SOAL JAWAB: AKHLAK JIKA DAKWAH DITOLAK, DICEMUH & DIHINA

Dijawab oleh: Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman –hafizhahumullah-

(Ditranskrip dari rakaman sesi soal jawab Seminar Gerakan Terorisme, Takfir & Jihad Dalam Islam, Memorial Tun Hussein Onn, 27.11.2011)

akhlakSoalan: Bagaimana akhlak kita kalau kita berdakwah lalu orang mem’bodoh’kan kita, mengatakan kita sesat, adakah kita perlu membalasnya?

Jawapan:

Maksudnya kita diperlekehkan, kita dihina, kita dicaci, ditohmah, diberikan gelaran-gelaran yang kurang manis.

Hakikatnya ini bukan suatu yang baru, malah telah ditempuhi bukan sahaja oleh Rasulullah, malah Rasul-rasul yang sebelum Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam, seperti mana firman Allah,

مَّا يُقَالُ لَكَ إِلَّا مَا قَدۡ قِيلَ لِلرُّسُلِ مِن قَبۡلِكَ‌ۚ إِنَّ رَبَّكَ لَذُو مَغۡفِرَةٍ۬ وَذُو عِقَابٍ أَلِيمٍ۬

“Tidaklah apa yang diucapkan kepadamu (wahai Muhammad) kecuali apa yang telah diucapkan kepada Rasul-Rasul sebelum kamu. Sesungguhnya Tuhanmu memiliki ampunan dan memiliki azab yang pedih.” (Surah Fussilat, 41: 43)

Kalau kita lihat dakwah Rasulullah dan dakwah Rasul-Rasul sebelumnya, apakah dakwah mereka diterima dengan penuh lapang dada, dan penuh penerimaan? Jawapannya tidak, kita lihat sebaliknya. Malah mereka telah berdepan dengan ujian yang sangat hebat.

Maka itu yang kita hendak katakan, perlu adanya kesabaran.

Sama sekali bukan caranya kalau orang zalimi kita, kita balas dengan kita zalimi dia balik. Itu sama sekali bukan. Orang membodohkan kita, kita mencela dia dengan gelaran yang serupa, itu sama sekali bukan.

Barangkali apa tips yang boleh kita gunakan sekiranya kita berdepan dengan kata-kata yang tidak enak daripada orang-orang yang jahil, adalah kita berakhlak dengan akhlak yang dituntut oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala,

وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ

“(Orang yang beriman iaitu) orang-orang yang berpaling (menjauhi) dari perbuatan yang tidak berfaedah.” (Al-Mukminun: 3)

Iaitu apabila berdepan dengan perkara yang lagha, tidak berfaedah termasuklah apabila berdepan dengan kumpulan manusia yang jahil dan mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya, apa yang mereka buat adalah mereka mengabaikannya sahaja.

Kalau dapat nasihat itu yang sepatutnya, tetapi kalau degil juga, kita berlalu sahaja, jangan kita balas, caci balik atau sebagainya.

(Ditranskrip dari rakaman sesi soal jawab Seminar Gerakan Terorisme, Takfir & Jihad Dalam Islam, Memorial Tun Hussein Onn, 27.11.2011)