KEWAJIPAN TAHIYYATUL MASJID (MENGHORMATI MASJID)

Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman

(Disalin dari rakaman audio kuliah Riyadus Salihin, Kitab Fadilat, 11.03.2011, Kajang)

بسم الله الرحمٰن الرحيم

الحمدُ لله، والصَّلاةُ والسَّلامُ علىٰ خاتمِ رُسُلِ الله؛ محمدٍ، وعلىٰ آله وصحبه وإخوانِه؛ مَنِ اتَّبَعوا هُداه

أمَّا بعد

BAB 208 Seruan Solat Tahiyatul Masjid. Makruh Duduk Sebelum Solat Dua Rakaat Bila Saja Dia Memasuki Masjid, Sama Ada Dia Solat Dua Rakaat Itu Dengan Niat Solat Tahiyyat, Atau Solat Fardhu Atau Solat Rawatib Atau Solat Lainnya.

Hadis ke-1151:

عن أبي قتادة رضي الله عنه قال‏:‏ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏ ‏ “‏ إذَا دَخَلَ أَحَدُكُمْ الْمَسْجِدَ فَلَا يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ ‏”‏‏.‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏‏.‏

Daripada Abu Qatadah radhiyallahu ‘anhu dia berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila seseorang di antara kamu memasuki masjid, maka janganlah dia duduk sehingga dia mengerjakan solat dua rakaat.” (Muttafaqun ‘alaih)

Hadis ke-1152:

وعن جابر، رضي الله عنه قال‏:‏ أتيت النبي صلى الله عليه وسلم وهو في المسجد فقال‏:‏ ‏ “‏صلِ ركعتين‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏‏.‏

Daripada Jabir radhiyallahu ‘anhu dia berkata: Aku pernah mendatangi Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sedang Baginda di masjid. Lalu Baginda bersabda: “Solatlah dua rakaat.” (Muttafaqun ‘alaih)

Penjelasan hadis:

7470-kota-kinabalu-city-mosque-1280x800-world-wallpaperAl-Imam Al-Nawawi rahimahullah dalam bab ini menjelaskan tuntutan atau anjuran solat tahiyyat masjid dan makruhnya duduk sebelum solat dua rakaat pada bila-bila masa sama ada dengan niat tahiyyat masjid, atau solat fardhu, atau solat rawatib, dan sebagainya.

Yang dimaksudkan dengan Tahiyyat Masjid (penghormatan masjid) adalah apabila kita masuk ke masjid atau yang sehukum dengannya iaitu surau, hendaklah kita berikan penghormatan iaitu dengan solat dua rakaat. Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menyatakan bahawa masjid-masjid itu memiliki kesucian dan kehormatan dan ia memiliki hak tahiyat atas orang yang memasukinya. Caranya adalah dengan dia tidak duduk sebelum solat dua rakaat.

HUKUM SOLAT TAHIYYAT MASJID

Imam Al-Nawawi termasuk di antara ulama-ulama fekah mazhab Syafi’i, dia seorang faqih (ulama fekah) jadi kata-katanya mempunyai nilai. Jelas dari tajuk bab ini, beliau mengatakan “anjuran/seruan” menunjukkan bahawa beliau melihat hukum solat tahiyatul masjid adalah sunat (muakkad). Kalimah “anjuran” atau “seruan” menunjukkan maksud sunat kerana jika beliau memaksudkan wajib, beliau akan mengatakan “kewajipan solat tahiyat masjid”.

