.”[1]

wudhuPERAWI HADIS

Hadis ini diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru bin Al-Ash radhiyallahu ‘anh, dia termasuk di kalangan sahabat yang menulis hadis. Dikatakan bahawa ketika dia lahir, umur ayahnya Amru bin Al-Ash (juga seorang sahabat) adalah 15 tahun.

Abdullah bin Amru adalah penulis hadis, kisahnya adalah semasa di Madinah, dia menulis hadis-hadis Rasulullah, orang-orang Yahudi menimbulkan syubhat. Ini memang kerja orang Yahudi, menimbulkan syubhat dan was-was. Mereka mengatakan kepada Abdullah, “Wahai Abdullah, engkau menulis segala yang Rasulullah kata? Sedangkan dia manusia, ada ketika dia marah, ada ketika dia suka.”

Maka Abdullah pergi mengadu kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah aku menulis segala yang engkau ucapkan?” Rasulullah menjawab, “Ya.” Abdullah bertanya lagi, “Adakah ketika engkau redha dan ketika engkau marah?” Lihat apa jawapan Rasulullah,

نعم، فإني لا أقول إلا حقا

“Ya, kerana sesungguhnya aku tidak mengucapkan kecuali yang benar.”

Tidak kira masa marah, masa suka, sedih atau gembira dan sebagainya, segala yang dituturkan oleh Rasulullah adalah benar belaka. Bertepatan dengan firman Allah,

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى

“Dan tidaklah yang diucapkannya itu menurut hawa nafsu. Ia tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan.” (Surah Al-Najm: 3-4)

Dikatakan bahawa bapanya (Amru) apabila melihat kesungguhan Abdullah, di mana dia sangat tekun di dalam menulis hadis Rasulullah, terlalu sibuk, maka Amru pun membuat keputusan untuk mengahwinkan Abdullah dengan harapan dia lebih relaks, jangan susah-susah sangat.

Ternyata Abdullah selepas dia kahwin sama sahaja dengan sebelum dia kahwin. Di samping dia menulis, ibadahnya pun boleh tahan juga. Setiap hari dia berpuasa. Setiap malam dia qiyamullail tidak tidur. Maka Amru merasa risau dengan anaknya Abdullah, dia mengadu kepada Rasulullah.

Maka Rasulullah berpesan kepada Abdullah, “Sesungguhnya engkau atas dirimu ada hak. Dan di atas keluargamu, mereka ada hak yang perlu engkau tunaikan. Maka bangkit kerjakan qiyamullail kemudian tidur. Dan ada hari engkau berpuasa dan ada hari engkau berbuka. Dan berpuasalah tiga hari setiap bulan, kerana satu kebaikan akan dibalas sepuluh kali ganda, dan ganjarannya itu seolah-olah berpuasa sepanjang hari (sepanjang tahun).

Abdullah bin Amru apabila mendengar Rasulullah berkata demikian dia menjawab, “Sesungguhnya aku mampu melakukan lebih dari itu. Maka Baginda bersabda, “Berpuasalah satu hari dan berbukalah (tidak berpuasa) dua hari.” Abdullah bin Amru radhiyallahu ‘anhu menjawab, “Sesungguhnya aku mampu melakukan lebih dari itu.” Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Berpuasalah satu hari dan berbukalah satu hari, itu adalah puasa Daud ‘alaihissalam, tidak ada yang lebih afdhal daripada puasa tersebut.”

Maka Abdullah pun mengambil apa yang disebutkan oleh Rasulullah itu, dia berpuasa satu hari dan berbuka satu hari. Tetapi ternyata bahawa di hujung umurnya dia menyesal, dia berkata “Alangkah baik kalau aku mengambil saranan Rasulullah yang pertama itu,” iaitu puasa tiga hari sebulan, kerana pahalanya juga seperti berpuasa sepanjang tahun.

Amru bin Al-Ash radhiyallahu ‘anh juga termasuk di kalangan sahabat yang dicela oleh Sayyid Quthb di dalam kitab-kitabnya, antaranya dalam kitab Al-‘Adalah Al-Ijtima’iyyah (Keadilan Kemasyarakatan).

