TETAP ISTIQAMAH DI WAKTU FITNAH (Bhg. 2)

Syaikh Dr. Amin Al-Sa’di, Pensyarah Perbandingan Agama dan Firaq, Uni. Islam Madinah, Arab Saudi

Penterjemah: Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman

(Disalin dari rakaman: TETAP ISTIQAMAH DI ZAMAN FITNAH, 05.06.2013, Kajang)

Sambungan dari Bahagian 1: TETAP ISTIQAMAH DI WAKTU FITNAH (Bhg. 1)

TETAP ISTIQAMAH DI MASA FITNAH

CARA MENGHINDARI FITNAH

6) IKUTI SUNNAH & JAUHI BID’AH

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, lima malam sebelum Baginda wafat, Baginda telah memberi peringatan supaya berjaga-jaga daripada kesyirikan, sebab-sebab, dan jalan-jalan yang menuju kepadanya. Baginda bersabda,

لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الْيَهُودِ وَالنَّصَارَى، اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ ألا فلا تتخذوا القبور مساجد

“Allah melaknat Yahudi dan Nasara, mereka menjadikan kubur Nabi-Nabi mereka sebagai masjid (tempat ibadah), maka janganlah kamu menjadikan perkuburan sebagai masjid.” (Riwayat Al-Bukhari)

Dalam riwayat lain dengan tambahan,

فإنِّي أنْهاكم عن ذلِكَ

“Sesungguhnya aku melarang kamu daripada itu.”

Perhatikan nasihat agung ini, Baginda menekankan perkara ini, kerana di antara sebab-sebab berlakunya fitnah adalah timbulnya perkara-perkara bid’ah di dalam ibadah-ibadah dan yang seumpamanya. Fitnah ini adalah satu tohmahan ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, sama ada pelaku bid’ah itu merasakannya ataupun tidak.

Ini kerana orang itu seolah-olah berkata “Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tidak menunaikan tanggungjawab Baginda di dalam agama ini dan tidak menyempurnakan agama ini, maka aku dan Syaikh aku akan mengadakan perkara-perkara tambahan dalam bentuk zikir-zikir, ucapan-ucapan, solat-solat dan seumpamanya sehingga agama ini menjadi sempurna.”

Telah berkata Imam Malik rahimahullahu Ta’ala,

مَنِ ابْتَدَعَ فِي اْلإِسْلاَمِ بِدْعَةً يَرَاهَا حَسَنَةً فَقَدْ زَعَمَ أَنَّ مُحَمَّدًا خَانَ الرِّسَالَةَ، لأَنَّ اللهَ تَعَالَى يَقُوْلُ: {اَلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِيْنَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِيْ وَرَضِيْتُ لَكُمُ اْلإِسْلاَمَ دِيْنًا} فَمَا لَمْ يَكُنْ يَوْمَئِذٍ دِيْنًا فَلاَ يَكُنِ الْيَوْمَ دِيْنًا

“Barangsiapa yang membuat bid’ah di dalam Islam dan melihatnya hasanah (baik), sungguh dia telah mendakwa bahawa Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam telah mengkhianati risalah, kerana Allah Ta’ala telah berfirman, ‘Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku sempurnakan ke atas kamu nikmatKu, dan telah Aku redha Islam sebagai agama bagimu’ (Al-Maidah: 3). Maka apa-apa yang bukan agama pada hari itu (ketika ayat ini turun) maka bukanlah termasuk agama pada hari ini.” (‘Ilmu Ushul Al-Bida’, dinukil dari Al-I’tisaam Imam Al-Syatibi)

Maka hendaklah kita berhati-hati daripada bid’ah, dan hendaklah kita memberi peringatan tentang perkara bid’ah, kerana cinta kita kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, dan perakuan kita bahawa Baginda telah menyempurnakan risalah, dan Baginda telah menunaikan amanah, dan Baginda telah memberi nasihat kepada ummah, dan Baginda telah berjihad dengan sebenar-benar jihad sehingga datang Al-Yaqin yakni kematian.

Bagaimana mungkin kita redha melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh Baginda, sedangkan cinta kepada Nabi bukan sekadar dengan perkataan sahaja, sebaliknya kata-kata hendaklah disertai dengan perbuatan.

