BACAAN ZIKIR YANG MEMBOLEHKAN ORANG MISKIN MENYAINGI PAHALA ORANG KAYA YANG MEMBELANJAKAN HARTA PADA JALAN ALLAH

Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman

(Disalin dari rakaman audio kuliah Riyadhus Salihin, hadis ke-1426, 15.03.2013, minit 00:05:20 – 00:20:52)

Ini adalah sebuah hadis yang menceritakan satu kisah yang cukup menarik dan mencuit hati di mana ia membabitkan satu peristiwa di mana para Sahabat dari kalangan orang-orang fakir dan miskin datang mengadu kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.

Lihat apa yang mereka adukan. Adakah mereka mengadu sistem jalanraya tidak memuaskan, atau adakah mereka mengadu kenaikan harga barang? Atau adakah mereka mengadu harga kuda atau unta terlalu mahal? Mari kita lihat kisah yang cukup menarik ini.

Hadis ke-1426;

وعن أبي هريرة رضي الله عنه أَنَّ فُقَرَاءَ الْمُهَاجِرِيْنَ أَتَوْا رَسُوْلَ اللهِ صَلىَّ اللهُ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوْا:‏ ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثُوْرِ بِالدَّرَجَاتِ الْعُلَى، وَالنَّعِيْمِ الْمُقِيْمِ:‏ يُصَلُّوْنَ كَمَا نُصَلِّيْ وَيَصُوْمُوْنَ كَمَا نَصُوْمُ ، ولهم فَضْلٌ مِن أموال‏:‏ يَحُجُّونَ، وَيَعْتَمِرُونَ، وَيُجَاهِدُونَ ، وَيَتَصَدَّقُونَ‏.‏ فقال‏:‏ ‏”((‏ألا أُعَلِّمُكُمْ شَيْئًا تُدْرِكُوْنَ بِهِ مَنْ سَبَقَكُمْ وَتُسْبِقُوْنَ بِهِ مَنَ بَعْدَكُمْ وَلاَ يَكُوْنُ أَحَدٌ أَفْضَلَ مِنْكُمْ إِلاَّ مَنْ صَنَعَ مِثْلَ مَا صَنَعْتُمْ‏؟‏)) قَالُوْا : بَلَى يَا رَسُوْلَ اللهِ قَالَ : ((تُسَبِّحُوْنَ وَتُكَبِّرُوْنَ خَلْفَ كُلِّ صَلاَةٍ ثَلاَثًا وَثَلاَثِيْنَ)) قال أبو صالح الراوي عن أبي هريرة، لَمَّا سُئِلَ عن كيفيةِ ذِكْرِهِنَّ، قال‏:‏ يقول‏:‏ ((سُبحانَ الله، والحمدُ لله، واللهُ أكبرُ)) حتى يكون منهن كلهن ثلاثًا وثلاثين‏.‏ ‏(‏متفق عليه‏)‏‏‏

وَزَادَ مسلم في روايته‏:‏ فَرَجَعَ فقراءُ المهاجرين إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم، فقالوا‏:‏ سَمِعَ إخوانُنا أهلُ الأموالِ بما فعلنا، فَفَعَلُوا مِثْلَهُ‏؟‏ فقالَ رسولُ اللهِ :‏ ‏((‏ذلك فضْلُ اللهِ يُؤتِيهِ مَن يشاءُ‏))‏‏.‏

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawasanya orang-orang fakir Muhajirin mendatangi Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam lalu mereka berkata: “Orang-orang kaya telah pergi mendapatkan darjat yang tinggi dan nikmat yang kekal: Mereka solat sebagaimana kami solat, mereka puasa sebagaimana kami puasa, dan bagi mereka lebihan dari harta, mereka berhaji, umrah, jihad dan bersedekah.” Maka Baginda bersabda: “Mahukah kalian aku ajarkan sesuatu yang dengannya kalian akan dapat menyaingi mereka yang telah mendahului kalian dan dengannya juga kalian akan dapat mendahului orang-orang yang datang sesudah kalian dan tidak akan ada seorang pun yang lebih baik daripada kalian kecuali jika dia melakukan seperti apa yang kalian lakukan?” Mereka menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Hendaklah kalian bertasbih, bertahmid, dan bertakbir setelah selesai setiap solat sebanyak 33 kali.”

Berkata Abu Soleh, perawi yang meriwayatkan hadis ini dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ketika ditanya bagaimana cara membaca zikir-zikir itu, Abu Hurairah berkata: “Dia mengucapkan “Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar” sehingga setiap satu daripadanya menjadi 33 kali.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Imam Muslim menambah dalam riwayatnya: “Kemudian orang-orang fakir Muhajirin itu datang kembali kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan mereka berkata: “Saudara-saudara kami yang kaya mendengar apa yang kami lakukan lalu mereka telah melakukan yang sama.” Maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Itu adalah kelebihan yang diberikan Allah kepada sesiapa yang Dia kehendaki.”

Ini adalah satu peristiwa di mana Sahabat-sahabat dari kalangan Muhajirin datang mengadu kepada Rasulullah tentang kelebihan yang diperolehi oleh orang-orang kaya secara khasnya berbanding dengan mereka.

1. Mereka berkata, orang-orang kaya telah mendapat darjat yang tinggi: Darjat yang tinggi iaitu dengan pahala yang banyak.

2. Orang-orang kaya juga mendapat nikmat yang kekal: Nikmat yang kekal iaitu hasil dari amalan-amalan yang mereka kerjakan, ganjaran pahala yang dijanjikan buat mereka.

