TASFIYAH & TARBIYAH – SOLUSI PERMASALAHAN UMAT ISLAM (2)

Abu Omar, Idris bin Sulaiman

(Teks disalin dari rakaman tazkirah bertajuk Tasfiyah & Tarbiyah, 20/06/2009)

SAMBUNGAN DARI BAHAGIAN 1

tashfiyah tarbiyyahJika sebelum ini kita telah menolak pendapat yang mengatakan ekonomi merupakan punca kelemahan umat Islam, ada yang memberi pendapat kedua; iaitu umat Islam lemah dan mundur kerana mereka berpecah, maka kerana itu umat Islam perlu disatukan tanpa mengira perbalahan ataupun pertikaian yang ada. Kita lihat jawapan ini betul atau tidak.

Kita jelas bahawa umat Islam berpecah kepada bermacam-macam aliran; dalam masalah akidah pun kita berpecah. Adakah umat Islam satu akidah? Tidak, umat Islam bermacam-macam akidah. Ada Syiah, Sufi, Khawarij, Murji-ah, Bathiniyyah, Mu’tazilah, Ahli Kalam yang bermacam-macam di dalamnya; Mu’tazilah, Jahmiyyah, Maturidiyah dan sebagainya. Syiah juga berpecah kepada Rafidhah dan macam-macam lagi, Rafidhah pula berpecah lagi kepada Itsna ‘Asyariyah (Imam 12) seperti mana di Iran sekarang. Itsna Asyariyah ini berpecah lagi kepada 2 kumpulan.

Jadi pendapat kedua ini mengatakan kita kena himpunkan dan satukan semua umat Islam yang berpecah-pecah ini atas dasar Islam. Pernah atau tidak kita dengar usaha untuk menyatukan orang Syiah dan Sunnah? Pernah dengar atau tidak orang mengatakan, ‘Jangan gaduh-gaduh, engkau Syiah aku Sunnah, kita sama-sama Islam, kita kawan, musuh kita Israel, musuh kita Barat.’

Mereka tidak nampak musuh yang lain kecuali hanya Israel dan Barat. Sedangkan tidak kira Israel atau sesiapa sahaja asalkan dia adalah kafir, memang musuh mereka adalah Islam. Dan kerana itu musuh orang Islam adalah orang kafir. Namun mereka mengatakan bahawa kita perlu bersatu tanpa mengira fahaman yang berbeza-beza dan bercanggah-canggah.

SYIAH TIDAK MUNGKIN BERSATU DENGAN SUNNAH

Lihat sahaja apa fahaman orang Syiah? Mereka mengatakan bahawa Al-Quran yang kita gunakan bukan Al-Quran yang sempurna, ada Surah yang kurang, antaranya Surah Al-Wilayah tidak ada di dalam Al-Quran kita. Mereka mencela para sahabat dan isteri-isteri Rasulullah. Mereka mengatakan bahawa Aisyah adalah perempuan penzina, Saidina Omar, Saidina Othman semuanya telah murtad selepas Rasulullah wafat –na’uzubillah-.

Orang-orang Bathiniyyah lebih parah. Mereka mengatakan tidak perlu kita solat seperti mana solat Rasulullah, sudah memadai kita solat dengan niat sahaja.

Bagaimana kita hendak bersatu dengan orang-orang yang seperti ini? Kita datang solat, dia tidak solat. Kita mengatakan sahabat Rasulullah yang paling mulia adalah Abu Bakar, mereka mengatakan Abu Bakar adalah seburuk-buruk sahabat, apabila Rasulullah wafat dia murtad.

Bagaimana kita hendak bersalam dengan orang-orang sebegini sedangkan fahaman akidah mereka berbeza, amalan mereka berbeza. Orang Syiah ke mana-mana mereka pergi kena bawa batu Karbala, apabila solat kena letak batu di tempat sujud. Nanti kita pun keliru, ‘Aku pun kena bawa batu ke?’

Bagaimana kita hendak bersatu dengan mereka, bagaimana kita hendak solat dengan mereka, dan bagaimana kita hendak berjihad dengan mereka?

