MENYEKUTUKAN ALLAH ADALAH DOSA & KEZALIMAN PALING BESAR

Abu Omar, Idris bin Sulaiman

SYIRIK DOSA PALING BESARApabila kita melihat keadaan manusia pada hari ini, kita dapati bahawa –masyaAllah- memang manusia sudah mencapai kemajuan dari sudut keduniaan, teknologi, juga kebendaan. Namun dalam masa yang sama, dalam kemajuan kebendaan itu, kita dapati masih ada lagi pemikiran-pemikiran kolot dan ketinggalan zaman yang rosak dan menyimpang di kalangan manusia secara umumnya dan di kalangan Umat Islam secara khasnya; iaitu manusia masih lagi percaya kepada kuasa-kuasa, benda-benda yang secara Syarak dan secara logiknya pun jelas bahawa ianya menyimpang.

Kekurangan dan ketinggalan dari segi pemikiran dan kesucian akidah masyarakat Islam yang masih lagi tercemar, rosak dan lemah menunjukkan kepada kita bahawa perlunya usaha diambil untuk dibetulkan dan ditambahkan mana yang kurang, khususnya dalam perkara-perkara akidah, kerana ia menjadi tunjang kepada Agama Islam.

Mereka yang mendakwa bahawa Umat Islam tidak perlu lagi didedahkan atau diajar tentang perkara-perkara Tauhid dan Akidah, mereka yang mendakwa bahawa perkara-perkara ini telah diajar dan telah khatam ketika sekolah rendah, jelas bahawa dakwaan-dakwaan seperti ini adalah salah.

Bahkan ada yang mengatakan bahawa kita tidak perlu lagi membahaskan tentang perkara Tauhid, sebaliknya kita perlu maju terus membincangkan perkara-perkara yang lebih penting yang melibatkan masalah Umat, contohnya masalah rasuah, penyelewengan, atau masalah politik. Semua ingin membincangkan masalah politik. Tetapi masalah Akidah yang membabitkan Tauhid serta apa yang bercanggah dengannya iaitu Syirik, masyarakat Islam masih lagi ketinggalan.

Buktinya ialah masyarakat Islam masih percaya kepada Bomoh, Sihir, Tangkal, dan seumpamanya.

Seperti mana di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, seorang sahabat yang bernama Huzaifah bin Al-Yaman radhiyallahu ‘anhuma berkata,

كَانَ النَّاسُ يَسْأَلُونَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْخَيْرِ وَكُنْتُ أَسْأَلُهُ عَنْ الشَّرِّ مَخَافَةَ أَنْ يُدْرِكَنِي

“Manusia bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tentang kebaikan sedangkan aku bertanya kepada Baginda tentang keburukan, kerana aku khuwatir ia (keburukan itu) akan menimpaku.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dapat kita faham daripada apa yang disebutkan oleh Huzaifah bin Al-Yaman ini, walaupun hadisnya di dalam perkara yang lain tetapi pemahaman yang ada pada Huzaifah itu tidak kurang pentingnya; iaitu di samping kita fahami kebaikan-kebaikan, amalan-amalan baik, akidah yang benar, tidak kurang pentingnya kita perlu tahu tentang perkara-perkara yang sebaliknya; akidah-akidah yang rosak, pemahaman-pemahaman yang salah dan menyimpang.

Jadi di samping kita mengetahui apa itu Tauhid, apa itu akidah yang benar, tidak kurang juga kita perlu mengetahui tentang apa itu kesyirikan.

APA ITU SYIRIK?

Dari segi bahasa, Syirik ialah menyekutukan; mengadakan sekutu.

Bahkan di dalam bahasa Melayu ada perkataan Syarikat. Syarikat berasal dari perkataan Arab yang sama dengan Syirik, bermaksud bersekutu. Jelas bahawa Syarikat adalah himpunan dua orang atau lebih yang menjadi rakan kongsi dan bersekutu dalam mengusahakan perniagaan mereka.

Jelas di sini penggunaan perkataan Syirik yang bermaksud menyekutukan Allah di dalam perkara-perkara yang membabitkan ketuhanan, sama ada di dalam Rububiyah (penguasaan dan kekuasaan Allah) contohnya mempercayai ada kuasa-kuasa di samping Allah, percaya adanya pentadbir urusan alam ini selain Allah, itu contoh Syirik di dalam Rububiyah.

Syirik dalam Rububiyah ini akan berlanjutan dan terpalit pada Syirik di dalam Uluhiyah, iaitu mengibadahi (menyembah, berdoa kepada) Tuhan lain di samping beribadah kepada Allah, percaya bahawa perlu ditujukan ibadah kepada selain Allah di samping ibadahnya kepada Allah.

Syirik Rububiyah dan Uluhiyah ini berkait rapat bahkan tidak boleh dipisahkan. Kesimpulannya, apabila dikatakan Syirik bererti menyekutukan Allah di dalam Rububiyah dan juga Uluhiyah. Percaya adanya Tuhan-Tuhan atau kuasa-kuasa di samping Allah yang perlu ditujukan kepadanya Ibadah.