Hakikatnya di dalam permasalahan ini Ulama berbeza kepada dua pendapat;

Pendapat pertama mengatakan hukumnya adalah wajib. Dalilnya adalah hadis yang dibawakan oleh Imam Al-Nawawi juga (seperti di atas), di mana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

‏ إذَا دَخَلَ أَحَدُكُمْ الْمَسْجِدَ فَلَا يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ

“Apabila salah seorang kamu memasuki masjid, maka janganlah dia duduk sehingga dia solat dua rakaat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di sini adanya larangan – “Janganlah dia duduk sehingga dia solat dua rakaat”. Ada riwayat lain yang tidak disebut oleh Imam Al-Nawawi dan riwayat itu juga sahih: Dari Abu Qatadah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمْ الْمَسْجِدَ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ

“Apabila salah seorang kamu masuk masjid, maka hendaklah dia solat dua rakaat sebelum dia duduk.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Maksud kedua-dua hadis ini hampir sama tetapi ada sedikit perbezaan; Hadis pertama berisi larangan duduk sebelum solat dua rakaat, manakala hadis kedua berisi perintah solat dua rakaat sebelum duduk.

Seperti mana yang sering kita ulang, segala suruhan/perintah dalam Al-Quran atau Sunnah (Syarak) bermaksud wajib, kecuali jika ada penjelasan daripada Syarak juga yang menjelaskan bahawa suruhan itu bukan wajib tetapi sunat. Namun secara amnya, suruhan bererti wajib. Begitu juga sebaliknya, kalau ada larangan bererti hukumnya adalah haram, kecuali ada penjelasan dari Al-Quran atau hadis yang menunjukkan larangan itu bukan haram tetapi makruh. Itu adalah kaedah secara am.

Pendapat kedua mengatakan solat dua rakaat sebelum duduk di masjid adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut). Mereka mengatakan maksud larangan hadis ini adalah makruh manakala suruhannya adalah sunat. Persoalannya, apakah dalil yang memindahkan hukum wajib kepada sunat, atau dari haram kepada makruh?

Mereka berhujah dengan hadis dari Abdullah bin Busr radhiyallahu ‘anhu dia berkata,

أَنَّ رَجُلًا جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَخْطُبُ النَّاسَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فَقَالَ اجْلِسْ فَقَدْ آذَيْتَ وَآنَيْتَ

“Seorang lelaki mendatangi Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang sedang berkhutbah di hadapan manusia pada hari Jumaat. Baginda bersabda, “Duduklah, sesungguhnya kamu telah mengganggu dan membuat orang lain terlambat.” (Riwayat Ahmad. Dinilai sahih dalam Sahih Al-Jami’)

Sahabat itu sedang melalui di celah-celah Jemaah yang duduk untuk mencari tempat duduk. Dalam peristiwa ini, Rasulullah mengatakan, “Duduklah, kamu telah mengganggu orang.” Rasulullah melarang perbuatan sebegitu dan menyuruhnya supaya duduk.

Ini adalah di antara dalil terkuat yang mereka bawa bagi mengatakan hukumnya adalah sunat, di mana Rasulullah secara jelas menyuruh sahabat itu duduk mendengar khutbah tanpa menyuruh dia solat dua rakaat.

Mereka juga berhujah dengan dalil tentang hukum ketika khatib sedang berkhutbah, iaitu jika ada orang sedang bercakap, kita dilarang menyuruh dia diam. Seperti mana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam,

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ

“Jika kamu berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat, “Diamlah,” sedangkan khatib sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah lagha (Jumaat kamu telah sia-sia).” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Pendapat kedua mengqiyaskan dari hadis ini. Mereka mengatakan sekiranya menyuruh diam pun dilarang ketika khatib sedang berkhutbah sedangkan itu adalah amar ma’ruf dan nahi munkar, maka begitu jugalah solat dua rakaat ketika khatib sedang berkhutbah. Hendaklah fokus pada khatib tanpa mengalih perhatian pada hal lain. Mereka mengatakan jika menyuruh diam yang hanya mengalih perhatian selama beberapa saat sahaja tidak boleh, apatah lagi untuk solat dua rakaat yang memakan masa lebih lama. Sedangkan diam dan mendengar khutbah adalah wajib.

