AMAL SOLEH TIDAK TERHENTI SETELAH RAMADAN

Ustaz Idris bin Sulaiman 

Masa pantas berlalu, Ramadan yang penuh keberkatan akhirnya meninggalkan kita. Segala puji bagi ALLAH yang telah memberi kesempatan kepada kita untuk melalui bulan penuh berkat dan membuka peluang seluas-luasnya untuk kita meraih ampunan ALLAH dengan amalan soleh yang dikerjakan. Semoga kita dijauhkan dari tergolong di kalangan orang yang celaka setelah melalui Ramadan seperti sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, “Celakalah seorang hamba yang mendapati bulan Ramadan kemudian Ramadan berlalu dalam keadaan dosa-dosanya belum diampuni.” (Riwayat Al-Bukhari)

Maka dituntut ke atas kita untuk bersungguh-sungguh berdoa kepada ALLAH agar menerima amal soleh yang telah dikerjakan dan memberikan pengampunan kepada kita. Ini adalah amalan para Salaf, di mana Imam Mu’alla bin al-Fadhl berkata: “Mereka (para salaf) berdoa kepada Allah selama enam bulan agar ditemukan dengan bulan Ramadan, kemudian mereka berdoa selama enam bulan selanjutnya agar amalan mereka pada bulan Ramadan diterima.” (Latha-if Al-Ma’aarif)

AMAL YANG DICINTAI ADALAH YANG BERTERUSAN

1001896_408450569276266_454866703_nSepanjang Ramadan, dapat kita saksikan bagaimana umat Islam yang melalaikan solat di masjid berpusu-pusu mendatangi masjid untuk mengerjakan kewajipan solat fardu berjemaah. Orang yang jarang solat malam telah bersemangat mengerjakan solat malam (tarawih) pada setiap malam, orang yang sekali sekala membaca Al-Quran alhamdulillah telah berjaya mengkhatamkannya pada bulan yang penuh rahmat ini. Inilah keistimewaan Ramadan di mana pintu-pintu Syurga dibuka dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai Syaitan sehingga dimudahkan manusia kembali mentaati ALLAH.

Apa yang pasti, amalan-amalan ini tidak seharusnya berhenti dengan berakhirnya Ramadan. Ini kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”(Riwayat Muslim)

Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali rahimahullah ketika menjelaskan hadis ini berkata, “Amalan yang dilakukan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam adalah amalan yang dilakukan terus menerus. Baginda turut melarang memutuskan amalan dan meninggalkannya sebagaimana Baginda pernah melarang Abdullah bin Omar.” (Fathulbaari, Ibnu Rajab) iaitu Ibnu Omar dicela kerana meninggalkan amalan solat malam.

Beliau rh. juga mengatakan, “Jika syaitan melihatmu berterusan dalam melakukan amal ketaatan, dia akan menjauhimu. Namun jika syaitan melihatmu beramal kemudian kamu meninggalkannya setelah itu, atau melakukannya sesekali sahaja, maka syaitan akan semakin tamak untuk menggodamu.” (Tajrid al-Ittiba’ fi Bayan Asbab Tafadhul al-A’mal, Dr. Ibrahim b. Amir Al-Ruhaili)

Amal soleh seorang Muslim yang benar keimanannya kepada ALLAH hanya akan berakhir ketika ajalnya datang menjemput. Ini sebagaimana firman ALLAH Subhanahu wa Ta’ala, “Dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu al-yaqin (ajal).” (Surah Al-Hijr: 99)

Ibnu Abbas, Mujahid dan jumhur ulama mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan “al-yaqin” dalam ayat ini adalah kematian, kerana kematian adalahsuatu yang diyakini pasti terjadi.

