UMDATUL AHKAM (2) – AMALAN BERGANTUNG PADA NIAT

Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman –hafizhahumullah-

(Disalin dari rakaman kuliah Umdatul Ahkam Siri 2, Disember 2012)

بسم الله الرحمٰن الرحيم

KITAB AL-THAHARAH (KITAB BERSUCI[1])

Hadis Pertama:

عَنْ عُمَرَ بْنِ الخَطَّابِ رضي الله عنه قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَفِيْ رِوَايَةٍ: بِالنِّيَّةِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ.

Daripada Umar bin Al-Khatthab radhiyallahu ‘anhu dia berkata, “Aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Sesungguhnya amalan-amalan bergantung pada niat-niatnya[2], -dalam riwayat lain- pada niatnya, dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkan. Maka barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya adalah kerana Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang hijrahnya kepada dunia yang ingin diraihnya atau wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya adalah kepada apa yang dia hijrah kepadanya.”[3]

flowerheart1KOSA KATA:

  •          الأَعْمَالُ     : Amalan-amalan, iaitu merangkumi amalan hati, lidah, dan anggota badan.
  •          بِالنِّيَّةِ         : dengan niat, iaitu dengan maksud tertentu dan azam yang kuat untuk melakukan sesuatu.
  •          يُصِيْبُهَا      : mendapatkan nikmat dunia dari hijrah tersebut.
  •          الهِجْرَة      : Hijrah, iaitu meninggalkan sesuatu atau berpindah.

PENJELASAN HADIS:

Apabila Rasulullah mengatakan “Sesungguhnya amalan-amalan bergantung pada niat”, para Ulama berbeza kepada dua pendapat dalam menjelaskan maksudnya;

  1. Amalan-amalan itu menjadi sah apabila ada niat.
  2. Semua amalan terhasil daripada niat. Tidak ada amalan yang dilakukan tanpa niat, iaitu mustahil suatu amalan dilakukan tanpa niat (kecuali jika pelakunya tidak sedar atau hilang kewarasan akalnya).

Kedua-dua pendapat ini betul kerana kedua-duanya melihat dari sudut yang berbeza. Kita tidak boleh nafikan bahawa amalan menjadi sah dengan adanya niat, dan tidaklah suatu amalan itu terhasil kecuali dengan niat.

PENGERTIAN NIAT

Dari segi bahasa Arab, niat bererti القَصْدُ berasal dari perkataan قَصَدَ (sengaja/maksud/tujuan); iaitu اِنْبعَاثُ القَلْبِ نَحْو مَا يَرَاهُ مُوَافِقًا لغرض من جلب نفع أو دفع ضرا (pergerakan hati ke arah sesuatu yang diinginkan untuk mendapatkan manfaat atau untuk menolak mudarat). Ini pengertian dari segi bahasa.

Dari segi istilah Syarak, niat bererti العزم على فعل العبادة تقربا إلى الله تعالى (keazaman untuk melakukan suatu ibadah sebagai bentuk taqarrub[4] kepada Allah Ta’ala).

Perhatikan beza keduanya; Dari segi bahasa, niat dikatakan pergerakan hati. Tetapi dari segi Syarak, niat diertikan dengan keazaman. Ini kerana sesuatu perbuatan itu akan melalui empat peringkat;

  1. الخَاطِر : Lintasan hati
  2. الهَم : Keinginan
  3. العزم : Keazaman / tekad
  4. الفعل : Perbuatan

Maka niat dari segi Syarak jatuh pada peringkat ke-3 iaitu keazaman dan tekad seseorang untuk melakukan sesuatu. Itu baru dikira sebagai niat dari segi Syarak. Tidak dianggap sebagai niat jika hanya terlintas ataupun berkeinginan.

Dalam hadis ini, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berkata;

Jumlah (ayat) pertama: Sesungguhnya sesuatu amalan itu bergantung pada niatnya (keazaman dan tekadnya).

Jumlah kedua: Maka barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya kerana Allah dan RasulNya.

Jumlah kedua (barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya kerana Allah dan RasulNya) adalah contoh bagi kaedah yang disebutkan dalam jumlah pertama (Sesungguhnya amalan itu bergantung pada niat).

