LAHAD DATU: JIHAD MENENTANG GOLONGAN BUGHAT

Abu Omar, Idris bin Sulaiman 

bughatSoalan: Minta pandangan Ustaz tentang perajurit kita yang terkorban kerana mempertahankan negara seperti yang sedang berlaku di Lahad Datu. Adakah itu termasuk di dalam jihad dan sekiranya mereka gugur, adakah mereka dikira sebagai mati syahid? Bagaimana tatacara pengurusan jenazah mereka?

Jawapan:

Jelas bahawa golongan-golongan penentang di Lahad Datu adalah golongan yang diistilahkan sebagai Bughat iaitu golongan yang memberontak. Dari sudut yang lain mereka boleh juga dikategorikan sebagai golongan Khawarij kerana mereka menentang Kerajaan Islam di Malaysia yang sah dan diiktiraf. Jelas kepada kita bahawa mereka ini adalah orang-orang Islam, tetapi perbuatan mereka tidak Islam. Ini kerana mereka datang menyerang sesama saudara se-Islam.

Dalam keadaan sebegini, dapat kita lihat bahawa Kerajaan kita telah mengambil jalan islah dengan sebaik-baiknya. Pendekatan Kerajaan di dalam berdepan dengan kaum Bughat ini harus kita iktiraf dan harus kita puji di mana pihak kerajaan Malaysia hendak menyelesaikan dengan cara yang baik. Namun kita dapati bahawa mereka yang tetap berkeras hendak meneruskan agenda dan tujuan mereka untuk menakluk dan mengambil semula tanah yang mereka dakwa sebagai milik mereka.

Perbuatan mereka ini jelas bertentangan dengan Syariat Islam. Kita tidak mahu membahaskan dari sudut Tarikh (sejarah) dan sebagainya, tetapi dari sudut Islam, kita mengatakan bahawa sesebuah kerajaan Islam yang sudah bertapak di sesebuah tempat, ia sama sekali tidak boleh diturunkan atau dijatuhkan atas alasan apa sekali pun; sama ada ia kerajaan yang zalim, melakukan penyelewengan, atau apa juga yang tidak adil di dalam pemerintahan. Termasuklah sekiranya kerajaan ini telah mengambil tanah yang bukan miliknya, kalau benar seperti yang mereka dakwa.

Di dalam Islam, sekiranya sesebuah kerajaan Islam sudah bertapak di sesebuah tempat maka penduduk di tempat itu perlu taat kepada kerajaan tersebut dan umat Islam yang lain perlu mengiktiraf kerajaan di tempat itu.

Di sini timbul persoalan; sebagai orang Islam di Malaysia, bolehkah kita pergi ke negara Islam jiran yang lain dan menawan negara itu atas apa juga alasan, misalnya kerajaan di sana tidak memerintah dengan adil? Saya melihat bahawa alasan ini jauh lebih baik (walaupun ia tidak baik juga) daripada alasan hendak menakluk sebuah negara Islam kerana mendakwa ini milik mereka. Ini alasan dunia semata-mata, iaitu untuk merebut-rebut tanah dunia semata-mata tanpa mengira hukum hakam Syarak dan tanpa menjaga batas-batas yang telah ditetapkan oleh Syarak.

Sedangkan kita telah menegaskan bahawa Syariat secara prinsipnya tidak membolehkan sama sekali untuk kita melawan ataupun menggugat sesebuah kerajaan Islam yang telah bertapak di sesebuah tempat.

Golongan pemberontak perlu ditentang

Maka golongan-golongan pemberontak ini jelas perlu ditentang, sebagaimana firman Allah,

وَإِن طَآئِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِن بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى اْلأُخْرَى فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّى تَفِىءَ إِلَى أَمْرِ اللهِ

“Sekiranya ada dua golongan dari orang mukmin yang berperang maka hendaklah kamu damaikan di antara keduanya. Tetapi sekiranya salah satu dari keduanya bersikap melampau terhadap yang lain, maka perangilah golongan yang melampau itu sampai ia kembali kepada perintah Allah.” (Surah Al-Hujurat, 49: 9)

Jelas kita melihat bahawa pihak yang sedang berbalah ini adalah orang Islam kedua-duanya. Allah memerintahkan supaya didamaikan di antara keduanya, dan kita melihat bahawa Kerajaan telah berusaha ke arah itu, untuk mencari jalan berdamai dan menyelesaikan dengan cara yang baik. Lalu Allah mengatakan, sekiranya  salah satu daripada dua puak ini bersikap melampau yakni tidak mahu menyelesaikan dengan cara yang baik, maka perangilah golongan yang melampau itu sehinggalah kita dapat membawa mereka kepada hukum Allah iaitu apa yang dituntut oleh Syariat Islam.

