TUNTUTAN MAKNAWI DI SEBALIK PUASA RAMADHAN

Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman

(Disalin dari rakaman audio kuliah umum menjelang Ramadhan, Kajang, 05.07.2013)

puasa ramadhanPuasa -atau Siyam dalam bahasa Arab- dari segi bahasa bermaksud menahan diri. Hubungkait antara istilah bahasa dan istilah Syarak sangat dekat kerana perkataan Siyam dalam istilah Syarak membawa maksud menahan diri dari segala perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar Sadiq sehingga terbenam matahari dengan niat kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Apabila kita melihat definisi puasa iaitu menahan diri dari makan, minum dan seumpamanya, seringkali kita terlepas pandang tujuan dan matlamat utama di sebalik puasa yang hakikatnya bukan sekadar menahan diri dari makan dan minum semata-mata. Kalau kita lihat kepada ayat Al-Quran yang menjadi asas kepada pensyariatan puasa, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, telah difardhukan (diwajibkan) ke atas kamu puasa seperti mana telah difardhukan ke atas orang-orang sebelum kamu, semoga kamu bertakwa.” (Surah Al-Baqarah, 2: 183)

Walaupun ayat ini menyebut puasa secara umum, tetapi para Ulama mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah puasa Ramadan secara khasnya.

TUNTUTAN MENINGGALKAN DOSA, LAGHA DAN RAFATS KETIKA PUASA

Kalau kita bertanya apa tujuan dan matlamat utama di sebalik puasa, jawapannya adalah di dalam ayat Al-Quran yang kita bacakan tadi. Barangkali mungkin ada yang tidak perasan, tetapi ayat itu menyebut “semoga kamu bertakwa”. Itu tujuan dan matlamat di sebalik kita berpuasa. Jadi harus kita faham bahawa matlamat di sebalik puasa bukan lapar dan dahaga.

Bahkan hal ini dijelaskan di dalam hadis-hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, antaranya seperti yang disebutkan di dalam Sahih Bukhari di mana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ وَالْجَهْلَ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan beramal dengannya serta berbuat maksiat, maka Allah tidak berhajat untuk dia meninggalkan makan dan minumnya. (Riwayat Al-Bukhari)

Maksudnya kalau orang itu tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan amalan-amalan dusta ketika dia berpuasa, Rasulullah menjelaskan bahawa tidak ada keperluan di sisi Allah untuk dia tinggalkan makan dan minum. Hadis ini memberi sedikit gambaran tentang hakikat dan realiti puasa.

Para ulama membahagikan perkara-perkara yang perlu ditinggalkan ketika berpuasa kepada dua kategori;

Pertama: Perkara zahir yang perlu ditinggalkan ketika puasa. Perkara zahir ini telah banyak dijelaskan dalam buku-buku fekah; seperti makan, minum, jima’, muntah dengan sengaja, ini semua jelas akan membatalkan atau merosakkan puasa seseorang jika tidak ditinggalkan.

Kedua: Perkara maknawi. Ini yang hendak ditekankan iaitu adanya perkara maknawi atau batin yang juga perlu ditinggalkan kerana tidak kurang pentingnya. Dalam banyak hadis sahih, dijelaskan bahawa tidak ada guna puasa seseorang yang tetap melakukan perkara-perkara ini.

Hal ini seperti mana yang dinyatakan di dalam sebuah hadis sahih, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

لَيْسَ الصِّيَامُ مِنَ الأَكْلِ وَالشَّرْبِ إِنَّمَا الصِّيَامُ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ. فَإِنْ سَابَّكَ أَحَدٌ أَوْ جَهِلَ عَلَيْكَ فَقَلْ : إِنِّى صَائِمٌ

“Bukanlah puasa itu hanya dengan menahan dari makan dan minum, tetapi sesungguhnya puasa itu adalah dengan meninggalkan perbuatan Lagha dan Rafats. Sekiranya seseorang mencemuh kamu atau berbuat bodoh terhadapmu, maka katakanlah: “Sungguh aku sedang berpuasa.” (Sahih. Riwayat Ibnu Khuzaimah dan Al-Baihaqi)

Puasa itu bukan hanya dengan makan dan minum. Lihat, Rasulullah menafikan. Bermakna itu bukan maksud dan tujuan dari ibadah puasa. Di samping menahan makan dan minum, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengatakan bahawa puasa adalah dengan meninggalkan Lagha dan Rafats.