HUKUM WAJIB LEBIH KUAT

Apa yang dapat kita simpulkan adalah pendapat pertama yang mengatakan hukumnya adalah wajib lebih kuat kerana hujah yang dibawa oleh pendapat kedua yang mengatakan ia sunat; pertama, hadis Rasulullah menyuruh duduk – para Ulama mengatakan bahawa hadis itu tidak jelas menunjukkan bahawa lelaki itu belum solat dua rakaat. Ada kebarangkalian dia telah solat dua rakaat kemudian bangun dan mencari tempat duduk lalu Rasulullah melarangnya dan menyuruhnya duduk. Ini kerana ada hadis lain yang jelas di mana seorang sahabat masuk ketika Rasulullah sedang berkhutbah dan dia duduk lalu Rasulullah memerintahkan dia bangun dan solat dua rakaat.

Hadis yang dimaksudkan adalah hadis dari Jabir bin Abdullah radhiyallahu ‘anhu dia berkata:

جَاءَ سُلَيْكٌ الْغَطَفَانِيُّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ, فَجَلَسَ. فَقَالَ لَهُ: يَا سُلَيْكُ قُمْ فَارْكَعْ رَكْعَتَيْنِ وَتَجَوَّزْ فِيهِمَا! ثُمَّ قَالَ: إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ وَلْيَتَجَوَّزْ فِيهِمَا

“Sulaik Al-Ghathafani datang pada hari Jumaat dan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sedang berkhutbah, dia pun duduk. Maka Baginda bersabda kepadanya, “Wahai Sulaik, bangun dan solatlah dua rakaat, kerjakanlah dengan ringan.” Kemudian Baginda bersabda, “Jika salah seorang dari kalian datang pada hari Jumaat sedangkan imam sedang berkhutbah, maka hendaklah dia solat dua rakaat dan hendaklah dia mengerjakannya dengan ringan.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Jadi ini menafikan pendapat yang mengatakan hendaklah duduk terus jika khatib sedang berkhutbah. Sedangkan yang benar adalah diwajibkan juga solat dua rakaat.

Maka pendapat yang rajih tentang hukum tahiyyat masjid adalah wajib berdasarkan kedua-dua hadis yang dibawakan tadi, kerana suruhan dan larangan itu jelas dan am.

PENGECUALIAN SOLAT TAHIYYATUL MASJID

Cuma ada dua pengecualian sahaja di mana kewajipan itu gugur; 1) Bagi khatib Jum’ah di mana dia tidak wajib dan tidak disunatkan untuk solat dua rakaat. Ini kerana apabila khatib masuk, dia akan terus naik ke mimbar, memberi salam, duduk, lalu muazzin akan mengumandangkan azan, dan khatib akan terus bangun memulakan khutbah sejurus selepas azan. Ini seperti mana yang dilakukan oleh Rasulullah. 2) Bagi orang yang ke Masjidil Haram untuk tawaf (termasuklah umrah). Hendaklah dia terus tawaf, tidak boleh berhenti untuk solat dua rakaat (tahiyatul masjid). Selepas tawaf barulah disunatkan baginya untuk solat dua rakaat (sunat tawaf) di belakang Maqam Ibrahim (menghadap Maqam Ibrahim dan menghadap Kaabah).

Itulah dua pengecualian daripada mengerjakan solat dua rakaat sebelum duduk secara umumnya.

WAKTU SOLAT TAHIYYATUL MASJID

Kita disuruh mengerjakan solat Tahiyyatul Masjid setiap kali memasuki masjid, tidak kira apa juga waktunya, walaupun waktu itu adalah waktu dilarang solat sunat secara mutlak.

Ada tiga waktu kita dilarang solat sunat secara mutlak; 1) Selepas Subuh sehingga matahari betul-betul naik, 2) Apabila matahari betul-betul menegak di tengah langit sehingga ia tergelincir iaitu masuk waktu Zuhur, 3) Apabila matahari kekuningan iaitu sedang terbenam, bukan selepas Asar secara mutlak tetapi apabila ia telah kekuningan iaitu hampir tenggelam sehingga ia terbenam.

