TAUHIDLAH YANG PERTAMA WAHAI PENDAKWAH-PENDAKWAH ISLAM (1)

Abu Omar, Idris bin Sulaiman

“Golongan yang selamat sentiasa menjaga kemurnian tauhid. Mereka mengesakan Allah. Mengesakan Allah adalah dengan beribadah, berdoa dan memohon pertolongan baik ketika sulit mahupun lapang, menyembelih korban, bernazar, bertawakkal, memutuskan segala perkara dengan hukum yang diturunkan oleh Allah, dan pelbagai bentuk ibadah lain yang semuanya menjadi dasar bagi tertegaknya daulah islamiyah yang sebenar. Menjauhi dan membasmi segala bentuk syirik dengan segala simbol-simbolnya yang banyak ditemui di negara-negara Islam sebab hal itu merupakan konsekuensi tauhid dan sungguh suatu golongan tidak mungkin mencapai kemenangan jika mereka meremehkan masalah tauhid, tidak membanteras syirik dengan segala bentuknya. Hal-hal di atas merupakan teladan daripada para Rasul dan Rasul kita Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam.” (Syaikh Muhammad bin Jamil Zainu, Minhaaj Al-Firqati An-Naajiyah wa Ath-Thaa-ifati Al-Manshurah)

tauhidlah yang pertama wahai pendakwah islamSyaikh Al-Albaani rahimahullah dalam sebuah bukunya yang sungguh istimewa yang dinamakan “At-Tauheed Awwalan Ya Du’aatal Islaam” (Tauhidlah yang Pertama Wahai Pendakwah-pendakwah Islam) telah menceritakan secara panjang lebar tentang kepentingan tauhid di mana tauhidlah yang perlu didahulukan di dalam kita memperbaiki keadaan umat dan di dalam kita berusaha merealisasikan kejayaan buat umat Islam.

Beliau di dalam kitab tersebut menceritakan tentang bagaimana realiti waaqi’ atau keadaan umat Islam yang jelas seperti mana yang kita lihat berada dalam keadaan serba serbi tidak kena; kejahilan di dalam masalah akidah, dan pelbagai penyimpangan yang berada di dalam masyarakat Islam. Di dalam usaha memperbaiki kelemahan dan penyimpangan yang ada di dalam masyarakat Islam pada hari ini, Syaikh Albani mengatakan bahawa kita dapat lihat bagaimana firqah-firqah Islam yang mempunyai latar belakang berbeza menggunakan cara-cara yang berbeza di antara satu sama lain di dalam usaha memperbaiki keadaan umat Islam.

Kita tidak dapat lari daripada mengatakan bahawa banyak daripada cara-cara ini setelah sekian lama digunakan dan digerakkan oleh gerakan-gerakan Islam ini, ia tidak menampakkkan hasilnya. Oleh kerana itu Syaikh Albani rahimahullah mempersoalkan apakah sebenarnya yang patut difokuskan oleh gerakan-gerakan Islam, dan apakah cara yang sebenar yang patut digunakan oleh gerakan-gerakan dakwah Islam di dalam mereka memperbaiki keadaan umat Islam.

Hakikatnya, keadaan umat Islam pada hari ini tidaklah lebih buruk dan tidaklah lebih teruk kalau dibandingkan dengan keadaan masyarakat manusia ketika mana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam memulakan dakwah baginda di Makkah ketika zaman Jahiliyyah. Pada hari ini agama Islam telah sempurna. Di samping itu, seperti yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala, terdapat kumpulan Islam yang terus zahir di atas kebenaran, mereka tidak akan terkesan dengan keadaan persekitaran mereka.

Kalau dilihat keadaan masyarakat Jahiliyyah yang memang kena dengan namanya; Jahil, mereka serba serbi jahil. Bukan sahaja jahil dari segi akidahnya, bahkan dari segi ibadahnya, muamalahnya, serba serbi jahil dan teruk. Maka untuk itu Syaikh Albani mengatakan bahawa kita sewajarnya mengambil iktibar dan melihat bagaimana Rasulullah telah mengubati masyarakat Jahiliyyah. Bagaimana baginda telah mengubah keadaan masyarakat Arab ketika itu sehingga mereka dapat menerima Islam. Bahkan mereka telah menjadi daripada seburuk-buruk masyarakat, berubah sehingga menjadi sebaliknya, sehingga mereka menjadi sebaik-baik umat Islam.