Rafats adalah perbuatan keji yang menjurus kepada lucah dan segala muqaddimah zina; seperti zina mata, telinga, mulut, sentuhan, kaki, hati, itu semua termasuk dalam erti kata Rafats.

Seterusnya Rasulullah menambah, “Sekiranya seseorang mencemuh kamu atau berbuat bodoh terhadapmu, maka katakanlah: “Sungguh aku sedang berpuasa.”” Ini menunjukkan bahawa kalau kita membalas cemuhan itu, ia akan merosakkan puasa kita. Walaupun kita melihat seolah-olah adil jika seseorang mengatakan kita bodoh, lalu kita mengatakan dia bodoh. Tetapi tidak, di dalam puasa, kita disuruh menahan diri. Menahan diri yang dikehendaki ketika puasa bukan sahaja dari makan, minum, jima’ dan sebagainya, tetapi lebih luas dari itu di mana kita disuruh menahan diri dari perbuatan keji bahkan dari perbuatan-perbuatan Lagha.

Apa yang dimaksudkan dengan Lagha? Lagha adalah perbuatan yang tidak berfaedah, melakukannya tidak berdosa, tetapi tidak menambah pahala. Walaupun tidak berdosa, tetap disuruh supaya kita meninggalkannya ketika berpuasa.

TUNTUTAN BERSIFAT ZUHUD DAN WARA’ KETIKA BERPUASA

Adapun lawan kepada lagha adalah zuhud dan wara’. Kita disuruh untuk bersifat dengan dua sifat ini ketika puasa. Walaupun secara amnya kita dituntut bersifat zuhud, tetapi kita lebih dituntut bersikap zuhud ketika puasa secara khasnya.

Zuhud bererti “meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat di Akhirat” yakni perkara yang tidak berguna untuk dirinya di Akhirat nanti walaupun ianya tidak berdosa. Berbeza dengan wara’ yang bererti “meninggalkan perkara-perkara yang boleh memudaratkan di Akhirat”. Maka ketika puasa kita bukan sahaja disuruh meninggalkan perbuatan haram dan melaksanakan yang wajib. Itu benda yang pasti. Lebih dari itu, kita disuruh bersikap zuhud dan wara’.

Maka ketika berpuasa, jangan kita lupa bahawa tujuan dan matlamat di sebalik puasa itu bukan lapar dan dahaga, sebaliknya untuk kita menambahkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Supaya dengan berpuasa, kita dapat menghampirkan diri dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

BANDINGAN PUASA DENGAN IBADAH SOLAT

Jika seseorang itu solat, kita nampak dia melakukan solat. Jika dia bersedekah, menolong orang, haji, kita nampak dia berbuat sesuatu. Uniknya puasa, kita tidak nampak seseorang itu sedang berpuasa. Ketika puasa, kita disuruh supaya jangan buat; Jangan buat dosa, dan jangan buat lagha. Dengan kedua-dua larangan ini (dosa dan lagha), niat dan tujuannya adalah untuk menghampirkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan menambah ketakwaan kepada ALLAH.

Begitu juga niat dan tujuan ketika solat. Apa tujuan di sebalik solat? Ada yang melihat bahawa tujuannya adalah untuk melunaskan tanggungjawab. Yang penting solat. Takbir, ruku’, i’tidal, sujud, duduk antara dua sujud, tasyahhud, beri salam. Selesai solat. Kalau begitulah keadaannya, maka jangan hairan mengapa ramai yang tertanya-tanya dengan firman ALLAH,

إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ

“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan munkar.” (Surah Al-Ankabut: 45)

Kenapa kita tertanya-tanya? Kerana ramainya orang yang solat bahkan berjemaah di masjid lima kali sehari tetapi dia tetap melakukan perbuatan keji dan munkar. Dia tetap berbuat perbuatan dosa. Kita jangan lihat orang lain. Kita kadang-kadang apabila diberi contoh kita melihat orang lain. Jangan. Ambil cermin, tengok diri sendiri. Bandingkan solat kita dengan sejauh mana ia mampu menahan kita dari perbuatan keji dan juga kemungkaran.

