MEMILIH KUBUR UNTUK DIZIARAHI, IBADAH DI KUBUR

Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman

(Disalin dari rakaman sesi soal jawab kuliah Umdatul Ahkam, hadis ke-17, 05.03.2013)

Sambungan tulisan sebelum ini: MENANAM PELEPAH KURMA ATAU POKOK DI ATAS KUBUR

binaan kubur2

Dari segi ibadah, kita disyariatkan menziarahi kubur bertujuan untuk mengingat Akhirat, dan ini adalah secara umum tidak kira kubur sesiapa pun. Kita tidak disyariatkan untuk menziarah kubur saudara mara (kaum kerabat) kita sahaja. Apa jadi dengan saudara-saudara (seIslam) kita yang lain? Sedangkan kita dituntut untuk berlaku adil.

Tuntutan menziarah kubur adalah umum kepada semua perkuburan orang Islam, maka tidak boleh kita mengkhaskan perkuburan tertentu daripada kubur-kubur yang lain. Dikhuatiri tanpa sedar ia boleh membawa kepada niat yang lain.

Apabila dikhaskan kubur tertentu untuk diziarahi, akhirnya akan membawa kepada mengkeramatkan kubur, menganggap bahawa kubur itu ada kelebihan-kelebihan tertentu, walaupun ia tergolong daripada kubur kaum kerabat kita atau kedua ibu bapa kita.

Ini kerana realitinya di kalangan umat Islam memang itu yang berlaku. Mereka mendatangi kubur tertentu yang barangkali adalah kubur kaum keluarga mereka dan akhirnya mereka meminta hajat di situ, dan sehingga ada yang memanggil-manggil penghuni kubur itu yang barangkali kedua orang tuanya, meminta tolong daripada penghuni kubur itu terhadap musibah yang menimpanya. Dia bertawassul dengan orang mati, sedangkan ini bukan tawassul yang disyariatkan, sebaliknya ini adalah perbuatan Syirik dengan ertikata yang sebenarnya.

Dari segi ibadah, tujuan menziarah kubur adalah untuk mengingatkan kita kepada mati, bukan tujuan lain. Tidak ada ibadah-ibadah lain yang disyariatkan apabila kita menziarah kubur selain daripada berdoa.

Berdoa adalah satu-satunya ibadah yang disyariatkan, itu pun doa untuk maslahat penghuni kubur itu dan maslahat secara umumnya. Tidak boleh sama sekali kita jadikan kubur itu tempat berdoa untuk maslahat-maslahat peribadi misalnya kita datang ke kubur dan berdoa “Ya ALLAH, mudahkan urusan rezeki aku. Ya Allah, mudahkan urusan dunia aku.” Iaitu dijadikan kubur sebagai tempat untuk berdoa, ini juga tidak boleh.

Maka hanya disyariatkan kita menziarahi kubur adalah untuk mengingatkan kita kepada Akhirat, dan dibolehkan berdoa untuk penghuni kubur itu secara khasnya dan kita secara umumnya misalnya supaya jangan kita ditimpa musibah sesudah pemergiannya, seperti mana yang diajar dalam doa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.

Adapun ibadah-ibadah lain seperti solat, iktikaf, membaca Al-Quran, berzikir, sama sekali tidak boleh menjadikan kubur itu sebagai tempat untuk melakukannya. Kerana jika tidak, kita akan tergolong di dalam golongan penyembah-penyembah kubur tanpa kita sedar, kerana kita menjadikan kubur itu sebagai tempat ibadah sedangkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam melarang sama sekali kita menjadikan perkuburan sebagai tempat ibadah.

Itu dari segi tujuan Akhirat, iaitu untuk mengingatkan kepada Hari Akhirat. Adapun dari segi urusan dunia di mana ia bukan untuk tujuan ibadah secara mahdhah (total), tujuan dunia adalah tujuan untuk kita membersihkan kubur-kubur itu daripada kekotoran atau sampah sarap, tanaman liar dan sebagainya. Dari segi dunia, kita dituntut supaya membersihkannya.

Ini di antara perbuatan kita berlaku baik kepada penghuni kubur itu tanpa mengira siapa penghuninya, kerana yang penting dia adalah saudara Islam kita maka kita wajar berlaku baik kepadanya dengan membersihkan kuburnya kerana dia masih ada kehormatan.

Cuma urufnya masyarakat melihat masing-masing menjaga kubur kaum keluarga masing-masing. Dari sudut dunia tidak ada masalah kerana ia lebih kepada membahagi tugas, walaupun secara prinsipnya adalah sewajarnya kita menjaga kubur itu secara umumnya. Tetapi ini mungkin dari sudut bantu membantu, iaitu dengan menjaga kubur kaum keluarga masing-masing, dari segi dunia tidak ada masalah. Wallahu A’lam.

(Disalin dari rakaman sesi soal jawab kuliah Umdatul Ahkam, hadis ke-17, 05.03.2013)

Sambungan tulisan sebelum ini: MENANAM PELEPAH KURMA ATAU POKOK DI ATAS KUBUR