MENANAM PELEPAH KURMA ATAU POKOK DI ATAS KUBUR

Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman

(Disalin dari rakaman kuliah Umdatul Ahkam, hadis ke-17, 05.03.2013)

Hadis ke-17, Kitab Umdatul Ahkam:

عَنْ عبد الله بنِ عَبَّاسٍ قَالَ مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقَبْرَيْنِ فَقَالَ إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لَا يَسْتَتِرُ مِنْ الْبَوْلِ وَأَمَّا الْآخَرُ فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ فأَخَذَ جَرِيدَةً رَطْبَةً فَشَقَّهَا نِصْفَيْنِ فَغَرَزَ فِي كُلِّ قَبْرٍ وَاحِدَةً فقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَ فَعَلْتَ هَذَا قَالَ لَعَلَّهُ يُخَفِّفُ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا

Daripada Abdullah bin Abbas radhiyallahu ‘anhuma dia berkata, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam melewati dua kubur. Baginda lantas bersabda, “Sungguh keduanya sedang disiksa, dan tidaklah keduanya disiksa kerana perkara besar. Salah seorang dari keduanya tidak bertabir dari kencing. Sedangkan yang satunya lagi, berjalan sambil namimah (suka mengadu domba).” Baginda lantas mengambil pelepah kurma yang basah dan membelahnya menjadi dua bahagian, lalu Baginda menancapkan di masing-masing kubur tersebut satu belahan. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah. Mengapa anda melakukan hal ini?” Baginda menjawab, “Semoga ia dapat meringankan siksaannya, selama keduanya belum kering.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Terdapat tambahan dalam riwayat lain;

وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيْرٍ، وَإِنَّهُ لَكَبِيرٌ

“Tidaklah keduanya disiksa kerana suatu yang besar. Tetapi sesungguhnya ia adalah besar.” (Riwayat Bukhari)

bungaAda sedikit perbezaan antara dua lafaz ini dari segi maknanya. Dalam lafaz pertama di mana Baginda mengatakan “tidaklah ia disiksa kerana suatu yang besar”, besar di sini maksudnya suatu yang susah. Tidaklah keduanya disiksa kerana suatu yang susah hendak ditinggalkan. Adapun dalam riwayat kedua di mana Baginda menambah: “sesungguhnya ia adalah besar”, besar di sini adalah dari segi dosanya. Ia bukanlah sesuatu yang susah tetapi ia adalah suatu yang besar dosanya.

TIDAK BERTABIR DARI KENCING DAN NAMIMAH PENYEBAB AZAB KUBUR

Lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengatakan bahawa dia tidak bertabir daripada kencingnya, dalam ertikata kencing itu kena padanya. Ia merangkumi dua perkara; dia tidak berlindung menyebabkan air kencingnya terpercik, atau dia tidak menjaga saki baki kencingnya (tidak kencing secara lawas).

Adapun seorang lagi adalah orang yang berjalan sambil melakukan namimah (suka mengadu domba).  Dia mengapi-apikan antara dua orang supaya bertelagah. Dia pergi kepada orang yang pertama dan menukilkan dari orang yang kedua sesuatu yang memburuk-burukkan orang pertama. Lalu dia pergi kepada orang yang kedua dan menukilkan dari orang pertama sesuatu yang memburuk-burukkan orang yang kedua dan mengakibatkan kedua-dua orang ini bertelagah. Mereka bertelagah kerana orang di tengah-tengah ini yang bergerak dan menukilkan kata-kata kedua-dua orang ini.

Maka jelas orang yang mengadu domba ini menyebabkan pertelagahan, kebencian, dan permusuhan di kalangan sesama Umat Islam, apatah lagi kalau di antara dua orang yang bersaudara, bersahabat dan mengakibatkan permusuhan di antara dua orang yang asalnya berkawan. Kerana perbuatannya, dia mengakibatkan perpecahan berlaku dan akhirnya memutuskan tali persaudaraan di antara kedua orang itu. Kesan perbuatannya itu jelas menyebabkan sesuatu yang lebih besar. Sedangkan Islam datang antara tujuannya adalah untuk mengeratkan tali persaudaraan bukan sahaja sesama keluarga, rakan-rakan, bahkan di kalangan umat Islam secara keseluruhannya, merapatkan ukhuwah, mengeratkan kasih sayang dan menjauhkan segala permusuhan, perbalahan dan perpecahan di kalangan Umat Islam. Ini di antara ciri utama yang ditekankan oleh Syarak di dalam muamalah sesama umat Islam.