Ibnu Katsir rh. pula mengatakan, “Ayat ini menunjukkan bahawa ibadah seperti solat dan seumpamanya wajib dilakukan selamanya, selama mana akalnya masih ada. Dia melakukannya sesuai dengan keadaan yang dia mampu.” (Tafsir Ibnu Katsir)

Pernah ditanya kepada Imam Bisyr bin al-Haris tentang orang yang (hanya) rajin dan bersungguh-sungguh beribadah di bulan Ramadan, beliau menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang sangat buruk, mereka tidak mengenal Allah kecuali pada bulan Ramadan, (orang) yang soleh adalah orang yang rajin dan bersungguh-sungguh beribadah dalam setahun penuh.” (Latha-if Al-Ma’aarif)

Ka’ab bin Malik ra. juga berkata, “Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadan kemudian terdetik dalam hatinya bahawa setelah berlalu Ramadhan akan berbuat maksiat pada Tuhannya, maka sesungguhnya puasanya itu tertolak (tidak bernilai).” (Latha-if Al-Ma’arif)

AMALAN SUNNAH MENYEMPURNAKAN YANG WAJIB

Setelah mengetahui besarnya tuntutan untuk terus mengerjakan amal soleh setelah Ramadan, maka di samping kita terus istiqamah dalam amalan wajib seperti solat berjemaah, mengganti puasa yang tinggal, membaca Al-Quran, menyambung silaturrahim, menahan marah, menjaga lisan dari perkataan dusta dan buruk dan bersedekah, sewajarnya ia disusuli dengan amalan-amalan sunat yang akan mendekatkan kita kepada ALLAH sehingga kita menjadi hamba yang dicintai oleh ALLAH. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda dalam hadis Qudsi (Allah berfirman): “Dan sentiasa hambaKu mendekatkan diri kepadaKu dengan amalan-amalan sunnah sehingga Aku mencintainya.” (Riwayat Bukhari)

Amalan sunnah menyempurnakan amalan wajib. Jika ada kekurangan pada amalan wajib, kekurangan itu dapat ditampal oleh amalan sunnah. Ini sebagaimana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, “Sesungguhnya amalan yang pertama dihisab pada Hari Kiamat adalah solat. Allah Subhanahu wa Ta’ala berkata kepada malaikatNya dan Dia Maha Mengetahui, “Lihatlah solat hambaKu, adakah solatnya sempurna atau tidak? Jika solatnya sempurna maka dicatat baginya pahala yang sempurna. Jika solatnya ada kekurangan, Allah berfirman: Lihatlah adakah hambaKu memiliki amalan sunat. Jika hambaKu memiliki amalan sunat, Allah berfirman: “Sempurnakanlah kekurangan pada amalan wajib dengan amalan sunatnya.” Kemudian amalan lain juga dilakukan seperti ini.” (Sahih. Riwayat Abu Daud)

Oleh kerana itu juga Allah SWT mensyariatkan puasa enam hari di bulan Syawal, di mana keutamaannya sangat besar iaitu di samping menyempurnakan kekurangan pada puasa wajib, pahalanya pula menyamai puasa setahun penuh. Sabda Rasululah sallallahu ‘alaihi wasallam, “Barangsiapa berpuasa Ramadan kemudian berpuasa enam hari pada bulan Syawal, maka dia berpuasa seperti setahun penuh.” (Riwayat Muslim)

Hendaklah kita bersungguh-sungguh menyempurnakan puasa yang wajib terlebih dahulu dan kemudian menyusulinya dengan enam hari berpuasa sunnah di bulan Syawal, mudah-mudahan kita beroleh ganjaran pahala yang dijanjikan iaitu seperti berpuasa setahun penuh.

Begitu juga solat malam. Solat Tarawih adalah istilah yang dimaksudkan untuk solat malam di bulan Ramadan secara khususnya. Jika ketika Ramadan kita telah biasa mengerjakannya, hendaklah ia diteruskan kerana solat malam bukanlah ibadah bermusim, dan ibadah yang baik adalah yang berterusan.

