“DUNIA ITU TERLAKNAT, TERLAKNAT APA YANG DI DALAMNYA”

Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman

(Disalin dari rakaman kuliah Riyadhus Salihin, Bab 241 Keutamaan Ilmu, Hadis ke-1367, 28.12.2012)

عَن أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلمَ يَقُولُ ‏ :‏(( الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلاَّ ذِكْرَ اللَّهِ تَعالى وَمَا وَالاَهُ أَوْ عَالِمًا أَوْ مُتَعَلِّمًا)) رواه الترمذي وقال حديث حسن

قوله (وَمَا وَالاَهُ): أي طاعةُ اللهِ تعالى

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu dia berkata, “Aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Dunia ini terlaknat, terlaknat apa yang ada di dalamnya, melainkan zikir kepada Allah (mengingati Allah) dan apa yang menjurus kepadanya, dan orang yang berilmu serta yang mencari ilmu.” (Hasan. Riwayat Al-Tirmidzi)

Sabdanya “apa yang menjurus kepadanya”: iaitu ketaatan kepada Allah Ta’ala.

Penjelasan hadis:

dunia itu terlaknat1. Laknat secara umumnya bererti jauh dari rahmat dan keredhaan Allah, dan terkena/ hampir kepada kemurkaan Allah.

2. Nabi mengatakan الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ (Dunia ini terlaknat): iaitu terlaknat dari sudut ia menjauhkan daripada Allah kerana ia menyibukkan seseorang dari mengingati Allah. Seperti mana dalam Surah Al-Hadid ayat ke-20, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا وَفِي الْآَخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

“Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia adalah permainan dan melalaikan, dan perhiasan dan bermegah-megahan di kalangan kamu, dan memperbanyakkan harta dan anak pinak, seperti hujan yang hasil tanam-tanamannya memukau orang kafir; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kuning kemudian menjadi hancur. Dan di Akhirat kelak ada azab yang pedih dan keampunan Allah serta keridhaanNya. Dan tidaklah kehidupan dunia ini melainkan kesenangan yang menipu (palsu).” (Surah Al-Hadid, 57: 20)

3. Lalu Nabi mengatakan, مَلْعُونٌ مَا فِيهَا  (terlaknat apa yang ada di dalamnya): Iaitu apa yang menyibukkan/ melalaikan daripada mengingati Allah, itu yang terlaknat. Ini kerana dunia dalam keadaan sebegini jelas adalah kehidupan dunia yang tidak menepati kehendak Allah mengapa dunia itu diwujudkan.

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ

“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk mereka beribadah kepadaKu.” (Surah Adz-Dzariyat, 51: 56)

Jadi kehidupan dunia yang tidak menjurus kepada beribadah dan ketaatan kepada Allah jelas telah menyalahi matlamat atau objektif ia diwujudkan. Dari sudut itulah ia terlaknat.

4. Oleh kerana itu Rasulullah selanjutnya mengatakan إِلاَّ ذِكْرَ اللَّهِ (kecuali zikir/mengingati Allah), kerana itulah tujuan dunia diciptakan iaitu untuk beribadah kepada Allah dan untuk zikrullah. Apa kaitan antara beribadah kepada Allah dengan zikir kepada Allah?

Ibadah bersifat umum manakala zikir itu khusus walaupun hakikatnya ia berkait rapat. Ibadah adalah zikir, dan zikir adalah ibadah. Ibadah adalah mengingati Allah, itu juga yang dimaksudkan dengan zikir (ذكر – ingat). Secara umum keduanya sama, tetapi jika diperincikan, ibadah lebih bersifat umum.

Zikrullah yang dimaksudkan juga bukan dengan maksud yang khusus seperti tasbih, tahmid, tahlil dan seumpamanya. Zikrullah yang dimaksudkan adalah umum, apa jua ibadah adalah zikrullah; membaca Al-Quran adalah zikrullah, berdoa adalah zikrullah, kerana dengan ibadah-ibadah seperti ini, kita akan mengingati Allah.

5.  وَمَا وَالاَهُ  (Dan apa yang menjurus kepadanya): Ulama apabila menyebutkan tentang apa yang diertikan dengan وَمَا وَالاَهُ (apa yang wala’ kepadanya) menyatakan bahawa yang dimaksudkan adalah apa yang dicintai oleh Allah; iaitu apa juga amal-amal kebaikan yang menghampirkan diri seseorang itu kepada Allah.

DEFINISI DUNIA

Perkataan الدُّنْيَا (dunia) berasal dari kata dasar دُنُوْ (rendah yang berkait rapat dengan hina).

Adapun الأخرة (Akhirat) berasal dari perkataan الأخِر (yang terakhir). Ini pengertian dari segi bahasanya.

Dapat kita lihat kaitan rapat antara pengertian dunia dengan sabda Rasulullah  الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ (dunia itu terlaknat) kerana perkataan الدُّنْيَا itu sendiri maksudnya adalah rendah yang hampir kepada hina kalau dibandingkan dengan kehidupan Akhirat, kerana kehidupan Akhirat adalah kehidupan yang sebenarnya, iaitu kehidupan yang terakhir dan yang kekal abadi.

Imam Ibnul Qayyim di dalam kitabnya Zaadul Ma’ad mengatakan bahawa dunia ini untuk tiga kategori manusia; 1) untuk orang yang beriman, 2) untuk orang munafiq, dan 3) untuk orang kafir. Bagi orang yang beriman, dunia mereka adalah bekalan untuk Akhirat. Adapun bagi orang munafiq, dunia adalah perhiasan. Manakala bagi orang kafir, dunia adalah kesenangan.