Lalu Ibnu Abbas mengatakan bahawa Nabi lantas mengambil pelepah kurma yang basah, maknanya yang baru dicabut dari pokok, membelahnya menjadi dua bahagian secara memanjang, bukan secara melintang. Ini supaya masing-masing mendapat bahagian yang sama. Lalu Rasulullah menancapkan iaitu memacakkannya ke atas kedua-dua kubur tadi. Apabila ditanya, Baginda mengatakan bahawa semoga ini bisa meringankan siksaan yang menimpa kedua orang ini selama belahan kedua pelepah ini belum kering.

Ini adalah sifat Rasulullah, di mana Rasulullah adalah seorang yang mengasihani umat Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam. Ini menyebabkan Baginda melakukan apa yang Baginda lakukan, iaitu kerana kesian dengan kedua penghuni kubur yang sedang disiksa di dalam kubur mereka.

FAEDAH HADIS

Dari hadis ini dapat kita mengambil beberapa faedah;

Pertama adalah penetapan azab kubur. Ini menjadi akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, berbeza dengan sebahagian kumpulan-kumpulan yang menyimpang yang menafikan adanya siksaan azab kubur atas alasan-alasan yang sama sekali tidak boleh diterima kerana bercanggah dengan nas-nas yang cukup banyak di dalam Al-Quran dan juga hadis yang menetapkan adanya azab kubur. Hadis di hadapan kita ini adalah di antaranya.

Kedua, tidak melindungi diri dari terkena percikan atau saki baki air kencing adalah di antara sebab yang akan mengakibatkan seseorang itu terkena azab kubur. Perbuatan itu mungkin dianggap remeh, seperti mana sabda Baginda, bukan suatu yang besar. Bukan suatu yang rumit. Perbuatan itu suatu yang mudah, tetapi kerana orang melihatnya mudah, orang mengambil sikap sambil lewa, meremehkan perbuatan mudah ini mengakibatkan mereka ditimpa azab yang besar. Bahkan di dalam hadis sahih riwayat Imam Daraquthni, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

تَنَزَّهُوْا مِنَ الْبَوْلِ، فَإِنَّ عَامَّةَ عَذَابِ الْقَبْرِ مِنْهُ

“Berlindunglah kalian dari air kencing kerana kebanyakan azab kubur adalah daripadanya.” (Riwayat Daraquthni dalam Sunannya, dinilai sahih oleh Imam Al-Albani dalam Al-Irwa)

Ini menunjukkan bahawa perbuatan melindungi diri dari air kencing adalah sangat penting kerana kebanyakan siksaan kubur adalah kerana tidak menjaga diri daripada air kencing.

Ketiga, larangan mengadu domba atau mengapi-apikan, dan menyebabkan pertelingkahan antara dua pihak. Mengadu domba juga merupakan sebab terkena azab kubur. Hal ini banyak berlaku di kalangan ahli-ahli politik, di dalam apa juga institusi-institusi, di tempat kerja, atau mana-mana organisasi. Khususnya apabila adanya kepentingan untuk mendapatkan jawatan dan sebagainya. Untuk dia menjatuhkan orang lain adalah dengan mengadu domba dan memburuk-burukkan orang lain. Balasannya adalah diazab di dalam kubur.

Keempat, betapa kasihnya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam terhadap sahabat-sahabatnya dan betapa prihatinnya Baginda untuk menjaga dan melindungi mereka daripada sebarang kemudaratan dan kesusahan.

Kelima, anjuran untuk menutup aib seseorang. Kalau kita perhatikan dalam hadis ini, Rasulullah mahupun Ibnu Abbas tidak menamakan nama penghuni kubur itu, antaranya adalah kerana tuntutan Syarak itu sendiri menyuruh supaya kita menutup aib orang selagi tidak ada keperluan. Seperti mana hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,

المُسْلِمُ أخُو المُسْلِمِ ، لاَ يَظْلِمُهُ ، وَلاَ يُسْلِمُهُ . مَنْ كَانَ في حَاجَة أخِيه ، كَانَ اللهُ في حَاجَتِهِ، وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً، فَرَّجَ اللهُ عَنْهُ بِهَا كُرْبَةً مِنْ كرَبِ يَومِ القِيَامَةِ ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِماً سَتَرَهُ اللهُ يَومَ القِيَامَةِ

