PEDOMAN HADAPI FITNAH AKHIR ZAMAN

Ustaz Idris bin Sulaiman

Jika kita rujuk hadis-hadis tentang fitnah akhir zaman, kita akan dapati pergolakan yang berlaku di negara-negara Islam akhir-akhir ini bukanlah yang pertama dan bukan juga yang terakhir. Jadi ia menuntut kita mengenali pedoman yang perlu kita pegang dan perlunya kita kembali kepada Islam yang sebenar; iaitu Islam seperti yang dibawa oleh Rasulullah, disimpulkan sebagai manhaj Salaf Al-Soleh.

Manhaj Salaf Al-Soleh ialah jalan yang dilalui oleh penghulu Salaf iaitu Rasulullah SAW, berbekal penjelasan para Sahabat dan dua generasi berikutnya iaitu Tabi’in dan Tabi’ Al-Tabi’in. Sabda Rasulullah kepada puterinya Fatimah, “Sebaik-baik Salaf adalah aku bagimu.” (Bukhari & Muslim)

Hanya dengan melazimi manhaj ini kita akan terselamat dari fitnah. Kejahilan terhadap manhaj ini adalah punca umat Islam berpecah dan terlibat dengan firqah-firqah sesat yang mengatasnamakan Islam, tetapi bergerak tanpa mengikut bimbingan wahyu hingga mengakibatkan kerosakan demi kerosakan.

HAKIKAT FITNAH

Asal perkataan fitnah dalam bahasa Arab bererti ujian. Fitnah akhir zaman adalah ujian-ujian besar yang berlaku di akhir zaman. Sabda Nabi, “Bergegaslah melakukan amal soleh sebelum datang fitnah seperti malam yang gelap gelita.” (HR Muslim)

Fitnah yang diertikan adalah manusia diuji dengan suatu yang tidak jelas (gelap gelita). Manusia keliru dan tidak nampak apa yang benar dan apa yang salah. Sehodoh-hodoh firqah ada pengikutnya.

Dalam hadis yang berkait rapat iaitu hadis Huzaifah bin Al-Yaman, dia berkata, “Manusia bertanya kepada Rasulullah SAW tentang kebaikan sedang aku bertanya tentang kejahatan kerana aku khuatir ia menimpaku. Aku bertanya, ‘Ya Rasulullah, sesungguhnya kami dulu berada pada masa jahiliyah dan kejahatan, lalu Allah mendatangkan kebaikan ini. Adakah setelah kebaikan ini ada kejahatan?’ Baginda menjawab, ‘Ya.’

Aku bertanya lagi, ‘Adakah selepas kejahatan itu ada kebaikan?’ Baginda menjawab, ‘Ya, tetapi ada asap.’ Aku bertanya, ‘Apa asap itu?’ Baginda berkata, ‘Kaum yang berjalan bukan dengan sunnahku, mengikut petunjuk selain petunjukku. Engkau kenal sebahagian mereka dan mengingkarinya.’

Aku bertanya lagi, ‘Adakah setelah kebaikan itu ada kejahatan?’ Baginda menjawab, ‘Ya, fitnah yang membutakan mata, da’i-da’i yang menyeru ke pintu-pintu Neraka. Sesiapa menyahut seruan mereka pasti mereka mencampakkannya ke Neraka.’ Aku bertanya, ‘Ya Rasulullah, jelaskan kepada kami sifat-sifat mereka.’ Baginda berkata, ‘Mereka adalah kaum yang kulitnya seperti kita dan berbicara dengan bahasa kita.’

Aku bertanya, “Ya Rasulullah, apakah yang engkau perintahkan jika berdepan dengannya?’ Baginda berkata, ‘Hendaklah engkau bersama jamaah kaum Muslimin dan pemerintah mereka, hendaklah engkau dengar dan patuh kepada pemerintah walau belakangmu dipukul dan hartamu dirampas, dengarlah dan patuhlah.’