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam mencela orang yang selalu mengerjakan solat malam namun kemudian dia tinggalkan. Dari Abdullah bin Amr bin Al-‘As radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berkata padaku: “Wahai Abdullah, janganlah engkau jadi seperti si fulan. Dulu dia biasa mengerjakan solat malam, namun sekarang dia tidak mengerjakannya lagi.” (Riwayat Bukhari)

TANDA DITERIMA AMAL SOLEH SEPANJANG RAMADAN

Meneruskan amal soleh setelah Ramadan adalah petanda bahawa amalan yang dikerjakan sepanjang Ramadan itu diterima. Amalan soleh jangan ditunda kerana waktu inilah kesempatan yang ALLAH berikan kepada kita untuk beramal sebelum ajal datang tanpa disangka-sangka. Sikap menunda-nunda adalah dari Syaitan yang membisikkan supaya kita akhirnya tidak sempat melaksanakan kebaikan. Diceritakan dalam Al-Quran bagaimana manusia apabila sampai ajalnya dia merayu pada Tuhannya, “Ya Rabb, kembalikanlah aku ke dunia agar aku mengerjakan amal soleh yang aku tinggalkan.” (Allah berfirman) Sekali-kali tidak! Sesungguhnya itu sekadar ucapan sahaja.” (Al-Mukminun: 99-100)

Ingatlah juga sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bahawa dua nikmat yang sering dilalaikan oleh manusia adalah nikmat masa sihat dan masa lapang, agar ia sentiasa menjadi motivasi dan peringatan kepada kita untuk tetap rajin dan sabar dalam melaksanakan kebaikan yang hasilnya akan dituai setelah kematian.

Daripada Ibnu Rajab rh. beliau menukilkan, “Antara tanda diterima amalan seseorang adalah dimudahkan untuknya melakukan amal ketaatan yang lain. Dan antara tanda tertolaknya amalan adalah melakukan kemaksiatan setelah melakukan ketaatan. Jika seseorang melakukan ketaatan setelah sebelumnya dia melakukan kejelekan, kebaikan itu menghapuskan kejelekan tersebut. Yang baik adalah dia melakukan ketaatan lagi setelah melakukan ketaatan sebelumnya. Sedangkan yang paling buruk adalah dia melakukan kejelekan setelah melakukan ketaatan. Ingatlah bahawa satu dosa yang dilakukan setelah bertaubat lebih jelek dari 70 dosa yang dilakukan sebelum bertaubat. Mintalah daripada Allah agar diteguhkan dalam ketaatan hingga kematian menjemput. Dan mintalah perlindungan dengan Allah dari hati yang terumbang-ambing.” (Latha-if Al-Ma’aarif)

Badan Pembesar Ulama dan Jawatankuasa Tetap Kajian Ilmiah dan Fatwa, Arab Saudi mengatakan, “Adapun orang yang berpuasa Ramadan dan solat hanya di bulan Ramadan, maka orang seperti ini telah melecehkan agama Allah. (Salaf mengatakan) “Sejelek-jelek kaum adalah yang mengenal Allah hanya di bulan Ramadan sahaja.” Oleh itu, tidak sah puasa seseorang yang tidak melaksanakan solat di luar bulan Ramadan.” (Soalan ke-3, Fatwa no. 102, 10/139-141)

Maka bersegeralah kepada keampunan dan Syurga ALLAH yang luasnya seluas langit dan bumi. Hendaklah kita sentiasa bermuhasabah menilai diri sendiri, adakah kita termasuk orang yang beruntung dan diterima amal kebaikannya. Ini kerana sekiranya ALLAH menghendaki kebaikan bagi hambaNya, ALLAH akan menjadikannya mengerjakan amalan soleh. Semoga ALLAH menjauhkan kita dari termasuk di kalangan orang-orang yang rugi.

Penulis adalah Penyelidik di Kedutaan Arab Saudi, Ahli Syura Pertubuhan Ilmuwan Malaysia

Artikel ini disiarkan di akhbar pada Sabtu, 10 Ogos 2013

DSC_0177