“Seorang Muslim adalah saudara Muslim yang lain, dia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya (kepada musuh), barangsiapa yang memenuhi keperluan saudaranya (Muslim) nescaya Allah akan memenuhi keperluannya, barangsiapa yang menghilangkan kesusahan seorang Muslim nescaya Allah akan menghilangkan kesusahan-kesusahannya pada Hari Kiamat, dan barangsiapa menutupi aib seorang Muslim nescaya Allah akan menutupi aibnya pada Hari Kiamat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

PELEPAH KURMA TIDAK MENGURANGI AZAB KUBUR

Dalam hadis ini hakikatnya ada satu perbincangan yang cukup besar dan cukup penting dan cukup sensitif, kerana berlaku salah faham tentang hadis ini di kalangan ramai umat Islam sehingga mengakibatkan mereka menyimpang dari sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Dari hadis ini, ada perbincangan di kalangan para Ulama tentang anjuran menancapkan pelepah kurma di atas perkuburan. Apakah ia suatu yang dianjurkan atau tidak. Di sana ada dua pendapat;

Pertama, pendapat yang menganjurkan kita menancapkan pelepah kurma di atas kubur orang Islam. Antara yang berpendapat dengan pendapat ini adalah Imam Al-Sayuti rahimahullah. Beliau melihat bahawa di antara sunnah kita dengan kubur adalah menancapkan pelepah kurma. Mereka menjadikan perbuatan Rasulullah dalam hadis ini sebagai dalil dan mereka melihat bahawa perbuatan Rasulullah ini adalah suatu yang dilihat secara umum, sebagai satu pensyariatan am yang wajar diikuti oleh umat Islam secara umumnya.

Illah mengapa mereka berkata begitu adalah kerana mereka beranggapan bahawa Rasulullah menancapkan pelepah kurma di atas kubur itu kerana pelepah kurma di atas kubur itu bertasbih selama mana ia basah. Maka penghuni kubur itu akan mendapat faedah dari tasbih pelepah kurma itu mengakibatkan urusan mereka di kubur diringankan, azab mereka dikurangkan, dan keadaan di kubur dimudahkan hasil dari tasbih pelepah kurma itu.

Pendapat kedua, sebahagian para ulama melihat bahawa tidak disyariatkan untuk kita menancapkan pelepah kurma yang basah di atas perkuburan. Ini kerana perbuatan sebegini membabitkan urusan ibadah dan urusan ibadah perlu kepada dalil. Tidak ada petunjuk atau dalil daripada Al-Quran mahupun Sunnah yang menunjukkan perbuatan sebegini. Adapun hadis di hadapan kita ini menurut pendapat kedua, mereka melihat bahawa perbuatan Rasulullah ini adalah perbuatan yang khas dalam peristiwa yang khas yang tidak boleh diambil daripadanya hukum yang am. Ini berdasarkan hakikat bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tidak melakukan pada kubur-kubur sahabat Baginda yang lain.

Pendapat kedua adalah lebih rajih (kuat), bahawasanya perbuatan Rasulullah dalam hadis Ibnu Abbas ini adalah perbuatan yang khas bagi Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam dan orang lain tidak boleh ikut melakukannya. Dikurangkan azab kedua penghuni kubur itu adalah hasil dari doa dan syafaat Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam supaya azab kedua penghuni kubur itu dikurangkan, seperti mana yang disabdakan oleh Baginda, “semoga ini boleh meringankan azab yang menimpa kedua orang ini selama kedua belahan pelepah kurma itu belum kering”.

Ini yang ramai salah faham. Bahkan, hasil dari salah faham terhadap hadis ini, akhirnya bukan sahaja pelepah kurma yang digunakan, bahkan bermacam-macam pokok dan tumbuh-tumbuhan, bunga-bunga ditanam atas perkuburan. Perbuatan berlebih-lebihan itu melebihi apa yang dilakukan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.