Maka waktu solat tahiyatul masjid adalah mutlak pada bila-bila masa walaupun pada waktu yang dilarang untuk solat sunat secara mutlak. Ini adalah pendapat yang rajih (dan pendapat ini dipegang oleh Imam Al-Syafi’i rahimahullah -ed.).

Namun ada pendapat yang mengatakan bahawa jika waktu itu adalah waktu yang dilarang solat sunat, maka tidak boleh solat. Kita lihat dalilnya. Dalil waktu solat yang dilarang adalah sabda Rasulullah,

لاَ صَلاَةَ بَعْدَ الصُّبْحِ حَتَّى تَرْتَفِعَ الشَّمْسُ وَلاَ صَلاَةَ بَعْدَ الْعَصْرِ حَتَّى تَغِيْبَ الشَّمْسُ

“Tidak ada solat selepas Subuh sehingga matahari tinggi dan tidak ada solat setelah Asar sehingga matahari tenggelam.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Tidak ada solat maknanya tidak sah solat, iaitu jika seseorang solat selepas Subuh sebelum matahari betul-betul naik bererti tidak sah solatnya, begitu juga selepas Asar di mana yang dimaksudkan bukanlah betul-betul selepas Asar tetapi apabila matahari kekuningan sehinggalah matahari telah terbenam seperti yang telah dijelaskan dalam kelas kita sebelum ini.

Kita dapati ada dua dalil yang seolah-olah bercanggah; Dalil yang menyuruh solat dua rakaat lafaznya am, “Apabila seseorang kamu masuk masjid, hendaklah solat dua rakaat sebelum duduk”, tidak dikhususkan “kecuali pada waktu tertentu”. Dalil yang melarang solat juga lafaznya am, “Tidak ada solat selepas subuh…” Mana satu yang perlu diamalkan?

Kaedah fekah: “Dalil-dalil am yang kekal pada keumumannya akan menguasai dalil-dalil am yang terdapat pengecualian padanya.”

Maka kalau ada dua dalil yang kelihatan bercanggah, contohnya dalil am pertama menyuruh solat dua rakaat sebelum duduk di masjid pada bila-bila masa, manakala dalil am kedua melarang solat pada waktu tertentu. Di antara dua dalil ini, yang manakah ada pengecualian?

Contoh senario 1: Seseorang itu belum solat Subuh kerana terlewat bangun. Ketika dia bangun, matahari sedang terbit. Apa yang perlu dia lakukan? Seperti mana sabda Rasulullah,

مَنْ نَامَ عَنْ صَلاَةٍ أَوْ نَسِيَهَا فَلْيُصَلِّهَا مَتَى ذَكَرَهَا فَإِنَّ ذَلِكَ هُوَ وَقْتُهَا

“Barangsiapa yang tertidur sehingga tidak solat atau terlupa solat maka hendaklah dia kerjakan apabila dia ingat. Itulah waktu solat untuknya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka jika seseorang itu bangun dan matahari sedang terbit, hendaklah dia terus solat walaupun waktu itu waktu yang dilarang. Ini menunjukkan keumuman hadis yang kedua ini ada pengecualian. Bukan semua jenis solat dilarang pada waktu itu, ada solat yang dibolehkan walaupun pada waktu dilarang seperti solat fardu yang tertinggal secara tidak sengaja, solat jenazah, solat tahiyatul masjid dan seumpamanya (solat yang mempunyai sebab dan berkebetulan iaitu bukan dengan sengaja memilih waktu yang dilarang untuk solat –ed.).

Jelas bahawa hadis kedua ada pengecualian, manakala hadis pertama keumumumannya kekal. Maka walaupun pada waktu makruh/dilarang, solat tahiyyatul masjid tetap wajib dilakukan.