Di dalam sebuah hadis sahih dari Ammar bin Yasir radhiyallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

إنَّ العبدَ لَيصلِّي الصَّلاةَ ما يُكتُبُ لَهُ منْها إلَّا عُشرُها، تُسعُها، ثمنُها، سُبعُها، سُدسُها، خمسُها، ربعُها، ثلثُها نصفُها

“Seorang hamba akan solat tetapi tidaklah tertulis pahala buatnya kecuali satu persepuluh, satu persembilan, satu perlapan, satu pertujuh, satu perenam, satu perlima, satu perempat, satu pertiga atau setengah (dari pahala solat).” (Sahih. Sifat Al-Salat Imam Al-Albani)

Rasulullah berhenti pada satu perdua. Rasulullah tidak meneruskan “atau dia mendapat pahala yang sepenuhnya.” Apabila para ulama mensyarahkan hadis ini, timbul persoalan mengapa Rasulullah hanya berhenti pada satu perdua? Kenapa Rasulullah tidak sambung?

Para ulama mengatakan bahawa inilah hakikat solat, bahawa barangkali seorang itu ketika solat telah melengkapkan syarat-syaratnya; menutup aurat, mengambil wuduk, memastikan tempat dan pakaian bersih dari najis. Dia melengkapkan rukun-rukunnya; niat, takbiratul ihram, baca Al-Fatihah, ruku’ dan seterusnya sehinggalah memberi salam. Begitu juga dia meninggalkan perkara-perkara yang boleh membatalkan solat seperti bercakap, makan, dan sebagainya.

Maka akhirnya lengkap syarat-syaratnya, rukunnya juga lengkap, perkara yang boleh membatalkan solat pun dia tinggalkan sepenuhnya. Tetapi mengapa Rasulullah mengatakan barangkali dia hanya mendapat 1/10 dan berhenti pada 1/2?

Para ulama mengatakan, realiti solat itu lebih daripada kita melaksanakan syarat-syarat dan rukun-rukunnya. Bahkan seseorang itu dituntut lebih dari itu iaitu bukan sahaja kewajipan zahir, tetapi dia juga perlu melaksanakan kewajipan-kewajipan batin atau maknawi seperti mengikhlaskan niat sepenuhnya untuk Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Di samping ikhlas, dia juga perlu memastikan khusyuknya. Kalau kita lihat, niat, ikhlas dan khusyuk itu memang sangat sukar. Maka tidak hairanlah mengapa Rasulullah berkata seseorang itu boleh dapat 1/10 dan paling bagus pun 1/2. Dengan ertikata kalau mendapat setengah pahala dari keseluruhan pahala solat pun sudah dikira bagus. Betapa sukarnya untuk mendapatkan lebih dari setengah pahala, apatah lagi sepenuhnya.

Jika kita hendak bayangkan betapa sukarnya, lihat pada ikhlas dan khusyuk. Betapa sukarnya untuk kita mendapatkan khusyuk. Kita takbir sahaja, secara tidak sengaja kita teringat benda-benda yang kita lupa. Sebab itu ada ulama mengatakan bahawa kalau kita lupa sesuatu, tidak ingat di mana kita meletakkan barang, pergi solat. Akan datanglah bisikan-bisikan syaitan yang mengingatkan kita di mana kita meletakkan barang itu. Ini kerana syaitan memang memainkan peranannya sepertimana disebut dalam hadis,

إِذَا نُودِىَ بِالأَذَانِ أَدْبَرَ الشَّيْطَانُ لَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لاَ يَسْمَعَ الأَذَانَ فَإِذَا قُضِىَ الأَذَانُ أَقْبَلَ فَإِذَا ثُوِّبَ بِهَا أَدْبَرَ فَإِذَا قُضِىَ التَّثْوِيبُ أَقْبَلَ يَخْطُرُ بَيْنَ الْمَرْءِ وَنَفْسِهِ يَقُولُ اذْكُرْ كَذَا اذْكُرْ كَذَا. لِمَا لَمْ يَكُنْ يَذْكُرُ