Ada satu firqah mereka bernama Duruz yang masih ada sampai zaman sekarang. Mereka bertempat di Lubnan. Fahaman mereka bukan setakat bercanggah, malah dalam peperangan antara orang-orang Arab dan Israel sebelum ini, orang-orang Duruz inilah yang menjadi punca kekalahan orang-orang Islam. Orang-orang Duruz inilah yang membuka jalan bagi orang-orang Israel masuk dari arah Lubnan. Mereka memberi laluan kepada tentera Israel untuk menyerang tentera Islam.

Kita hendak bersatu dengan orang seperti ini? Silap-silap dia yang akan membuka pintu kepada musuh untuk menyerang Islam. Bagaimana kita hendak bersatu dengan mereka? Orang-orang Duruz pada zaman sekarang ada satu masjid yang sangat besar dan sangat cantik dibina dan dibiayai oleh Israel. Kerana kita tahu orang-orang Duruz mereka mengaku Islam tetapi mereka adalah musuh dalam selimut. Inilah pintu untuk musuh masuk dan menyerang orang-orang Islam.

Jadi adakah pendapat kedua yang mengatakan bahawa kita perlu bersatu tanpa mengira fahaman boleh diterima? Jawapannya tidak.

Malah orang-orang Syiah mengatakan bahawa orang-orang Sunnah adalah kafir. Kalau ditanya kepada orang-orang Syiah siapakah musuh utama mereka, dalam surat khabar memang mereka kata Israel. Tetapi betul ataupun tidak? Kalau kita lihat pada fahaman dan buku rujukan mereka, kita akan dapati bahawa musuh utama mereka adalah orang-orang Sunnah. Mereka menganggap orang-orang Sunnah inilah yang perlu dihapuskan sebelum hendak menghapuskan musuh-musuh yang lain. Jadi bagaimana kita hendak bersatu dengan firqah-firqah Islam yang berpecah-pecah dan bercanggah-canggah ini.

Maka alasan kedua yang mengatakan umat Islam perlu bersatu tanpa mengira fahaman juga tidak boleh dipakai. Lalu bagaimana untuk kita mengembalikan kekuatan Umat Islam dan kemuliaan Islam?

APABILA MANUSIA DISIBUKKAN DENGAN DUNIA

Hakikatnya, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah menjelaskan hal ini di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud,

إِذَا تَبَايَعْتُمْ بِالْعِينَةِ وَأَخَذْتُمْ أَذْنَابَ الْبَقَرِ وَرَضِيتُمْ بِالزَّرْعِ وَتَرَكْتُمْ الْجِهَادَ سَلَّطَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ ذُلًّا لَا يَنْزِعُهُ حَتَّى تَرْجِعُوا إِلَى دِينِكُمْ

“Apabila kamu telah berjual beli dengan ‘inah, dan kamu mengambil ekor lembu dan kamu redha dengan tanaman, dan kamu meninggalkan jihad maka Allah akan menimpakan ke atas kamu kehinaan dan Allah tidak mencabutnya dari kamu sehingga kamu kembali kepada agama kamu.” (Riwayat Abu Dawud. Disahihkan oleh Syaikh Al-Albani)

Kalau kita perhatikan hadis ini elok-elok dan kita cuba fahami, sebenarnya Baginda Rasulullah 1400 tahun yang lalu sudah menjelaskan tentang masalah yang akan dihadapi oleh Umat Islam dan juga cara untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Jika kamu sudah mula berjual beli dengan cara ‘inah; Jual beli ‘inah belum wujud pada zaman Rasulullah. Tetapi Rasulullah dengan wahyu daripada Allah telah mengetahui dan menjangka apa yang akan berlaku.

Apa itu jual beli ‘inah? ‘Inah adalah sejenis jual beli riba’. Riba ada bermacam-macam bentuk. Ada riba fadhl, riba nasi-ah. Tetapi salah satu bentuk jual beli riba adalah jual beli ‘inah. Mengapa Rasulullah menyebut jual beli ‘inah daripada banyak-banyak jenis jual beli yang lain? Mengapa Rasulullah tidak mengatakan apabila kamu berjual beli dengan riba, mengapa Rasulullah mengatakan jual beli ‘inah? Kita lihat bagaimana jual beli inah ini berlaku.

