WALA’ DAN BARA’ MENURUT ISLAM

Abu Omar, Idris bin Sulaiman

Muat turun risalah (PDF) untuk sebaran: WALA’ DAN BARA’ MENURUT ISLAM – Brochure

wala dan baraAtas dasar beriman kepada Allah sepertimana yang terkandung dalam ucapan Tauhid La Ilaha Illa Allah lahirlah prinsip Wala’ yang menjurus kepada sikap mencintai Golongan yang Beriman serta menyokong mereka di samping prinsip Bara’ yang menjurus kepada sikap membenci Golongan Kuffar serta memusuhi mereka.

Inilah sikap Nabi Ibrahim ‘alaihis salam terhadap kaumnya yang menjadi teladan buat Umat Islam. Firman Allah:

“Sesungguhnya terdapat contoh teladan yang baik bagi kamu pada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya tatkala mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur): Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan segala apa yang kamu sembah daripada selain Allah; kami mengingkarinya dan (dengan ini) nyatalah permusuhan dan kebencian di antara kami dan kamu selama-lamanya; sehingga kamu menyembah Allah semata-mata” (Al-Mumtahinah, 4).

Prinsip ini menjadi tunjang kepada Akidah setiap seorang Muslim sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah dalam firmanNya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai teman rapatmu, kerana sesetengah mereka menjadi teman rapat kepada sesetengah yang lain; dan barangsiapa di antara kamu yang menjadikan mereka sebagai teman rapatnya, maka sesungguhnya dia terdiri daripada mereka”   (Al-Ma’idah, 51).

Ayat di atas menjadi larangan buat orang Islam untuk mencintai dan menolong (Wala’) golongan Ahli Kitab secara khasnya. Adapun larangan Wala’ terhadap orang kafir secara umumnya, ia terkandung dalam firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan kamu jadikan musuhKu dan musuhmu sebagai teman rapat kamu” (Al-Mumtahinah, 1).

Di samping cinta dan menyokong, menjadikan seseorang itu sebagai teman rapat juga termasuk dalam pengertian Wala’. Begitu juga dengan kasih, sayang, membantu, menjadikannya sebagai ketua dan rakan sekutu. Kesemua ini termasuk dalam pengertian Wala’ yang hanya boleh ditujukan buat Allah, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, Agama Islam dan Orang Islam. Selain itu dilarang.

Untuk itu, orang Islam dilarang daripada mencintai dan menyokong orang kafir walaupun mereka terdiri daripada kaum keluarga sendiri sebagaimana firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan kamu jadikan bapa-bapa dan adik-beradik kamu sebagai teman rapat kamu jika sekiranya mereka memilih untuk kufur dan tidak mahu beriman; dan barangsiapa yang menjadikan mereka sebagai teman rapatnya, maka merekalah orang-orang yang zalim” (Al-Taubah, 23).

Oleh itu, Umat Islam dilarang daripada menyayangi orang kafir serta menyokong mereka. Sebaliknya, Umat Islam diwajibkan untuk menyayangi Orang Islam serta menyokong mereka sebagaimana dalam firman Alllah:

“Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman itu sebagai penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada Agama) Allah itulah yang akan tetap menang”  (Al-Ma’idah, 55-56).

“Muhammad Rasulullah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras  terhadap orang-orang kafir dan bersikap kasih sayang sesama mereka (Umat Islam).” (Al-Fath, 29).

Bertepatan dengan firman Allah:

﴿إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ﴾

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara” (Al-Hujuraat, 10).

Inilah sikap orang-orang Islam sesama saudara seIslam yang lain. Walaupun tiada pertalian darah di antara mereka, berlainan tempat tinggal dan barangkali tidak pernah pun bersua, malah hidup pun mungkin pada zaman yang berlainan; mereka tetap mengasihi sesama saudara seAgama, mendoakan kebaikan serta meminta keampunan Allah buat mereka.

﴿šوَالَّذِينَ جَآءُو مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِاْلإِيمَانِ وَلاَتَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلاًّ لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا)

“Dan orang-orang (Islam) yang datang sesudah mereka, mereka berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam Iman; dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman” (Al-Hasyr, 10).

ANTARA CONTOH WALA’ (MENYOKONG) ORANG KAFIR YANG DILARANG SYARAK:

1.    Menyerupai orang kafir dalam berpakaian, percakapan dan sumpamanya yang menjadi identiti buat mereka sama ada dalam urusan dunia mahupun ibadah.

Ini kerana perbuatan yang sedemikian akan menimbulkan kasih-sayang terhadap mereka. Untuk itu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

﴿ مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ ﴾

“Barangsiapa menyerupai sesebuah kaum, maka dia tergolong dalam kaum itu” (Hadis Hasan. Riwayat Abu Daud).

