EKONOMI BUKAN PUNCA KELEMAHAN UMAT ISLAM (1)

Abu Omar, Idris bin Sulaiman

(Teks disalin dari rakaman tazkirah bertajuk Tasfiyah & Tarbiyah, 20/06/2009)

ekonomi bukan punca kelemahan umat islamSekiranya kita melihat keadaan umat Islam pada hari ini, kita tidak akan terlepas pandang daripada melihat kelemahan umat Islam khususnya daripada mata pandangan musuh, di mana kaum kuffar memperlekehkan umat Islam apatah lagi mereka dengan mudah berkuasa ke atas umat Islam. Mereka berjaya menakluk negara-negara Islam. Bahkan mereka berjaya menguasai minda umat Islam sehingga menyebabkan Umat Islam terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar.

Kesimpulannya, umat Islam dalam keadaan lemah. Mereka tidak mampu menandingi kekuatan musuh khususnya kuasa-kuasa Barat dan orang-orang kafir secara umumnya. Mereka tidak ada kekuatan; bukan sahaja kekuatan ketenteraan malah kekuatan jatidiri sendiri, sehingga ada yang merasa malu untuk mengetengahkan dirinya sebagai orang Islam dan bercerita tentang Islam di hadapan orang-orang bukan Islam.

Barangkali hendak memberi salam pun –na’udzubillah- mereka merasa malu, khususnya di negara-negara kafir, barangkali sudah sampai ke tahap itu. Hendak menutup aurat misalnya, mungkin dia merasa malu. Hendak menyatakan nama sebagai Muhammad pun dia merasa malu. Hal ini banyak berlaku di Barat kerana Umat Islam telah hilang jati diri. Kebanggaannya terhadap Islam sedikit sebanyak telah menurun. Tidak ada kekuatan, tidak ada rasa bangga, tidak ada rasa gah, tidak ada rasa bahawa Islam itu sebagai satu agama yang agung.

Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani rahimahullah, seorang ulama pada zaman ini walaupun beliau rahimahullah telah meninggal pada tahun 1999, beliau adalah antara ulama yang boleh dikatakan sedikit di kalangan ulama-ulama besar pada zaman sekarang. Beliau rahimahullah dikenali sebagai seorang ulama hadis yang agung dan dihormati, malah orang-orang yang tidak bersetuju dengan Syeikh Al-Albani secara amnya pun terpaksa mengiktiraf bahawa beliau rahimahullah merupakan seorang ulama yang agung terutama di dalam bidang hadis secara khususnya dan bidang Islam secara umumnya.

Syeikh Al-Albani mengatakan bahawa sesungguhnya keadaan umat Islam tidak boleh menjadi lebih teruk daripada keadaan mereka pada hari ini. Barangkali ini kenyataan yang sangat keras. Maknanya, keadaan umat Islam sejak beratus-ratus tahun semakin lama bertambah buruk dan bertambah buruk, sehinggalah pada hari ini Syeikh Albani mengatakan tidak boleh lebih buruk lagi. Sampai ke tahap itu.

Kelemahan, penyelewengan yang berlaku, kejahilan yang berleluasa di kalangan umat Islam, benda-benda syirik yang berleluasa di kalangan masyarakat Islam, benda-benda bid’ah (benda-benda yang diadakan yang asalnya bukan agama tetapi diwujudkan dan dijadikan sebagai suatu amalan dalam agama), benda-benda maksiat telah berleluasa di kalangan umat Islam sehingga Syeikh Albani mengatakan bahawa keadaan tidak boleh menjadi lebih teruk lagi daripada apa yang kita lihat pada hari ini.

Pastinya kita tertanya-tanya, apakah yang menyebabkan kelemahan umat Islam pada hari ini? Apakah sebab yang menjadikan keadaan umat Islam seperti mana yang kita lihat pada hari ini; serba lemah, serba jahil daripada ajaran Islam yang kita kenali?