Aku bertanya, ‘Bagaimana jika tidak ada jamaah dan tidak ada pemerintah (umat berpecah)?’ Baginda berkata, ‘Tinggalkan semua kelompok itu meski engkau menggigit akar pokok hingga ajalmu datang sedang engkau dalam keadaan begitu.’” (Bukhari & Muslim)

Dalam riwayat Muslim Baginda menambah, “Akan ada selepas peninggalanku para pemerintah yang tidak mengikut petunjukku dan tidak beramal dengan sunnahku, dan ada di kalangan mereka pemerintah yang hati mereka adalah hati syaitan dalam jasad manusia.” Aku (Huzaifah) berkata, “Bagaimana jika aku berdepan dengannya?” Baginda berkata, “Dengar dan taat kepada pemerintah itu, jika belakangmu dipukul dan hartamu dirampas, dengarlah dan taatlah.” (Muslim)

Menjadi Sunnatullah, apabila pemerintah dijatuhkan, akibatnya sangat dahsyat. Sebab itu dalam hadis Huzaifah, Rasulullah menyebut pemimpin ini tidak mengikut petunjuk, tidak mengikut sunnah, malah hatinya hati syaitan. Tentulah yang Rasulullah maksudkan adalah pemerintah yang zalim.

Pemerintah yang merampas harta rakyat; sama ada melalui cukai, tol, kenaikan harga, atau merampas terang-terangan, Rasulullah telah pun menyebutnya di dalam hadis. Lalu apa perintah Baginda? ‘Dengar dan patuh.’ Bukan Baginda redha, bukan menggalakkan pemerintah berbuat zalim, tetapi petunjuk wahyu mengatakan kezaliman lebih besar akan berlaku jika manusia melakukan sebaliknya.

TIDAK SESAT SELAMA BERPEGANG DENGANNYA

Nabi SAW memberi petunjuk tentang fitnah ini agar kita ikuti bila berdepan dengannya. Baginda berkata,

“Apabila hampir hari Kiamat akan muncul banyak fitnah ibarat malam gelap gelita.” Baginda menambah, “Orang yang duduk ketika itu lebih baik dari orang yang berdiri, orang yang berdiri ketika itu lebih baik dari yang berjalan, orang yang berjalan ketika itu lebih baik dari yang berlari. Patahkanlah panah-panah kalian, putuskanlah tali pemanah dan pukullah pedang kalian ke batu. Jika seorang kalian dimasuki (ingin dibunuh), jadilah seperti yang terbaik di antara dua anak Adam (Habil yang dibunuh saudaranya).’” (Sahih. HR Ahmad)

Ini berbeza dengan tindakan rata-rata masyarakat apabila berdepan dengan kezaliman pemerintah. Apabila tentera pemerintah hendak menghapuskan pendemonstran, Syaikh mereka (Yusuf Al-Qaradawi) membakar semangat mereka dan menyeru, ‘Pada Jumaat nanti hendaklah semua kaum Muslimin lelaki dan perempuan, kanak-kanak dan bayi, keluar berhimpun di tempat perkemahan ini’.

Ini bercanggah dengan pesan Nabi. Baginda berkata apabila berlaku pertempuran dengan pemerintah atau sesama umat Islam,

“Lazimilah rumah kamu, tahan lidahmu, ambil apa yang kamu tahu dan tinggalkan yang kamu tidak tahu, jagalah dirimu secara khusus dan tinggalkan urusan masyarakat.” (Sahih. Abu Daud)