Maka menjadi tanggungjawab kita untuk memerangi kaum pemberontak ini kerana jelas mereka ingin membawa kepada kerosakan di atas muka bumi.

Adakah ini termasuk dalam jihad?

Ini jelas termasuk di dalam jihad untuk mempertahankan negara yang sedang diserang. Jihad bukan sahaja apabila adanya serangan daripada orang-orang kafir, bahkan daripada kalangan orang-orang Islam yang termasuk di dalam golongan Bughat (pelampau) yang tidak menjaga tali silaturrahim sesama umat Islam. Mereka ini juga perlu diperangi seperti mana yang telah dilakukan oleh Saidina Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu apabila beliau memerangi kaum Bughat dari kalangan Khawarij pada zamannya.

Maka ini adalah satu bentuk jihad dari kategori jihad mempertahankan diri. Dalam hal ini kita disyariatkan supaya mempertahankan diri kita dengan segala cara yang mungkin; dengan apa juga tenaga, apa juga senjata, dan apa juga kemampuan yang kita ada. Mereka perlu ditentang dan dihapuskan kerana jelas bahawa mereka adalah kaum yang datang untuk membuat kerosakan di atas muka bumi iaitu di negara kita.

Adakah anggota keselamatan yang gugur dikategorikan sebagai Syahid?

Persoalan sama ada anggota tentera dan polis di dalam mereka mempertahankan negara Islam (Malaysia) ini yang sedang diserang oleh golongan pemberontak, apakah mereka dikategorikan sebagai Syahid, kita mengatakan secara prinsipnya dari segi niatnya, Allah lebih mengetahui. Maka tidaklah kita menghukum mereka melainkan secara zahir bahawa mereka ini jelas berjihad mempertahankan negara yang diserang oleh golongan pemberontak.

Maka sekiranya mereka gugur, kita mendoakan supaya mereka tergolong di kalangan orang-orang yang syahid di Hari Akhirat kelak. Tetapi apa yang pasti dari segi zahirnya mereka telah mati syahid dari segi hukum dunia. Dari segi hukum dunia, orang yang mati syahid di medan perang ada hukum hakamnya iaitu pakaian mereka tidak perlu ditanggalkan, mereka tidak perlu dimandikan, maka tentu sahaja mereka tidak perlu dikafankan, bahkan tidak wajib untuk dishalatkan, kerana mereka ini masuk dalam kategori orang yang mati syahid.

Seperti mana di dalam hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, tidak ada penghalang bagi orang yang mati syahid untuk terus masuk ke syurga. Maka kita mendoakan kepada Allah supaya mereka tergolong di dalam golongan syahid yang akan terus masuk ke Syurga.

Maka tidak diwajibkan untuk kita shalat ke atas mereka, kerana tujuan shalat jenazah adalah untuk meminta supaya dia tergolong di dalam golongan ahli Syurga, supaya Allah memudahkan urusannya di Hari Akhirat. Tetapi jelas bahawa orang yang mati syahid sudah menjangkauinya dan dari sudut Syarak dia sudah tidak perlu kepada itu.

Maka kerana itu, dicatatkan di dalam banyak peristiwa bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tidak shalat jenazah ke atas sahabat-sahabat Baginda yang gugur syahid di medan perang. Tetapi ini tidak menafikan bahawa dibolehkan juga untuk shalat jenazah kepada mereka, cuma hukumnya tidak wajib. Ianya sekadar dibolehkan kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam juga telah salat jenazah kepada sebahagian kecil para sahabat yang mati syahid seperti yang kita lihat di dalam peristiwa peperangan Uhud di mana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah shalat kepada bapa saudaranya, Hamzah. Tetapi Baginda tidak shalat kepada sahabat-sahabatnya yang lain yang mati syahid.