Bahkan kalau kita perhatikan, ramai di kalangan Umat Islam sudah menyamai orang-orang Nasara (Kristian) di mana orang-orang Kristian apabila berlakunya kematian, di antara adat mereka adalah memberi bunga-bunga dan meletakkannya di atas perkuburan. Barangkali tujuan mereka sedikit berbeza iaitu untuk menyatakan rasa hormat kepada si mati ataupun untuk mengambil hati kaum keluarga si mati. Namun hal ini seakan-akan menjadi satu adat yang dianggap rasmi apabila berlakunya kematian di kalangan orang-orang besar, di mana orang-orang Islam turut serta memberi bunga-bunga sama ada dengan meletakkan di atas kubur si mati ataupun memberikannya kepada kaum keluarga si mati.

Jelas perbuatan ini semua bertentangan dengan Syarak, bukan sahaja dari sudut mereka mengqiyaskan dengan hadis ini di mana ia sudah melebihi dan melampaui petunjuk Rasulullah, bahkan sehingga mereka meniru adat orang-orang kafir yang jelas munkar dan bertentangan dengan perintah Al-Quran dan Sunnah.

DALIL BAHAWA AZAB DIRINGANKAN BERKAT SYAFAAT DAN DOA RASULULLAH

pelepah kurma tidak meringan azabMaka di sini kita bawakan dalil-dalil yang menunjukkan bahawa perbuatan Rasulullah meletakkan pelepah kurma di atas dua kubur adalah khas buat Baginda dan azab keduanya diringankan bukan kerana pelepah kurma tetapi berkat doa dan syafaat Baginda;

Pertama adalah adanya riwayat lain daripada hadis Jabir di mana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

إِنِّي مَرَرْتُ بِقَبْرَيْنِ يُعَذَّبَانِ، فَأَحْبَبْتُ بِشَفَاعَتِيْ أَنْ يُرَفَّهَ عَنْهُمَا مَا دَامَ الْغُصْنَانِ رَطْبَيْنِ

 “Sesungguhnya aku telah melewati dua kubur yang sedang disiksa. Maka aku suka agar dengan syafaatku, azab keduanya diringankan selama mana kedua dahan itu masih basah.” (Riwayat Muslim)

Maka jelas bagaimana Rasulullah secara spesifik mengatakan bahawa Baginda suka agar dengan syafaat Baginda, azab keduanya diringankan. Maka azab kubur kedua orang itu dikurangkan dengan syafaat Baginda, bukan kerana pelepah kurma yang ditancapkan. Walaupun ini dalam riwayat yang lain, tetapi hadis saling menjelaskan antara satu sama lain.

Kedua, dikurangkan azab seseorang di dalam kubur kerana pelepah kurma yang ditancap atas kubur tidak sabit secara jelas sama ada dalam Syarak mahupun menurut akal. Ini kerana kalau kita hendak mengatakan bahawa perbuatan menancapkan pelepah kurma di atas kubur akan meringankan azab penghuninya, pastinya orang kafirlah yang paling layak dikurangkan azab kubur mereka mengenangkan pokok-pokok yang cukup besar ditanam di atas perkuburan mereka. Dan tidak ada sesiapa pun yang berkata begitu.

Ketiga, tentang pendalilan yang dinyatakan oleh Imam Al-Sayuti bahawa illah mengapa azab kubur dikurangkan adalah kerana tasbih kedua pelepah kurma itu dan azab mereka dikurangkan selama mana ia tidak kering. Imam Sayuti dan yang sependapat dengan beliau melihat bahawa dikurangkan azab adalah kerana pelepah kurma yang basah itu bertasbih. Apa yang dapat difahami dari apa yang mereka katakan adalah bahawa pelepah kurma itu akan berhenti tasbih apabila kering, dan hal ini tidak ada petunjuk dari Syarak. Bahkan petunjuk Syarak menunjukkan sebaliknya, seperti mana Allah berfirman dalam Surah Al-Israa, ayat ke-44,

وَإِنْ مِّنْ شَيْءٍ إِلاَّ يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَكِنْ لاَّ تَفْقَهُوْنَ تَسْبِيْحَهُمْ

“Dan tidaklah sesuatu pun melainkan ia bertasbih dengan memujiNya, tetapi kamu tidak faham tasbih mereka.” (Surah Al-Israa, 17: 44)

Ayat ini menunjukkan bahawa semua makhluk, basah atau kering, tumbuhan atau bukan tumbuhan bertasbih kepada Allah. شَيْءٍ adalah nakirah; menunjukkan semua, mutlak, merangkumi segala makhluk Allah. Maka tanggapan bahawa pelepah kurma yang basah bertasbih selama ia basah adalah pendapat yang tidak ada dalil yang menyokong. Bahkan kita mengatakan semua bertasbih, termasuk pelepah kurma sama ada ia ditancapkan pada kubur atau di dahannya, sama  ada ketika ia basah atau kering, berdasarkan keumuman ayat tadi.