CONTOH-CONTOH SYIRIK DALAM IBADAH

1)      DOA

Apabila dikatakan Syirik, kebiasaannya ia berkisar dalam ibadah doa, meminta, menyeru, dan bermunajat. Disekutukan Allah di dalam doa itu. Asal doa itu adalah kepada Allah semata-mata. Tetapi mereka yang Syirik menyeru dan berdoa kepada selain daripada Allah.

2)      MENYEMBELIH

Selain doa adalah perkara-perkara ibadah lain yang sepatutnya ditujukan kepada Allah semata-mata tetapi mereka tujukan kepada selain Allah. Kebiasaannya seperti menyembelih.

Sembelih bukanlah urusan dunia semata-mata. Walaupun haiwan itu disembelih untuk dimakan dan untuk kenyang, di mana secara zahirnya ia kelihatan seperti urusan dunia, tetapi hakikatnya sembelih merupakan satu ibadah. Ketika sembelih, ketika dibawakan pisau ke leher haiwan, itu adalah urusan ibadah yang hanya boleh dikhaskan untuk Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kerana itulah kita kena mengucapkan Bismillah. Jika tidak diucapkan Bismillah, sembelihan itu akan menjadi bangkai, tidak boleh dimakan, tidak halal. Ucapan Bismillah yang diucapkan ketika sembelih itu sahaja yang akan menjadikan haiwan itu halal dan boleh dimakan.

3)      BERNAZAR

Dalam bernazar iaitu berazam untuk melakukan sesuatu, di situ juga boleh berlaku kesyirikan, iaitu apabila bernazar untuk melakukan sesuatu kerana selain daripada Allah.

4)      TAKUT, BERHARAP, CINTA YANG MELAMPAU

Begitu juga perasaan takut, berharap dan cinta yang melampau dan melebihi biasa kepada sesama makhluk. Perasaan takut, harap, dan cinta yang biasa tidak ada masalah, contohnya takut kepada harimau. Tetapi jika rasa takut itu melampaui had, ia akan masuk ke dalam kesyirikan, kerana kita hanya boleh takut, berharap dan cinta secara mutlak kepada Allah semata-mata.

SYIRIK DOSA PALING BESAR

Mengenangkan Syirik ini berlawanan sama sekali dengan tunjang agama iaitu Tauhid, maka Syariat Islam mengkategorikan Syirik sebagai dosa yang paling besar. Mengapa ia dikategorikan sebagai dosa yang paling besar?

Pertama:

Orang yang melakukan Syirik telah menyamakan Allah dengan makhluk di dalam perbuatan Syirik yang dilakukannya.

Contohnya, doa sepatutnya hanya ditujukan kepada Allah, tetapi apabila dia berdoa kepada selain Allah, dia telah menyamakan Allah dengan makhluk yang dia doa kepadanya. Dia mempunyai kepercayaan yang sama kepada selain Allah yang dia tujukan doanya tadi. Kerana itu di dalam Surah Luqman ayat ke-13, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

“Sesungguhnya Syirik itu adalah kezaliman yang paling besar” (Surah Luqman: 13) kerana pelakunya telah menyamakan Pencipta dengan makhluk, tidak kira sesiapa pun makhluk itu sedangkan jurang perbezaan antara Allah dan makhluk adalah tidak terhingga.

Apakah yang dimaksudkan dengan zalim?

Kadang-kadang orang keliru juga dengan maksud zalim. Perkataan zalim sudah jadi biasa di lisan dan telinga kita. Kalau kita biasa dengar Syirik itu perkara yang zalim, itu tidak mengapa, malah itu bagus supaya orang sentiasa berusaha untuk memantapkan akidah. Tetapi sebaliknya yang biasa kita dengar hanyalah kerajaan zalim.

Kita kena tahu apa itu kezaliman. Secara umumnya, zalim itu adalah lawan kepada adil. Zalim adalah ‘meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya’. Allah Subhanahu wa Ta’ala mengatakan bahawa pelaku Syirik telah melakukan kezaliman kerana perbuatan ibadah yang sepatutnya diletakkan dan ditujukan kepada Allah, dia telah meletakkan dan menujukannya kepada selain Allah. Maka di situ kaitan antara Syirik dengan kezaliman sangat jelas.

Kedua:

Syirik dikategorikan sebagai perbuatan dosa yang paling besar kerana Allah telah menyebutkan di dalam Al-Quran bahawa mereka yang melakukan Syirik dan tidak bertaubat daripadanya, nescaya tidak akan diampunkan dosanya itu. Tiada maaf bagi mereka yang melakukan kesyirikan. Hal ini sebagaimana yang disebut di dalam Surah Al-Nisa, ayat yang ke-48,

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa Syirik, dan Dia boleh mengampunkan dosa yang selain daripada itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh dia telah melakukan dosa yang besar.” (Surah An-Nisaa, 4: 48).

Ini merupakan satu prinsip Ahli Sunnah; Dosa Syirik tidak akan diampunkan, manakala selain dosa Syirik boleh diampunkan oleh Allah bagi siapa yang dikehendaki oleh Allah.