Larangan meletakkan gelaran ‘Asy-Syahid’

Perlu juga diingatkan bahawa adalah menjadi prinsip Ahli Sunnah wal Jama’ah supaya tidak meletakkan gelaran ‘Asy-Syahid’ Fulan bin Fulan. Kita perlu bezakan di antara mendoakan supaya mereka tergolong di dalam golongan orang yang mati syahid, dan menguruskan jenazah mereka seperti orang yang mati syahid iaitu tidak perlu dimandikan dan tidak dikafankan. Bahkan mereka sepatutnya ditanam di tempat mereka gugur (di medan perang). Ini termasuk perkara yang dituntut bagi orang yang mati syahid di dalam peperangan, bukan dibawa ke kampung halaman mereka. Ini adalah sunnah yang disyariatkan.

Perlu kita bezakan antara kita mendoakan mereka mati syahid dan kita menguruskan jenazah mereka sebagai orang yang mati syahid, dengan kita meletakkan gelaran Asy-Syahid di depan nama mereka.

Perbuatan pertama iaitu mendoakan dan menguruskan jenazah mereka sebagai orang yang mati syahid; ini adalah di atas dasar kita menghukum mereka secara zahir, dan kita meminta daripada Allah supaya mereka benar-benar tergolong di kalangan orang yang mati syahid.

Adapun perbuatan kita meletakkan gelaran Asy-Syahid di depan nama mereka, ini adalah satu perbuatan yang berbeza. Seolah-olah kita telah mendahului hukum dan takdir Allah Subhanahu wa Ta’ala. Seolah-olah kita yang menentukan bagi mereka masuk Syurga.

Walaupun saya melihat bahawa masalah ini mungkin sedikit sensitif, tetapi saya melihat bahawa ianya perlu juga dijelaskan. Kita memohon supaya Allah menggolongkan mereka sebagai golongan Syahid, tetapi dalam masa yang sama tidak membolehkan kita meletakkan gelaran itu kerana perbuatan sebegini hanya dibolehkan jika kita mengetahuinya secara pasti, dan hal ini hanya dapat diketahui dengan wahyu Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dan seperti yang kita sedia maklum, kita sudah tidak ada wahyu setelah kewafatan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.

Hanya mereka yang disebutkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bahawa mereka tergolong dalam ahli Syurga kerana gugur di medan perang yang boleh kita kategorikan sebagai Asy-Syahid seperti mana Saidina Hamzah dan sahabat-sahabat yang lain. Bagi mereka, boleh kita katakan misalnya Asy-Syahid Hamzah bin Abdul Muthalib.

Adapun pada zaman sekarang, kita tidak boleh menyatakan secara pasti, kerana perbuatan itu jelas seolah-olah kita mendahului takdir dan hukum Allah dengan kita pula yang menetapkan bahawa dia mati syahid yang membawa maksud secara pasti bahawa dia akan masuk Syurga.

Penetapan Syurga dan Neraka hanya milik Allah, ia hanya boleh ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Bagi kita, kita hanya memohon daripada Allah supaya mereka tergolong di dalam golongan yang mati syahid, insyaAllah.

Jenazah golongan pelampau

Adapun jenazah-jenazah orang-orang Bughat (pemberontak) atau Khawarij ini, perlu juga kita bersikap adil dan jangan kita melampaui batas. Kerana Syariat sentiasa menuntut kita sebagai orang Islam supaya berlaku adil dan bertindak di atas garis panduan Syarak.

Maka apa yang pasti, sekiranya mereka adalah orang Islam, perbuatan mereka melakukan pemberontakan, mengangkat senjata kepada saudara sesama Islam mereka, tidak menjadikan mereka kafir. Perbuatan mereka salah, tetapi tidak sampai mereka jatuh hukum kafir.

Oleh kerana itu, mayat-mayat mereka hendaklah diuruskan seperti jenazah-jenazah orang Islam yang lain; yang ada kehormatan dan ada hukum hakam yang perlu diraikan dan perlu dijaga. Kita perlu berlaku adil. Kita tidak setuju dengan apa yang mereka lakukan, tetapi hal ini tidak menafikan ke-Islaman mereka bahawa mereka tetap saudara se-Islam kita yang perlu dijaga. Wallahu a’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=yYXRU4O-FpY