SAMPAIKAN WALAU SATU AYAT, ANCAMAN DUSTA ATAS NABI (SEBAR HADIS DHAIF/PALSU)

Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman –hafizhahumullah-

(Disalin dari rakaman Kuliah Riyadh Al-Solihin, Bab 241 Keutamaan Ilmu, Kajang, 14.12.2012)

بسم الله الرحمٰن الرحيم

Hadis ke-1387:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرو بْنِ الْعَاصِ رضي الله عنهما أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَا حَرَجَ وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّار

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ash radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sampaikanlah dariku walau satu ayat, dan ceritakanlah tentang Bani Israil tanpa perlu takut. Dan barangsiapa berbohong ke atasku dengan sengaja maka bersiaplah dia mengambil tempat duduknya di Neraka.” (Riwayat Al-Bukhari)

sampai walau satu ayatPenjelasan hadis:

Sampaikanlah tentangku walau satu ayat: Ayat yang dimaksudkan merangkumi kedua-dua ayat Al-Quran dan juga Hadis.

Hadis ini menunjukkan saranan supaya kita menyampaikan ilmu tidak kira banyak ataupun sedikit, asalkan ia ilmu yang dipelajari dari Al-Quran dan Sunnah maka hendaklah ia disampaikan. Dalam ertikata lain, jangan kita tahan sehingga kita mencapai maqam tertentu, atau maqam ulama mujtahidin baru kita boleh berdakwah. Itu bukan syarat.

Sebaliknya, apa ilmu yang kita ada, asalkan kita telah pastikan dan yakin akan kebenarannya bersama dalil daripada Al-Quran dan Sunnah, maka menjadi kewajipan atas kita untuk menyampaikannya kepada orang lain.

Dengan syarat, ayat yang disampaikan baik Al-Quran mahupun hadis, kena dipastikan betul bukan sahaja lafaznya tetapi juga tafsirannya. Mesti dipastikan bahawa tafsirannya di atas kebenaran, bukan tafsiran mengikut hawa nafsu dan sebagainya.

Adapun hadis, kita perlu lebih ambil berat kerana kita perlu pastikan kesahihannya, di samping pemahamannya. Kedua-duanya kena betul, kedua-duanya kena sahih sebelum disampaikan kepada orang lain.

Kerana itu selepas saranan “Sampaikan tentangku walau satu ayat”, datang pula amaran; “Dan barangsiapa berbohong ke atasku dengan sengaja maka bersiaplah dia mengambil tempat duduknya di Neraka”.

Oleh itu hendaklah kita pastikan bahawa ia hadis yang sahih, yang disahihkan oleh ulama hadis, kerana mereka adalah pakar di dalam bidangnya. Setiap ilmu dikembalikan kepada pakarnya.

Jika kita tidak mengambil berat sama ada hadis itu sahih ataupun tidak, besar kemungkinan kita menyebarkan hadis yang tidak betul. Dan berapa banyak hadis yang tak betul yang terkumpul dan termaktub di dalam buku-buku, akhbar dan majalah sekarang ini. Berapa banyak hadis-hadis yang dha’if, tidak kurang juga hadis palsu yang terus disebarkan, maka jangan kita tergolong di dalam mereka yang menyebarkan hadis-hadis dhaif dan palsu (yang direka-reka).

Rasulullah jelas memberi amaran “barang siapa yang berbohong ke atasku”. Maksud berbohong atas Rasulullah adalah suatu hadis itu tidak disebut oleh Rasulullah, tidak sabit dari Rasulullah, tetapi kita mengatakan “Sabda Nabi … sekian sekian…” sedangkan belum dibuktikan kesahihan bahawa ia disebut oleh Rasulullah, belum dibuktikan bahawa Rasulullah melakukan itu dan ini. Tetapi kita mengatakan Rasulullah mengatakan begitu dan begini. Jelas ia perbuatan berbohong atas Nabi, menyandarkan sesuatu ke atas Nabi sedangkan tidak sabit Baginda melakukannya.