Sebesar-besar dosa mana pun yang dilakukan oleh seorang manusia (selain Syirik), kebarangkalian untuk Allah ampunkan itu ada (walaupun dia tidak bertaubat). Jangan kita kata bahawa dosa seseorang itu tidak akan diampunkan. Sebutkan sahaja apa dosa selain Syirik; Berzina, minum arak, rasuah, bunuh orang, macam-macam dosa yang besar-besar, kesemua itu Allah boleh ampunkan kalau Allah mengkehendakinya, dan kepada siapa yang Allah kehendaki.

Boleh jadi Allah ampunkan si fulan, tetapi bagi si fulan yang lain Allah tidak ampunkan walaupun kedua-duanya melakukan dosa yang sama. Tetapi atas sebab-sebab yang tertentu Allah mengampunkan si fulan dan tidak mengampunkan si fulan. Tetapi kalau dosa Syirik, Allah sama sekali tidak akan mengampunkannya.

Ketiga:

Dosa Syirik dikatakan dosa yang paling besar kerana mengenangkan Allah tidak mengampunkan dosa Syirik, maka lanjutan daripada itu dapat disimpulkan bahawa tempat orang yang melakukan Syirik di Akhirat kelak adalah di dalam Api Neraka, kekal abadi selama-lamanya. Tidak akan mereka keluar daripada Api Neraka. Jangan mimpi hendak keluar kerana ini adalah janji Allah Subhanahu wa Ta’ala seperti mana firmanNya dalam Surah Al-Ma-idah ayat ke-72,

إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ

“Sesungguhnya barangsiapa yang menyekutukan Allah, maka Allah pasti mengharamkan ke atasnya Syurga, dan tempat tinggalnya di dalam Api Neraka, dan bagi siapa yang melakukan kezaliman (kesyirikan) tidak ada sesiapa yang dapat membantu (untuk mengeluarkannya dari Neraka).” (Surah Al-Ma-idah, 5: 72)

Keempat:

Syirik itu dikategorikan sebagai dosa yang paling besar kerana Syarak melihat bahawa orang yang melakukan Syirik seperti mana halnya orang Kafir, Musyrikin, atau orang Islam yang murtad tidak kira di mana sama ada di Barat, Timur, Utara dan Selatan, amal pahala mereka terhapus dan terbatal sama sekali. Walaupun sebelum dan selepas itu mereka melakukan kebaikan-kebaikan sebesar gunung.

Disebabkan perbuatan Syirik yang mereka lakukan dan mereka tidak bertaubat daripadanya, akhirnya pahala-pahala yang mereka lakukan itu tidak bernilai sama sekali di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Hal ini seperti mana di dalam Surah Al-An’aam ayat ke-88,

وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُم مَّاكَانُوا يَعْمَلُونَ

“Dan sekiranya mereka melakukan Syirik nescaya terbatallah apa yang mereka kerjakan (seluruh amal kebaikan).” (Surah Al-An’aam, 6: 88)

Begitu juga dalam Surah Az-Zumar ayat ke-65, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِّنَ الْخَاسِرِينَ

“Sekiranya engkau melakukan Syirik nescaya akan terbatallah amalan engkau dan engkau akan tergolong di kalangan orang-orang yang rugi.” (Surah Al-Zumar, 39: 65)

Jadi perbetulkan pemahaman kita, kerana kadang-kadang ada suara-suara sumbang yang mengatakan bahawa amalan orang kafir yang baik itu dikira oleh Allah.

Kalau kita lihat, adakah orang-orang kafir ini semuanya jahat-jahat? Tidak. Ada orang-orang kafir yang baik. Tingkah lakunya baik, akhlaknya baik, suka tolong orang, suka bersedekah, menolong anak yatim, mengajar pelbagai jenis ilmu, memberi bantuan kepada orang-orang susah, semua ini dilakukan juga oleh orang kafir. Persoalannya, adakah mereka akan mendapat pahala di sisi Allah?

Percayalah bahawa mereka tidak mempunyai apa juga pahala sama sekali, kerana walaupun mereka melakukan kebaikan-kebaikan itu, tetapi dalam masa yang sama kerana mereka melakukan sebesar-besar dosa iaitu kesyirikan, akhirnya kebaikan di sisi mereka itu tidak bernilai di sisi Allah. Kecuali jika mereka bertaubat (masuk Islam).

Sekiranya mereka bertaubat, Allah sama sekali tidak akan menzalimi mereka, sebaliknya amalan-amalan mereka yang sebelum ini akan dikira sebagai amalan-amalan yang mereka dapat pahala daripadanya. Tetapi jika mereka kufur, begitu juga bagi orang Islam yang murtad –na’uzubillah- maka amalannya sebelum ini, solat, puasa yang dilakukan, semua itu terbatal dan tergugur serta tidak akan bernilai sama sekali di sisi Allah.

(Disalin dari rakaman Forum Bomoh, Sihir & Tangkal, 28/04/2013)