TUKAR PEMERINTAH BAWA MUDARAT LEBIH BESAR

Abu Omar, Idris bin Sulaiman

(Teks disediakan berdasarkan sebahagian rakaman temubual radio berikut: http://www.mediafire.com/?izs8qvlafki58tc  )

kekalkan kerajaan sedia adaSaya berbesar hati untuk mengingatkan seluruh umat Islam untuk kita mentaati dan patuh pada perintah Syarak dari segala aspek tidak kira keadaan. Jika sebelum ini kita diwajibkan untuk taat pada perintah Syarak, ketika ini pun kita wajib taat dengan perintah Syarak, begitu juga selepas ini dan sehingga bila-bila masa.

Syarak sebenarnya tidak menetapkan bahawa taat kepada pemerintah itu ada tempoh dan keadaannya. Sebaliknya pemerintah itu memang sentiasa ada dan perlu sentiasa ada termasuklah di negara kita, walaupun setelah pembubaran Parlimen. Maka dengan itu ketaatan kepada pemerintah juga berterusan tidak kira apa juga keadaan dan masanya.

SYUBHAT 1: NEGARA DALAM PROSES PEMILIHAN/PERTUKARAN PEMERINTAH

Ini sekadar istilah-istilah baru yang diguna pakai di dalam sistem demokrasi, sedangkan di dalam Islam tidak ada istilah sebegini. Persoalannya, sebagai seorang Muslim, kita terikat dengan yang mana? Adakah kita terikat dengan hukum hakam Islam, atau kita lebih terikat dengan undang-undang manusia seperti demokrasi?

Sebab itu kita perlu sentiasa mengingatkan manusia supaya sentiasa mengikatkan diri kita dengan hukum hakam Syarak. Di mana dalam perintah Allah,

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا أَطِيعُوا اللهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِى اْلأَمْرِ مِنكُمْ

“Wahai orang-orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, serta para pemerintah di kalangan kamu.” (Surah An-Nisaa, 4: 59)

Allah secara mutlaknya mewajibkan supaya kita taat pada pemerintah, dan Allah sama sekali tidak menetapkan tempoh atau keadaannya. Asalkan dia adalah pemerintah maka itu yang kita kena taat sentiasa dan sepanjang masa.

Tentu sahaja yang dimaksudkan bukan pemerintah yang saling membangkang antara satu sama lain, sebaliknya yang dimaksudkan di dalam hukum Syarak adalah pemerintah tertinggi dan wakil-wakilnya yang bersekutu. Kalau di negara kita, tentu sahaja yang dimaksudkan adalah Y.D.P. Agong dan Perdana Menteri. Dan Alhamdulillah kedua-duanya saling menyokong dan membantu di antara satu sama lain. Hakikatnya ia adalah satu nikmat yang besar kepada negara kita.

Tidak timbul persoalan Kerajaan sudah dibubar dan tidak ada kerajaan pada masa ini. Hal ini sebenarnya mustahil. Kalau benar kerajaan itu tidak ada, akan berlaku segala macam kekacauan di mana-mana negara pun. Tetapi kita melihat di negara kita segalanya berjalan seperti biasa, ini menunjukkan bahawa pemerintah itu masih kekal dan menjalankan tugasnya.

SYUBHAT 2: KONSEP MENGGILIR-GILIR ATAU MENUKAR PEMERINTAH

Ini juga termasuk dalam konsep demokrasi yang jelas adalah produk Barat. Kalau kita kembali kepada Syariat Islam dan apa yang disebut di dalam Al-Quran dan hadis-hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih, tidak ada istilah penggiliran pemerintah, dan tidak ada istilah menukar pemerintah, jauh sekali membangkang atau menjatuhkan pemerintah.

Kembali kepada konsep hendak menggilirkan pemerintah; kalau pemerintah tidak bagus maka ia perlu ditukar, apakah kenyataan yang seperti ini boleh diguna pakai dan diadaptasikan? Jawapannya sama sekali tidak. Ini kerana Syarak apabila menetapkan kewajipan taat kepada pemerintah, hikmah dan tujuannya adalah kerana mudharat yang lebih besar akan berlaku sekiranya berlaku pertukaran pemerintah. Mudarat ini sebenarnya yang cuba dielakkan oleh Syariat Islam.

Ini kerana mana-mana pertukaran kerajaan akan mengakibatkan ketidaktentuan, ketidakstabilan, keadaan kucar kacir, malah boleh membawa keadaan yang cemas dan keadaan yang lebih buruk lagi seperti huru hara, pertumpahan darah dan sebagainya. Ini sebenarnya yang cuba dielakkan oleh Syarak melalui kaedah taat pemerintah.

Di dalam keterpaksaan kita menjalani demokrasi, kita perlu sentiasa menjadikan Islam sebagai kayu pengukur. Kita perlu menilai setiap aspek demokrasi itu mengikut kayu ukur Syarak iaitu Al-Quran dan Al-Sunnah. Maka mana yang menepati Islam, ia boleh diamalkan, manakala mana yang bercanggah dengan tuntutan Syarak ia perlu ditinggalkan.