Contoh senario 2: Ada dua dalil di mana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

“Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca Al-Fatihah.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Kita semua mengetahui hadis ini, kewajipan atau rukun membaca Al-Fatihah di dalam solat. Siapa yang tidak membaca Al-Fatihah, batal solatnya walaupun dia rukuk, sujud, tasyahhud dan yang lain semuanya lengkap. Tidak ada solat di sini adalah penafian kesahihan solat (dia melakukan solat tetapi tidak sah).

Walau bagaimanapun, ada keadaan di mana Imam membaca secara kuat dan selesai membaca surah Imam pun rukuk. Bilakah masanya makmum hendak membaca Al-Fatihah? Ada yang mengatakan makmum perlu juga membaca Al-Fatihah walaupun Imam membacanya dengan kuat. Adakah begitu? Sedangkan ada ayat Al-Quran,

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآَنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Dan apabila dibacakan Al-Quran, maka hendaklah kamu dengar ia dan hendaklah kamu diam, semoga kamu mendapat rahmat.” (Surah Al A’raf: 204)

Ayat Al-Quran ini jelas melarang kita bercakap apabila dibacakan Al-Quran dan menyuruh kita dengar dan diam, tidak kira di dalam solat mahupun di luar solat. Jadi manakah yang perlu diamalkan? Adakah kita hendak mengamalkan hadis pertama (membaca Al-Fatihah), atau kita mengamalkan ayat Al-Quran ini (diam apabila dibacakan Al-Quran) kerana seolah-olah ia bercanggah.

Kita gunakan kaedah fekah yang dinyatakan tadi; “Dalil am yang kekal pada keumumannya akan menguasai dalil am yang terdapat pengkhususan/pengecualian.”

Di antara dua dalil ini, yang manakah ada pengecualian? Situasi: Kita masuk masjid dan kita melihat Imam sedang rukuk. Apa yang disuruh oleh Syarak untuk kita lakukan? Adakah kita masuk saf dan membaca Al-Fatihah? Jawapannya tidak. Bahkan Nabi melarang kita tergopoh-gopoh mengejar rakaat seperti mana dalam hadis,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي قَتَادَةَ، عَنْ أَبِيهِ، قَالَ: بَيْنَمَا نَحْنُ نُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ سَمِعَ جَلَبَةَ رِجَالٍ، فَلَمَّا صَلَّى قَالَ: «مَا شَأْنُكُمْ؟» قَالُوا: اسْتَعْجَلْنَا إِلَى الصَّلاَةِ؟ قَالَ: «فَلاَ تَفْعَلُوا إِذَا أَتَيْتُمُ الصَّلاَةَ فَعَلَيْكُمْ بِالسَّكِينَةِ، فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا»

Dari Abdullah bin Abu Qatadah dari bapanya dia berkata: Ketika kami solat bersama Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda mendengar suara orang tergesa-gesa. Maka setelah selesai Baginda bertanya: “Ada apa dengan kalian?” Mereka menjawab, “Kami tergesa-gesa mendatangi solat.” Baginda bersabda: “Janganlah kalian berbuat seperti itu. Jika kalian datang solat maka datanglah dengan tenang, apa yang kalian dapat dari solat maka ikutilah, dan apa yang kalian tertinggal maka sempurnakanlah.” (Riwayat Bukhari)

Malah ada ulama mengatakan apabila kita lihat Imam rukuk, hendaklah kita terus rukuk walaupun kita belum masuk saf lagi. Mungkin ini antara sunnah yang boleh kita amalkan selepas ini. Kalau kita masih di pintu dan Imam rukuk, kita boleh terus rukuk jika risau terlepas rakaat, kemudian kita berjalan perlahan-lahan masuk rapat ke dalam saf. Itu adalah sunnah seperti mana yang dilakukan di dalam hadis Abi Bakrah di mana dia beliau masuk ke masjid ketika Rasulullah sedang rukuk, lalu dia terus rukuk sebelum masuk saf dan tergopoh gapah masuk ke dalam saf.