Bekalan, perhiasan, kesenangan. Bekalan insyallah kita faham. Apa pula yang dimaksudkan dengan perhiasan? Iaitu dia menghiaskan dirinya untuk menonjolkan/ menzahirkan keIslaman sedangkan dalam hatinya kekufuran. Perhiasan dalam ertikata kepura-puraan. Dia terpaksa berhias kerana dia sedang melindungi sesuatu iaitu kekufurannya. Maka dia menghiaskan dirinya dengan keIslaman.

Adapun kesenangan insyaAllah kita jelas kerana kita boleh lihat dengan mata kepala kita bagaimana orang kafir bersenang lenang dalam kehidupan dunia. Ini memang realiti iaitu orang kafir memang pakar dalam hal dunia. Dan Allah telah berfirman,

يَعْلَمُونَ ظَاهِرًا مِنَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ عَنِ الآخِرَةِ هُمْ غَافِلُونَ

“Mereka mengetahui zahir kehidupan dunia, sedangkan tentang (kehidupan) Akhirat mereka lalai.” (Surah Al-Rum: 7)

Orang kafir memang pakar tentang kehidupan dunia dari segi zahir. Mereka tahu bagaimana hendak mempergunakan dunia ini sebaik mungkin untuk kesenangan. Sedangkan tentang kehidupan Akhirat mereka lalai dan tidak tahu. Memang kita nampak dengan mata kepala kita bagaimana orang kafir cukup pakar dalam bab bersenang-senang; apa juga kesenangan dan di mana juga dia akan menjadikan tempat itu sebagai kesenangan. Dalam segala urusan mereka ada cara bagaimana hendak bersenang lenang.

HIKMAH KAABAH DI PADANG PASIR YANG KERING KONTANG

Maka kerana itu, jangan sekali-kali kita merasakan tidak ada hikmah mengapa Kaabah diletakkan di bumi Arab, bumi padang pasir yang kering kontang lagi panas, sedangkan tempat tinggal orang kafir Yahudi Barat menghijau dengan segala macam bunga, udara dan cuaca yang bermacam-macam; 4 musim. Boleh lihat bagaimana perubahan musim, perubahan persekitaran, satu tempat itu boleh berubah; satu pokok itu boleh berbunga, kemudian tidak berbunga, kemudian jadi ais, kemudian mengembang pula bunganya, cukup indah. Jangan sekali-kali kita merasakan semua itu tidak ada hikmah.

Hikmahnya cukup jelas. Allah hendak mengatakan bahawa jangan engkau terpesona dengan ini semua. Jangan engkau terpesona dengan kehidupan dunia dengan tumbuh-tumbuhan yang menghijau lagi berbunga, kerana memang tujuannya untuk mempesonakan dan melalaikan supaya orang kafir bersenang lenang dengannya. Tetapi kita sebagai orang Islam sedar dan peka bahawa ini bukan tempat kita.

Itu hikmah mengapa Allah jadikan Kaabah di padang pasir, kemudian orang Islam kena pergi pula ke situ. Setiap tahun orang Islam berpusu-pusu pergi ke tempat yang panas ini. Mungkin ada yang melontarkan idea ‘genius’ dia dan bertanya kenapa Allah tidak jadikan Kaabah itu di tempat yang ada taman, tempat yang indah, yang ada udara nyaman, angin bersepoi-sepoi, bolehlah kita khusyu’ beribadah. Sesungguhnya, Allah lebih mengetahui apa yang bermanfaat buat manusia, iaitu orang-orang Islam secara khususnya.

FAEDAH HADIS

Dari hadis ini dapat kita mengambil beberapa faedah. Antaranya;

  1. Dibolehkan untuk melaknat apa jua yang menjauhkan daripada Allah dan apa jua yang melalaikan kita dari mengingati Allah.
  2. Kelebihan orang yang berilmu serta orang yang mencari ilmu, kerana selain dari zikrullah dan selain dari perkara yang menjurus kepada mengingati Allah, selain daripada orang yang berilmu serta orang yang mencari ilmu, semuanya adalah terlaknat (jauh dari keredhaan Allah dan hampir kepada kemurkaan Allah).
  3. Kita dituntut berada dalam salah satu dari dua kategori manusia dan jangan kita masuk dalam kategori ketiga. Kategori pertama sama ada ‘alim (orang yang berilmu) atau kategori kedua adalah thalibul ‘ilm (penuntut ilmu). Jangan jadi orang yang ketiga iaitu orang yang bukan ‘alim dan bukan penuntut ilmu, bertepatan dengan sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,

مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْـرًا يُـفَـقِـهْهُ فِي الدِّيْنِ

“Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya, Allah akan berikan dia kefaqihan dalam agama.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kefaqihan dalam agama sama ada sehingga dia sampai ke taraf ‘alim atau kefaqihan dalam agama secara nisbi dari segi dia masih lagi menuntut ilmu tetapi belum lagi sampai ke taraf ‘alim.

Jadi insyaAllah, mudah-mudahan kita tergolong setidak-tidaknya dalam kategori kedua iaitu kategori penuntut ilmu. Ini kerana kalau seseorang itu tidak termasuk dalam salah satu kategori ini, kalau dia tidak ada kefahaman dalam agama dengan ertikata bukan penuntut ilmu jauh sekali seorang Ulama, maknanya Allah tidak inginkan kebaikan buatnya. Dia berada di dalam kecelakaan dan termasuk dalam laknat Allah seperti mana yang disebut dalam hadis yang dinyatakan tadi.

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم