UMDATUL AHKAM (3) – TIDAK DITERIMA SOLAT ORANG BERHADAS, PEMBATAL WUDHU, BIOGRAFI ABU HURAIRAH, SUNNAH MELETAK KUN-YAH

Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman –hafizhahumullah-

(Disalin dari rakaman kuliah Umdatul Ahkam Siri 3, Kitab Taharah, hadis ke-2, 11.12.2012)

بسم الله الرحمٰن الرحيم

Hadis ke-2:

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رضى الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم: لاَ يَقْبَلُ اللهُ صَلاَةُ أَحَدِكُمْ إِذَا أَحْدَثَ حَتَّى يَتَوَضَّأَ

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu dia berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Allah tidak menerima solat salah seorang kalian yang berhadas sehingga dia berwudhu.”[1]

WUDHUPERAWI HADIS

Sebelum kita melihat matan ataupun kata-kata Rasulullah di dalam hadis ini, kita lihat dulu perawinya iaitu Abu Hurairah. Di samping kita mensyarahkan hadis-hadis, dalam masa yang sama insyaAllah kita kenali juga perawi-perawi setidak-tidaknya dari kalangan para sahabat.

Siapakah Abu Hurairah?

Nama beliau pada zaman Jahiliyah ialah ‘Abdu Al-Syams (Hamba Matahari). Sesudah dia masuk Islam, walaupun ada perbezaan riwayat tentang siapakah nama beliau yang sebenar setelah masuk Islam, tetapi di antara riwayat yang masyhur dan kuat, nama beliau adalah ‘Abdurrahman bin Shakhr (عَبْدُالرَّحْمٰن بن صَخْر).

Dikatakan bahawa beliau telah masuk Islam pada tahun ke-7 Hijrah, sesudah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berhijrah ke Madinah. Jadi beliau masuk Islam agak lewat berbanding sahabat-sahabat yang lain.

Bagaimana dia mendapat gelaran Abu Hurairah? Dikatakan dalam satu peristiwa dia sedang memegang seekor anak kucing dan ketika itu Rasulullah lalu di hadapannya dan mendapati dia sedang memegang kucing, lalu Rasulullah secara spontan mengatakan, “Kamu Abu Hurairah (bapa kucing)”.

ANJURAN MELETAKKAN KUN-YAH

Apabila kita melihat nama-nama sahabat, dapat kita simpulkan bahawa secara umumnya mereka semua ada kun-yah (كُنْيَة). Misalnya Abdurrahman bin Sakhr, beliau lebih dikenali dengan kun-yahnya iaitu Abu Hurairah. Bahkan jika ditanya siapa Abdurrahman bin Sakhr mungkin ramai yang tidak kenal.

Dari satu sudut, memang kita disunnahkan dan digalakkan untuk meletakkan kun-yah untuk diri kita masing-masing. Seperti mana kun-yah Rasulullah; Abu Al-Qasim.

Jadi seeloknya berilah kun-yah untuk diri kita masing-masing. Apa tujuan atau kelebihan meletakkan kun-yah? Ini adalah satu adat orang Arab yang telah digunakan dalam Islam. Apa itu kun-yah? Kun-yah itu adalah segala nama yang diberikan, kalau lelaki bermula dengan Abu (bapa kepada), dan kalau perempuan bermula dengan Umm (ibu kepada).

Secara adat dan kebiasaannya, orang Arab meletakkan kun-yah dengan menisbahkan kepada anak sulung mereka, tetapi ini tidak menjadi syarat. Tidak menjadi syarat kena ada anak dan sudah berkahwin baru boleh bagi kun-yah. Seperti mana Abu Hurairah. Hurairah itu jelas bukan anaknya, bahkan ia adalah kucing.