عَنِ الْحَسَنِ: أَنَّ أَبَا بَكْرَةَ جَاءَ وَرَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَاكِعٌ , فَرَكَعَ دُوْنَ الصَّفِّ ثُمَّ مَشَى إِلَى الصَّفِّ , فَلَمَّا قَضَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاَتَهُ قَالَ: أَيُّكُمُ الَّذِيْ رَكَعَ دُوْنَ الصَّفِّ ثُمَّ مَشَى إِلَى الصَّفِّ ؟ , فَقَالَ أَبُوْ بَكْرَةَ: أَنَا , فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : زَادَكَ اللهُ حِرْصًا وَلاَ تَعُدْ

“Daripada Al-Hasan: Bahawa Abu Bakrah pernah datang dan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sedang rukuk. Maka Abu Bakrah rukuk tanpa (masuk) saf kemudian dia berjalan menuju saf. Tatkala Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam selesai solatnya Baginda bersabda, “Siapakah di antara kalian yang rukuk tanpa (masuk) saf kemudian dia berjalan menuju saf?” Abu Bakrah menjawab, “Saya”. Maka Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Semoga Allah menambahkamu semangat dan jangan kamu ulangi.” (Riwayat Abu Daud, Ahmad, Al-Baihaqi. Dinilai sahih dalam Al-Sahihah)

(Catatan: Hadis ini menjelaskan bahawa seorang yang terlambat lalu melihat imam sedang rukuk, dia disunnahkan untuk rukuk sambil berjalan menuju saf dalam keadaan tenang tanpa terburu-buru. Dengan ini, dia mendapatkan satu rakaat tanpa perlu menambah. Dari hadis ini, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bertanya lalu dijawab terus oleh Abu Bakrah. Ini menunjukkan Abu Bakrah tidak masbuq yang menyebabkan dia harus menambah satu rakaat. Jika dia ketinggalan satu rakaaat, dia tidak akan menjawab pertanyaan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam secara langsung, bahkan akan dijelaskan oleh perawi hadis bahawa Abu Bakrah solat, lalu dia berkata demikian dan demikian dalam menjawab pertanyaan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Namun hal itu tidak disebutkan dalam hadis ini sehingga kita tahu bahawa Abu Bakrah tidak masbuq yang ketinggalan satu rakaat.

Syaikh Ibnu Al-Utsaimin rahimahullah berkata,

فالشاهد قوله: “لا تعد” ولم يأمره النبي صلى الله عليه وسلم أن يقضي الركعة التي أسرع إليها ليدرك ركوعها، ولو كان لم يدركها لبين له النبي صلى الله عليه وسلم ذلك، لأن النبي صلى الله عليه وسلم لا يؤخر البيان عن وقت الحاجة. وهذا القول هو مقتضى هذا الحديث من حيث الدلالة، كما أنه مقتضى النظر

“Inti pendalilannya adalah sabda Baginda: “Jangan kamu ulangi”, dan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tidak memerintahkannya untuk mengqadha’ rakaat yang dia segera masuk kepadanya agar dia mendapat rukuknya, dan jika dia tidak mendapatnya (rukuknya), pasti Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan hal itu kerana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tidak mengakhirkan penjelasan dari waktu (penjelasan itu) diperlukan. (Majmu’ Fatawa wa Rasail Ibnu Utsaimin) )

Jelas bahawa Rasulullah tidak menegur kesalahannya rukuk sebelum saf, jadi ulama mengatakan ianya adalah iqrar (pengakuan) Rasulullah terhadap perbuatan Abu Bakrah tadi, menunjukkan itu adalah sunnah.