“Apabila dikumandangkan azan, syaitan berpaling sambil kentut hingga dia tidak mendengar azan tersebut. Apabila azan selesai dia gangguan syaitan ketika solatpun datang kembali. Apabila iqamat, syaitan berpaling lagi. Apabila iqamah selesai, syaitan pun datang kembali, dia akan melintas di antara seseorang (yang solat) dan nafsunya. Syaitan berkata, “Ingatlah itu, ingatlah itu” untuk sesuatu yang sebelumnya dia tidak ingat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka perlunya untuk kita menjaga tujuan dan matlamat di sebalik solat dan juga puasa iaitu dengan melaksanakannya sepertimana yang dituntut dalam Syarak. Sebanyak mana terkesan kekhusyukan kita maka sebanyak itulah terkesan pahala solat kita. Bahkan dikhuatiri kalau seseorang itu solat tanpa khusyuk sama sekali, adakah solatnya sah atau tidak? Seorang itu ketika mula takbiratul ihram sehingga salam tiba-tiba dia tersedar sudah sampai rakaat terakhir. Jangan lihat orang lain, lihat diri sendiri. Kita masbuq, apabila Imam beri salam kita lupa kita tertinggal berapa rakaat. Pernah berlaku? Rasulullah juga pernah lupa. Ini yang kita katakan betapa sukarnya. Ini ujiannya. Kita hidup di dunia ini adalah untuk ujian supaya dapat diketahui siapakah yang benar dan siapakah yang berdusta.

SEMOGA PUASA TIDAK HANYA LAPAR DAN DAHAGA

Jika dalam solat kita perlu menjaga ikhlas dan khusyuk, maka dalam puasa juga kita perlu menjaga keikhlasan di samping menjauhi segala perbuatan dosa dan perbuatan yang lagha. Ini kerana kita khuatir terjadi ke atas diri kita seperti yang disabdakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam,

رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الْجُوعُ وَالْعَطَشُ وَرُبَّ قَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ قِيَامِهِ السَّهَرُ

“Barangkali seorang yang berpuasa hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja. Dan barangkali seorang yang mengerjakan qiyamullail hanya mendapat berjaga malam.” (Sahih. Riwayat Ibnu Majah)

Na’udzubillah. Dia berpuasa, buktinya dia merasa lapar dan dahaga. Tetapi Rasulullah mengatakan dia hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja. Maknanya tidak ada pahala. Secara zahirnya kita menghukum puasanya sah. Tetapi di sisi Allah tidak ada nilainya. Tidak sah di sisi Allah kerana dia tidak melaksanakannya seperti mana yang sepatutnya. Ini yang kita khuatir.

Seperti mana Rasulullah juga seterusnya mengatakan, “Barangkali seorang yang mengerjakan qiyamullail (solat malam) tetapi apa yang dia dapat hanya berjaga malam yakni bersengkang mata sahaja. Itu sahaja yang dia dapat. Sudahlah tidak dapat tidur, pahala pun tidak dapat. Na’udzubillah.

Kenapa agaknya jadi begitu? Ini kerana dia tidak menjaga perkara-perkara maknawi yang juga dituntut dalam berpuasa dan juga solat. Maka kerana itu, di samping kita berusaha sedaya upaya dalam puasa secara khasnya, sedaya upaya meninggalkan perbuatan-perbuatan dosa, perbuatan-perbuatan keji dan munkar, bahkan perbuatan-perbuatan lagha, kita juga dituntut supaya ketika mana berbuka puasa kita membacakan doa,

ذهَب الظمَأُ وابتلَّتِ العروقُ وثبَت الأجرُ إن شاء اللهُ

(Zahaba al-dzama-u wabtallatil ‘uruuqu wa tsabata al-ajru insya-Allah)

Terjemahan: “Telah pergi dahaga, dan telah basah urat-urat dan telah kekal pahala, dengan izin Allah.” (Sahih Abi Dawud)

Adapun doa yang biasa dibaca oleh masyarakat “Allahumma laka sumtu wabika aamantu wa ‘ala rizqika afthartu…” doa ini adalah riwayat yang dhaif. Sewajarnya kita ingat dan mengamalkan doa yang sahih yang diajar oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam kepada kita.

InsyaAllah kalau kita sudah faham bahawa tujuan di sebalik kita berpuasa dan meninggalkan segala perbuatan dosa dan lagha adalah untuk menambahkan ketaqwaan dan mendekatkan diri kita kepada Allah, setelah kita berazam dan berusaha, akhirnya ketika berbuka puasa, kita membaca doa ini yang maksudnya “Telah pergi dahaga, dan telah basah urat-urat dan telah kekal pahala. InsyaAllah.” Kita tidak mahu apabila berbuka puasa, lapar dahaga kita hilang dengan pahala-pahalanya sekali hilang. Jangan. Kita mahu lapar dan dahaga hilang, tetapi pahala itu kekal, insyaAllah.

وَصلَّى الله عَلى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّم

(Disalin dari rakaman audio kuliah umum menjelang Ramadhan, Kajang, 05.07.2013)