Yang paling banyak dan sering kita dengar mengatakan bahawa umat Islam menjadi mundur kerana mereka lemah dari segi ekonomi. Kerana itu banyaklah usaha yang diambil khususnya dari pihak kerajaan tidak kiralah kerajaan mana di negara-negara Islam, di mana banyak usaha diambil untuk menguatkan umat Islam dari segi ekonomi.

Mereka melihat bahawa ekonomi inilah yang menjadi punca kepada kemunduran umat Islam di pandangan musuh. Kalau kita kuat dari segi ekonomi, insyaAllah kita akan setanding dengan orang-orang Barat dan orang-orang kafir. Itu pandangan mereka, iaitu puncanya adalah kemunduran ekonomi. Kita lihat apakah jawapan ini betul ataupun tidak.

RASULULLAH CONTOH TAULADAN DALAM SEGALA URUSAN

Hakikatnya kita tidak perlu pandang jauh. Seperti mana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

“Sesungguhnya terdapat pada diri Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagimu.” (Surah Al-Ahzab: 21)

Kerana itu, apa yang baik adalah apa yang datang daripada Rasulullah, dan apa yang buruk adalah apa yang tidak dilakukan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.

Kita lihat keadaan Rasulullah semasa sepanjang hidup Baginda dan sepanjang Baginda berdakwah. Persoalan; pernahkah Baginda Rasulullah menuntut supaya umat Islam bekerja keras untuk menegakkan ekonomi demi untuk memerangi orang-orang Quraisy?

Jika kita lihat Rasulullah ketika baru mula hendak berdakwah, pengikut Baginda sedikit, masyarakat semua baru hendak mengenal Islam. Apakah demi hendak menguatkan dakwah Baginda, Baginda lalu menyuruh para sahabat membuat banyak bisnes, datangkan banyak kabilah-kabilah ke Makkah dan berikan perniagaan atau apa-apa projek untuk orang Islam sahaja bagi menguatkan orang Islam? Pernahkah Rasulullah berbuat begitu?

Kita akan dapati bahawa tidak ada pula Rasulullah mengajak kepada perkara-perkara seperti ini. Tidak ada pula kita melihat Rasulullah membuat projek membina masjid yang besar untuk memberi projek ataupun kerja kepada orang-orang Muhajirin mahupun Al-Ansar. Malah, sepanjang Rasulullah berdakwah semasa Baginda di Makkah dan semasa Baginda di Madinah, bagaimana hidup Rasulullah? Adakah Rasulullah sibuk berbisnes? Dakwah dakwah juga, bisnes kena jalan. Adakah Rasulullah berbuat begitu?

Kita dapati bahawa hidup Rasulullah sepenuh hati dan fokus sefokus fokusnya kepada dakwah semata-mata. Malah kita lihat hidup Rasulullah serba miskin. Malah dikatakan bahawa Rasulullah tidak ada kekayaan, tidak ada apa pun.

Rumah Rasulullah ada berapa bilik? Malah dikatakan pada zaman Rasulullah, rumah Rasulullah tidak dikatakan sebagai ‘Bait’ (rumah). Rumah Rasulullah disebut ‘Hijr’ (bilik). Rumah Rasulullah cuma ada satu bilik sahaja dan semuanya di situ; ruang tamu, tempat masaknya, tempat tidurnya, semuanya di dalam satu bilik, di samping ada tempat untuk mandi. Itu sahaja, kehidupan Rasulullah.

Jangan kata itu semasa di Makkah, apabila di Madinah sudah tambah jadi 2 bilik. Tidak! Beginilah rumah Baginda Rasulullah di Madinah sehinggalah Baginda wafat. Malah Baginda Rasulullah telah dikebumikan di Hijr Aisyah, iaitu di Rumah Rasullah yang disebut sebagai Bilik Aisyah binti Abu Bakar As-Siddiq, isteri Rasulullah.