Kembali kepada persoalan, jelas dalam keadaan seperti itu di mana Imam sedang rukuk kewajipan Al-Fatihah gugur, kita disuruh masuk ke dalam saf dan kita terus rukuk. Ini menunjukkan hadis pertama (yang mengatakan tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca Al-Fatihah) ada pengecualian. Maka  berdasarkan kaedah tadi, mana-mana hadis am yang ada pengecualian, keumumannya menjadi lemah. Manakala ayat ini “apabila dibacakan Al-Quran hendaklah kamu dengar dan diam” juga lafaz am dan tidak ada pengecualian padanya, maka keumuman ayat ini lebih kuat berbanding hadis pertama tadi.

Dengan itu, ulama membuat kesimpulan bahawa di dalam solat apabila Imam sedang membaca Al-Quran secara keras dalam solat jahriyyah, makmum di belakang hendaklah dengar dan diam. Tidak diharuskan membaca Al-Fatihah kerana Al-Fatihah makmum tergugur.

Mazhab Syafi’i membawa solusi; tidak boleh baca Al-Fatihah ketika Imam sedang membaca, tetapi Al-Fatihah itu tetap perlu dibaca iaitu selepas Imam habis membaca. Selepas Imam selesai membaca Al-Fatihah, ketika itulah giliran makmum untuk membaca Al-Fatihah. Sedangkan adakah begitu yang dilakukan dan disuruh oleh Rasulullah ataupun yang dilakukan oleh para sahabat, di mana Imam apabila habis membaca Al-Fatihah perlu berhenti sekejap untuk memberi ruang kepada makmum membaca Al-Fatihah?

Hakikatnya ini semua tidak ada sandarannya. Tidak ada nas. Rasulullah tidak suruh buat, dan para sahabat tidak pernah buat, malah ini adalah suatu yang diada-adakan. Sedangkan kalau kita berpegang kepada ayat ini, permasalahannya telah pun selesai; kalau Imam membaca kuat, kita jangan baca. Kalau Imam baca perlahan (sirr) makmum wajib membaca Al-Fatihah. Malah hal ini (dalam mengatakan kewajipan membaca Al-Fatihah atas makmum gugur apabila Imam membaca secara jahr) bukan berpandu kepada ayat ini sahaja, hakikatnya ada hadis-hadis lain lagi yang menjelaskannya. Antaranya adalah hadis daripada Abu Musa Al-Asy’ari bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

إنَّما جُعِلَ الإمامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ: فَإِذا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا وَإذا قَرَأَ فَأَنْصِتًوا

“Sesungguhnya dijadikan Imam itu untuk diikuti: Maka apabila dia bertakbir maka bertakbirlah kalian, dan apabila dia membaca maka hendaklah kalian diam.” (Riwayat Muslim)

Dan terdapat hadis-hadis yang lain lagi yang dijelaskan oleh Syaikh Muhammad bin Nasiruddin Al-Albani dalam kitab agungnya iaitu Sifat Solat Nabi di mana beliau rahimahullah telah menjelaskan tentang masalah ini (gugur kewajipan Al-Fatihah bagi makmum di belakang Imam yang membaca secara keras).

KESIMPULAN

Kembali kepada topik perbincangan, dapat dibuat kesimpulan bahawa;

  1. Hukum Tahiyyatul Masjid adalah wajib walaupun pada waktu-waktu makruh.
  2. Tahiyyatul Masjid tetap wajib walaupun apabila kita masuk ke masjid pada hari Jumaat dan Imam sedang berkhutbah.