Maka selepas ini sama-samalah kita meletakkan kun-yah, tidak semestinya kita sudah berkahwin, tidak semestinya kita sudah ada anak, letaklah kun-yah dengan nama yang baik, dengan itu kita juga telah mencontohi Rasulullah yang kun-yahnya adalah Abu Al-Qasim. Cuma kelebihan Rasulullah adalah Baginda mengatakan “Gunakanlah nama aku, tetapi jangan gunakan kun-yah aku.” (Riwayat Al-Bukhari).

Jadi boleh menggunakan nama Muhammad, tetapi dilarang menggunakan kun-yah Abu Al-Qasim.

ABU HURAIRAH SAHABAT PALING BANYAK MERIWAYAT HADIS

Abu Hurairah dikatakan oleh para Ulama hadis sebagai sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis daripada Rasulullah secara mutlak. Ini kerana di antara kelebihan Abu Hurairah, walaupun dia masuk Islam lambat; iaitu kira-kira empat tahun sebelum Rasulullah wafat, tetapi kerana ketekunannya melazimi Rasulullah, bahkan Abu Hurairah telah menceritakan sendiri bahawa dia telah menghadiri majlis-majlis Rasulullah yang mana sahabat-sahabat dari kalangan Muhajirin dan Ansar sendiri tidak terikut kerana masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing.

Berbeza dengan Abu Hurairah, dia termasuk di kalangan sahabat Ahlu Al-Suffah (اهل الصفَّة) iaitu sahabat yang tinggal di Masjid Nabi, yang tidak ada rumah, tidak ada tempat tinggal, tidak ada saudara mara.

Kisah Abu Hurairah ini agak menyedihkan juga, dia hidup serba serbi kurang, tetapi ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ Allah beri kelebihan kepada siapa yang Dia kehendaki. Ternyata kelebihan Abu Hurairah adalah dari segi ilmu agamanya. Dunianya kurang, tetapi ilmu agamanya melebihi sahabat-sahabat yang lain.

Disebutkan dalam satu atsar daripada Abu Hurairah sendiri, diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, Abu Hurairah mengatakan,

مَا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِي صلى الله عليه وسلم أَحَدٌ أَكْثَرَ حَدِيْثًا عَنْهُ مِنِّي، إِلَّا مَا كَانَ مِنْ عبد الله بن عمرو، فَإِنَّهُ كَانَ يَكْتُبْ وَلَا أَكْتُب

“Tidak ada seorang pun dari kalangan sahabat Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam yang lebih banyak daripadaku meriwayatkan hadis Baginda, kecuali ‘Abdullah bin ‘Amru. Kerana dia menulis, sedangkan aku tidak menulis.” (Riwayat Al-Bukhari, Ahmad, Al-Tirmizi)

‘Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘Ash juga termasuk di kalangan sahabat yang banyak meriwayatkan hadis. Dalam atsar ini, Abu Hurairah mengatakan bahawa Abdullah bin Amru paling banyak meriwayatkan hadis, tetapi itu ketika pada zaman Abu Hurairah (zaman sahabat). Tetapi setelah zaman silih berganti sehinggalah zaman pembukuan hadis, ternyata riwayat Abu Hurairah lebih banyak yang sampai berbanding riwayat Abdullah bin Amru.

Kedua, kesaksian Abu Hurairah secara tidak langsung menjelaskan hakikat bahawa penulisan hadis telah bermula sejak zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, kerana Abu Hurairah mengatakan bahawa Abdullah bin Amru menulis.

Kenapa Abu Hurairah tidak menulis? Antara kebarangkaliannya adalah kerana kesusahan dan kemiskinannya, sehingga tidak mampu memiliki peralatan menulis, maka dia terpaksa bergantung harap dengan kekuatan hafalannya.

Abdullah bin Amru termasuk di kalangan penulis-penulis hadis Rasulullah (كُتَّابُ الحَدِيْث). Seperti mana ada penulis Al-Quran di kalangan sahabat, juga ada penulis hadis di kalangan sahabat.

MURID-MURID ABU HURAIRAH

Dikatakan bahawa sebanyak lebih 800 perawi telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah, sama ada dari kalangan para sahabat mahupun dari kalangan para tabi’in. Bahkan di kalangan sahabat-sahabat besar yang juga banyak meriwayatkan hadis, seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar, Anas bin Malik, dan juga Aisyah (isteri Rasulullah) turut meriwayatkan hadis melalui perantaraan Abu Hurairah. Abu Hurairah mendahului semua mereka.

Maka tidak semestinya sahabat apabila meriwayatkan hadis, mereka meriwayatkan secara terus daripada Rasulullah. Ia kembali kepada waqi’/realiti pada ketika itu. Bukan setiap masa apabila Rasulullah mengatakan sesuatu, atau melakukan sesuatu, atau memperakui sesuatu, semua sahabat ada. Ada sahabat yang hadir dan ada sahabat yang tidak hadir. Misalnya segala gerak laku Rasulullah di dalam rumah, yang hadir tidak lain dan tidak bukan hanya isteri Baginda sahaja, itu kelebihan pada isteri-isteri Rasulullah.

Jadi kalau ada yang bertanya, siapa guru Abu Hurairah? Guru Abu Hurairah adalah Rasulullah (dan beberapa sahabat yang lain –ed.). Berapa ramai murid Abu Hurairah? 800 orang atau lebih. 800 orang adalah jumlah minimum kerana itu adalah riwayat yang telah dibukukan, yang tidak terbuku sudah semestinya lebih ramai.

Abu Hurairah dikatakan telah meninggal di Madinah pada tahun 58 Hijrah.

PENJELASAN HADIS

“Allah tidak menerima solat salah seorang kalian yang berhadas sehingga dia berwudhu terlebih dahulu.”

1. Allah tidak menerima: Ini adalah jumlah (ayat) nafi. Dari segi uslub Bahasa Arab, jumlah penafian lebih tegas berbanding jumlah larangan. Jumlah penafian lebih kuat kerana ia menafikan hakikat sesuatu itu, dan ia juga merangkumi larangan.

Bukan sahaja ia melarang solat tanpa wuduk, bahkan ia menafikan solat itu sekiranya ia tetap dilakukan tanpa wudhu. Bermakna kalau seseorang itu solat secara berhadas (tanpa wudhu), di sisi Allah ia seakan-akan tidak berlaku, dan tidak diterima.

Kalau jumlah larangan, ada kemungkinan untuk solatnya diterima, tetapi kalau jumlah penafian, kewujudan solat itu dinafikan; walaupun dia solat, solatnya tidak dikira, seperti dia tidak solat.

2. Yang berhadas: Hadas ialah apa yang keluar daripada dua jalan (qubul atau dubur) atau yang selainnya dari perkara membatalkan wudhu.

3. Dari segi definasi, hadas bermaksud: Suatu sifat berbentuk hukum yang dianggap dilakukan oleh anggota badan, keberadaannya mencegah sahnya ibadah yang disyaratkan baginya taharah. (Taisir Al-‘Allam)

i.            Satu sifat berbentuk hukum: ertinya kalau ada sifat itu bererti ada hukumnya, iaitu ibadahnya tidak diterima.

ii.            Yang dianggap dilakukan oleh anggota: dikatakan ‘dianggap’ kerana adakalanya ia tidak secara pasti. Seperti mana yang akan kita sebutkan nanti, antara yang membatalkan wudhu adalah tidur. Maka adakah tidur itu sendiri membatalkan wudhu? Di situ ada perincian. Ulama mengatakan bahawa kebarangkalian untuk membatalkan wudhu itu kuat; iaitu apabila tidur, boleh jadi terlepas angin. Tidur itu tidak membatalkan, tetapi implikasi dari tidur itu sendiri yang membatalkan.

iii.            Keberadaannya mencegah sahnya ibadah yang disyaratkan taharah: Yakni apa juga ibadah yang mensyaratkan adanya taharah, akan tertolak apabila dilakukan dalam keadaan adanya hadas.

FAEDAH HADIS

Syarak menunjukkan bahawa barangsiapa yang hendak solat, janganlah dia solat kecuali dengan dia berada dalam sebaik-baik keadaan, antaranya dengan berwudhu.

Ini kerana solat adalah satu hubungan yang erat antara hamba dengan Tuhannya. Bahkan ia adalah satu cara untuk seseorang itu bermunajat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Maka kerana itulah Syarak memerintahkan orang yang hendak solat supaya berwudhu dan melakukan Taharah. Bahkan barangsiapa yang tidak melakukan wudhu, solat yang dikerjakan akan tertolak.

Dari hadis ini dapat kita ambil beberapa hukum fekah;

  1. Solat seorang yang berhadas tidak akan diterima sehinggalah dia mengangkat hadas, sama ada hadas besar atau kecil,
  2. Hadas membatalkan wudhu seseorang, bahkan membatalkan solat sekiranya dia berhadas ketika dia sedang solat.
  3. Apabila dikatakan Allah tidak menerima solat, yang dimaksudkan adalah solatnya tidak sah. Sekiranya solat itu wajib, kewajipan itu belum terangkat.
  4. Taharah atau wudhu secara khasnya adalah syarat sah solat.

PERKARA YANG MEMBATALKAN WUDHU’

1. Sepertimana dalam definasi hadas; iaitu segala yang keluar dari dua laluan iaitu qubul dan dubur; air kecil, air besar, angin, mani, mazi, dan wadi. Mani secara khasnya mewajibkan mandi, adapun selain daripadanya sekadar mewajibkan wudhu.

2. Tidur secara mutlak. Walaupun ada perselisihan, ini adalah yang rajih.

Ada pendapat mengatakan tidur yang tidak nyenyak tidak membatalkan wudhu. Ada yang kata bergantung pada posisi tidur, ada yang mengatakan kalau tidur tetapi yakin tidak batal maka tidak batal wudhu’nya (ini bercanggah).

Jika kita kembali kepada hadis, Syaikh Albani rahimahullah dan ulama-ulama sebelum beliau melihat bahawa tidur itu membatalkan wudhu secara mutlaknya. Hal ini kembali kepada sebuah hadis yang jelas, di mana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

وِكَاءُ السَّهِ العَيْنَان، فَمَنْ نَامَ فَلْيَتَوَضَّأ

“Ikatan dubur itu adalah dua mata, maka barang siapa yang tidur hendaklah dia berwudhu.” (Sahih. Abu Daud)

Daripada hadis ini Rasulullah mengatakan secara jelas tanpa memperincikan, tidak meletakkan syarat, sebaliknya Baginda membiarkannya mutlak; tidur. Maka siapa yang tidur, hendaklah dia berwudhu.

Soalan: Apa beza antara tidur dengan mengantuk? Tidur membatalkan wudhu, mengantuk tidak membatalkan wudhu. Apa yang membezakan antara keduanya?

Ulama ketika menjelaskan beza antara tidur dengan megantuk mengatakan, orang yang mengantuk masih boleh mendengar bunyi di sekelilingnya. Ada tiga keadaan; 1. sedar, 2. mengantuk, 3. tidur.

Orang sedar boleh mendengar dan menangkap bunyi di sekelilingnya. Orang mengantuk boleh mendengar tetapi tidak dapat menangkap apa yang orang di sekelilingnya bercakap. Seseorang dianggap tidur apabila bunyi di sekelilingnya lenyap, dia tidak mendengar lagi bunyi di sekelilingnya. Maka dalam keadaan ini dia telah tidur dan dia perlu berwudhu.