Malah dikatakan bahawa Rasulullah sentiasa dalam keadaan lapar. Lapar kerana tidak ada wang untuk membeli makanan. Malah dalam hadis mengatakan bahawa sebulan dua bulan rumah Rasulullah tidak berasap. Tidak berasap maknanya tidak masak. Kita kalau tidak makan nasi satu hari, satu hari tidak masak nasi, mulalah satu dunia serba tidak kena. Rasulullah selama satu bulan dua bulan tidak ada benda hendak dimasak.

Bukannya Rasulullah tidak masak kerana diet, tetapi terpaksa diet. Malah dikatakan sehingga Baginda mengikat batu-batu ke tali pinggang Baginda. Baginda mengambil tali untuk melilit sarung Baginda lalu diletak batu-batu supaya menahan perut daripada merasa lapar. Itu satu teknik kalau kita merasa sangat lapar, diletakkan batu-batu supaya menekan perut ke dalam. Kalau perut itu dibiarkan ke depan sedangkan ia kosong, kita akan merasa sakit. Jadi itulah yang dilakukan oleh Rasulullah, meletakkan batu-batu untuk menahan rasa lapar.

Itu Rasulullah. Sahabat-sahabat Baginda bagaimana pula? Sama sahaja. Malah majoriti para sahabat sejak pada zaman Makkah lagi sehingga selepas berhijrah ke Madinah dan kekuatan bertambah sedikit demi sedikit, mereka secara umumnya hidup dalam keadaan serba lemah dan serba miskin, tidak ada harta benda. Makanan asas pun tidak ada.

Begitulah keadaan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, begitulah keadaan para sahabat ridhwanullahu Ta’ala ‘alaihim; Abu Bakar As-Siddiq, Omar Al-Khatthab, Osman bin ‘Affan, ‘Ali bin Abi Thalib, semua mereka hidup dalam keadaan serba sederhana. Hidup mati mereka kesemuanya untuk Allah Subhanahu wa Ta’ala, demi hendak menegakkan agama Allah. Itulah tujuan hidup mereka.

CELAAN TERHADAP ORANG YANG MENYIBUKKAN DIRI DENGAN HARTA

Malah kalau kita lihat hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda mencela seseorang yang menyibukkan dirinya dalam mengejar-ngejar kemewahan dunia. Seperti mana firman Allah,

وَتُحِبُّونَ الْمَالَ حُبًّا جَمًّا

“Dan kalian menyukai harta benda dengan rasa suka yang bersangatan.” (Surah Al-Fajr, 89: 20)

Suka sangat kepada harta benda, sehingga mengira-ngira duit dan bercita-cita mengumpul harta kekayaan.

Di dalam hadis, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengatakan bahawa sesungguhnya Bani Israel telah berlumba-lumba mengejar kemewahan dunia, seperti mana kamu juga akan berlumba-lumba. Dan mereka (Bani Israel) telah hancur kerana berlumba-lumba dalam urusan dunia. Begitu jugalah dengan umat Islam akan ditimpa nasib yang sama sekiranya mereka mengikut jejak langkah umat-umat yang terdahulu.

Jadi kesimpulan yang dapat kita katakan adalah bahawa menguatkan ekonomi bukan menjadi syarat untuk mengembalikan kekuatan umat Islam. Memang tidak dinafikan bahawa kekuatan ekonomi kena ada, tetapi untuk dijadikan sebagai matlamat utama untuk mengembalikan kekuatan Umat Islam, itu salah. Memang kita perlu kekuatan untuk membeli kelengkapan perang, tetapi bukan dengan cara berlumba-lumba mengejar kemewahan dunia.

Malah kalau kita lihat kebayakan Umat Islam yang berlumba-lumba mengejar kemewahan dunia, mereka bukan berlumba-lumba untuk membeli kelengkapan untuk perang. Mana ada. Yang mereka buat adalah beli rumah, membeli kereta besar-besar, makanan sedap-sedap, itu yang mereka sibukkan.