BOHONG ATAS NAMA NABI TIDAK SAMA BOHONG ATAS ORANG LAIN

Percayalah, berbohong ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tidak sama dengan berbohong ke atas orang lain. Berbohong ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam implikasinya adalah perkara-perkara akidah, ibadah, halal haram, perkara agama secara keseluruhannya yang menjadi penentu sama ada kita masuk Syurga ataupun tidak. Berbohong ke atas orang lain tidaklah implikasinya seberat berbohong ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Begitu juga kalau kita berbohong ke atas para Ulama. Itu juga tidak sama kalau kita berbohong ke atas manusia lain, kerana para ulama adalah pewaris Nabi.

KEPENTINGAN MENYAHUT SERUAN SAMPAIKAN WALAU 1 AYAT

Signifikan saranan Rasulullah “Sampaikan tentangku walau sepotong ayat”, adalah kalau semua orang menyahut seruan itu, setiap kita sampaikan sedikit, dia sampaikan sedikit, dia sampaikan sedikit, dia sedikit, dia sedikit, akhirnya akan terlengkaplah segala yang kita warisi daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Ini kerana manusia itu masing-masing ada kemampuan dan kemampuannya terbatas, ada kelemahan dan kekurangan masing-masing. Maka umat Islam itu saling melengkapi antara satu sama lain.

Kalau kita hendak berharap pada seorang sahaja, kita relaks, maka itu jelas memberi mudarat. Hasilnya umat Islam seluruhnya akan ditimpa mudarat, kerana pastinya seorang itu tidak akan dapat memikul tanggungjawab itu kesemuanya.

Begitu juga para Ulama. Kita melihat bahawa para Ulama masing-masing mengambil peranan masing-masing.

Syaikh Bin Baaz rahimahullah mengambil peranan sebagai mufti. Segala masalah umat datang kepadanya dari sekecil-kecil sampai sebesar-besar masalah, orang merujuk kepadanya. Maka dia telah mencurahkan masa dan tenaganya untuk berbakti kepada umat, menyelesaikan masalah-masalah kemasyarakatan (umum).

Syaikh Ibn Soleh Al-Utsaimin rahimahullah pula terkenal sebagai seorang faqih, dia membuat kelas-kelas pengajian. Kalau kita perhatikan dia tidak banyak menulis. Sebaliknya, hasil daripada kuliah-kuliahnya di masjid itu yang akhirnya dijadikan buku. Dia menulis sendiri tidak ada kerana masanya dihabiskan di masjid untuk mengajar, dalam bab akidah, dalam bab fekah. Orang bertanya dan Syaikh menjelaskan, maka akhirnya banyak permasalahan-permasalahan fekah, masalah-masalah ilmu secara khasnya kalau kita tidak tahu, kita boleh kembali kepadanya.

Syaikh Al-Albani rahimahullah pula telah mencurahkan masa dan tenaganya di dalam masalah hadis. Kita lihat masing-masing ada fokus dan bidangnya. Mereka saling melengkapi antara satu sama lain. Inilah sebenarnya hubungan di antara umat Islam sesama mereka,

المُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا

“Seorang yang beriman dengan orang beriman yang lain adalah umpama binaan yang saling mengukuhkan antara satu sama lain.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

SAMPAIKAN HADIS PALSU AKIBAT KEJAHILAN

Soalan: Bagaimana kalau seseorang itu telah menyampaikan satu hadis palsu kerana dia tidak tahu, tidak perasan. Selepas dia sampaikan, baru orang tegur dan baru dia sedar. Apa yang menjadi tanggungjawabnya?

Jawapan:

Menjadi tanggungjawabnya untuk menarik balik. Hendaklah dia bertaubat, beristighfar, tidak cukup dengan itu kerana dia bertanggungjawab juga untuk menarik balik hadis yang telah dia sampaikan.

Ini kerana jika tidak, orang lain tidak tahu bahawa hadis itu dhaif/palsu, orang tidak tahu dia telah bertaubat, yang orang tahu hanya kata-katanya yang lama. Maka dia perlu menarik balik serta mengkhabarkan kepada orang yang telah dia sampaikan itu bahawa hadis yang dia sampaikan dulu adalah dhaif dan dia menarik balik. Itu menjadi tanggungjawab dia.