Di antaranya, kita melihat demokrasi mengajak kepada kepartian, memecah belahkan masyarakat kepada parti-parti politik, hal ini bercanggah dengan perintah Syarak yang mewajibkan umat Islam supaya mengekalkan kesatuan mereka, mengekalkan ukhuwah kasih sayang sesama umat Islam. Begitu juga dengan perbuatan membangkang kerajaan ataupun pemerintah secara terang-terangan, menghina, mencaci maki, menyebut keaiban pemerintah, hal ini bercanggah dengan perintah Syarak maka ia perlu ditinggalkan.

Begitu juga dengan aspek-aspek lain yang terkandung di dalam demokrasi, ia perlu dinilai dengan hukum Syarak (untuk menentukan) sejauh mana kebenarannya dan sejauh mana ia boleh diamalkan.

Dalam negara kita, -Alhamdulillah- satu nikmat yang besar apabila pemerintah tertinggi dan kedua tertinggi iaitu Agong dan Perdana Menteri saling sefahaman dan sealiran serta menyokong di antara satu sama lain. Maka kedua inilah yang perlu ditaati dan perlu dipastikan kelangsungan pemerintahan mereka dan sama sekali jangan ditukar kerana akibat buruknya, mudaratnya lebih besar dan ini yang ditegah oleh Syarak, di mana sekiranya berlakunya pertukaran pemerintah akan mengakibatkan mudarat yang lebih berbanding maslahat yang cuba hendak direalisasikan.

DEMOKRASI ADALAH MUSLIHAT BARAT

Kita kena ingat apa muslihat Barat apabila mereka sedaya upaya beriya-iya menjaja demokrasi di negara-negara Islam sehingga melancarkan peperangan seperti yang berlaku di Afghanistan dan juga Iraq semata-mata hendak menyebarkan demokrasi.

Kita perlu persoalkan, apakah benar bahawa orang-orang Barat ini inginkan kebaikan buat negara-negara Islam? Kita kena tanya sejak bila pula Yahudi dan Nasrani berdamai dengan Islam? Jawapannya mereka tidak pernah berdamai bahkan sistem demokrasi ini sebenarnya adalah muslihat mereka untuk menghancurkan negara Islam.

Mereka cuba hendak memecahkan kesatuan umat Islam dengan mewujudkan parti-parti dan pembangkang-pembangkang yang terus mengganggu gugat kelancaran pemerintahan sesebuah negara Islam.

Ini yang kita perlu sedar dan kita perlu ambil perhatian. Jangan kita jadi alat kepada musuh-musuh Islam yang cuba hendak menghancurkan umat Islam dengan cara tipu muslihat seperti yang dapat kita lihat dalam demokrasi. Kerana itu kita perlu pastikan maksud (tujuan) Barat di sebalik demokrasi itu tidak berjaya.

Kita akui bahawa kita menggunakan demokrasi ini kerana terpaksa, kerana darurat. Seperti mana kaedah Syarak mengatakan bahawa dalam keadaan darurat, perkara yang haram dibolehkan. Tetapi dalam masa sama kita kena ingat bahawa bukan semua benda haram itu dibolehkan seluas-luasnya. Tidak, sebaliknya kaedah Syarak menetapkan ‘ad-dharurah tuqaddar bi qadariha’ (darurat itu diukur dengan sekadarnya). Jangan sampai dibuka seluas-luasnya.

Maka untuk itu demokrasi dibolehkan atas dasar keterpaksaan, tetapi jangan sampai kita cuba hendak menjatuhkan pemerintah, melakukan pemberontakan, melakukan kacau bilau, caci maki, menghina, membuka aib pemerintah, di mana ini semua sama sekali tidak dibolehkan.

SYUBHAT 3: TAAT PEMERINTAH BERCANGGAH DENGAN AMALAN DEMOKRASI

Sama ada taat pada pemerintah itu selari atau tidak dengan demokrasi, itu tidak penting bagi kita kerana kita hanya mengamalkan demokrasi kerana terpaksa, sedangkan taat kepada pemerintah itu adalah sebahagian daripada kewajipan Syarak. Dengan erti kata lain, jangan ditukar pemerintah itu.

Adapun persoalan tentang apabila diberikan pilihan antara dua calon pemimpin, mana yang hendak dilantik, kita katakan sentiasa dan sepanjang masa bahawa pemimpin kerajaan yang sedia ada ini perlu terus dikekalkan kerana seperti mana yang disebutkan tadi di dalam Islam tidak ada istilah menukar pemimpin melainkan kalau dia meninggal dunia.

Kalau dia meletakkan jawatan sendiri, itu pun kita perlu lihat dan perincikan, kenapa dia letak jawatan. Adakah kerana ada tekanan-tekanan tertentu dari pihak pembangkang dan sebagainya. Perbuatan dia meletakkan jawatan jelas bukan atas dasar kerelaannya, sebaliknya kerana tekanan-tekanan dari musuh dan pembangkang.