Contoh:

Seseorang datang kepada saya dan hendak membeli sebatang pen. Saya kata kepadanya, harga pen tersebut ialah RM10. Tetapi si pembeli tidak memiliki RM10. Maka saya menjualnya secara hutang dan saya tidak mengambil apa-apa wang. Beberapa ketika setelah itu, saya membeli semula pen itu, tetapi saya membelinya dengan harga RM8 tunai; saya memberi kepadanya RM8 dan saya mengambil semula pen itu.

Ini sebenarnya adalah muslihat (helah). Saya memberi kepadanya RM8 dan mengambil pen itu, tetapi orang tadi perlu mengembalikan kepada saya RM10. Dia mendapat RM8 dan perlu membayar semula RM10. Di sebalik jual beli ini, saya untung sebanyak RM2 dan pen itu masih milik saya. Jual beli itu sebenarnya tidak berlaku kerana barang itu masih milik saya bahkan saya mendapat RM2.

Dalam contoh ini, saya sebenarnya mahukan RM2 tetapi saya mendapatkannya dengan cara muslihat kononnya berjual beli tetapi hakikatnya ia adalah pinjaman riba. Inilah yang dimaksudkan dengan jual beli ‘inah, satu muslihat yang dilakukan atas nama jual beli untuk mendapat pinjaman riba.

Jangan merasa pelik, dukacitanya jual beli seperti ini memang ada pada zaman sekarang. Jika kita lihat pada zaman sekarang, jual beli riba memang telah berleluasa. Hendak pinjam RM10 kemudian bayar balik RM10? Pergilah buat pinjaman di bank, pergilah ke beratus-ratus bank di dunia ini, hendak pinjam RM1000 contohnya kemudian hendak bayar balik RM1000? Jangan harap, memang kita tidak akan jumpa. Kerana semua pinjaman sekarang berurusan secara riba, ianya sudah berleluasa.

Malah ada yang mengatakan bahawa memberikan pinjaman tanpa riba adalah rugi. Apa faedahnya membuka bank dan memberi pinjaman tanpa faedah/riba? Mereka mengatakan itu rugi. Sedangkan kita melihat bahawa memberi pinjaman tanpa riba itu merupakan satu keuntungan, iaitu keuntungan dari segi pahala. Malah di dalam hadis, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengatakan,

دخل رجلٌ الجنَّةَ ، فرأى مكتوبًا على بابها : الصدقةُ بعشر أمثالِها ، والقرضُ بثمانيةَ عشرَ

“Seorang lelaki memasuki Syurga lalu dia melihat tertulis di atas pintunya: Sedekah dibalas dengan sepuluh kali ganda, manakala memberi pinjaman dibalas dengan lapan belas (kali ganda).” (Riwayat Al-Thabarani dan Al-Baihaqi, dinilai hasan oleh Syaikh Al-Albani dalam Shahih al-Targhib)

Begitu banyak sekali keuntungan dari segi pahala dan ganjaran daripada Allah terhadap orang yang memberi pinjaman (tanpa mengambil sebarang keuntungan dunia). Tetapi mereka melihat bahawa urusan sebegitu merugikan.

Kamu mengambil ekor lembu; maknanya kamu sibuk dengan membajak, berkebun ataupun menjaga tanaman.

Kamu redha dengan tanaman; iaitu kamu sibuk dengan menanam, dan sibuk dengan harta kekayaan.

Dalam erti kata lain manusia telah sibuk dengan urusan dunia, tidak fikir tentang yang lain lagi, ‘Orang kafir pun orang kafirlah, asalkan aku dapat jaga aku punya periuk nasi, aku dapat jaga aku punya sawah padi. Selain itu bukan urusan aku.’

Kesudahannya apabila sudah sibuk dengan harta, terlibat dengan riba, sibuk dengan haiwan ternakan dan kekayaan, sibuk menjaga tanaman yang ada, apa yang akan berlaku? Nabi mengatakan bahawa manusia akan meninggalkan jihad.

Apabila Umat Islam masing-masing sibuk dengan dunia, jangan haraplah mereka akan berfikir tentang jihad. Untuk apa bunuh diri, baru bermewah-mewah, hendak suruh pergi berjihad? Hidupnya untuk membuat rumah. Kumpul duit, kumpul duit, kemudian buat rumah cantik-cantik, kelengkapan serba lengkap.