 2

  • .    Tinggal di negara orang kafir dan tidak berhijrah ke Negara Islam.

Ini kerana Umat Islam diwajibkan untuk berhijrah ke Negara Islam. Adapun perbuatan sebahagian Umat Islam yang tinggal di negara kafir, itu menunjukkan bahawa mereka bersikap wala’ terhadap orang kafir sedangkan ia dilarang. Firman Allah:

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلاَئِكَةُ ظَالِمِي أَنفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنتُمْ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي اْلأَرْضِ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا فَأُوْلاَئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَسَآءَتْ مَصِيرًا إِلاَّ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَآءِ وَالْوِلْدَانِ لاَ يَسْتَطِيعُونَ حِيلَةً وَلاَ يَهْتَدُونَ سَبِيلاً

“Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat sedangkan mereka menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat: “Apakah yang kamu telah lakukan buat Agama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu ditindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, untuk kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka adalah Neraka Jahanam, dan itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. Kecuali orang-orang yang lemah (yang uzur) daripada kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berupaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mempunyai jalan (untuk berhijrah)” (Al-Nisaa’, 97-98).

3.    Bersiar-siar ke negara orang kafir.

Ini kerana Umat Islam ditegah daripada pergi ke negara kafir. Kecuali dalam keadaan terdesak apabila ada keperluan seperti untuk berdakwah, menjalani rawatan, berniaga atau belajar dalam jurusan yang bermanfaat yang hanya terdapat di negara orang kafir. Dalam keadaan ini ia dibolehkan tetapi untuk setakat mana yang perlu sahaja dan apabila telah selesai urusan tersebut wajib ke atas individu muslim terbabit untuk bergegas pulang ke Negara Islam.

Di samping itu, orang Islam yang mempunyai urusan yang mendesak untuk pergi ke negara kafir disyaratkan memiliki benteng ketahanan Ilmu Agama dan takwa yang mampu memeliharanya daripada terpengaruh dengan orang kafir. Barangkali tujuannya untuk berdakwah, tetapi seorang muslim itu perlu memberi keutamaan kepada maslahat Agamanya sebelum orang lain. Amat malang sekali sekiranya usaha menyampaikan Agama kepada orang lain menyebabkan Agama sendiri sampai tergadai.

4.    Memuji, membantu, menyokong serta memberi perlindungan terhadap orang kafir daripada orang Islam.

Ia menjadi antara pembatal Iman seseorang yang akan menyebabkannya terkeluar daripada Islam.

5.    Memberi kepercayaan kepada orang kafir, melantik mereka dalam jawatan-jawatan yang membabitkan rahsia orang Islam serta menjadikan mereka sebagai sekutu dan penasihat.

Sebagaimana disebut dalam Surah Aali Imran, ayat 118-120.

6.    Menggunakan kalendar mereka khususnya yang berkaitan tentang keagamaan mereka sebagaimana tahun Masihi yang disandarkan kepada kelahiran Nabi Isa ‘alaihis salam.

7.    Menyertai acara-acara keagamaan orang kafir, membantu dalam menguruskannya, meraikannya dengan mengucapkan kata-kata selamat ataupun menghadirinya.

Sebagaimana tafsiran sebahagian Ulama Tafsir buat ayat:

﴿šوَالَّذِينَ لاَيَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا ﴾

“Dan mereka (yang diredhai Allah itu adalah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat yang dilakukan perkara-perkara yang dilarang” (Al-Furqaan, 72).

8.    Memuji orang kafir, menyanjung tinggi kemajuan mereka, berbangga dengan akhlak serta sikap mereka dalam bermu’amalah tanpa melihat akidah serta akhlak mereka yang rosak dan terpesong.

“Dan jangan engkau tujukan pandangan kedua matamu dengan menginginkan kenikmatan yang telah Kami berikan kepada golongan yang kafir yang berupakan keindahan dunia; ini kerana Kami menguji mereka dengannya; sedangkan limpah kurnia Tuhanmu di Akhirat kelak lebih baik dan lebih kekal” (Taha, 131).

9.    Menggunakan nama-nama yang khas buat orang kafir.

Ketika memberi nama kepada bayi yang baru lahir, menamakan sesebuah tempat dan seumpamanya.

10. Meminta keampunan serta mendoakan kerahmatan Allah buat mereka.

مَاكَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ ءَامَنُوا أَن يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُوْلِى قُرْبَى مِن بَعْدِ مَاتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ

“Tidak patut bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta keampunan untuk orang-orang musyrikin, sekalipun orang itu terdiri daripada kaum kerabat sendiri; sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrikin itu menjadi penghuni neraka.” (Al-Taubah, 113)

وَصلَّى الله عَلى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّم

Kajang, 18 Jumadil Akhir 1433H

idrissulaiman@yahoo.com