Keempat, hadis Ibnu Abbas tadi hakikatnya telah menjelaskan bahawa bukan kerana pelepah kurma azab kubur keduanya dikurangkan. Perbuatan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam mengambil pelepah kurma yang basah dan membelahnya menjadi dua bahagian menunjukkan dikurangkan azab itu bukan kerana pelepah kurma. Ini kerana kalau benarlah azab kubur dikurangkan kerana pelepah kurma, perbuatan Rasulullah menyebabkan lebih cepat pelepah kurma itu menjadi kering. Sedangkan kalau Rasulullah hendak mengurangkan azab mereka dengan berkat pelepah kurma itu sendiri, Rasulullah tidak akan membelahkan kepada dua, sebaliknya Rasulullah mengambil dua pelepah. Seperti mana kita sedia maklum, kalau pelepah itu dibelah, ia akan menjadi cepat kering. Maka dari situ sudah ada petunjuk bahawa dikurangkan azab mereka bukan kerana pelepah itu, tetapi kerana syafaat dan doa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.

Jadi persoalan di sini, apa gunanya Rasulullah membelah pelepah itu dan menancapkan? Ianya adalah sebagai petunjuk waktu sahaja, iaitu tempoh masa dikurangkan azab mereka. Dalam ertikata apabila sudah kering, menunjukkan azab mereka kembali seperti sebelumnya. Adapun mengapa azab mereka dikurangkan adalah kerana syafaat dan doa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.

Dalil kelima, kalau benarlah pelepah kurma yang ditancapkan atas kubur boleh meringankan azab kubur, pastinya ia telah difahami oleh para sahabat dan generasi Salafussoleh secara umumnya dan pasti mereka amalkan apa yang mereka fahami. Dan tentu kita dapati mereka berlumba-lumba menacapkan pelepah kurma di atas kubur-kubur saudara seIslam mereka.

Kita juga melihat bahawa Imam Al-Sayuti antara lain apabila berpendapat bahawa pelepah kurma bisa meringankan azab kubur, akhirnya mereka mengqiyaskan bahawa kalau pelepah kurma boleh meringankan azab penghuni kubur, apatah lagi bacaan Al-Quran yang dibacakan kepada penghuni kubur.

Lihat bagaimana mereka qiyas, makin lama makin luas. Bermula dengan pelepah kurma sehingga kepada tanaman-tanaman lain yang kekal, sedangkan pelepah kurma itu sementara sahaja, tetapi orang yang memahami seperti itu telah qiyas kepada tanaman lain dengan ditanam terus secara kekal, daripada pokok kecil kepada pokok besar, daripada pokok biasa kepada pokok yang berbunga-bunga, bahkan mungkin sampai berbuah-buah. Maka seperti yang Imam Al-Sayuti kata, kalau tasbih pelepah kurma bermanfaat untuk si mati, apatah lagi kelebihan membaca Al-Quran, pasti berkatnya lebih berkali-kali ganda kalau dibacakan untuk penghuni kubur itu.

Kita katakan bahawa semua ini salah. Perlu dibuktikan bahawa pelepah kurma itu yang menjadi sebab dikurangkan azab, dan kita telah menjelaskan sebahagian daripadanya bahawa diringankan azab bukan dari pelepah kurma itu. Maka apa yang mereka sandarkan pada pelepah kurma itu akan tergugur dan tertolak secara automatik. Itu implikasi daripada salah faham.