Buku berjudul مطاعن سيد قطب في أصحاب رسول الله yang memuatkan sanggahan terhadap Sayid Quthb dan pembelaan ke atas para Sahabat Nabi radhiyallahu 'anhum ajma'in,

Buku berjudul مطاعن سيد قطب في أصحاب رسول الله yang telah diterjemahkan, berisi sanggahan terhadap Sayid Quthb dan pembelaan ke atas para Sahabat Nabi radhiyallahu ‘anhum ajma’in,

Ada empat orang sahabat yang (banyak) dicela oleh Sayyid Quthb; iaitu Muawiyah, ayah Muawiyah iaitu Abu Sufwan, ibu Mu’awiyah iaitu Hind binti ‘Utbah, dan Amru bin Al-Ash. (Mencakup di dalamnya juga celaan terhadap Khalifah Al-Rasyid Uthman bin Affan dan para sahabat yang lain serta Bani Umayyah, مطاعن سيد قطب في أصحاب رسول الله  -pen.)

Sayyid Quthb mengatakan bahawa Amru bersekongkol dengan Muawiyah ketika zaman Khilafah Muawiyah dengan melakukan kerosakan (fasad) iaitu termasuk segala penyalahgunaan kuasa seperti rasuah, kroni dan sebagainya.

PENJELASAN HADIS

1. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam melarang kita dari mengambil mudah urusan mengambil wudhu. Bahkan Rasulullah menekankan supaya kita mengambil berat ketika mengambil wudhu khususnya bahagian belakang kaki (tumit), mengenangkan ia bahagian yang paling susah air sampai.

Apabila bahagian kaki yang menjadi sebahagian dari anggota wudhu tidak terkena air, jelas ia memberi kesan kepada wudhu.

2. Rasulullah menjelaskan bahawa ketidak sempurnaan wudhu adalah di antara sebab-sebab seseorang itu terkena azab api Neraka. Itu yang dimaksudkan dengan kecelakaan buat tumit-tumit dari api Neraka. Iaitu di antara sebab-sebab seseorang itu diazab dalam api Neraka adalah dia tidak menyempurnakan wudhuknya.

3. Perbuatan tidak menyempurnakan wudhu adalah dosa besar. Apabila Rasulullah telah mengatakan ‘kecelakaan’, Rasulullah memberi amaran, itu menunjukkan bahawa ia adalah satu dosa besar.

Bahkan solat yang didirikan juga tidak sah.

ما بُنِيَ على باطل فهو باطل

“Apa yang terbina atas asas yang batil maka ia adalah batil”

ما بُنِيَ على حرام فهو حرام

“Apa yang terbina atas asas yang haram maka ia adalah haram”

Maka kalau perkara itu terbina atas suatu yang tidak sah (misalnya wudhu tidak sah), implikasinya adalah ibadah solat yang dikerjakan selepas itu juga tidak sah. Itu antara sebab mengapa Rasulullah mengatakan kecelakaan buat tumit-tumit dari api Neraka, iaitu buat tumit-tumit yang tidak terkena air wudhu.

Kenapa Rasulullah menyebutkan tumit, sedangkan hakikatnya ia termasuk anggota-anggota yang lain. Kalau tidak terkena air wudhu, ia membawa implikasi yang sama iaitu kecelakaan buat anggota-anggota yang tidak terkena air wudhu. Cuma Rasulullah sebut tumit kerana itu yang biasanya tidak terkena air wudhu.

Al-dalk (menggosok/melalukan tangan pada anggota wudhu) bukan syarat, ia tidak syarat (walaupun ada perselisihan). Boleh melalukan air sahaja atas anggota wudhu, tetapi perlu dipastikan air sampai pada semua anggota wudhu, apatah lagi pada celah-celah jari kaki, kena pastikan terkena air, kalau tidak kita mendapat ancaman api Neraka.

4. Kewajipan membasuh kaki.

Kalau kita lihat; muka – dibasuh, tangan – dibasuh, kepala – disapu, telinga – disapu, kaki – dibasuh semula. Ini yang menjadi pegangan Ahlu Al-Sunnah wa Al-Jamaah. Berbeza dengan orang-orang Syiah. Orang-orang Syiah melihat bahawa kaki adalah disapu, sama seperti kepala.

Apa beza sapu dengan basuh?

Apa yang dapat kita kata, apabila kita basuh, bahagian yang dibasuh itu akan jadi basah iaitu ada air menitis, manakala sapu tidak. Maka kalau kita lihat kepala kita meleleh-leleh air wudhu, itu maknanya kita basuh, bukan sapu.

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

(Disalin dari rakaman kuliah Umdatul Ahkam Siri 3, Kitab Taharah, hadis ke-3, 11.12.2012)


[1] Riwayat Al-Bukhari dalam Al-Wudhu (160), Muslim dalam Al-Thaharah (354), Al-Nasa-i dalam Al-Thaharah (110).