TAHIYATUL MASJID KETIKA KHUTBAH JUMAAT

Hal ini berlaku kepada sahabat seperti mana disebut dalam hadis dari Jabir bin Abdullah radhiyallahu ‘anhu dia berkata:

جَاءَ سُلَيْكٌ الْغَطَفَانِيُّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَاعِدٌ عَلَى الْمِنْبَرِ فَقَعَدَ سُلَيْكٌ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرَكَعْتَ رَكْعَتَيْنِ قَالَ لَا قَالَ قُمْ فَارْكَعْهُمَا

“Sulaik Al-Ghathafani datang pada hari Jumaat dan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di atas mimbar, maka Sulaik duduk sebelum dia solat. Maka Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berkata kepadanya,”Sudahkan engkau solat dua rakaat?” Dia menjawab, “Belum.” Baginda bersabda, “Bangun dan solatlah dua rakaat.” (Riwayat Muslim)

Manakala dalam riwayat lain, Jabir meriwayatkan,

جَاءَ رَجُلٌ وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ النَّاسَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فَقَالَ أَصَلَّيْتَ يَا فُلَانُ قَالَ لَا قَالَ قُمْ فَارْكَعْ رَكْعَتَيْنِ

“Datang seorang lelaki dan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sedang berkhutbah kepada manusia pada hari Jumaat, maka Nabi bersabda, “Adakah engkau telah solat?” Dia menjawab, “Belum.” Nabi bersabda, “Bangun dan solatlah dua rakaat!” (Riwayat Al-Bukhari)

Ulama mengatakan ini semua menunjukkan kewajipan solat tahiyatul masjid, kerana ketika khatib sedang berkhutbah pun Nabi menyuruh untuk melakukan solat Tahiyyatul Masjid (sedangkan mendengar khutbah hukumnya wajib). Berbeza dengan pendapat jumhur ulama yang mengatakan hukumnya sunat muakkad, tetapi Islam bukan agama demokrasi yang mengikut majoriti, sebaliknya dalam Islam, pendapat yang benar adalah yang menepati dalil walaupun seorang atau dua orang sahaja.

TAHIYYAT MASJID KETIKA KELAS PENGAJIAN TELAH BERMULA

Dalam keadaan lain misalnya kita masuk ke masjid dan kelas pengajian telah bermula. Hal ini pernah berlaku kepada sahabat. Seorang sahabat masuk ke masjid Rasulullah sedang Rasulullah sedang duduk bersama dengan sahabat yang lain. Lalu dia terus duduk. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menyuruhnya bangun dan solat dua rakaat.

Dapat disimpulkan bahawa walaupun kita terlupa, walaupun kita telah duduk, tidak ada masalah untuk kita bangun semula untuk solat dua rakaat. Bahkan itu yang wajib dilakukan, walaupun kelas telah bermula ataupun apa-apa juga sebab. Kerana kalau dalam khutbah Jumaat yang wajib dengar pun Rasulullah suruh bangun, apatah lagi kalau dalam kelas-kelas yang tidak wajib.

Dalam situasi ini, para ulama mengatakan bahawa dia kena bangun kerana kewajipan itu tidak tergugur. Secara tunainya solat itu dilakukan sebelum duduk, tetapi jika telah duduk dan bangun semula untuk solat, itu dikira qadha.

MASUK MASJID KETIKA SOLAT FARDU DIDIRIKAN

Seperti mana yang dinyatakan oleh Imam Al-Nawawi dalam tajuk bab ini, tahiyyat masjid yang diwajibkan adalah tidak kira dalam apa jua bentuk solat dua rakaat sebelum duduk, sama ada dalam bentuk solat sunat mutlak, itu sudah dikira sebagai tahiyat masjid. Sekiranya kita masuk masjid dan melakukan solat wuduk dua rakaat, atau dua rakaat solat rawatib, kewajipan tahiyyat masjid telah tergugur dengan apa juga solat dua rakaat yang dilakukan. Jadi tahiyyat masjid boleh dilakukan dalam apa juga bentuk solat sama ada solat sunat mutlak, sunat wuduk, sunat rawatib, ataupun solat fardhu sendiri.

Maka apabila kita masuk masjid dan solat fardhu telah bermula, kita terus solat fardhu dan itulah tahiyyat masjid kita.

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

(Disalin dari rakaman audio kuliah Riyadus Salihin, Kitab Fadilat, 11.03.2011, Kajang)