PENYIMPANGAN AL-KARAMIYYAH MENGHARUSKAN SEBAR HADIS DHAIF/PALSU

Berkait hadis ini ada satu permasalahan. Syaikh Ibn Salih Al-Utsaimin menyebut tentang adanya sekumpulan golongan yang menyimpang daripada kebenaran, iaitu golongan Sufi aliran Al-Karamiyyah; satu kumpulan dahulu dan waris-warisnya masih ada sehingga ke hari ini.

Mereka mendakwa bahawa bolehnya menyampaikan hadis dhaif, bahkan hadis yang palsu sekalipun dalam hal-hal yang berkaitan Al-Targhib wa Al-Tarhib (Hadis-hadis berkaitan galakan kepada ibadah dan ancaman melakukan keburukan), kerana bagi mereka tujuannya baik iaitu menggalakkan orang beribadah dan melarang orang melakukan kemaksiatan.

Mereka beralasan bahawa hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam “Barangsiapa berbohong ke atasku” adalah larangan berbohong untuk melawan Nabi, sedangkan kalau berbohong untuk membela apa yang dibawa oleh Nabi maka ia dibolehkan. Alasan mereka adalah mereka berbohong untuk mengajak orang buat kebaikan dan mengancam orang buat kejahatan, dan ia selari dengan ajaran Nabi.

Para Ulama telah menyanggah hujah mereka yang batil, yang menunjukkan kedangkalan pemikiran dan pemahaman mereka, kerana mereka seolah-olah lupa tentang larangan berbicara tanpa ilmu.

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak punya ilmu tentangnya.” (Surah Al-Israa’, 17 : 36)

Jelas mereka telah berbicara tanpa ilmu. Mereka berbicara tentang galakan serta suruhan yang bukan daripada Syarak. Segala yang bukan daripada Syarak itu bukan ilmu[1], bahkan itu adalah kebatilan.

Mereka juga seolah-olah lupa akan ancaman berbohong secara umumnya, dan mereka telah berbohong. Mereka menyandarkan apa yang bukan daripada Nabi kepada Nabi, mereka mengatakan ini Sabda Nabi sedangkan Nabi tidak bersabda begitu, dan mereka tahu hal ini.

Syarak secara umumnya mengancam kita daripada berbohong kepada sesama manusia, apatah lagi berbohong ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Catatan tambahan:

Al-Hafiz Ibn Katsir berkata, “Orang-orang yang memalsukan hadis bermacam-macam, antaranya;

  1. Orang-orang kafir zindiq.
  2. Ahli ibadah. Mereka menyangka telah berbuat kebaikan yang sebaik-baiknya. Mereka membuat hadis palsu yang mengandungi targhib dan tarhib dan hadis-hadis fadha-il (keutamaan amal) supaya orang beramal.

Mereka adalah golongan Al-Karamiyyah dan lainnya. Merekalah manusia paling jahat dalam melakukan cara ini.” (Ikhtisaar Ulum Al-Hadis, hlm. 79)

Al-Hafidz Ibn Hajar rahimahullah berkata, “Sangat bodohlah orang Al-Karamiyyah dan sebahagian kelompok yang mengaku ahli zuhud yang berkata, ‘Berbohong dan mengada-adakan terhadap Nabi untuk meneguhkan agama, manhaj Ahli Sunnah, serta targhib dan tarhib hukumnya boleh.’ Mereka beralasan bahawa datangnya ancaman itu hanya bagi orang yang berbohong untuk untuk mendustakan Nabi sahaja, bukan berbohong untuk membela Nabi. Alasan ini batil, sebab ancaman yang terkandung dalam hadis Baginda adalah sama, baik berbohong atas nama Baginda mahupun berbohong membela Baginda. Alhamdulillah, agama Islam telah sempurna sehingga tidak memerlukan penguat berupa kebohongan.” (Fathul Bari, VI/499)

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم


[1] Ilmu itu adalah firman Allah, sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan perkataan para Sahabat. (Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, I’lam Al-Muwaqqi’in II/149 dan Menuntut Ilmu Jalan Menuju Surga hlm. 22)