Bukan mereka kumpulkan harta benda untuk tujuan jihad atau infaq pada jalan Allah. Kerana apa? Kerana harta benda adalah satu fitnah (ujian) yang besar yang boleh memesongkan fokus seseorang itu daripada mengejar matlamat utama di sebalik kehidupannya di dunia ini.

Jadi mengatakan bahawa Umat Islam lemah dan mundur kerana ekonomi adalah tidak tepat. Kita melihat bahawa Rasulullah dan para sahabat walaupun dalam keadaan lemah dari segi ekonomi, tetapi bagaimana keadaan mereka menurut pandangan agama?

Kalau menurut pandangan orang-orang materialistik, mereka mungkin memandang rendah kepada ketua seperti Rasulullah, hidup dalam kelaparan, rumah cuma ada satu bilik. Itu dari segi pandangan orang material. Tetapi dari segi pandangan Islam, dari pandangan Allah Subhanahu wa Ta’ala, Allah redha dengan keadaan Rasulullah, Allah redha dengan keadaan para sahabat. Allah redha dengan keadaan umat Islam pada ketika itu, selama mana mereka menegakkan agama Allah.

Kesudahannya, kita lihat dakwah Rasulullah berjalan dengan lancar walaupun dalam keadaan serba kekurangan dari segi harta kekayaan, tetapi dakwah berkembang sedikit demi sedikit.

BANTUAN ALLAH PADA HAMBANYA YANG MENINGGIKAN KALIMAH TAUHID

Kita lihat sejurus selepas hijrah, peperangan Badar berlaku pada tahun 2 Hijrah. Tentera Umat Islam yang baru berhijrah, bayangkanlah dalam keadaan baru berhijrah, baru sampai ke Madinah, tempat baru, suasana baru, baru hendak membuat rumah, mencari tempat tinggal, pada tahun berikutnya mereka perlu berperang menentang orang-orang Quraisy yang dalam keadaan serba kuat. Sedangkan Umat Islam, kelengkapan perang pun tidak cukup.

313 orang para sahabat bersama Rasulullah menentang dan berdepan dengan orang-orang kafir Quraisy seramai 1000 orang. Kita mungkin lihat seperti sedikit, tetapi pada zaman dahulu 1000 itu dikira banyak. 1000 tentera menentang 300 boleh dikatakan tidak adil. Tetapi itulah yang berlaku. Namun, tentera Islam menang atau tidak?

Dengan izin dan bantuan Allah, disebabkan Allah redha dengan mereka, dengan itu Allah menurunkan bantuan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan umat Islam menang.

Dalam perang Uhud pada tahun 3 hijrah (tahun berikutnya), umat Islam keluar dari Madinah untuk berdepan dengan orang-orang Quraisy yang hendak membalas dendam kerana mereka kalah dalam peperangan Badar. Orang-orang Quraisy pergi hendak menyerang Madinah dengan jumlah seramai 3000 orang tentera kafir Quraisy.

Kesudahannya Rasulullah mengerahkan tenteranya yang pada mulanya seramai 1000 orang. Di dalam perjalanan hendak pergi ke bukit Uhud yang berhampiran kota Madinah, 300 orang yang terdiri daripada orang-orang Yahudi dan juga orang-orang munafiq yang takut dan gentar hati mereka menarik diri. Mereka tidak yakin 1000 orang boleh melawan 3000 orang tentera kafir. kesudahannya 700 tentera Islam menghala ke bukit Uhud berdepan dengan tentera kafir seramai 3000 orang.

Apa yang berlaku, bantuan Allah turun seperti mana sejarah telah membuktikan bahawa pada mulanya, pada serangan pertama orang-orang kafir, umat Islam berjaya mematahkan serangan mereka. Tetapi kerana kesilapan yang berlaku daripada tentera pemanah yang terlupa dan menyalahi arahan Rasulullah apabila mereka melihat orang-orang kafir Quraisy sudah berpatah balik ke Makkah, mereka menyangka mereka sudah menang dan mereka pun meninggalkan pos kawalan mereka di atas Bukit Pemanah (Jabal Al-Rumah) yang dinamakan sempena perang Uhud, sebuah bukit kecil di hadapan bukit Uhud.