Maka jangan kita sokong pembangkang dengan kita merelakan dia meletakkan jawatan. Sebaliknya kita kena terus menyatakan sokongan dan ketaatan kita supaya dia meneruskan pemerintahannya, supaya pemerintahan itu terus berlangsung tanpa ada sebarang gangguan, kerana ini semua tidak baik untuk mana-mana negara Islam.

SYUBHAT 4: JIKA PEMERINTAH FASIQ DAN ZALIM

Sama ada pemerintah itu fasiq ataupun tidak, pelaku maksiat atau tidak, pelaku kezaliman atau tidak, itu bukan persoalannya. Mereka tetap perlu ditaati selama mana mereka masih lagi Islam. Syarak tidak mensyaratkan supaya pemimpin itu perlu alim.

Sebaliknya dalam hadis riwayat Muslim, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam mengatakan ‘wa in dharaba dzahrak wa akhaza maalak’ (walaupun dia memukul belakangmu dan dia merampas hartamu). Pemerintah yang zalim bagaimana ini kalau dia memukul belakang rakyatnya dan merampas harta rakyatnya? Ini jelas satu pemerintah yang zalim. Tetapi Rasulullah tetap mengatakan ‘isma’ wa athi’’ (dengarlah dan taatlah).

Maka tidak ada istilah menukar pemerintah atas dasar kezaliman dan sebagainya. Namun perlu diingatkan bahawa hal ini tidak bererti bahawa kita redha dan sayang dengan pemerintah yang zalim, yang menyeleweng, merasuah dan sebagainya.

Apa juga perkara maksiat perlu dibenci oleh seseorang Muslim kerana ini jelas adalah perbuatan maksiat terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala, melanggar perintah Allah supaya kita berlaku jujur, berlaku adil dan seumpamanya.

Namun menzahirkan rasa benci itu dengan memaksa pemerintah itu ditukar tidak dibenarkan di dalam Syarak. Apa yang disuruh oleh Syarak adalah nasihat dan tegur dengan cara yang baik. Kenapa sampai begitu sekali Syarak tidak membenarkan menukar pemerintah? Ianya mengenangkan bahawa mudarat yang lebih besar, fitnah yang lebih besar yang akan berlaku dengan perbuatan tersebut.

Kita hendak mengembalikan keadilan, kita hendak membawa kesejahteraan, tetapi yang sebaliknya yang akan berlaku, gara-gara kita hendak menukar pemerintah yang zalim. Tujuan kita adalah hendak mengembalikan kemakmuran, tetapi adakah hal ini akan dapat dicapai dengan perbuatan menukar pemerintah? Percayalah, kalau sesuatu tindakan itu menyalahi Syarak, pasti akibatnya adalah buruk dan sama sekali tidak pernah baik.

Maka akhirnya, tujuan kita hendak menukar pemerintah atas alasan pemerintah itu zalim, akhirnya akan berlaku kezaliman dan mudarat yang jauh lebih besar.

Adapun persoalan tentang jika diberi pilihan antara dua orang calon atau lebih, mana yang perlu dipilih, ini adalah dari segi demokrasi. Dari segi Islam adakah kita diberi pilihan? Jawapannya tidak. Sebaliknya Syarak menetapkan supaya kita taat dengan pemerintah dan jangan ditukar pemerintah itu kerana tidak ada istilah menukar pemerintah.

SYUBHAT 5: PEMERINTAH TIDAK LAKSANAKAN HUDUD

Sebagai seorang Islam kita perlu beriman dengan kewajipan melaksanakan hukum hakam Islam. Namun hukum hakam Islam tidak terikat dengan hudud sahaja. Bahkan tidaklah hudud itu melainkan sebahagian kecil daripada hukum hakam Islam. Bahkan yang lebih penting lagi adalah hukum hakam Islam dari segi akidah, iaitu menjaga kesucian akidah.

Merupakan satu kecacatan bagi sebahagian dakwah yang fokus mereka pada pelaksanaan hukum hudud semata-mata. Sedangkan kalau kita lihat, sejauh mana mereka menjaga kesucian akidah, dan sejauh mana mereka menjaga kesucian ibadah mereka?

Sejauh mana mereka menjaga kesucian akidah daripada perbuatan syirik, khurafat dan sebagainya. Sejauh mana mereka menjaga kesucian ibadah mereka daripada perbuatan-perbuatan bid’ah dan sebagainya. Kita dapati bahawa mereka lalai di dalam aspek ini. Mereka lebih mementingkan pada hudud. Sedangkan aspek akidah adalah jauh lebih besar dan jauh lebih utama, bahkan ia perkara paling penting yang perlu dijaga, kerana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

“Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang paling besar.” (Surah Luqman: 13)

Kita perlu hidup dalam realiti. Tidak ada gunanya kita cuba hendak merealisasikan suatu maslahat kalau akibatnya menyebabkan mudarat yang jauh lebih besar. Ini jelas bercanggah dengan tuntutan kita berdakwah dengan hikmah.

اُدْعُ إِلَى سَبِيْلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ

“Berdakwahlah ke jalan Tuhanmu dengan cara hikmah.” (Surah An-Nahl, 16: 125)

Wallahu a’lam.

وَصلَّى الله عَلى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّم