[Q&A] APA KEBURUKAN MENUKAR PEMERINTAH DENGAN CARA UNDI

Dijawab oleh: Ustaz Idris bin Sulaiman

(Disalin dari rakaman sesi soal jawab, Demokrasi & Pilihanraya, 30/04/2013)

keburukan tukar pemerintahSoalan: Apa keburukan menukar pemerintah dengan cara undi yang aman (bukan memerangi)?

Jawapan:

Tidak ada mana-mana pemerintah yang mahu ditukar. Syariat Islam apabila mewajibkan sesuatu atau melarang sesuatu, di antara aspek-aspek yang diraikan adalah sifat fitrah manusia. Tidak ada manusia yang apabila sudah sampai ke satu jawatan walaupun barangkali dia memang tidak elok (tidak layak memegang jawatan itu), dia suka orang lain mengganggu gugat kedudukannya.

Kita tidak perlu memandang jauh. Contoh paling dekat ialah Imam di masjid. Adakah dia suka kalau ada orang lain datang ingin menggantikan tempatnya sebagai imam? Syariat Islam menitik beratkan bukan sahaja aspek luaran bahkan juga aspek psikologi, kerana itu Syariat Islam melarang, sebagaimana Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam,

لا يؤم الرجل الرجل في سلطانه

“Jangan ada seorang lelaki hendak menjadi imam bagi seorang lelaki di tempat kekuasaannya.” (Riwayat Muslim dan Ahmad)

Maknanya jangan ada seseorang itu hendak menjadi imam di satu tempat yang sudah ada imam. Barangkali seseorang itu suaranya lebih sedap dan dia lebih layak menjadi imam, tetapi Islam menitikberatkan soal penjagaan ukhuwah, keharmonian dan kasih sayang sesama kita, juga antara imam itu dan makmumnya. Jadi jangan kita ganggu gugat kedudukannya.

Begitu juga halnya rakyat dengan pemerintah. Tidak ada pemerintah yang suka diganggu gugat kedudukannya. Kerana itu kita melihat bahawa sepanjang sejarah Islam, pada zaman Khulafa Al-Rasyidin, juga pada zaman para Khalifah yang datang sesudah mereka sehinggalah akhir abad yang lalu apabila zaman Khalifah jatuh, majoriti kalau bukan semua Khalifah itu memerintah sehingga ke akhir hayat mereka.

Tidak ada bukti yang lebih jelas selain empat orang Khalifah. Ada mereka tetapkan, Omar Al-Khatthab memerintah 5 tahun, kemudian tukar orang lain? Tidak ada. Apa yang pasti mereka semua memerintah sampai ke akhir hayat mereka.

Ada yang mendakwa ini adalah satu kezaliman. Berhati-hatilah dengan apa yang anda ingin katakan, kerana apa yang pasti ini adalah satu ijma’ (persepakatan) bukan sahaja dari kalangan para Ulama bahkan umat Islam seluruhnya. Mereka bersetuju dengan penetapan ini tanpa ada yang membangkang, tanpa ada yang mengatakan ini satu kezaliman.

Tidak ada seorang pun Ulama terdahulu (salaf) yang mengatakan seseorang itu perlu memerintah dalam tempoh tertentu kemudian pemerintahan itu dibubarkan dan perlu mengadakan pemilihan yang baru. Ini semua batil. Ini semua sistem Thaghut demokrasi.

Soalan: Jika mengatakan tukar pemerintah akan membawa kesan buruk, seolah-olah kita mengetahui perkara ghaib yakni perkara yang belum berlaku.

Jawapan:

Tidak. Kita tidak mendakwa perkara yang ghaib, tetapi itu adalah hikmah yang kita fahami daripada tuntutan Syarak. Ini kerana apa yang pasti, apabila Syarak menetapkan sesuatu ia datang dengan hikmah untuk maslahat (kebaikan) manusia itu juga.

Tidak ada satu hukum di dalam Syarak yang bertujuan untuk membawa mudarat kepada manusia. Sama sekali tidak ada. Maka termasuklah dalam perintah Syarak supaya kita taat kepada pemerintah. Cuma persoalannya adalah sama ada kita faham hikmahnya atau tidak. Kalau ada yang tidak faham tidak mengapa, tunggu tiga hari tiga malam engkau termenung memikirkan hikmahnya, insyaAllah nanti engkau akan faham. Kalau tidak faham juga, kita katakan inna lillahi wa inna ilaihi raji’un, itu masalah engkau.

Apa yang pasti kita faham hikmahnya, kerana ianya sangat jelas. Kerana apa juga usaha untuk menukar pemerintah itu mengenangkan ianya dilarang oleh agama maka pasti kerana ada sesuatu yang buruk yang akan berlaku, contohnya berlaku kekacauan dan sebagainya.

Soalan: Adakah salah beri peluang kepada parti lain untuk memerintah selama beberapa tahun?

Jawapan:

Salah. Kerana tidak menepati Syarak.

Soalan: Jika mereka dapat buktikan mereka dapat memerintah dengan adil, bukankah kebaikannya akan dirasai oleh rakyat juga?

Jawapan:

Ini bukan soal dapat memerintah dengan adil ataupun tidak. Sebaliknya ada tujuan kenapa Syarak menetapkan supaya jangan menukar pemerintah (Islam). Tujuannya apa? Menjaga kesatuan, menjaga keharmonian, menjaga kemakmuran, menjauhi apa juga mudarat yang lebih besar seperti berlaku huru hara, kacau bilau atau lebih buruk lagi pertumpahan darah.

(Disalin dari rakaman sesi soal jawab, Demokrasi & Pilihanraya, 30/04/2013)

Advertisements