Dalam jumlah kedua ini, Rasulullah meletakkan syarat. Syaratnya: Barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan RasulNya.

Dalam kaedah bahasa Arab, apabila ada syarat (الشَّرْط), akan ada pula jawapan kepada syarat (جَوَابُ الشَّرْط). Contoh mudah: Jika kamu buat baik, saya bagi gula-gula. Syarat: Jika kamu buat baik, Jawapan Syarat: Saya bagi gula-gula.

Maka dalam hadis ini,

  • Syarat: Barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan RasulNya
  • Jawapan Syarat: Maka hijrahnya kerana Allah dan RasulNya

Di sini kita melihat Rasulullah menggunakan perkataan yang sama untuk Syarat dan Jawapan Syarat. Apa yang dimaksudkan adalah, barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul dari segi niatnya (tekadnya), maka hijrahnya adalah kerana Allah dan RasulNya dari segi pahala dan balasannya.

Hasilnya: Dia mendapat pahala orang yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya.

Jumlah ketiga: “Dan barangsiapa yang hijrahnya kepada dunia yang ingin diraihnya atau kerana wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya adalah kepada apa yang dia hijrah kepadanya.”

  • Syarat: Barangsiapa yang hijrahnya kepada dunia yang ingin diraihnya atau wanita yang ingin dinikahinya
  • Jawapan Syarat: Maka hijrahnya kepada apa yang dia hijrah kepadanya

Kita perhatikan, Rasulullah tidak menggunakan jawapan dengan bentuk ayat yang sama seperti mana yang Baginda gunakan dalam jumlah ke-2 tadi. Baginda tidak menyebut “maka hijrahnya kepada dunia yang ingin diraihnya atau wanita yang ingin dinikahinya”, tetapi Baginda sekadar menyebut “hijrahnya adalah kepada apa yang dia hijrah kepadanya”.

Ulama menjelaskan di antara sebab mengapa Baginda mengatakan sedemikian, adalah untuk menggambarkan betapa jeliknya perbuatan seperti itu, sampai Baginda tidak mahu menyebutnya atau mengulangnya.

Ini mengenangkan betapa tercelanya niat yang seperti itu (melakukan sesuatu bukan kerana Allah dan RasulNya).

FAEDAH HADIS:

1. Hadis ini menjadi satu kaedah yang cukup besar di dalam Islam kerana ia menjadi kayu pengukur bagi kita menilai sesuatu amalan; dari sudut sah atau tidak sah, sempurna atau tidak sempurna, banyak pahala atau kurang pahala, atau sama ada ia dikategorikan sebagai ketaatan ataupun kemaksiatan. Semuanya kembali kepada niat.

2. Amal soleh mestilah disertakan dengan niat yang baik. Sekiranya niatnya baik (ikhlas kerana Allah) dan pelaksanaan amalannya betul maka ia diterima, namun jika niatnya tidak baik maka amalannya tertolak.

Ini berdasarkan sebuah hadis qudsi, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman,

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً أَشْرَكَ فِيهِ مَعِى غَيْرِى تَرَكْتُهُ وَشِرْكَهُ

“Barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan dengan menyekutukan Aku dengan selainKu, maka Aku tinggalkan dia dengan sekutunya.” (Riwayat Muslim)

Maknanya seseorang yang menyekutukan Allah dalam amalannya, niatnya bukan kerana Allah semata-mata, tetapi dia menyekutukan Allah iaitu ada bersama niatnya untuk selain daripada Allah, maka hasilnya, Allah meninggalkannya dengan sekutunya (amalan itu tertolak).

Contoh 1; Apabila seseorang melakukan solat kerana riyak, solatnya menjadi tidak sah. Bahkan lebih daripada itu, perbuatannya itu menjadi satu perbuatan maksiat.