Tiba-tiba kita suruh dia berjihad untuk menentang orang kafir. Dalam berjihad, peratus untuk mati memang ada. Adakah dia nak buat? Memang peluang itu sangat tipis.

Lalu apa yang berlaku? Allah akan menimpakan kehinaan ke atas kamu. Itu natijahnya, Allah akan menurunkan kehinaan ke atas umat Islam.

Kalau kita lihat pada zaman sekarang ini, semua itu memang sudah berlaku. Memang Umat Islam dalam keadaan serba hina dan lemah. Maka dalam keadaan seperti ini, apa yang perlu kita buat? Rasulullah telah menjelaskan di dalam hadis, Baginda tidak membiarkan kita di awang-awangan dan terkapai-kapai.

Rasulullah menjelaskan, sehingga kamu kembali kepada agama kamu. Itulah solusinya. Itulah penyelesaian kepada keadaan yang sedang kita hadapi pada zaman sekarang. Hendaklah kamu kembali kepada agama kamu. Barangkali ada yang kata, ‘Mudah sahaja, apa yang susahnya kembali kepada agama? Jom kita kembali kepada agama.’

Di awal tadi kita telah sebutkan tentang banyaknya firqah-firqah di kalangan Umat Islam. Malah kalau seorang itu baru masuk Islam, dia boleh jadi pening melihat ada sunnah, ada sufi, ada tarikat yang bermacam-macam, mazhab feqah yang berbagai-bagai, mana satu agama Islam yang dia hendak ambil?

Ahli Sunnah sahaja berpecah kepada Asyairah, Maturidiyah, Ahlul Hadis. Banyak di kalangan masyarakat awam mengatakan aku Asyairah. Dia tidak tahu bahawa Asyairah bukan daripada Ahlus Sunnah, ada lagi satu iaitu Maturidiyah. Asyairah dan Maturidiyah ibarat adik beradik. Alang-alang ambil Asyairah dia ambil lagi satu Maturidiyah, gabungkan. Jadi mana satu yang benar?

Kerana itu, untuk kita mempraktikkan apa yang disarankan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ‘hendaklah kamu kembali kepada agama kamu’, kita perlu mengerahkan usaha untuk melaksanakan seruan kepada tasfiyah dan tarbiyah.

APA ITU TASFIYAH DAN TARBIYAH?

Tasfiyah – Membersihkan ajaran Islam daripada segala ajaran asing yang telah meresapinya.

Tarbiyah – Mendidik masyarakat Islam akan ajaran Islam yang sebenar.

Kita telah jelaskan bahawa Umat Islam berpecah kepada banyak firqah, bermacam-macam mazhab, parti, ajaran, fahaman, tarikat, kumpulan yang saling berbeza-beza dan bercanggah-canggah. Satu kata ini bid’ah, satu kata ini tidak bid’ah. Satu kata ini wajib, satu kata tidak wajib. Satu kata ini halal, satu kata ini haram. Satu kata ini syirik, satu kata ini dituntut oleh Islam. Saling bercanggah-canggah di dalam satu masalah.

Kerana itu hendaklah dipraktikkan tasfiyah; iaitu usaha ke arah membersihkan ajaran Islam daripada segala ajaran asing yang telah meresap dan masuk ke dalam ajaran Islam lalu dianggap sebagai sebahagian daripada ajaran Islam, sedangkan Al-Quran dan Sunnah berlepas diri daripadanya. Ajaran yang bukan diajar oleh Rasulullah, tetapi telah masuk ke dalam ajaran Islam.

Perlu ada usaha untuk menjelaskan bahawa tambahan-tambahan ini bukan daripada Islam. Itu yang pertama.

Setelah dijelaskan benda-benda asing yang telah meresapi ajaran Islam (syirik, bid’ah, maksiat), baru kita praktikkan langkah yang kedua iaitu Tarbiyah. Hendaklah dididik masyarakat Islam akan ajaran Islam yang sebenar, yang bersih daripada sebarang tambahan, yang terpelihara daripada sebarang pengurangan. Ajaran Islam seperti mana yang datang daripada Al-Quran dan Sunnah kerana itulah dua rujukan asas kita. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengatakan,

لَنْ تَضِلُّوْا مَا إِنْ تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا؛ كِتَابُ اللهِ وَسُنَّتِي

“Kalian tidak akan sesat selama kalian berpegang teguh dengan keduanya: Kitabullah dan sunnahku.” (Syaikh Al-Albani dalam Manzilatus Sunah berkata: Isnadnya hasan)

ASAS TASFIYAH DAN TARBIYAH ADALAH ILMU

Walaubagaimana pun, untuk menerapkan tasfiyah dan tarbiyah ini hendaklah bermula dengan ilmu. Hendaklah kita belajar terlebih dahulu. Kita kena tahu sebelum kita mengatakan ini betul ini tidak betul.

