MENYANGGAH GOLONGAN AHLI BID’AH

Muat turun risalah ini (PDF): MENYANGGAH GOLONGAN AHLI BID’AH – brochure

Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman

Berkata Imam Al-Safarani:menyanggah ahli bidaah

القَدْحُ لَيْسَ بِغِيبَةٍ في سِتَّةٍ … مُتَظَلِّمٍ وَمُعَرِّفٍ وَمُحَذِّرٍ

وَلِمُظْهِرٍ فِسْقَا وَمُسْتَفْتٍ وَمَنْ … طَلَبَ الْإِعَانَةَ في إِزَالَةِ مُنْكَرٍ

(غذاء الألباب في شرح منظومة الأداب oleh Abu Al-Aun Al-Safarini, 1/109)

‘Ghibah’ (Mengumpat) Dibolehkan dalam Enam Keadaan:

  1. Orang dizalimi yang mengadu untuk menuntut haknya.
  2. Memanggil orang dengan nama julukannya (sekiranya orang lain hanya mengenalinya dengan nama tersebut).
  3. Memperingatkan kaum Muslimin dari kejahatan seseorang.
  4. Orang yang sengaja melakukan kefasikan secara terang-terangan.
  5. Meminta fatwa tentang suatu keburukan yang dilakukan oleh orang lain terhadapnya.
  6. Meminta pertolongan untuk mengubah suatu kemungkaran yang berlaku.

Antara dalilnya:

1.

عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها أَنَّ رَجُلاً اِسْتَأْذَنَ عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم، فَلَمَّا رَآهُ قَالَ: ائْذَنُوا لَهُ، بِئْسَ أَخُو الْعَشِيرَةِ

Daripada Aisyah radhiyallahu ‘anha bahawasanya seorang lelaki meminta izin untuk bertemu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, apabila melihatnya Baginda berkata, “Izinkan baginya, dia adalah seburuk-buruk orang dari kabilahnya.” (Bukhari dan Muslim)

(Catatan: Baginda memperingatkan orang yang di sampingnya akan kejahatan orang yang datang)

2.

عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها أَنَّ رسول الله صلى الله عليه وسلم قَالَ “يا عَائِشَةَ، مَا أَظُنُّ فُلانًا يَعْرِفَانِ دِينَنَا الَّذِي نَحْنُ عَلَيْهِ”

Daripada Aisyah radhiyallahu ‘anha bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berkata, “Wahai Aisyah, aku tidak yakin si fulan dan si fulan mengetahui tentang agama kita sedikit pun.” (Bukhari)

3.

عَنْ فاطمة بنت قيس رضي الله عنها قالت: إِنَّ مُعَاوِيَةَ بْنَ أَبِي سُفْيَانَ وَأَبَا جَهْمٍ خَطَبَانِي فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَّا أَبُو جَهْمٍ فَلَا يَضَعُ عَصَاهُ عَنْ عَاتِقِهِ وَأَمَّا مُعَاوِيَةُ فَصُعْلُوكٌ لَا مَالَ لَهُ انْكِحِي أُسَامَةَ بْنَ زَيْدٍ

Daripada Fatimah binti Qais radhiyallahu ‘anha dia berkata: “Sesungguhnya Mu’awiyah bin Abi Sufyan dan Abu Jahm telah meminangku.” Maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Adapun Abu Jahm, dia tidak pernah menurunkan tongkatnya dari  bahunya. Dan adapun Mu’awiyah, dia seorang yang papa tidak berharta. Nikahilah Usamah bin Zaid.” (Riwayat Muslim)

(Riyadhus Solehin oleh Imam Al-Nawawi, hlm. 538)

MENYEBUTKAN KEBURUKAN GOLONGAN AHLI BID’AH

Berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah:

“Contohnya Ahli Bid’ah; golongan yang berpegang dengan pendapat-pendapat atau amalan-amalan yang menyalahi Al-Quran dan Sunnah; maka menjelaskan kedudukan mereka serta mengingatkan Umat tentang bahaya mereka adalah wajib mengikut kesepakatan Umat Islam.

Bahkan Imam Ahmad bin Hanbal ketika ditanya: Yang mana engkau lebih suka; untuk seorang itu solat, berpuasa dan beriktikaf atau untuk dia berbicara tentang Ahli Bid’ah?

Jawab beliau, “Sekiranya dia solat dan beriktikaf, manfaatnya hanya untuk dirinya sahaja. Adapun sekiranya dia berbicara tentang Ahli Bid’ah, maka manfaatnya adalah untuk Umat Islam dan itu adalah lebih afdal.” Beliau juga melihat bahawa ia termasuk dalam Jihad Fi Sabilillah.

Ini kerana membersihkan Jalan Allah, AgamaNya, Aturan dan SyariatNya di samping menolak sikap melampau Ahli Bid’ah serta permusuhan mereka dalam hal ini adalah wajib secara kifayah menurut kesepakatan Ulama Islam.

(Ini kerana) kalau bukan kerana Allah menjadikan mereka untuk menolak keburukan Ahli Bid’ah nescaya Agama akan rosak. Dan kerosakan mereka lebih besar daripada kerosakan yang berlaku akibat penaklukan musuh dalam peperangan.

Musuh yang menakluk sesebuah negara akan mengakibatkan kerosakan jiwa dan Agama secara tidak langsung. Adapun Ahli Bid’ah, mereka merosakkan jiwa masyarakat secara langsung.” (Majmu’ Al-Fatawa oleh Ibnu Taimiyah, jilid 28, hlm. 231-232)

Kata beliau lagi, “Sekiranya seorang Ahli Bid’ah mengajak kepada kepercayaan-kepercayaan yang menyalahi Al-Quran dan Sunnah atau dia menyelisihi jalan yang bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah, dan dikhuatiri bahawa dia akan menyesatkan masyarakat; maka dalam keadaan ini kesesatannya perlu dijelaskan agar masyarakat menghindari kesesatannya serta mengetahui kedudukannya.

Hal ini perlu dilakukan di atas dasar nasihat demi mengharapkan ganjaran daripada Allah dan bukan kerana sebab-sebab peribadi seperti adanya perselisihan dalam urusan dunia, dengki-mendengki, kebencian atau perebutan jawatan kepimpinan.” (Majmu’ Al-Fatawa oleh Ibnu Taimiyah, jilid 28, hlm. 221)

Berkata Imam Al-Hasan Al-Basri, “Tidak ada ghibah (mengumpat) bagi Ahli Bid’ah.” (Syarah Usul I’tikad Ahli Sunnah oleh Imam Al-Lalakaa’i, jilid 1, hlm. 140)

PENJELASAN TENTANG ADANYA ‘TAZKIAH’ (PUJIAN) PARA ULAMA SALAF TERHADAP TOKOH-TOKOH BID’AH

Para Ulama mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Syarak. Pujian mereka mahupun sanggahan terhadap mana-mana kelompok atau individu menjadi panduan buat Masyarakat Islam secara umumnya. Walau bagaimanapun, tiga perkara perlu diberi perhatian:

Pertama: Ucapannya yang terdahulu dan yang kemudian. Maka diambil kata-katanya yang kemudian dan bukan yang terdahulu atau yang me’nasakh’ dan bukan yang di’nasakh’.

Barangsiapa yang berhujjah dengan kata-kata seorang ulama yang terdahulu sedangkan dia mengetahui tentang kata-katanya yang terkemudian, jelas dia melakukan suatu dusta dan penipuan.

Sebagaimana Imam Ahmad yang pada mulanya memuji Husin Al-Karabisi tetapi apabila Al-Karabisi berkata dengan kata-kata ‘lafaz Al-Quran itu adalah makhluk’ Imam Ahmad telah menyesatkan beliau serta menghukumnya sebagai pelaku bid’ah.

Kedua: Keadaan seseorang yang berubah. Para Ulama ketika hidup mereka memuji seseorang itu kerana keadaan orang itu yang baik. Tetapi sesudah kewafatan ulama-ulama tersebut keadaan orang itu berubah. Dalam hal ini, pujian Para Ulama itu tidak boleh digunakan untuknya.

Sebagaimana pujian Khalifah Omar Al-Khattab radhiyallahu ‘anhu kepada Abdul Rahman bin Muljam yang diutuskan ke Mesir untuk mengajar Al-Quran. Tetapi ternyata kemudian beliaulah yang membunuh Khalifah Ali bin Abu Talib radhiyallahu ‘anhu. Pujian Omar Al-Khattab kepadanya sama sekali tidak boleh dipakai sesudah dia membunuh Ali bin Abi Talib kerana kedudukan seseorang itu dinilai di akhir hayatnya dan bukan di awalnya.

Ketiga: Dalil dan bukti menjadi penentu buat kedudukan seseorang. Ini kerana para Ulama bukan maksum dan mereka juga tidak akan terlepas daripada kesalahan dan kesilapan. Umat Islam pula dituntut supaya mengikut dalil sekiranya ia sudah menjadi jelas. Walaupun secara umumnya pujian Para Ulama dan sanggahan mereka perlu diterima, tetapi sekiranya dalil dan bukti menunjukkan sebaliknya maka Umat Islam perlu mengikut dalil dan bukan selainnya.

Sebagaimana pegangan prinsip para Ulama sendiri. Imam Ahmad telah men’thiqah’kan (menerima riwayat) seorang perawi bernama Muhammad bin Humaid Al-Razi sedangkan Ibnu Khuzaiman telah men’jarah’ (menolak riwayatnya). Berkata Abu Ali Al-Nisabuuri: Aku berkata kepada Ibnu Khuzaimah: Riwayat Muhammad bin Humaid telah dipuji oleh Ahmad bin Hanbal. Jawab Ibnu Khuzaiman: Beliau tidak mengenalinya. Sekiranya beliau mengenalinya sebagaimana kami mengenalinya pasti dia tidak memujinya sama sekali.

(سير أعلام النبلاء 22/108)

Rujukan: تزكية العلماء السلفيين لبعض رؤوس الحزبيين oleh Abdul Aziz bin Riis Al-Riis

PERBUATAN MENGANGKAT DAN MEMUJI GOLONGAN AHLI BID’AH

Imam Abdul Aziz bin Baz rahimahullah ditanya: Adakah mereka yang mengangkat dan memuji golongan Ahli Bid’ah termasuk dalam golongan yang sama?

Jawab Beliau: “Ya, tidak ada keraguan lagi. Barangsiapa yang mengangkat dan memuji mereka bererti bahawa dia mengajak kepada mereka. Maka dia termasuk dalam golongan yang sama dan kepada Allah kita berlindung.”

(براءة العلماء من تزكية أهل البدعة والمذمة  oleh Isam bin Abdullah Al-Sinani)

 وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Kajang, 10.07.2012

Idrissulaiman@yahoo.com

Muat turun risalah ini (PDF): MENYANGGAH GOLONGAN AHLI BID’AH – brochure