KENALPASTI RAWATAN DAN UBAT YANG BETUL

Syaikh Albani mengatakan bahawa di sini sebenarnya ada hakikat yang sungguh jelas bahawa rawatan buat umat Islam pada hari ini adalah rawatan yang sama yang telah digunakan oleh Rasulullah. Seperti mana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam merawat keadaan masyarakat Jahiliyyah, maka seperti itulah kita patut merawat keadaan umat Islam pada hari ini.

Maka betapa perlunya para pendakwah memfokuskan dakwah mereka di dalam memperbaiki keadaan akidah masyarakat Islam pada hari ini, memperbetulkan kefahaman mereka terhadap lafaz syahadah Laa-Ilaaha-illa-Allaah. Ini bertepatan dengan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

“Sesungguhnya terdapat pada diri Rasulullah itu suatu contoh tauladan yang baik bagimu.” (Surah Al-Ahzab: 21)

Rata-rata umat Islam membaca ayat ini tetapi berapa ramai yang memahami maksudnya dan berapa ramai yang mempraktikkan suruhan Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk kita menjadikan Rasulullah sebagai tauladan. Hakikatnya bukan sahaja di dalam amalan ibadah, tetapi secara menyeluruh termasuk di dalam cara berdakwah.

Maka sewajarnya para pendakwah Islam memberi fokus kepada memperbaiki masalah-masalah yang berkaitan dengan akidah yakni kepercayaan umat Islam sebelum memfokuskan dalam perkara-perkara ibadah, akhlak, dan hal-hal yang lain.

Hal ini tidak bererti bahawa masalah ibadah, akhlak, mu’amalah, kenegaraan atau masalah-masalah politik tidak penting, tetapi ia adalah bertepatan dengan kaedah “mendahulukan perkara yang paling penting sebelum perkara-perkara yang lain.” InsyaAllah kita semua faham bahawa perkara akidah adalah perkara yang paling penting dan lebih penting berbanding masalah-masalah yang lain.

Syaikh Albani mengatakan bahawasanya inilah yang sepatutnya menjadi fokus para pendakwah atau lebih tepat lagi para ulama Islam. Ini kerana dukacitanya apabila dikatakan para pendakwah, pada hari ini seakan-akan sesiapa sahaja boleh menjadi pendakwah, tidak kira bagaimana latar belakang ilmunya. Bahkan orang-orang yang terdiri daripada orang yang paling kurang ilmu tetapi kerana mereka terkenal dengan gerakan dakwah mereka, akhirnya mereka termasuk dalam kategori para pendakwah.

Contohnya gerakan Tabligh. Jika dikatakan para pendakwah, merekalah orang pertama yang termasuk di dalam kategori pendakwah. Sedangkan jika dilihat keadaan mereka, mereka sungguh miskin dalam ilmu agama yang hendak disampaikan, lebih-lebih lagi di dalam masalah akidah yang mereka tidak mengerti. Jadi bagaimana kita mengharapkan untuk mereka menyampaikan atau memperbetulkan masalah umat Islam yang paling besar iaitu masalah akidah, sekiranya mereka sendiri tidak memahami masalah akidah.

فاقِدُ الشيء لا يُعْطِيه

“Orang yang tidak memiliki tidak mampu memberi.”

Bagaimana kita mengharapkan orang yang tidak memahami akidah untuk dia memperbetulkan akidah orang lain. Lebih sulit lagi, kita melihat bahawa kumpulan-kumpulan pendakwah ini tidak fokus dan tidak ada usaha untuk memperbaiki masalah-masalah akidah yang melanda umat Islam. Sedangkan hal inilah yang menjadi fokus para Rasul sejak zaman berzaman, sepertimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولاً أَنِ اعْبُدُوا اللهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan di dalam setiap umat seorang Rasul, (yang menyeru): ‘Beribadahlah kalian kepada Allah dan jauhilah oleh kalian perkara-perkara thaghut’.” (Surah An-Nahl: 36)

Kesemua para Rasul membawakan mesej yang sama. Inilah dakwah dan fokus mereka; Sembahlah Allah dan jauhilah thaghut. Dalam erti kata lain, sembahlah Allah sahaja dan jauhilah perkara-perkara syirik.

Jika dilihat agama ataupun risalah para Rasul sebelum Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tidak mempunyai perincian seperti mana yang ada di dalam agama Islam atau seperti mana yang ada pada dakwah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Tidak ada perincian-perincian seperti mana yang ada di dalam ajaran Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam.

