ANJURAN MEMBUNUH CICAK

Abu Omar, Idris bin Sulaiman

(Disalin dari rakaman sesi soal jawab, kuliah Umdatul Ahkam, 23.04.2013)

bunuh cicakMemang Syarak menganjurkan untuk kita membunuh cicak. Seperti mana di dalam hadis dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

“Barangsiapa yang membunuh cicak dengan sekali pukulan maka dia mendapat pahala sekian. Barangsiapa yang membunuhnya dengan dua kali pukulan maka dia mendapat pahala sekian (kurang dari yang pertama).” (Riwayat Muslim)

Juga di dalam riwayat yang lain, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

مَنْ قَتَلَ وَزَغًا فِى أَوَّلِ ضَرْبَةٍ كُتِبَتْ لَهُ مِائَةُ حَسَنَةٍ وَفِى الثَّانِيَةِ دُونَ ذَلِكَ وَفِى الثَّالِثَةِ دُونَ ذَلِكَ

“Barangsiapa yang membunuh cicak dengan sekali pukul, dicatatkan baginya pahala seratus kebaikan, dan bila dia membunuhnya pada pukulan kedua, maka pahalanya kurang dari itu, dan pada pukulan ketiga pahalanya kurang dari itu.” (Riwayat Muslim)

Ini kerana dikatakan juga di dalam hadis yang tsabit dari Nabi, Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam mengatakan bahawa cicak ini adalah binatang yang buruk ataupun jahat,

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِقَتْلِ الْوَزَغِ وَسَمَّاهُ فُوَيْسِقًا

“Bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan agar membunuh cicak dan Baginda menamakannya Fuwaisiq (binatang yang jahat).” (Riwayat Muslim)

Di antara kejahatannya dalam sejarah adalah kisah Nabi Ibrahim ‘alaihissalam dilemparkan oleh kaumnya ke dalam api, di mana haiwan-haiwan yang ada semua sedaya upaya cuba untuk memadamkan api itu, kecuali cicak yang mengapi-apikan lagi api yang digunakan untuk membakar Nabi Ibrahim ‘alaihissalam. Kisah ini disebutkan di dalam riwayat dari Ummu Syarik radhiyallahu ‘anha,

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِقَتْلِ الْوَزَغِ وَقَالَ كَانَ يَنْفُخُ عَلَى إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلَام

“Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan untuk membunuh cicak dan Baginda bersabda: “Dahulu cicak meniup api (untuk mengobarkan api yang membakar) Ibrahim ‘alaihissalam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menunjukkan betapa buruknya cicak ini dari segi sejarahnya dan juga dari segi perangainya yang membuang najisnya merata-rata. Walaupun ianya tidak dikira sebagai najis kerana ia adalah haiwan yang berkeliaran di keliling manusia, seperti mana apabila ditanya kepada Rasulullah tentang kucing, Baginda bersabda,

إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ إِنَّهَا مِنْ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ وَالطَّوَّافَاتِ

“Sesungguhnya ia tidak najis, sesungguhnya ia termasuk haiwan yang berkeliaran di kalangan kamu.” (Sahih. Riwayat Abu Dawud, At-Tirmidzi, Ibnu Majah)

Ini kerana kalau kita hendak menjaga dan mengelak dari najis haiwan-haiwan ini jelas akan bersifat menyusah-nyusahkan. Kerana itu Syarak memberikan kita kemudahan dengan menganggap bahawa najis itu dimaafkan. Walaubagaimanapun ini tidak menafikan bahawa ia mengotorkan, kerana itu antara sebab mengapa dituntut untuk kita membunuh cicak itu.

(Disalin dari rakaman sesi soal jawab, kuliah Umdatul Ahkam, 23.04.2013)

Advertisements