SOKONG DEMONSTRASI MEMBANTU TUMPAH DARAH KAUM MUSLIMIN

Syaikh Dr. Soleh Al-Suhaimi ketika mengulas tentang apa yang berlaku di Mesir baru-baru ini berkata, “Demi Allah yang tiada Tuhan selainNya, sesungguhnya yang ikut dalam demonstrasi dan yang menyokongnya, meskipun dia digelar da’i kebangkitan, demi Allah dia telah membantu pembunuhan kaum muslimin. Wallahi, Wallahi, Wallahi, sumpah yang aku dekatkan diri kepada Allah dengannya dan aku akan ditanya tentangnya pada Hari Kiamat, sungguh mereka termasuk penyebab tumpahnya darah kaum Muslimin dan aku bersumpah demi Allah atas hal ini. Ambillah fatwa ini dariku. Demi Allah yang tidak ada Tuhan selainNya, di antara kita yang meyokong demonstrasi, Wallah, dia termasuk sebab terbunuhnya kaum muslimin.” (Petikan fatwa Syaikh Dr. Soleh Al-Suhaimi terhadap isu Mesir, Masjid Nabawi Madinah)

Namun berapa ramai yang menerima pesanan Nabi supaya patuh pemerintah, dan melazimi rumah apabila terjadinya fitnah? Bahkan Rasulullah menyuruh patahkan senjata, tumpulkan pedang dengan memukulnya ke batu kerana dikhuatiri kita membunuh sesama Islam.

Sekali lagi diingatkan, Islam melarang pemberontakan terhadap pemerintah bukan kerana meredhai kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah, sebaliknya untuk menjaga darah kaum muslimin dan mengelak mudarat yang lebih besar. Percayalah bahawa ada cara lain yang lebih baik ke arah menegakkan keadilan. Apa yang pasti, bukan melalui cara yang dilarang oleh Syarak.

AJARAN ISLAM DILIHAT GANJIL

Menjadi Sunnatullah, beginilah keadaan umat di akhir zaman. Bertepatan hadis, “Islam bermula dalam keadaan ganjil, ia akan kembali dalam keadaan ganjil seperti mana ia bermula, maka gembiralah bagi orang-orang yang ganjil.” (HR Muslim)

Maka jangan hairan apabila kita menyeru kepada sunnah Nabi supaya taat pemerintah, bukan kerana kita setuju kalau benar pemerintah itu zalim, tetapi kerana ia perintah Rasulullah, mereka mengingkarinya dengan cemuhan, mengatakan kita pengampu kerajaan, penjilat, dapat projek, habuan dan sebagainya. Anggaplah ini lumrah, kerana ajaran Islam sudah menjadi ganjil.

“Maka bergembiralah bagi orang-orang yang ganjil” yakni yang melazimi manhaj Salaf Al-Soleh, dalam hadis Baginda menjelaskan sifat mereka, “Kaum soleh yang sedikit di kalangan masyarakat yang buruk yang ramai, orang yang melawan mereka lebih ramai dari orang yang mengikut mereka.” (Sahih. HR Ahmad)

Ulama berpesan supaya kita jangan marah dan jangan terburu-buru. Hendaklah kita berhemah dan berpada-pada, serahkan urusan fatwa kepada Ulama. Kasihanilah dirimu, jangan tempah tempat di Neraka. Sabda Nabi, “Seorang mengucapkan kata-kata tanpa dia terfikir bahayanya lalu kerana itu dia dihumban ke Neraka yang dalamnya lebih jauh dari timur dan barat.” (HR Muslim)

Maka fatwa terkait hal semasa hendaklah diserahkan kepada Ulama besar. Ulama yang berdiri atas manhaj Salaf pada hari ini terus ramai, dipimpin oleh Syaikh Dr. Soleh Al-Fauzan, Syaikh Soleh Al-Luhaidan, Syaikh Rabee’ Al-Madkhali, mufti Madinah Muhammad b. Hadi Al-Madkhali, ‘Ubaid Al-Jabiri, Abdul Muhsin Al-‘Abbad, dan ramai lagi.

Masyaikh ini cukup ramai, cuma usaha keras diambil untuk menutup nama mereka supaya jangan dikenali oleh masyarakat awam. Sebaliknya da’i-da’i yang menyeru ke pintu Neraka yang ditonjolkan, fatwa-fatwa mereka dihebahkan media massa yang dikawal oleh Barat juga.

Artikel ini disiarkan di akhbar pada Sabtu, 28 September 2013

DSC_0300

Advertisements