SOAL JAWAB: MENYAPU ATAS KHUF / ALAS KAKI / SARUNG KAKI (1)

SOALAN 1

sapuan khufAssalamualaikum Ustaz,

Saya kurang jelas tentang menyapu di atas kasut ketika wudhuk; Contoh, masuk ke bilik air dengan memakai kasut dan stokin, adakah boleh menyapu atas kasut tetapi apabila hendak solat (di dalam surau) kita menanggalkan kasut tersebut.

Sebelum ini jika mengambil wuduk, ketika hendak membasuh kaki saya akan membuka kasut dan menyapu di atas stokin kerana saya menyangka kita mesti solat bersama stokin/kasut yang disapu. Tetapi saya tidak jelas adakah boleh menyapu di atas kasut sedangkan tidak solat dengan memakai kasut. Atau sapu atas stokin tetapi apabila solat kita tidak memakai stokin.

Jazakumullah khairan.

JAWAPAN:

Wa’alaikum salam,

Harus diingat bahawa permasalahan ini banyak khilaf. Sekadar usaha untuk mengambil yang rajih dan kuat.

Seperti mana yang telah dijelaskan, perbuatan menanggalkan khuf, kasut, stokin atau alas kaki tidak akan membatalkan wuduk / sapuan berdasarkan pendapat yang rajih mengenangkan tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa ia terbatal.

Maka ia kekal pada hukum asalnya bahawa seorang yang telah berwuduk & menyapu akan terus berada dalam keadaan berwuduk melainkan dia melakukan sesuatu yang membatalkan wuduknya.

Oleh itu, kalau menyapu atas kasut (dengan syarat berwuduk dengan sempurna dan membasuh kedua kaki terlebih dahulu) lalu menanggalkannya utk solat (dengan stokin atau tidak); hal ini dibolehkan dan wuduk/sapuannya tidak akan dianggap terbatal.

Wa iyyakum.

SOALAN 2

Bagaimana cara menyapu atas sarung kaki tersebut. 1. Sapu satu persatu menggunakan tangan kanan untuk kedua-dua kaki, atau 2. Sapu kedua-duanya serentak menggunakan tangan kanan (menyapu kaki kanan) dan pada masa sama menggunakan tangan kiri (menyapu kaki kiri)?

Barakallahu fik.

JAWAPAN:

Tidak ada nas yang jelas dalam hal ini. Walaubagaimanapun, cara yang pertama lebih hampir dengan dalil bahawa “Baginda suka mendahulukan yang kanan / menggunakan tangan kanannya….. dan dalam segala urusannya.”

Wa fikum barak.

Dijawab oleh: Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman

Kajang, 21 Mac 2013