Apa yang berlaku, mereka turun dan kerana kesilapan itu, kerana mengingkari arahan Rasulullah, orang-orang kafir Quraisy melancarkan serangan kedua dan mereka menang. Sedangkan pada serangan yang pertama orang Islam telah menang.

Dalam perang Ahzab, orang-orang Quraisy masih tidak berpuas hati. Pada tahun ke-5 Hijrah mereka bertolak ke Madinah lagi hendak menyerang dan melanyakkan Umat Islam iaitu Rasulullah dan sahabat-sahabat Baginda. Kali ini orang kafir menghantar 10,000 tentera. Kali ini mereka merasa mudah hendak melanyak sahaja umat Islam kerana tentera Rasulullah hanya berjumlah 3,000 orang. Kali ini memang mustahil untuk umat Islam hendak berdepan dengan tentera musuh secara berdepan dan bertembung.

Kerana itu hasil dari musyawarah, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh para sahabat menggali parit di sekeliling Madinah. Kerana itu juga perang ini dikenali sebagai perang Al-Khandaq (Perang Parit), juga dikenali sebagai perang Al-Ahzab (perang suku-suku) kerana orang-orang Quraisy mengumpulkan sebanyak mungkin suku-suku dan kabilah-kabilah Arab di Makkah dan berpakat untuk menyerang tentera umat Islam di Madinah.

Apabila tentera kafir Quraisy sampai ke Madinah, mereka terkejut melihat parit. Terpaksa mereka berkhemah di hadapan parit berdepan dengan tentera Islam di sebelah satu lagi. Kesudahannya tentera Islam dikelilingi (dikepung) oleh tentera Al-Ahzab seramai 10,000.

Malah dalam Surah Al-Ahzab menceritakan apa yang berlaku. Ketakutan di kalangan para sahabat menjadi amat sangat. Ketakutan itu sehingga masuk ke dalam kulit-kulit mereka, jantung mereka seakan-akan hendak keluar, menggigil-gigil mereka kerana takut berdepan dengan tentera musuh. 10,000 tentera kafir menanti sahaja, jika mereka berjaya menyeberangi parit itu, habis dan tidak ada peluanglah tentera Islam hendak mempertahankan diri.

Tetapi kesudahannya, kerana Allah redha dengan umat Islam, kerana mereka berniat ikhlas, dan mereka beramal dengan tuntutan Allah dan RasulNya, maka Allah menurunkan bantuan Allah Subhanahu wa Ta’ala yang berbentuk angin kencang yang telah melanda kawasan khemah orang-orang kafir Quraisy yang berjumlah 10,000.

Kesudahannya, mereka pun hilang arah. Mereka dilanda angin dan ribut pasir, sampai tidak nampak apatah lagi hendak menyeberangi parit. Ribut yang sangat kencang, api-api mereka padam, khemah-khemah bertebaran, kuda-kuda lari dan kelengkapan tentera bertebaran, maka mereka pun berpatah balik menyelamatkan diri daripada ribut kencang yang melanda itu. Ribut kencang bukanlah datang secara tidak sengaja, tetapi ia datang dengan sengaja daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Apa yang hendak dikatakan adalah bantuan Allah sentiasa memihak ke atas tentera Islam sepanjang zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, sedangkan keadaan mereka serba kurang dan miskin.

Jadi apabila hendak dikatakan bahawa ekonomi adalah punca kelemahan Umat Islam, adalah tidak tepat, kerana Umat Islam pada zaman Rasulullah dalam keadaan mulia, mereka merasa bangga, mereka sentiasa teguh di atas prinsip akidah yang benar, malah mereka merasa agung dengan agama yang mereka anuti. Kerana itu bantuan Allah sentiasa di sisi mereka.

Bersambung bahagian 2