Sebahagian salaf telah berkata,

زعم قوم أنهم يحبون الله فابتلاهم الله بهذه الآية فقال قل إن كنتم تحبون الله فاتبعوني يحببكم الله

“Suatu kaum mendakwa mereka cinta kepada Allah, maka Allah menguji mereka dengan ayat ini, Firman Allah, “Katakanlah (Wahai Muhammad), sekiranya kamu cinta kepada Allah maka hendaklah kamu mengikuti aku, nescaya Allah akan mencintai kamu, mengampuni dosa-dosa kamu, sungguh Allah maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Tafsir Al-Quran Al-Azim oleh Ibn Katsir, surah Ali Imran ayat 31)

Ayat ini adalah ujian buat manusia sehingga Hari Kiamat. Setiap insan hendaklah membandingkan dirinya dengan ayat ini. Bagaimana kita dalam urusan ittiba’ (mengikuti) Nabi.

Adakah kita solat secara berjemaah seperti apa yang diperintahkan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam? Adakah kita mengagungkan sunnah Nabi? Adakah kita mempertahankan Nabi, adakah kita cinta kepada isteri-isteri Baginda, dan sahabat-sahabat Baginda? Bagaimana kita terhadap perintah-perintah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam?

Lihatlah wahai saudara, sebahagian daripada Umat Islam apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

أَعْفُوا اللِّحَى

“Hendaklah kamu membiarkan (memelihara) janggut.” (Riwayat Al-Bukhari)

Tetapi malangnya kebanyakan umat Islam mencukur janggut mereka. Adakah ini ittiba’ (mengikuti) Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam? Sedangkan Baginda berkata, “Fattabi’uuni yuhbibkumullah” (Ikutilah aku nescaya Allah akan mencintai kamu).

Nabi ‘alaihissalatu wassalam juga bersabda,

مَا أَسْفَلَ مِنَ الْكَعْبَيْنِ مِنَ الْإِزَارِ فَفِي النَّارِ

“Apa juga pakaian di bawah dua buku lali (bagi lelaki) maka tempatnya di dalam Api Neraka.” (Riwayat Al-Bukhari)

Tetapi kita melihat ramai di kalangan umat Islam yang pakaian mereka menutupi kedua buku lali mereka! Adakah ini mengikut perintah “Ikutilah aku nescaya Allah akan mengasihi kamu.”?

Sesungguhnya ini adalah fitnah yang zahir. Sedangkan fitnah yang kita tidak nampak jauh lebih banyak, wal ‘iyyadzu billah.

7) HINDARI MAKSIAT

Di samping menghindari bid’ah, kita juga perlu menghindari maksiat. Dan perkara maksiat itu terdiri daripada dosa-dosa besar dan dosa-dosa kecil.

Supaya kita tahu membezakan antara dosa besar dan dosa kecil; dosa besar itu adalah apa yang diberi amaran dengan Api Neraka, atau laknat, atau dimurkai, atau (agama) berlepas diri daripadanya, atau Allah tidak akan melihatnya atau tidak memberi pertolonganNya. Inilah petanda dosa-dosa besar.

Sesungguhnya Allah telah mengingatkan tentangnya di dalam Al-Quran, begitu juga Nabi telah mengingatkan di dalam sunnah Baginda yang sahih, misalnya membunuh, riba, zina, rasuah, menjamah makanan yang haram, memakan harta anak yatim secara zalim, mengumpat, mengadu domba, tajassus (mencari-cari kesalahan) orang lain, dan juga selainnya yang telah disebut dalam kitab-kitab para Ulama.

Imam Al-Dzahabi telah menyebut di dalam kitabnya yang berjudul Al-Kaba-ir (Dosa-dosa Besar) dan Syaikh Al-Utsaimin rahimahullah telah mensyarahkan kitab itu dengan syarahan yang cukup baik, begitu juga Ibnu Hajar Al-Haitami Al-Syafi’i (ulama besar mazhab Syafi’i) telah menulis sebuah kitab dengan tajuk Al-Zawajir ‘An Iqtiraf Al-Kaba-ir. Kitab ini menjelaskan dosa-dosa besar dan dalil-dalil yang berkaitan.

Di samping itu seorang Muslim juga perlu menghindari dosa-dosa kecil, seperti melihat wanita dan seumpamanya. Ini kerana kalau dosa-dosa kecil itu terhimpun, ia akan menjadi dosa besar. Kerana itu ahli ilmu mengatakan,

لاَ كَبِيْرَةَ مَعَ الاِسْتِغْفَارِ وَ لاَ صَغِيْرَةَ مَعَ الإِصْرَارِ

“Tidak besar suatu dosa dengan istighfar, dan tidak kecil suatu dosa dengan dilakukan terus menerus.” (Riwayat Al-Baihaqi dalam Al-Syu’ab dari Ibnu ‘Abbas secara mauquf yakni perkataan Ibnu ‘Abbas, perawinya tsiqah)

Maka seorang insan hendaklah bertakwa kepada Allah dari melakukan dosa besar dan dosa kecil. Ini kerana ketaatan hakikatnya akan memberi kemanisan kepada manusia. Telah berkata sebahagian salaf,

لو يعلم الملوك وأبناء الملوك ما نحن فيه لجالدونا عليه بالسيوف؛ أي: لقاتلونا مقاتلة لينالوه، ولكن لا يحصل لهم

“Sekiranya para Raja dan anak-anak Raja mengetahui apa yang kita kecapi nescaya mereka akan merampasnya dengan pedang; iaitu mereka akan memerangi kita untuk mendapatkan apa yang kita kecapi namun mereka tidak mendapatnya.”

Ini menggambarkan betapa kita mengecapi kenikmatan yang cukup besar di mana sekiranya golongan kaya dan berharta mengetahui tentangnya, kalau mereka mengetahui kebahagiaan yang sedang kita kecapi ini dan mereka dapat mengambilnya dengan pedang, tentu mereka akan melakukannya.

Tetapi bagaimana mungkin mereka dapat mengambilnya? Sedangkan kebahagiaan ini ada di dalam hati, di dalam roh kita, dan di dalam seluruh kehidupan kita. Berkata Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah,

إِنَّ فِي الدُّنْيَا جَنَّةً مَنْ لَمْ يَدْخُلْهَا لَمْ يَدْخُلْ جَنَّةَ الْآخِرَةِ

“Sesungguhnya di dunia ini ada Syurga, siapa yang tidak memasukinya tidak akan memasuki Syurga Akhirat.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Al-Qayyim dalam Madarij Al-Salikin)

Syurga yang dimaksudkan ini adalah mengenal Allah serta menghampirkan diri dengan Allah. Hal ini tidak dijual di pasar-pasar, juga tidak dijual di pasaraya dan seumpamanya. Sebaliknya ia diperoleh dengan seseorang itu sentiasa melazimi ketaatan kepada Allah.

Dengan itu seorang Muslim perlu membaca kitab-kitab para Ulama, seperti dua Sahih Bukhari dan Muslim di mana di dalamnya disebut Bab Fitnah-Fitnah, juga Bab Kewajipan Berpegang dengan Sunnah, Kitab Al-Tauhid. Bab-bab ini jika kita memahaminya, dengan izin Allah kita akan dapat mengukuhkan kedudukan kita dalam menghadapi fitnah, di samping kita kembali kepada para Ulama yang bertaqwa dan beramal dengan ilmunya, di mana ia adalah di antara sebab-sebab keselamatan.

8) TABAYYUN, TATSABBUT DAN TAHAN LISAN

Barangkali kita ingat kisah ketika datangnya berita bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam telah menceraikan isteri-isteri Baginda. Omar radhiyallahu ‘anhu lantas pergi kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dan bertanya kepada Nabi, “Adakah engkau telah menceraikan isteri-isterimu?” Baginda menjawab, “Tidak”.

Maka Omar bertakbir kegembiraan dan mengkhabarkan kepada manusia bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tidak menceraikan isteri-isteri Baginda. Sebaliknya Baginda memberi pilihan kepada mereka, dan isteri-isteri Baginda memilih Allah dan RasulNya. Lalu Allah menurunkan firmanNya,

وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِّنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ ۖ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنبِطُونَهُ مِنْهُمْ ۗ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَاتَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلَّا قَلِيلًا

“Dan apabila datang kepada mereka berita keamanan atau ketakutan mereka menghebahkannya. Kalau mereka mengembalikannya kepada Rasul dan Ulil Amri di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenaran akan dapat mengetahuinya dari mereka (Rasul dan ulil amri). Kalau bukan kerana kurnia dan rahmat Allah ke atas kamu nescaya kamu mengikuti syaitan, kecuali sebahagian kecil.” (Surah Al-Nisa, 4: 83)

Ayat ini memberi kepada kita peringatan agar kita jangan terikut dengan hebahan-hebahan yang tidak tentu benarnya. Sebaliknya hendaklah kita memastikan kesahihan berita-berita ini.

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِن جَآءَكُمْ فَاسِقُُ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَافَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa berita maka hendaklah kamu tabayyun ia (menyemaknya dengan teliti), jika tidak kamu akan menimpakan musibah ke atas suatu kaum kerana kejahilan yang akhirnya kamu menyesal atas apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Hujurat, 49: 6)

Di dalam satu bentuk qiraat disebut tatsabbut (memastikan kesahihannya).

Betapa banyak berita-berita palsu yang kita dengar dari kaca televisyen, atau dari surat khabar, internet, atau daripada kawan-kawan kita sedangkan kita tidak tahu kebenaran kata-katanya, lalu berita ini dihebahkan kepada orang lain. Akhirnya timbul fitnah, masyarakat ditimpa ketakutan.

Maka hendaklah kita sentiasa menjaga lisan. Di dalam sebuah hadis, sahabat (Uqbah bin Amir radhiyallahu ‘anhu) berkata,

يَا رَسُوْلَ اللهِ، مَا النَّجَاةُ؟ قَالَ: أَمْسِكْ عَلَيْكَ لِسَانَكَ، وَلِيَسَعْكَ بَيْتُكَ، وَابْكِ عَلَى خَطِيْئَتِكَ

“Wahai Rasulullah, apakah keselamatan itu? Baginda bersabda, ‘Tahanlah lidahmu, dan hendaklah rumahmu menjadikanmu merasa luas, serta tangisilah kesalahanmu.’” (Sahih. Riwayat Al-Tirmizi)

Dengan pesanan agung ini kita tutupi majlis yang diberkati ini, dan hendaklah kita sentiasa berpesan-pesan sesama kita agar menahan lidah kita kecuali dalam perkara-perkara kebaikan, dan hendaklah kita tetap di rumah kita ketika timbul fitnah, dan hendaklah kita menangisi apa yang telah lalu dari hari-hari kita amal perbuatan kita, dan memperbanyakkan ibadah ketika berlakunya fitnah.

Telah sabit di dalam Sahih Muslim daripada hadis Ma’qal bin Yasar bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

اَلْعِبَادَةُ فِي الْهَرَجِ كَهِجْرَةٍ إِلَيَّ

“Beribadah ketika Al-Harj adalah seperti berhijrah kepadaku.” (Riwayat Muslim)

Iaitu Baginda mengatakan bahawa beribadah ketika berlakunya pembunuhan dan peperangan adalah seperti kamu berhijrah kepadaku.

Ibadah adalah secara amnya; solat fardhu, solat sunat, puasa, istighfar, membaca Al-Quran, amalan kebaikan, membaca kitab-kitab Ulama, ini adalah ibadah seperti kita berhijrah kepada Nabi sallalahu ‘alaihi wasallam.

Pahalanya cukup besar, mengapa kita membuang masa kita dengan berkata-kata dengan kata-kata yang tidak berfaedah, menonton TV, membuang masa dengan internet, membaca surat khabar sedangkan ia tidak memberi apa juga manfaat.

Sebahagian mereka membuang masa dengan berita-berita sukan, dan berita-berita politik, sedangkan kalau kita tanya kepada mereka, berapa banyak mereka telah baca daripada Al-Quran pada hari ini, mereka tidak membaca apa pun.

Jelas mereka telah menghalang diri mereka dari kebaikan yang cukup besar.

Kita memohon daripada Allah di kesudahan majlis ini semoga Allah menghindarkan kita daripada fitnah, yang zahir dan yang tersembunyi, semoga Allah memperbaiki keadaan umat Islam di setiap tempat, dan menyelamatkan umat Islam, dan semoga Allah melangsaikan hutang mereka yang berhutang, dan menyembuhkan mereka yang sakit, dan kita meminta daripada Allah agar mengajarkan kita apa yang bermanfaat buat kita, dan menjadikan manfaat buat kita apa yang kita ketahui, sesungguhnya Allah Maha Berkuasa melakukannya. Wallahu Ta’ala A’lam.

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

(Disalin dari rakaman: TETAP ISTIQAMAH DI ZAMAN FITNAH, 05.06.2013)

Bahagian 1: TETAP ISTIQAMAH DI WAKTU FITNAH (Bhg. 1)