HIDAYAH MILIK ALLAH

Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman –hafizhahumullah-

(Disalin dari rakaman Kuliah Riyadh Al-Solihin, Bab 241 Keutamaan Ilmu, Hadis ke-1386, Kajang, 14.12.2012)

بسم الله الرحمٰن الرحيم

وَعَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ رضي الله عنه أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ لِعَلِيِّ رضي الله عنه ‏:‏ فَوَاللهِ لَأَنْ يَهْدِيَ اللهُ بِكَ رَجُلاً وَاحِداً خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)

Daripada Sahl bin Sa’ad radhiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Ali radhiyallahu ‘anhu, “Demi Allah, sekiranya Allah memberi hidayah kepada seseorang melalui kamu, itu lebih baik bagimu daripada (kamu memiliki) unta merah[1].” (Muttafaqun ‘alaih)

hidayah2Penjelasan hadis:

(Sekiranya Allah memberi hidayah kepada seseorang melalui kamu); iaitu kita jadi sebab musabab untuk seseorang mendapat hidayah, bukannya kita memberi hidayah kepada orang. Kita tidak mampu memberi hidayah. Hidayah bukan milik kita, bukan milik sesiapa, bahkan bukan milik Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Sebaliknya hidayah itu hanya milik Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Sebagaimana dalam peristiwa Rasulullah sedaya upaya berusaha hendak mengIslamkan bapa saudaranya Abu Thalib sehingga ke saat-saat akhir sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya, Rasulullah masih lagi berusaha. Tetapi akhirnya Abu Thalib tetap mati dalam kesyirikan. Tetapi hasil dari peristiwa itu, turun firman Allah,

إِنَّكَ لا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ

“Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) tidak dapat memberikan hidayah kepada siapa yang engkau suka, tetapi Allahlah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki.” (Surah Al-Qasas, 28 : 56)

Jadi kita kena faham betul-betul, sebab kalau kita terlalu berharap, dibimbangi sehingga kita melampaui batas, sehingga kita terlupa. InsyaAllah kita semua sudah tahu, tetapi kadang-kadang bila kita terlalu sayangkan seseorang, kita betul-betul mahu dia terima hidayah Islam, atau kita betul-betul mahu dia terima hidayah Salaf, kita mahu dia terima Sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dan menjauhi bid’ah, kadang-kadang kita terlajak, terbawa-bawa sehingga apabila dia tidak terima, kita rasa sedih atau kita rasa marah.

Ini boleh merosakkan akidah kita, kerana kita seolah-olah melihat bahawa kalau kita sudah sampaikan hidayah itu, dia kena terima.

Terima atau tidak terima itu bukan kuasa kita. Ia di luar kemampuan kita. Terima atau tidak terima itu adalah milik Allah Subhanahu wa Ta’ala. Tugas kita sekadar menyampaikan. Allah mengatakan kepada Rasulullah,

إِنْ عَلَيْكَ إِلَّا ٱلْبَلَـٰغُ

“Kewajipan engkau tidak lain hanyalah menyampaikan.” (Surah Syura, 42: 48)

Jadi kita kena ingat betul-betul supaya jangan kita kecewa. Nanti kita pula jadi tak betul. Jangan. Sebaliknya kita kena jadi seperti firman Allah,

وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

“Berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Surah Al-Asr, 103: 3)

Berpesan-pesan dengan kebenaran berkait rapat dengan kesabaran. Kita kena sabar. Anggaplah kita ini doktor, ubat kita adalah ilmu. Kita hanya bertanggungjawab untuk menyampaikan. Itu sahaja. Lebih daripada itu kita serahkan kepada Allah, kita berdoa kepada Allah supaya berikan dia hidayah.

Jangan seolah-olah kita pula yang ada kuasa menentukan; orang ini terima Salaf, orang ini dah memang ahli bid’ah, orang ini selamat, orang ini hizbi, dan sebagainya.

Kita belajarlah daripada seorang doktor bagaimana dia merawat pesakitnya. Doktor yang baik tidak akan marah pesakitnya, atau menyalahkan pesakitnya. Sebaliknya doktor itu akan lihat dengan lembut, nasihat dengan baik, jelaskan apa masalah dia, dan jelaskan apa rawatannya.

Kalau pesakit itu degil, adakah doktor akan marah-marah? “Engkau ni kenapa degil sangat? Engkau kena makan ubat ni, kalau tak makan nanti engkau mati.” Adakah doktor yang begitu?

Mungkin doktor tak buat begitu kerana dia takut customer lari. Tetapi kita jangan begitu, kita kena lebih mulia daripada itu. Bukan soal dia lari atau tidak lari sebaliknya kita prihatin dengan dia, kerana itu kita terus melayan dia dengan baik dan terus bersabar terhadapnya.

  وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم


[1] Unta merah adalah unta yang terbaik, menggambarkan harta yang paling berharga dan paling mahal.

(Disalin dari rakaman Kuliah Riyadh Al-Solihin, Bab 241 Keutamaan Ilmu, Hadis ke-1386, Kajang, 14.12.2012)