Q&A – BOLEHKAH UNDI CALON BUKAN ISLAM?

Dijawab oleh: Ustaz Idris Sulaiman

(Disalin dari rakaman sesi soal jawab kuliah umum Demokrasi & Pilihanraya, 30/04/2013)

calon bukan islamSoalan: Jika calon yang bertanding adalah orang bukan Islam mewakili parti kerajaan dan calon Islam mewakili parti pembangkang, siapa patut kita undi? Adakah undi berdasarkan parti ataupun calon?

Jawapan:

Sistem politik negara kita ada berbeza sedikit dengan yang diamalkan di negara-negara lain. Kita melihat sistem politik di negara kita berdiri di atas sistem kepartian, bukan individu.

Barangkali ada calon-calon bebas, itu kita tidak nafikan, tetapi apa yang pasti mereka tidak akan dapat membentuk kerajaan, kerana individu. Yang akan membentuk kerajaan bahkan yang menjadi kerajaan adalah parti.

Kita lihat bahawa kerajaan itu tetap ada. Kerana itu di dalam pilihan raya kita tetap perlu menyokong pemerintah, kerana pilihan raya ini adalah satu muslihat demokrasi yang bertujuan untuk menimbulkan huru-hara. Kerana itu kita perlu berusaha supaya jangan kita merealisasikan matlamat demokrasi itu iaitu untuk menimbulkan huru-hara dan kekacauan.

Jangan kita tertipu. Kononnya ini pilihan raya. Ini adalah kekacauan. Maka perlu dikekalkan pemerintah yang ada, jangan ditukar.

Timbul syubhat. Sekiranya kerajaan yang memerintah meletakkan satu wakil bukan Islam di satu kawasan. Dia pula ditentang oleh wakil Islam dari pembangkang. Yang mana pilihan kita?

Kita tidak nafikan, secara prinsipnya kita mengatakan bahawa perbuatan pemerintah meletakkan calon bukan Islam di kawasan yang ada orang Islam walaupun minoriti itu adalah satu perbuatan maksiat. Ini kerana orang bukan Islam tidak wajar diangkat sebagai pemerintah di kawasan kecil ataupun besar di atas orang Islam.

Hal itu adalah satu perbuatan maksiat, tetapi perbuatan maksiat pemerintah tidak bererti kita dibolehkan menentangnya. Kita akui bahawa ianya satu maksiat, walau bagaimanapun apa yang pasti kerajaan Islam seperti kerajaan di negara kita tetap perlu dipertahankan.

Maka ini bukan satu hujah untuk memberi undi kepada pembangkang. Tetap perlu disokong calon yang bukan Islam dari pihak kerajaan kerana dia hanyalah wakil. Yang pastinya, dia taat pada pemerintah di atasnya dan pemerintah tertingginya adalah pemerintah Islam.

Jangan kita lupa tujuan asalnya iaitu untuk mengekalkan pemerintah yang di atas. Bukan soal wakil calon Islam atau bukan Islam. Soalnya adalah untuk mengekalkan pemerintah Islam yang di atas. Walaupun dengan kita terpaksa memilih wakil yang dicalonkan yang bukan beragama Islam, kerana calon itu walaupun bukan Islam tetapi dia menyokong dan mewakili pemerintah Islam yang di atas. Kita terpaksa memilihnya kerana ini adalah cara untuk mengekalkan pemerintah yang di atas.

Kalau kita menyokong calon pembangkang, sudahlah perbuatannya membangkang. Mana mungkin kita menyokong perbuatan membangkang? Dalam Islam membangkang kerajaan Islam adalah satu perbuatan Khawarij.

Maka ini bukan soal calon Islam ataupun bukan Islam. Ini adalah soal mengekalkan kerajaan Islam yang ada walaupun kita terpaksa memilih wakil yang bukan Islam.

Wallahu a’lam.

(Disalin dari rakaman sesi soal jawab kuliah umum Demokrasi & Pilihanraya, 30/04/2013)