3. Mereka solat seperti mana kami solat, mereka puasa seperti mana kami puasa: yakni ibadah yang dilakukan ini adalah sama, tetapi mereka ada kelebihan yang lain iaitu harta.

4. Hasilnya orang-orang kaya dapat mengerjakan haji, umrah, berjihad, dan bersedekah: Perhatikan, di sini menunjukkan bahawa bukan semua orang boleh menyertai jihad.

Jihad pada zaman itu bukan seperti zaman sekarang. Pada zaman sekarang, tentera yang hendak pergi berjihad perlu diberi upah atau gaji, beserta kelengkapan. Adapun pada zaman dahulu, kelengkapan disiapkan sendiri, siapa yang ada kemampuan sahaja boleh pergi berjihad. Dia kena ada haiwan tunggangan dan kelengkapan sendiri yang asas. Rasulullah tidak dapat untuk menyediakan semua ini.

Mereka semua hidup serba ringkas dan sederhana, tidak berlebih-lebih. Apa yang ada itu yang digunakan. Kenderaan bawa sendiri, senjata bawa sendiri, berlatih sendiri, belajar bermain pedang, tombak, panah sendiri, tidak ada orang hendak bayar gaji untuk belajar semua itu. Bekal makan dan minum kena bawa sendiri, semua sendiri. Tetapi pergi berjihad sama-sama, tidak ada jihad pergi sendiri-sendiri.

Jadi untuk berjihad syaratnya mesti ada bekalan dan persiapan yang cukup. Bukan itu sahaja, dia juga kena tinggalkan bekalan yang cukup untuk keluarganya. Jika dia bawa semua bekalan makanan bersamanya sedangkan keluarganya di rumah tidak ada bekalan tidak boleh juga. Ini semua menjadi syarat untuk orang hendak pergi berjihad pada zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.

Dan tentu sahaja orang kaya dapat bersedekah kerana mereka ada lebihan harta.

5. Rasulullah berkata kepada orang fakir, Mahukah kalian aku ajarkan sesuatu yang dengannya kalian akan dapat menyaingi orang terdahulu dan mendahului orang yang datang kemudian, dan tidak akan ada orang yang mendapat lebih baik dari itu kecuali dia melakukan seperti yang kalian lakukan: menyaingi bererti orang miskin akan dapat apa yang orang-orang kaya dapat sekiranya mereka melakukan amalan ini.

6. Lalu Rasulullah mengatakan, bacalah Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, setelah selesai setiap solat sebanyak 33 kali setiap satu. Jadi jumlahnya adalah 99 kali. (Catatan: hendaklah dibaca dengan lidah tanpa mengeraskan suara dan dibaca secara individu bukan berjemaah. Baca: Adab Berzikir)

BERLUMBA-LUMBA DALAM AMAL IBADAH

Para sahabat apabila diajarkan oleh Rasulullah, mereka terus amalkan. Tidak ada banyak songeh, tidak ada banyak cerita, tidak ada minta perincian lagi. Tidak ada bertanya adakah hukumnya sunat atau wajib. Tidak ada. Mereka tidak bertanya soalan-soalan seperti itu. Apa sahaja yang Rasulullah ajar, mereka terus amalkan.

Tetapi apa yang berlaku selepas itu, orang-orang fakir datang kembali kepada Rasulullah selang beberapa ketika mengadu dan mengatakan bahawa orang-orang kaya mendengar apa yang kami lakukan; iaitu bertasbih, bertahmid dan bertakbir selepas solat.

Lihat bagaimana sikap orang kaya dan sikap orang miskin dari kalangan para Sahabat. Orang kaya cepat mengambil kesempatan mempelajari apa yang diajar oleh Rasulullah, walaupun Rasulullah mengajarnya kepada orang fakir, tetapi itu tidak menghalang mereka daripada mengamalkannya kerana adanya sifat hendak berlumba-lumba. Bukan berlumba-lumba dengan ilmu, tetapi berlumba-lumba dengan amalan, kerana itu hasil ilmu.

Kalau sekadar berlumba-lumba hendak mendapatkan ilmu, ‘aku dah tahu engkau tak tahu’, ‘aku salafi engkau khalafi’, ‘aku sunni engkau bid’i, aku ada ijazah engkau ada SPM sahaja, aku ada Masters, Ph.D engkau baru belajar pondok, belajar pondok pun tak habis, Bahasa Malaysia SPM pun gagal’. Ini semua dari segi ilmu sahaja. Apa yang lebih penting adalah amalan dari ilmu tersebut. Ini yang dilakukan oleh para Sahabat. Mereka pantas mengamalkan apa yang diajarkan oleh Rasulullah kepada orang miskin.

Dalam ertikata lain, mereka tidak merasa cukup dengan ibadah-ibadah yang telah mereka lakukan hasil daripada lebihan harta yang ada pada mereka; iaitu bersedekah, jihad, haji, umrah dan sebagainya. Bahkan mereka berusaha untuk menambah lagi.

Apabila orang-orang Muhajirin mengadu kepada Nabi bahawa orang kaya pun telah mengamalkan amalan yang sama iaitu Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, jawab Rasulullah, itu adalah kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Maknanya, apa yang pasti adalah kamu kena berlumba-lumba. Berlumba-lumbalah dalam mengejar kebaikan. Buatlah amalan-amalan sebanyak yang mungkin dan sedaya mampu mengikut kemampuan masing-masing.

(Disalin dari rakaman audio kuliah Riyadhus Salihin, hadis ke-1426, 15.03.2013, minit 00:05:20 – 00:20:52)

keluarga harta dan amalan