Perlu kepada ilmu, perlu kepada usaha untuk menyelidik ajaran Islam yang sebenar. Perlu buka semula Al-Quran, buka semula Sunnah untuk mengenalpasti mana satu ajaran Islam yang sebenar, dan yang mana satu bukan daripada ajaran Islam.

Hakikatnya ini adalah satu usaha besar yang sentiasa perlu dilaksanakan oleh golongan pendakwah-pendakwah Islam secara khususnya, kerana ini bukan satu perkara yang mudah, disebabkan banyaknya benda-benda asing yang telah meresap ke dalam ajaran Islam.

SYIRIK DAN KHURAFAT DALAM AKIDAH

Contohnya di dalam masalah akidah iaitu asas Islam itu sendiri, di dalam masalah percaya kepada kekuasaan dan ketuhanan Allah, perkara ini sahaja sudah diresapi benda-benda asing berunsur syirik. Ada di kalangan umat Islam yang percaya kepada kuasa halus, kuasa alam semesta selain daripada Allah. Mereka percaya bahawa benda-benda ini berkuasa juga dalam menentukan perkara yang berlaku.

Ada yang percaya kepada wali-wali yang ada kuasa ajaib, boleh terbang dan sebagainya. Ada yang mengatakan bahawa wali-wali ini mengetahui perkara-perkara ghaib. Ini semua membawa kepada syirik. Wali ini kata ‘engkau kena buat sekian sekian untuk engkau berjaya dalam hidup, kalau tidak engkau akan ditimpa nasib malang’. Ini semua benda-benda khurafat yang telah meresap ke dalam pemikiran masyarakat Islam.

Ada yang percaya kepada tangkal, ada yang percaya kepada bomoh. Masyarakat Islam ramai yang memakai tangkal, memakai gelang-gelang, batu-batu yang dipercayai ada kuasa dan memberi kebaikan kepada pemakainya. Jangan kita kata mereka sengaja memakainya kerana hendak nampak lawa. Sedangkan dia itu lelaki. Mana ada lelaki memakai perhiasan-perhiasan. Kalau lelaki yang memakai gelang-gelang ini, berkemungkinan ada unsur syirik di mana dia percaya bahawa gelang-gelang itu boleh memelihara atau melindunginya. Itu adalah syirik yang jelas.

Ada yang percaya kepada kuasa kubur. Pergi ke kubur dan menyeru penghuni kubur, berdoa dan meminta pertolongan di kubur. Ini juga syirik. Malah jangan kita hairan di sesetengah perkuburan dibuat binaan di atas kubur, diletak batu-batu, disimen. Dan di sesetengah negara, bukan setakat simen, kubur itu dijadikan seperti rumah, malah ada yang sampai ada penjaga di pintu bilik kuburnya. Ini perkara yang jelas menyeleweng. Kesudahannya orang Islam pergi ke kubur malah sampai ke tahap bertawaf sekeliling kubur itu.

Ada yang pergi ke kubur untuk membaca Al-Quran sedangkan Al-Quran itu dibaca di rumah, atau di masjid, bukan untuk dibaca di kubur. Itu dilarang sama sekali di dalam ajaran Islam. Tetapi mereka menjadikan kubur sebagai tempat untuk membaca Al-Quran. Ini adalah contoh penyelewengan di dalam masalah akidah, di mana ia pada hari ini telah dianggap sebahagian dari agama.

TAKSUB MAZHAB DALAM MASALAH FEKAH

Dalam masalah fekah pula, banyak juga unsur dan fahaman salah yang telah menyerap seperti mana yang kita ketahui, masalah mazhab; Hanafi, Maliki, Syafi’i, Hanbali dan sebagainya. Masing-masing merasa mazhabnya yang betul. Hendak mengatakan kesemua mazhab ini betul tidak tepat juga, satu mazhab kata wajib, satu mazhab kata sunat, satu mazhab kata makruh, satu mazhab kata haram. Semua betul? Mana boleh. Satu mazhab kata boleh, satu mazhab kata tidak boleh. Mustahil kedua-duanya betul. Pasti ada satu yang betul dan satu lagi salah.

Semua umat Islam mengaku bahawa mereka berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah, tetapi kita dapati itu dakwaan semata-mata. Majoriti masyarakat hanya ta’assub kepada mazhab. Jika ditanya mengapa engkau solat begini, jawabnya ‘Aku mazhab Syafi’i. Engkau solatlah ikut mazhab engkau’. Masing-masing fanatik kepada mazhab. Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala mengatakan,

فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ

“Jika kamu berselisih tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Al-Sunnah).” (Surah An Nisa, 4: 59)

Maka bolehkah apabila kita melihat solat kita berbeza kemudian kita kata ‘Aku ikut mazhab aku, engkau ikut mazhab engkau’? Sedangkan Allah memerintahkan supaya kita mengembalikan perselisihan itu kepada Al-Quran dan Al-Sunnah. Kaji balik mana yang betul merujuk kepada hadis, kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya.

Kerana itu kita perlu tasfiyah. Kita perlu kaji masalah yang diperselisihkan dengan mengembalikan setiap perselisihan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah. Begitu juga kita kena perbetulkan kesalahan-kesalahan fahaman di kalangan masyarakat. Banyak masalah-masalah ibadah dalam sembahyang, puasa, zakat, haji, dan sebagainya.

Walaupun masalah fekah tidak seberat masalah akidah, tetapi perlu dijelaskan juga. Tidak boleh kita berdiam diri sahaja. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al-Quran,

عِنَ الَّذِيْنَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيْلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُدَ وَعِيْسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُوْنَ. كَانُوا لاَ يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوْهُ

“Telah terlaknat orang-orang kafir dari kalangan Bani Israil melalui lisan Nabi Dawud dan Nabi ‘Isa bin Maryam. Hal itu kerana mereka bermaksiat dan melampaui batas. Mereka tidak saling melarang dari kemungkaran yang mereka lakukan.” (Al-Ma-idah, 5: 79-78)

Rasul-rasul yang diutuskan sebelum Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam diutuskan kepada Bani Israel tetapi kesudahannya Allah melaknat Bani Israel kerana mereka apabila melihat perkara yang mungkar mereka membiarkannya.

Oleh kerana itu perkara yang salah perlu dijelaskan. Tidak boleh kita diam kerana hendak mengambil hati, akhirnya akan menyebabkan masyarakat kekal di dalam kesesatan, kejahilan, dan kegelapan. Kerana itu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيْمَانِ

“Barangsiapa di antara kalian melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, jika tidak mampu maka dengan lisannya, jika tidak mampu maka dengan hatinya, itulah selemah-lemahnya iman.” (Riwayat Muslim)

Kerana itu, perkara yang salah, tidak betul, mungkar, syirik, bid’ah, maksiat perlu dijelaskan kepada masyarakat.

BERSIHKAN HADIS DARIPADA YANG PALSU DAN DHAIF

Di dalam usaha tasfiyah iaitu membersihkan ajaran Islam daripada segala yang asing, hendaklah dijelaskan juga akan kedudukan hadis-hadis. Kalau Al-Quran tidak ada masalah. Kita mengetahui bahawa Al-Quran itu sempurna bermula dari surah Al-Fatihah sampai surah Al-Nas, malah usaha-usaha yang dilakukan untuk menokok tambah Al-Quran oleh golongan Syiah telah dibuktikan gagal. Al-Quran tetap terpelihara.

Tetapi masalah hadis tidak seperti Al-Quran. Seperti mana yang kita lihat, banyak hadis-hadis yang menjadi pegangan masyarakat Islam adalah hadis-hadis dhaif (lemah) yang tidak boleh dijadikan sandaran di dalam amalan. Malah tidak kurang banyaknya hadis-hadis palsu (yang direka-reka). Perlu ada usaha untuk menjelaskan kepada masyarakat akan hadis-hadis yang sahih dan yang batil.

