KEUTAMAAN PUASA & IBADAH LAIN DI SEPULUH HARI PERTAMA ZULHIJJAH

Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman –hafizahumullah-

(Disalin dari rakaman kuliah Riyadh Al-Salihin, Bab 226 Hadis ke-1249, 29.01.2012)

بسم الله الرحمٰن الرحيم

BAB 226 KEUTAMAAN PUASA DAN IBADAH LAIN DI SEPULUH HARI PERTAMA BULAN ZULHIJJAH

وعن ابن عباس رضي الله عنهما قال‏:‏ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏ (( مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ)) يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ. قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ: ((وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ)). ‏(‏‏(‏رواه البخاري‏)‏‏)‏‏

‏Daripada Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma dia berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Tidak ada hari di mana amal soleh di dalamnya lebih dicintai oleh Allah daripada hari-hari ini”, yakni 10 hari (pertama di bulan Zulhijjah). Para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, tidak juga jihad fi sabilillah?” Baginda bersabda: “Dan tidak juga jihad fi sabilillah, kecuali seorang yang keluar dengan jiwa dan hartanya (untuk berjihad) lalu dia tidak pulang dengan satu pun daripadanya.” (Riwayat Al-Bukhari)

zulhijjahPENJELASAN HADIS:

  1. Tidak ada hari di mana amal soleh di dalamnya lebih dicintai oleh Allah daripada 10 hari pertama Zulhijjah, tidak juga jihad fi sabilillah: Menunjukkan kelebihan 10 hari pertama Zulhijjah berbanding seluruh hari yang lain[1], dan kelebihan beramal di dalamnya berbanding amalan yang dilakukan pada hari lain.
  2. Kecuali seorang yang keluar dengan jiwa dan hartanya lalu dia tidak pulang dengan satu pun daripadanya: Yakni seorang yang keluar untuk jihad fi sabilillah dengan nyawa dan hartanya lalu dia mati.

Disebutkan tentang harta kerana pada zaman dahulu apabila tentera keluar untuk berjihad, lazimnya mereka akan membawa bersama harta, haiwan ternakan, dinar, dirham kerana itu yang digunakan sebagai bekal. Harta orang pada masa itu tidak seperti pada zaman sekarang, mereka hidup serba sederhana. Kalau dia gugur, harta-hartanya akan jadi rampasan bagi pihak yang menang.

FAEDAH HADIS:

  1. Kelebihan beramal pada 1 hingga 10 haribulan Zulhijjah. Amalan yang dimaksudkan adalah semua amal kebaikan secara umumnya; solat sunat, sedekah, zikir, membaca Al-Quran, termasuklah puasa dan lain-lain lagi.
  2. Kelebihan jihad fi sabilillah, di mana ia adalah seafdhal-afdhal amalan, termasuk di antara amalan yang paling mulia, yang berganda-ganda pahalanya.
  3. Jihad mempunyai darjat-darjatnya. Tidak sama orang yang berjihad lalu dia selamat, berbanding orang yang berjihad lalu dia gugur mati syahid. Walaupun kedua-duanya berjihad tetapi pahalanya tidak sama. Orang yang mati syahid dalam perang, tidak ada balasan baginya kecuali Syurga.
  4. Kelebihan masa-masa tertentu berbanding masa-masa yang lain. Dalam hari-hari sepanjang tahun, ada hari-hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari/masa yang lain. Mungkin kita melihat setiap hari sama, tidak ada beza, tetapi hakikatnya tidak sama di sisi Allah.
  5. Di antara amalan soleh yang dianjurkan untuk dilakukan adalah puasa pada 10 hari pertama Zulhijjah.
  6. Tidak ada percanggahan antara hukum disunnahkan berpuasa pada 10 pertama Zulhijjah  dengan hadis Abu Hurairah radhiyallahu anhu di mana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam melarang puasa pada hari Idul Fitri dan Idul Adha (10 Zulhijjah). Ini kerana dalam kaedah Syarak, kesemua nas berkaitan perlu dihimpun supaya tidak ada satu pun yang ditolak. Nas yang khas didahulukan daripada nas yang am (umum). Nas umum menunjukkan kita disunnahkan puasa pada 1 – 10 Zulhijjah. Tetapi keumuman ini dibatasi oleh nas yang khas (khusus) yang melarang puasa pada 10 Zulhijjah. Maka, hari terakhir untuk berpuasa adalah pada 9 Zulhijjah (Hari Arafah). Dengan itu kita beramal dengan kedua-dua hadis ini.
  7. Juga tidak ada percanggahan antara hukum disunnahkan puasa pada 10 hari pertama Zulhijjah dengan larangan puasa pada hari Sabtu. Terdapat nas yang khas di mana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam melarang puasa pada hari Sabtu kecuali apa yang difardhukan (puasa wajib). Maka nas yang khas ini didahulukan. Kesimpulannya, sunnah berpuasa pada 1-10 Zulhijjah, kecuali pada hari Sabtu. (Baca: Hukum Puasa Sunat Hari Jumaat dan Sabtu)

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم


[1] Sebahagian ulama menjelaskan keutamaan 10 hari pertama Zulhijjah lebih besar berbanding semua hari lain termasuklah 10 hari terakhir Ramadhan. Hendaklah kita bersungguh-sungguh meraih keutamaannya dengan memperbanyakkan amal pada hari-hari ini.

(Disalin dari rakaman kuliah Riyadh Al-Salihin, Bab 226 Hadis ke-1249, 29.01.2012)

Advertisements