3. Hilang akal; misalnya gila, pengsan, bius sehingga tidak sedar, dan sebagainya.

4. Memakan daging unta.

Banyak mazhab tidak menyatakan hal ini, sedangkan di dalam hadis secara jelas menyebutnya. Daripada Jabir bin Samurah, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ditanya oleh seorang lelaki, “Apakah kita mengambil wudhu daripada daging kambing? Rasulullah berkata, “Terpulang, kalau kamu mahu”. Lalu lelaki itu bertanya, “Apakah kita perlu mengambil wudhu daripada daging unta?” Baginda berkata, “Ya, ambillah wudhu daripada daging unta.” (Riwayat Muslim, Ahmad)

Jelas Rasulullah memberikan jawapan yang berbeza, iaitu kalau daging kambing terpulang, menunjukkan bahawa tidak terbatal wudhu. Berbeza dengan unta, Baginda mengatakan Ya, ambillah wudhu daripada daging unta, menunjukkan bahawa wudhu terbatal apabila kita makan daging unta.

PERKARA YANG TIDAK MEMBATALKAN WUDHU

Ini sekadar hendak menjelaskan lagi kerana banyaknya kekeliruan di kalangan masyarakat. Secara umumnya, perkara yang tidak membatalkan wudhu banyak, tetapi kita sekadar menyebutkan perkara yang menjadi titik perselisihan;

1. Menyentuh wanita, sama ada mahram atau bukan mahram tanpa lapik.

Sentuh wanita bukan mahram hukumnya haram (berdosa), tetapi tidak membatalkan wudhu. Hal ini berdasarkan hadis sahih di mana Aisyah radhiyallahu ‘anha mengatakan bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam mencium sebahagian daripada isterinya lalu Baginda keluar untuk solat tanpa (mengulangi) wudhu. (Sahih. Abu Daud, Al-Tirmizi, Al-Nasa-i, Ibnu Majah)

2. Keluar darah bukan dari laluan biasa (qubul dan dubur). Contoh: Darah yang keluar akibat luka, keluar dari hidung, mulut, dsbnya, ini tidak membatalkan wudhu.

Hal ini seperti mana dalam kisah seorang sahabat bernama ‘Abbad bin Bisyr ketika dia mengikuti perang bersama Rasulullah, dia ditugaskan untuk menjaga bahagian belakang untuk mengelakkan serangan hendap daripada musuh.

Abbad bin Bisyr bersama seorang sahabat sampai ke satu destinasi dan mereka berhenti di situ, jauh daripada Rasulullah dan tentera Islam lain yang telah pergi ke depan. Mereka bermalam di situ. Ternyata memang ada musuh yang menghendap di belakang. Musuh ini menyelinap dan bertemu dengan Abbad bin Bisyr ketika dia sedang solat malam. Musuh ini melemparkan panah ataupun tombak sehingga menusuk pahanya. Tetapi Abbad meneruskan solat. Dia dibaling lagi sehingga menusuknya lagi tetapi dia tetap meneruskan solatnya. Apabila sahabatnya sedar, segera dia bertindak ke atas musuh tersebut.

Apabila peristiwa ini sampai kepada Rasulullah, Baginda bertanya kepada Abbad mengapa dia tidak bertindak ke atas musuh itu? Jawabnya, aku sedang membaca satu surah dan aku tidak suka berhenti membacanya, sebaliknya aku mahu membacanya sehingga selesai.

Pelajaran dari hadis ini, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tidak mengatakan bahawa solatnya terbatal, walaupun jelas bahawa jika ditusuk panah atau tombak, sudah pasti darah akan mengalir daripadanya.

Seperti mana kaedah: Rasulullah tidak mengakhirkan/melambatkan penjelasan ketika (penjelasan itu) diperlukan. Menangguhkan penjelasan ketika diperlukan bukan sifat Rasulullah, bahkan jika Rasulullah diam ketika keadaan memerlukan penjelasan, itu jelas perbuatan khianat dan menyembunyikan ilmu.

3. Muntah. Ini kerana tidak ada dalil yang menunjukkannya.

  وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم


[1] Riwayat Al-Bukhari dalam Al-Hayl (6440), Muslim dalam Al-Thaharah (330), Al-Tirmizi dalam Al-Sunan (71).

(Disalin dari rakaman kuliah Umdatul Ahkam Siri 3, Kitab Taharah, hadis ke-2, 11.12.2012)

Advertisements