Dalil keenam, siksaan kubur adalah termasuk dalam ilmu ghaib. Kita faham bahawa apabila Rasulullah mengatakannya, ia bukan dari ijtihad Rasulullah sebaliknya tentu sahaja ia datang dari petunjuk wahyu Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ini kerana ilmu ghaib hanya diketahui oleh Allah Subhanahu wa Taala seperti mana dalam Surah Al-Jin, ayat ke-26 dan 27,

عَالِمَ الْغَيْبِ فَلاَ يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا إِلاَّمَنِ ارْتَضَى مِن رَّسُولٍ

“Allah sahaja yang mengetahui yang ghaib dan Dia tidak memberitahu tentang perkara ghaib itu kepada sesiapa pun, kecuali kepada mana-mana Rasul yang diredhaiNya.” (Surah Al-Jin, 72: 26-27)

Ini secara prinsipnya. Adapun orang yang ingin menancapkan pelepah kurma ataupun pokok-pokok atau tumbuhan yang lain, perbuatan mereka menggambarkan seolah-olah mereka mengetahui penghuninya sedang diazab. Kita bertanya kepada mereka, dari mana engkau tahu bahawa penghuni dalam kubur yang engkau tancapkan pokok itu sedang diazab? Jelas bahawa ini adalah sangkaan semata-mata, dan amalan berkaitan agama tidak boleh dilakukan secara sangkaan. Allah berfirman,

وَمَا يَتَّبِعُ أَكْثَرُهُمْ إِلَّا ظَنًّا إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

“Dan tidaklah kebanyakan mereka mengikuti kecuali persangkaan saja. Sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikit pun berguna untuk mencapai kebenaran.” (Surah Yunus: 36)

Ketujuh, kisah ini berlaku lama setelah mereka dikuburkan tetapi Rasulullah lalu di kuburnya dan Rasulullah mengatakan mereka sedang diazab. Diletakkan pelepah kurma itu lama setelah mereka dikuburkan atau sejurus selepas mereka ditanam, kedua-duanya adalah ilmu ghaib. Bahkan tanpa kita sedar, perbuatan meletakkan pelepah kurma ataupun tumbuhan lain sejurus selepas mereka ditanam lebih dahsyat daripada perbuatan pertama iaitu lama selepas mereka ditanam. Kerana mereka baru sahaja ditanam kita sudah tahu apa yang akan berlaku di masa akan datang bahawa mereka akan diazab.

Yang terakhir, perbuatan mereka menancapkan pelepah kurma atau tumbuh-tumbuhan yang lain tanpa sedar menunjukkan mereka sedang berburuk sangka dengan penghuni kubur itu bahawa mereka sedang diazab. Seolah-olah penghuni kubur itu perlu kepada pokok-pokok ini, seolah-olah amalan mereka belum cukup untuk menyelamatkan mereka. Seolah-olah keimanan mereka tidak lengkap, tidak cukup sehingga perlu kepada bantuan-bantuan yang lain.

Maka daripada dalil-dalil ini, sudah jelas bagi kita untuk menolak perbuatan mereka yang menanam pokok-pokok di atas perkuburan. Bahkan hadis ini membincangkan tentang meletakkan pelepah kurma, tetapi kita dapati apa yang diamalkan oleh masyarakat Islam sudah jauh lebih advance. Mana pelepah kurmanya kalau benar mereka ingin mengikut sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam? Mereka tidak mengikut sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam kalau mereka mengatakan bahawa perbuatan itu adalah sunnah.

Perbuatan mereka menanam tumbuh-tumbuhan kekal ini jelas sudah melampau, bukan sahaja fahaman mereka kepada hadis itu salah, bahkan sekiranya ia benar sekalipun, ianya harus dilakukan sejajar perbuatan Rasulullah iaitu dengan meletakkan pelepah kurma.

KUBUR DALAM TAMAN

binaan atas kuburBahkan ada cadangan baru-baru ini supaya ditukar konsep kubur yang terlalu suram itu kepada konsep kubur dalam taman. Ingin dijadikan kubur sebagai taman-taman yang penuh dengan pokok-pokok dan bunga-bunga. Ini semua jelas perbuatan yang sudah melampau dan jauh sekali dari apa yang dilakukan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.

Satu manfaat yang boleh kita ambil, adalah apabila seseorang itu menyelisihi apa yang dilakukan oleh Rasulullah, barangkali pada permulaannya ada keuzuran untuk melakukannya dari satu sudut, tetapi salah faham dalam hadis bermula dengan sedikit tetapi jurangnya terus membesar dan membesar dan akhirnya ia pergi ke arah menyerupai perbuatan orang kafir dan lebih dahsyat lagi ia membawa kepada perbuatan kufur dan syirik. Menyerupai orang kafir adalah perbuatan maksiat, tetapi jika diteruskan lagi, kemuncaknya akan sampai ke tahap syirik ataupun kufur.