Contohnya adalah hukum bercerai. Ada yang mengatakan hukum cerai adalah makruh. Banyak ceramah dan khutbah nikah mengatakan jangan bercerai, hukumnya makruh (dibenci oleh Allah). Kemudian dia membawakan hadis “Sesungguhnya perkara halal yang paling dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah talak.” Sedangkan kalau kita selidik kedudukan hadis ini adalah dhaif. Tidak sahih. Tidak boleh diguna pakai.

Seperti mana nikah; boleh jadi wajib, sunat, mubah, makruh, haram. Nikah boleh jadi haram kalau niat nikahnya itu untuk menyakiti pasangannya. Maka hukum cerai juga sama. Barangkali wajib, barangkali sunat, harus, makruh, dan haram. Kerana hadis yang mengatakan ‘perkara halal yang paling dibenci oleh Allah adalah talak’ adalah hadis yang tidak sahih. Maka ia kembali kepada hukum asal.

HADIS PERPECAHAN ADALAH RAHMAT

Ada di kalangan masyarakat yang mengatakan tidak mengapa umat Islam berpecah, kerana ada hadis yang mengatakan “ikhtilafu ummati rahmah” (perpecahan umatku adalah rahmat). Maknanya perpecahan itu suatu perkara yang baik.

Hakikatnya, hadis itu bukan setakat dhaif, malah tidak ada sanad langsung. Tidak diketahui siapa perawinya. Jadi inilah antara contoh hadis-hadis yang perlu dibersihkan.

Kesimpulannya, perlu ada usaha ke arah tasfiyah dan tarbiyah, dan ia perlu bermula dengan mencari ilmu kerana kita kena tahu apa ajaran Islam yang sebenarnya, barulah kita boleh membersihkan perkara-perkara asing dan mengajarkan ajaran Islam yang sebenar kepada masyarakat.

TASFIYAH DAN TARBIYAH BERJALAN SERENTAK DALAM MASA YANG PANJANG

Tasfiyah dan tarbiyah sebaiknya berjalan secara serentak. Kerana sekiranya kita menjelaskan kepada masyarakat akan kesalahan-kesalahan; ini syirik, ini bid’ah, ini maksiat, pastinya masyarakat akan tertanya-tanya, jika ini syirik, ini bid’ah, apa yang betul?

Di situlah kita menerapkan yang kedua iaitu tarbiyah. Contohnya kita mengatakan jangan berdoa kepada syaitan, jangan berdoa kepada orang mati, kemudian mestilah disusuli dengan tarbiyah; hendaklah berdoa kepada Allah semata-mata.

وَلا تَدْعُ مَعَ الله إِلَهًا آخَرَ لا إِلَهَ إِلا هُوَ كُلُّ شَيْءٍ هَالِكٌ إِلا وَجْهَهُ

“Janganlah kamu berdoa di samping Allah, Tuhan yang lain. Tidak ada Tuhan melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali Allah.” (Surah Al-Qasas: 88)

Hendaklah kita tahu bahawa tasfiyah dan tarbiyah memerlukan masa yang panjang. Ia tidak boleh dilakukan dalam masa yang singkat. Apatah lagi untuk membersihkan segala benda baru yang telah meresap ke dalam ajaran Islam, ia bukan satu usaha yang mudah. Ia satu usaha yang sangat besar dan memerlukan masa yang sangat panjang.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berdakwah kepada tauhid selama 13 tahun semasa di Makkah, bahkan dakwah kepada tauhid berterusan sepanjang Baginda di Madinah juga. Rasulullah berdakwah kepada Tauhid, menjelaskan supaya hendaklah beribadah kepada Allah semata-mata, itu sahaja selama 13 tahun.

Nabi Nuh ‘alaihissalam juga menyeru kepada Tauhid sahaja, Tiada Tuhan Selain Allah, berdakwah selama 950 tahun, tetapi tetap ditolak. Ia mengambil jangka masa yang panjang. Hendak mengajar kepada masyarakat akan kalimah Tauhid bukan perkara yang mudah, ia adalah satu usaha yang berterusan.

(Teks disalin dari rakaman tazkirah bertajuk Tasfiyah & Tarbiyah, 20/06/2009)