Bahkan kalau kita lihat dakwah Nabi Nuh ‘alaihissalam contohnya, di dalam Al-Quran Allah Subhanahu wa Ta’ala mengatakan bahawa Nabi Nuh telah diutuskan kepada kaumnya selama 1000 tahun kurang 50 tahun (950 tahun). Baginda diutuskan kepada kaumnya selama 950 tahun dan apakah fokus dakwah Nabi Nuh ‘alaihissalam sepanjang tempoh yang sungguh lama ini? Tidak lain dan tidak bukan, fokus Nabi Nuh adalah di dalam perkara-perkara tauhid. Hal ini dinyatakan secara jelas di dalam surah Nuh di dalam Al-Quran. Tetapi akhirnya, kaum Nabi Nuh ‘alaihissalam terus memerangi Nabi Nuh ‘alaihissalam seperti mana yang dijelaskan di dalam surah Nuh juga,

وَقَالُوا لَا تَذَرُنَّ آَلِهَتَكُمْ وَلَا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلَا سُوَاعًا وَلَا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا

“Dan mereka (kaum Nabi Nuh) berkata, ‘Janganlah sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan janganlah sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) Wadd, Suwa’, Yaghuts, Ya’uq, dan Nasra.” (Surah Nuh: 23)

Mereka terus degil dan tidak menerima seruan tauhid Nabi Nuh ‘alaihissalam. Apa yang hendak dikatakan, daripada dakwah para Rasul termasuklah Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam, fokus para pendakwah atau ulama pada hari ini sepatutnya kekal sama, iaitu fokus di dalam memperbetulkan hal-hal akidah. Hal ini yang perlu didahulukan sebelum perkara-perkara yang lain, bertepatan dengan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam surah Muhammad ayat ke-19,

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللَّهُ

“Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan kecuali Allah.” (Surah Muhammad: 19)

Itulah metod para Rasul sebelum Nabi Muhammad dan itu jugalah yang menjadi metod Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dari segi praktikal dan juga dari segi isi kandungan ajaran Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam. Dari segi praktikalnya sungguh jelas kita dapat lihat bagaimana dakwah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sepanjang 13 tahun di Makkah. Sepanjang 13 tahun Rasulullah di Makkah, apa yang baginda buat? Adakah baginda sibuk tentang hal-hal ibadah, akhlak, ataupun jenayah?

Jenayah yang dilakukan oleh masyarakat Jahiliyyah adalah seburuk-buruk jenayah; zina, minum arak, tanam bayi dan macam-macam lagi. Di dalam mu’amalah; penipuan, riba, dan macam-macam jenayah yang dilakukan oleh masyarakat Jahiliyyah. Adakah Rasulullah menyibukkan diri dalam hal-hal politik? Jawapannya tidak, tidak, tidak.

Sebaliknya baginda hanya fokus pada satu perkara sahaja iaitu memperbetulkan akidah masyarakat Arab Makkah; mengajak mereka kepada tauhid dan menjauhi syirik. Itu sahaja sepanjang 13 tahun. Hanya di hujung 13 tahun itu barulah datangnya seruan dan arahan mendirikan shalat. Selain daripada itu tidak. Perincian-perincian syarak yang ada pada hari ini datang kemudian setelah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berhijrah ke Madinah. Maka sepanjang di Makkah, Rasulullah hanya fokus kepada akidah, mengajak kepada tauhid dan membasmi syirik.

Itu dari segi praktikal. Adapun dari segi ajaran berkaitan suruhan Rasulullah supaya fokus kepada tauhid, hal ini jelas seperti mana di dalam pesanan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam kepada Muadz bin Jabal, pendakwah Rasulullah yang diutuskan ke Yaman seperti mana yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim di mana Baginda mengatakan,

إنك تأتي قوما من أهل الكتاب فليكن أول ما تدعوهم إليه شهادة أن لا إله إلا الله

“Kamu akan mendatangi Ahli Kitab, maka hendaklah kamu jadikan perkara pertama untuk kamu seru manusia kepadanya adalah persaksian Laa-ilaaha-illa-Allaah.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Tiada Tuhan kecuali Allah, mengesakan Allah dan menjauhi selain daripada sembahan Allah, segala bentuk syirik hendaklah dijauhi.

KEPENTINGAN DAKWAH TAUHID PADA ZAMAN INI

at-tauhid awwalanSyaikh Albani di dalam kitab At-Tauhid Awwalan Ya Du’aatal Islam menjelaskan bahawa memang tidak dinafikan bahawa ada perbezaan di antara golongan Arab Jahiliyyah yang faham bahasa Arab dan faham maksud Laa-Ilaaha-illa-Allaah dengan umat Islam pada hari ini yang tidak perlu untuk kita menyeru mereka untuk mengucapkan Laa-ilaaha-illa-Allaah.

Umat Islam pada hari ini yang mengucapkan Laa-ilaaha-illa-Allaah tidak memahami makna kalimah yang mereka sebutkan. Inilah perbezaan yang sungguh ketara di antara orang Arab Jahiliyah dengan orang Islam pada hari ini, di mana orang Arab Jahiliyah walau sejahil-jahil mereka pun tetapi mereka memahami erti Laa-ilaaha-illa-Allaah. Sebab itu sebagaimana yang difirmankan oleh Allah di dalam surah Ash-Shaaffaat ayat ke-35,

إِنَّهُمْ كَانُوا إِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ يَسْتَكْبِرُونَ

“Sesungguhnya mereka dahulu apabila dikatakan kepada mereka Laa-ilaaha-illallaah, mereka menjadi takabbur (enggan).” (Surah Ash-Shaaffaat: 35)

Mengapa mereka enggan mengucapkan Laa-ilaaha-illallaah? Kerana mereka memahami maksud Laa-ilaaha-illallaah. Mereka memahami bahawa dengan mengucapkan Laa-ilaaha-illallaah, mereka tidak boleh mengambil sekutu-sekutu selain daripada Allah, mereka tidak boleh melakukan hal-hal kesyirikan yang biasa mereka lakukan, mereka memahami bahawa Laa-ilaaha-illallaah bererti tidak ada sembahan kecuali hanya Allah sahaja.

Sedangkan tabiat mereka adalah beribadah kepada selain Allah. Apabila mereka bermunajat, mereka menyeru kepada selain Allah, apabila mereka meminta pertolongan, meminta hujan dan sebagainya, mereka menyeru selain daripada Allah. Apabila mereka bernazar, mereka bernazar kepada selain Allah, apabila mereka bertawassul, menyembelih, atau melakukan hal-hal yang termasuk di dalam ibadah, mereka melakukannya untuk selain daripada Allah. Maka orang-orang Jahiliyyah memahami bahawa hal-hal ini semuanya perlu ditinggalkan, kerana itu yang menjadi maksud Laa-ilaaha-illallaah.

Dukacitanya, umat Islam pada hari ini tidak ada masalah untuk mengucapkan Laa-ilaaha-illallaah, tetapi mereka tidak memahami kalimah syahadah yang mereka ucapkan. Tidak faham, atau faham tetapi dengan maksud yang salah, atau memahami dengan maksud yang terbalik sama sekali dengan maksud sebenar Laa-ilaaha-illallaah.

Lalu Syaikh Albani memberikan satu contoh tentang sebuah buku yang dikarang oleh ilmuwan pada hari ini. Tajuk bukunya “Laa-ilaaha-illallaah” tetapi apabila dibaca buku itu dari mula sampailah ke akhir, penulis tidak lebih daripada mengatakan bahawa Laa-ilaaha-illallaah adalah Laa-Rabba-illallaah (tidak ada Tuhan kecuali Allah). Sedangkan inilah akidah yang menjadi pegangan masyarakat Arab Jahiliyyah. Mereka beriman bahawa Allah adalah Tuhan, seperti mana firman Allah,

لَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ

“Dan sekiranya kamu bertanya kepada mereka (orang Jahiliyyah) siapakah yang telah menciptakan langit dan bumi, mereka akan mengatakan Allah.” (Surah Az-Zumar: 38)

Mereka sama sekali tidak percaya dan tidak beriman bahawa patung-patung batu yang mereka buat itulah yang menciptakan langit dan bumi. Sama sekali itu bukan kepercayaan mereka. Mereka percaya bahawa Tuhan sekalian alam itu satu yakni Allah, tetapi sembahan-sembahan mereka itu banyak.

Kenapa sembahan mereka banyak? Kenapa mereka menjadikan sembahan-sembahan selain daripada Allah? Hal ini dijelaskan di dalam surah Az-Zumar di dalam ayat ke-3;

وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاء مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى

“Dan mereka yang telah menjadikan selain daripada Allah sembahan-sembahan (berkata); Tidaklah kami menyembah mereka kecuali supaya kami dapat hampir kepada Allah.” (Surah Az-Zumar: 3)

Ini adalah syubat mereka. Namun jika kita lihat masyarakat Islam pada hari ini turut menggunakan syubhat yang sama di dalam mereka menyeru kepada selain daripada Allah. Apa syubhat yang digunakan pada zaman jahiliyyah, itulah juga syubhat yang ada di kalangan umat Islam pada hari ini.

Syaikh Albani mengatakan bahawa, kalau seorang Muslim pada hari ini mengucapkan Laa-ilaaha-illallaah tetapi dalam masa yang sama dia menyeru kepada selain daripada Allah, maka hakikatnya dia dan orang musyrik (kafir) jahiliyah adalah sama dari segi akidahnya, walaupun secara zahirnya dia seorang Muslim.

Secara zahirnya dia Islam kerana dia mengucapkan Laa-ilaaha-illallaah, tetapi hakikatnya dia bukan Islam. Hal ini berbeza dengan orang kafir Jahiliyyah, mereka secara zahir mahupun secara batin bukan Islam kerana mereka tidak mengucapkan Laa-ilaaha-illallaah.

Maka realiti keadaan umat Islam daripada satu sudut adalah lebih teruk daripada orang-orang jahiliyyah Arab, dari segi pemahaman mereka terhadap maksud Laa-ilaaha-illallaah, kerana orang Arab Jahiliyyah faham akan maksud Laa-ilaaha-illallaah, tetapi umat Islam pada hari ini tidak memahami maksud ucapan Laa-ilaaha-illallaah yang mereka bacakan itu.

Syaikh Albani mengatakan bahawa kalau beginilah keadaan umat Islam yang rata-rata mengucapkan Laa-ilaaha-illallaah tetapi dalam masa yang sama mereka tidak memahami maksud kalimah itu, maka hasilnya mereka tidak beribadah kepada Allah secara ikhlas, sebaliknya mereka masih lagi percaya kepada sembahan-sembahan selain daripada Allah. Mereka masih lagi menyeru selain daripada Allah, mereka masih lagi menyeru manusia-manusia di dalam kubur di atas alasan tawassul.

Perbuatan syirik dinamakan sebagai tawassul sedangkan tawassul maknanya perantaraan, dan kita lihat perbuatan mereka sama seperti perbuatan orang-orang Jahiliyyah. Orang-orang jahiliyyah menyeru nenek moyang mereka apabila mereka ditimpa musibah. Dan kita melihat sebahagian umat Islam masih lagi melakukan hal seperti itu, mereka menyeru orang mati, menyeru para masyaikh, menyeru wali-wali yang sudah mati. Mereka bermunajat di kubur. Mereka menyeru dan meminta pertolongan daripada syaikh-syaikh yang telah mati. Mereka mengatakan itu bukan syirik tetapi tawassul, menjadikan syaikh sebagai perantaraan. Namun hakikatnya, adakah hal itu benar? Sama sekali tidak.

Namakanlah apa pun terhadap perbuatan seumpama itu, tetapi yang lebih penting adalah hakikat perbuatan itu, apakah ia menepati syarak ataupun tidak, adakah ia selari dengan tauhid ataupun tidak. Jawapannya tentu bercanggah sama sekali, bahkan inilah sebahagian dari syirik yang dilakukan oleh masyarakat Jahiliyah Arab.

Maka Syaikh Albani mengatakan, tidak ada gunanya kalau kita sekadar menambahkan bilangan anggota kumpulan, firqah, dan parti masing-masing, tetapi dalam masa yang sama, asas kepada pegangan ahli tidak ada. Asas mereka masih lagi belum selesai, mereka masih belum memahami tauhid yang sebenar. Mereka masih bergelumang dengan perkara-perkara syirik yang dinamakan dengan tawassul dan sebagainya, tetapi realitinya adalah syirik. Realitinya mereka masih percaya kepada kuasa-kuasa selain Allah. Mereka masih percaya kepada tukang sihir, bomoh, pawang dan sebagainya.

Maka apa gunanya kita sekadar menambahkan bilangan sedangkan asas kekuatan umat Islam itu sendiri tidak ada, yang sepatutnya berdiri di atas akidah yang bersih, beribadah kepada Allah sahaja serta menjauhi perkara-perkara syirik.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=vTf1J4RCBFs