Kalau kita lihat perkuburan orang kafir memang begitu, seperti taman, penuh dengan pokok-pokok yang ditanam di atas perkuburan penghuninya. Bukan sahaja adanya binaan-binaan di mana kubur itu diletakkan di dalam binaan, seperti satu bilik, yang mana kadangkala sampai satu keluarga diletakkan bersama secara tersusun lalu ditutup perkuburan keluarga itu dengan satu bilik tertutup dengan adanya pintu, ditambah lagi adanya pokok-pokok.

Kita kena faham kenapa orang kafir meletakkan taman-taman, pokok-pokok di tanah perkuburan mereka. Ini adalah dilema orang kafir. Orang kafir yang tidak tahu halal haram, yang tidak tahu tentang iman kepada Allah, iman kepada Akhirat. Mereka tidak beriman kepada hari Kebangkitan. Bagi mereka, kehidupan adalah kehidupan dunia semata-mata. Mereka berdepan dengan dilema apabila berpisah dengan orang kesayangan mereka, apabila ada kematian di kalangan orang terdekat mereka; isteri, anak-anak, ibu bapa dan sebagainya,

Mereka tidak mampu untuk menerima musibah yang menimpa mereka itu dengan redha kerana bagi mereka, keluarga mereka sudah tiada. Tiada keimanan bahawa keluarga mereka itu sebenarnya masih hidup cuma hidup yang berbeza iaitu hidup di alam Barzakh. Jauh sekali mereka hendak mempercayai bahawa kaum keluarga yang mati itu akan bangkit di Padang Mahsyar dan mereka akan bertemu kembali di padang Mahsyar apatah lagi di Syurga.

Akhirnya di antara usaha-usaha mereka untuk menjaga hubungan mereka dengan orang yang telah mati itu adalah dengan mereka terus mendatangi kubur mereka. Mereka ziarah kubur seperti orang Islam, perbuatannya sama tetapi tujuannya berbeza sama sekali. Mereka terus datang kerana hendak menjaga hubungan dengan orang yang telah mati dan untuk mengubat kesedihan. Tetapi mereka berdepan dengan musibah yang lain. Setiap kali mereka datang menziarahi orang yang telah mati, terbayang pula kepada mereka kematian. Dan kematian bagi mereka adalah suatu yang sangat tidak menyenangkan. Kerana kematian bagi mereka adalah terputusnya kenikmatan dunia. Sedangkan mereka mempercayai bahawa kehidupan itu adalah kehidupan di dunia semata-mata, maka apa juga kenikmatan yang mereka rasa sepanjang hidup mereka adalah ketika di dunia sahaja.

Jadi musibah mereka adalah mereka terpaksa ziarah kubur kerana hendak menjaga hubungan dan terus mengingat orang yang telah mati, tetapi setiap kali datang kubur mereka teringat benda yang mereka tidak suka iaitu kematian. Untuk berdepan dengan perasaan tidak senang itu, akhirnya mereka meletakkan pokok-pokok dan tanaman-tanaman supaya fikiran mereka tidak tertumpu pada kematian. Sebaliknya mereka akan melihat kepada kenikmatan dunia itu iaitu dengan melihat pokok-pokok yang banyak, bunga-bunga, maka fikiran mereka akan terus kepada keduniaan dan kenikmatan, jauh sekali daripada mengingat kematian. Sedangkan sebagai umat Islam, tujuan asal disyariatkan menziarah kubur adalah seperti mana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

زُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ

“Ziarahilah kubur, kerana ia mengingatkan kamu akan kematian.” (Riwayat Muslim)

Jadi perbuatan menanam pokok-pokok di dalam perkuburan sudah jelas bercanggah dengan sunnah Nabi dan semakin hampir dengan perbuatan orang-orang kafir. Kita khuatir akhirnya niat menziarah kubur itu akan bertukar, di mana akhirnya sudah tidak timbul lagi perasaan ingat Akhirat, tidak timbul lagi rasa takut. Sedangkan itu memang tujuannya, untuk mengingat Akhirat dan menimbulkan ketakutan di dalam diri kita.

(Disalin dari rakaman kuliah Umdatul Ahkam, hadis ke-17, 05.03.2013)

Ikuti sambungan sesi soal Jawab:

1. Menanam rumput atas kubur untuk mengelak haiwan datang & Menyiram air mawar

2. Memilih kubur untuk diziarahi dan ibadah di kubur