Contoh 2; Orang yang berjihad (berperang melawan orang kafir). Orang pertama pergi untuk meninggikan kalimah Allah, maka dia mendapat pahala setinggi-tinggi jihad. Orang kedua pula berjihad kerana ingin meninggikan kalimah Allah tetapi pada masa yang sama dia berjihad kerana inginkan harta rampasan perang. Jihadnya sah, dia mendapat pahala jihad tetapi pahalanya kurang kerana niatnya tidak ikhlas sepenuhnya kerana Allah, telah terpalit niatnya untuk selain Allah iaitu ingin mendapatkan harta rampasan. Orang ketiga pergi berjihad semata-mata untuk harta rampasan. Dari segi harta rampasan, dia layak mendapatnya kerana dia turut serta dalam jihad. Tetapi adakah dia berdosa? Adakah dia mendapat pahala jihad? Di sini ada perbincangan para ulama. Petunjuk dalil menunjukkan bahawa orang itu tidak berdosa, tetapi dia tidak mendapat pahala jihad. Dia hanya mendapat harta rampasan seperti yang dia niatkan.

Apabila para ulama membahaskan tentang niat, ada dua perkara yang dimaksudkan;

  1. Ulama akidah melihat dari sudut tujuan suatu amalan itu dilakukan untuk siapa; 1. Kerana Allah semata-mata (ikhlas), 2. Kerana Allah dan selain Allah, 3. Kerana selain Allah. Ini menjadi perbincangan para ulama akidah dan juga dari sudut adab dan akhlak.
  2. Ulama fekah pula melihat niat itu dari sudut; 1. Membezakan antara satu ibadah dengan ibadah yang lain, 2. Membezakan antara ibadah dengan adat.

Contoh membezakan antara satu ibadah dengan ibadah yang lain;

Si A buat solat dua rakaat dan si B buat solat dua rakaat. Soalan: Adakah kedua-dua solat ini sama?

Jawapan: Tidak. Ia bergantung pada niat masing-masing. Jika si A berniat untuk solat Subuh, maka terangkat kewajipan solat Subuh baginya. Tetapi jika si B berniat untuk solat qabliyah Subuh, maka kewajipan solat subuh belum lagi terangkat baginya.

Sedangkan kedua-duanya mengerjakan amalan yang secara zahirnya sama, tetapi ia tidak sama di sisi Allah.

Contoh membezakan antara ibadah dengan adat;

Si A mandi dan si B juga mandi. Si A meniatkan mandinya untuk mengangkat hadas, maka terangkatlah hadasnya. Si B pula mandi kerana hendak menyejukkan badan. Adakah hadasnya terangkat? Di sini ada perbincangan para ulama yang akan dibincangkan dalam bab yang akan datang.

Apa yang dimaksudkan adalah niat akan membezakan antara amalan ibadah dan amalan adat (rutin).

Ini merupakan perbezaan dalam perbahasan para ulama akidah dan ulama fekah berkaitan masalah niat.

KEUTAMAAN HADIS INI

Betapa besarnya nilai hadis ini di sisi para Ulama, Imam Al-Bukhari telah membuka kitab Sahihnya dengan hadis ini. Begitu juga dengan Imam Al-Nawawi, beliau juga telah membuka kitabnya 40 Hadis dengan hadis ini.

Mengapa Imam Al-Bukhari membuka buku hadisnya dengan hadis ini? Para ulama mengatakan bahawa antara keilmuan Imam Al-Bukhari adalah dari segi susunan hadis, beliau menyusun dan meletakkan hadis-hadis di dalam bab-bab. Itu adalah keilmuannya.

Jadi para Ulama mengatakan, Imam Al-Bukhari meletakkan hadis ini pada permulaan buku Sahihnya adalah mengenangkan bahawa hadis ini menyentuh semua bab dan hadis yang disebutkan olehnya di dalam kitab Sahihnya. Ini kerana niat menyentuh semua urusan ibadah.

(Disalin dari rakaman kuliah Umdatul Ahkam Siri 2, Disember 2012)

 وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم


[1] Bersuci atau thaharah adalah mengangkat hadas dan menghilangkan najis. (Al-Wajiz fi Fiqhi Al-Sunnah wa Al-Kitab Al-Aziz, hlm. 23)

[2] Niat adalah dengan hati dan melafazkannya dengan lidah adalah bid’ah.

[3] Riwayat Al-Bukhari dalam Bad-ul Wahyi (1), Al-Iman (54), Abu Daud dalam Al-Thalaq (1882).

[4] Taqarrub iaitu mendekatkan diri kepada Allah.